Asy-Syahid Cikgu Zaki Tabligh 1981

Nama Cikgu Zaki dari jemaah Tabligh sering saya dengar sehingga saya bercita-cita untuk bertemu dengan beliau. Akhirnya Allah memakbulkan hasrat ini apabila saya berpeluang bertemunya buat kali pertama dan terakhir di Surau Hitam, Ampangan, Seremban sekitar tahun 1981, salah satu tempat tumpuan jemaah Tabligh ketika itu. Beliau adalah seorang guru MRSM Kota Bhara, kemudian MRSM/Kolej Mara Seremban, dibidang Kimia, mendapat ijazah sains di United Kingdom. Raut wajahnya yang manis dan bersih, susuk badan yang tinggi lampai, lilitan serban dan baju ala Tablighnya yang bersih dan kemas cukup membuat pemuda yang ghairah Islam seperti saya mencintainya di jalan Allah dan ingin menimba pengalaman darinya. Usahanya yang gigih dalam menyampaikan hadis-hadis mengenai kelebihan atau fadhilat solat, zakat, puasa, zikir, haji dan kisah-kisah para Sahabat disamping mengajak dan melatih para pelajar untuk keluar menyertai rombongan-rombongan Tabligh berjaya menjadikan MRSM Kota Bharu ketika itu sebagai MRSM Tabligh. Bahkan pelajar di sana yang telah tamat SPM dan bertebaran ke MRSM Kulim, MRSM-MRSM lain dan IPT dapat juga mengesani dan mewarnai kesedaran Islam di tempat-tempat yang baru tersebut.

Pada tahun 1981, dari MRSM Kuantan saya pernah membuat kunjungan ke MRSM Kota Bharu, tempat beliau mengajar dan berdakwah. Setelah berkenalan dengan beberapa kepimpinan pelajar di sana, saya turut bersama mereka membuat ghasy (pergi bilik ke bilik) mengajar setiap pelajar menunaikan solat berjemaah di surau, sama seperti yang dilakukan oleh jemaah Tabligh dari rumah ke rumah dalam masyarakat. Kesan dari ghasy yang dilakukan dengan penuh sabar dan berterusan sepanjang tahun oleh mereka, surau MRSM Kota Bharu ketika itu dikira paling ramai jemaah suraunya berbanding MRSM-MRSM lain dizaman tersebut.

Ketika saya di Australia sekitar tahun 1985, berita yang diimpikan oleh setiap pendakwah yang ikhlas di jalan Allah tiba kepada saya. Cikgu Zaki telah kembali ke Rahmatullah setelah syahid ditembak oleh tentera Filipina Kristian ketika berdakwah di Selatan Mindanao bersama dengan seorang temannya. Mereka berdua dikebumikan di sana. Semoga Allah swt mengurniakan pahala Syahid kepada mereka, memasukkan mereka ke SyurgaNya tanpa Hisab, menanam kesabaran kepada isteri dan anak-anak mereka dan mempertemukan kita dan beliau di Syurga Firdaus bersama dengan para Nabi-nabi, Siddiqiin, Syuhadak dan Solihin. Merekalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak.

2 Responses to “Asy-Syahid Cikgu Zaki Tabligh 1981”

  1. subhanAllah.. !!!

  2. salam.

    Memang banyak jasa Cikgu Zaki khusus buat student MRSM yang baru nak buat usaha da’wah. Rasanya student MRSM kuantan first time khuruj semasa ijtima’ dunia December 1982 di Terengganu ke Sungai Tong. Antaranya Almarhum Zul Ahmad, Fadil Kemi, Fadzil Hassan & saudara sendiri.

    Semoga ALlah mencucuri rahmat ke atas roh beliau amin.

Leave a Reply