Mengenang 60 tahun syahidnya Hasan Al-Banna

hasan-al-banna1

Asy-Syahid Al-Imam Hasan Al-Banna (1906 – 1949), pengasas fikrah dan gerakan dakwah Ikhwan Muslimin (1928).

Pada 12 Feb 2009 lalu, genap 60 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, seorang ulamak Dakwah dari Mesir yang mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin pada tahun 1928. Penjajah British dan Raja Faruk menyangka dengan menembaknya mati di Jalan Ramses, Kaherah pada petang itu akan mematikan dakwah beliau dan British dapat memantapkan lagi kedudukannya menjajah Mesir. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Raja Faruk meninggal dunia pada 18.3.1965 dan British terpaksa meninggalkan Mesir pada 1952, sedang dakwah Ikhwan Muslimin terus hidup dan berkembang mekar sehingga ke hari ini ke lebih 100 negara di dunia. Yang membunuh telah mati dan pergi, manakala yang dibunuh terus hidup fikrah dan dakwahnya digerakkan oleh generasi demi generasi.

Kepada mereka yang bercita-cita tinggi mendidik diri, anak-anak dan generasi sehingga menjadi salah seorang para Mujaddid seperti beliau yang pernah memimpin salah sebuah perjuangan Islam akhir zaman ini, beberapa aspek kualiti yang ada pada beliau harus menjadi panduan kita. Untuk memendikkan posting ini, saya hanya menyentuh diaspek ilmu sahaja terlebih dahulu melalui beberapa catatan memori beliau semasa dialam remaja dan belia di dalam kitab tulisannya Muzakiraat Ad-Dakwah wa Ad-Dai’yah (Memori Dakwah ini dan Pendakwahnya). Jika berkesempatan, aspek-aspek ruh, organisasi dan sebagainya yang ada pada beliau yang juga menakjubkan akan disentuh dilain kesempatan, insyaallah.

Diaspek kualiti ilmunya, Hasan Al-Banna sejak dibangku sekolah rendah lagi, sering membaca buku perpustakaan ayahnya di rumah. Ayah beliau, Ahmad Abdul Rahman Al-Banna, adalah seorang ahli hadis graduan Al-Azhar, bekerja sendiri dengan membaiki jam dan menumpu masa hayatnya dalam ilmu hadis. Beliau telah mengarang banyak kitab dan menyusun semula kitab musnad Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas Mazhab Hanbali) dengan menulis kitab berjilid bertajuk “Fathul Rabbani fi Tartib Musnad Imam Ahmad”. Bahasa Arab dan ilmu Hasan Al-Banna di asah lebih tajam lagi sejak di sekolah rendah apabila dia sering membantu Asy-Syeikh Muhammad Zahran yang buta, dengan membacakan untuknya kitab demi kitab perpustakaan di rumah syeikh tersebut. (Untuk pengetahuan, sejauh mana kebolehan membaca tulisan Arab tanpa baris adalah salah satu kayu ukur kuat lemahnya seseorang dalam ilmu Bahasa Arab). Apabila Asy-Syeikh didatangi tetamu dari kalangan ulamak, si budak kecil ini turut duduk sama mendengar perbincangan ilmiah mereka dalam berbagai bidang seperti tafsir, hadis, aqidah, seerah, tasauf, feqah dan sebagainya. Kata Hasan Al-Banna, “Aku ingat kebanyakan nas-nas hadis yang aku hafaz adalah yang aku hafaz sejak ketika itu (bersama Syeikh Zahran ketika dibangku sekolah rendah” (rujuk Muzakirat Dakwah wad Daieyah, m/s 13).

Ketika di sekolah menengah, beliau menghafaz keseluruhan Al-Quran dan suka menimba ilmu di luar pelajaran di sekolah. “Dua faktor. Pertamanya, perpustakaan ayah, dorongannya agar aku banyak membaca, belajar dan hadiahnya kepada aku berupa buku-buku yang aku masih menyimpannya sehingga ke hari ini. Diantara yang banyak memberi kesan kepada aku ialah kitab Al-Anwar Al-Muhammadiah oleh Al-Nabhany, Mukhtasar Al-Mawahib Al-Laduniah oleh Al-Asqalany dan Nurul Yaqin oleh Asy-Syeikh Al-Khadary, majallah-majallah lama dan kitab-kitab yang berbagai. Di kampung Al-Mahmudiyah ketika di tahap sekolah menengah rendah aku sentiasa menunggu Asy-Syeikh Hasan Al-Kutuby di hari pasar malam di Jalan Farigh As-Sabr untuk menyewa buku-buku secara mingguan dengan harga beberapa milim (sen), kemudian menyewa lagi kitab-kitab lain pula pada minggu-minggu berikutnya. …. Buku yang sangat kuat kesannya dalam kalbuku ialah buku Kisah Amirah Zat Al-Himmah. Aku membacanya dan mendapati didalamnya mengandungi makna semangat, keberanian, cintakan tanahair, berpegang teguh dengan agama, jihad di jalan Allah, bertarung demi mendapat ketinggian dan keagungan, kemudian aku melihat pemuda pemudi hari ini membesar dengan pembacaan-pembacaan yang melonglaikan, melekakan, lemah dan alpa. Aku dapati alangkah jauh dan peliknya pendidikan lalu jika dibandingkan dengan pendidikan hari ini. Oleh itu, aku melihat kita sangat berhajat kepada santapan ilmu yang menghidangkan kepada generasi baru hari ini (pengertian-pengertian di atas) dalam berbagai bentuk seperti buku, riwayat, akhbar dan majallah” (Al-Muzakirat  m/s 37).

“Ketika di tahap ini juga, di luar pelajaran sekolah, aku menghafaz banyak mutun (ungkapan) dalam berbagai ilmu seperti Mulihah Al-I’rab oleh Al-Hariry, Al-Alfiah oleh Ibnu Malik, Al-Yaqutiah fil Al-Mustalah, Al-Jawharah fil Tauhid, Al-Rahbiah fil Mirath, Mutun Al-Sulmy fil Mantiq, Mutun Al-Qadury fil Fiqh Abu Hanifah, Mutun Al-Ghayah wa At-Taqrib oleh Abu Sujak dalam Mazhab Syafie, Manzumah Abn Amir dalam Mazhab Maliki. Sekali-kali aku tidak akan lupa dorongan ayah dalam menghafaz dengan beliau menggunakan kata-kata hikmat “Man hafaza Al-Mutun, haaza Al-Funun” (sesiapa yang menghafaz mutun (ungkapan-ungkapan), dia mendapat seni-seni). Kesan kata-kata hikmat tersebut dangat mendalam dalam jiwa ku hingga aku cuba menghafaz Murun Asy-Syatibiah fil Al-Qiraat sedang aku sendiri kurang arif istilah-istilah qiraat tersebut. Aku dapat menghafaz muqaddimahnya dan sebahagiannya masih ada dalam ingatan.

cairo-university

Cairo University di tengah-tengah kota Kaherah. Akademi Islam didalamnya dinamakan “Darul Ulum”, tempat Hasan Al-Banna mendapat ijazah. Kata Asy-Syeikh Muhammad Abduh, “Jika Bahasa Arab hilang di dunia, engkau akan dapati ianya masih tinggal di Darul Ulum”.

Semasa di Darul Ulum, Universiti Kaherah, Hasan Al-Banna menceritakan, “Kehidupanku di Kaherah banyak dipenuhi dengan kunjunganku ke rumah Syeikh Ali Afandi, Perpustakaan As-Salafiah dan Ustaz Muhibbuddin, Dar Al-Manar bersama As-Sayyid Rasyid, rumah Asy-Syeikh Dajwy, rumah Farid Bek Wajdy, Perpustakaan Darul Kutub dan Masjid Syaikhun”. Aku tidak lupa ujian lisan yang jalankan oleh Ustaz Abu Al-Fath Al-Fiqy dan Ustaz Najaty, dimana aku hadir dan bersedia dengan menghafaz 18,000 rangkap syair, sebanyak itu juga hafazan karangan-karangan sastera diantaranya Muallaqat Tarfah, sedang pada hari itu aku hanya ditanya satu rangkap dari Al-Muallaqat, 4 rangkap dari Qasidah Syauqy tentang Napolean dan perbincangan tentang Umar Khayyam. Aku tidak menyesal terhadap persediaan yang banyak yang telah aku buat, kerana sejak dari hari pertama lagi, niat aku belajar adalah demi ilmu dan bukan kerana peperiksaan” (Al-Muzakirat m/s 68).

Posting pendik ini hanya mengambil beberapa kisah menarik berkait ilmu Hasan Al-Banna dan sudah tentu tidak mengukur jumlah ilmu seseorang bak lautan. Ia bertujuan mencetus kefahaman dan semangat bahawa Dakwah Islam ini asasnya ialah ilmu dan ikhlas, membentuk Fikrah atau Ideologi. Dari kedua-duanya lahirlah amal, jihad dan pengorbanan yang sahih, membentuk Jemaah atau Organisasi. Tanpa Fikrah yang sahih, Jemaah tidak terpandu dan menghasilkan natijah yang tersasar.

Semoga Allah mengurniakan kita apa yang dikurniakanNya kepada hamba-hambaNya yang soleh. Ameen ya rabbal alameen.

Ustaz Halim INIJALANKU  www.inijalanku.wordpress.com

About these ads

2 Respons

  1. Assalamualaikum ustaz Abdul Halim.

    Terima kasih atas postnya yang bermanfaat. Moga di contohi genereasi muda hari ini.

    Sedikit komentar, saya dapati penulisan kali ini mengandungi beberapa kesilapan tatabahasa. Contohnya perkataan “pendik” yang sepatutnya ditulis “pendek”. Selain itu, perkataan “diaspek” sepatutnya ditulis “di aspek” dan “hambaNya” yang sepatutnya ditulis “hamba-Nya”.

    Demikian ilmu tatabahasa yang saya pelajari di sekolah. Kalau ada yang silap, saya mohon maaf.

    Kefasihan bertutur itu penting dalam menyampaikan dakwah. Hal ini terakam dalam Al-Quran ketika Nabi Musa ingin berdakwah kepada Firaun, baginda memohon kepada Allah s.w.t agar menjadikan Nabi Harun yang “lebih fasih lisan” sebagai pembantunya.

    Syukran, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. :)

  2. Salam, shukran

    Sebuah renungan panjang yang ana ambil daripada mufti palestin ketika zaman hasan albanna Asy Syeikh Al-Haj Al- Husin* :

    “ Telah penuh kepalaku dengan uban, dan pada setiap uban terdapat pengalaman yang ku dapati didalam bertahun-tahun hidupku, tetapi apabila aku bertemu dengan Hasan Al-Banna aku sedar bahawa ketika aku hanya sampai ditempat dimana dia sedang bermula sekarang.”

    Ini merupakan rintihan seorang mufti palestin, kita dimana pula?

    Moga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk thabat atas jalan ini.

    *dipetik dari artikel tulisan Syeikh Muhammad Khatib di http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=34477&SecID=372 terjemahan artikel boleh klik pada nama ana.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 289 other followers

%d bloggers like this: