Jemaah Darul Arqam atau Yayasan Pengajian Darul Arqam adalah sebuah jemaah yang diasaskan oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad diakhir tahun 1960an dan berkembang pesat pada tahun-tahun 1970an. Pada ketika itu tema utama yang diperjuangkan oleh Ustaz Ashaari dan pengikut-pengikutnya ialah “Kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah” dan yang menonjol ialah berpakaian menutup aurat, menghidupkan suasana Islam dalam bentuk perkampungan dan sekolah Islam, mengeluarkan produk-produk ekonomi Islam serta buku, kaset dan berbagai bentuk penerbitan Islam. Dalam suasana umat Islam yang masih ramai belum memakai tudung atau berpakaian mengikut Syariat, penonjolan pakaian oleh Ustaz Ashaari dan pengikutnya mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan sebahagian masyarakat, pelajar IPT dan sekolah. Tumbuh “perkampungan Islam” berupa rumah-rumah anggota Al-Arqam yang dibina di tapak tanah yang dibeli bersama di hampir seluruh negeri di Semenanjung Malaysia terutama di Sungai Pencala, Kuala Lumpur dan Kampung Sempadan, Pahang. Disebabkan kurangnya produk makanan Islam ketika itu dan membeli kicap, sos, mee basah dan sebagainya dari kilang bukan Islam, kehadiran kicap, sos, mee basah “Al-Arqam” dan sebagainya bukan sahaja mendapat sambutan ramai masyarakat malah logo Al-Arqam dibarangan tersebut meningkatkan lagi populariti badan dakwah berkenaan walaupun ia tidak berdaftar secara resmi dengan kerajaan. Bersama dengan arus kebangkitan dan kesedaran Islam yang diperjuangkan oleh parti dan badan Islam yang lain, ketika saya di MRSM, bagi seorang yang mula mencintai perjuangan Islam, tidak dinafikan suasana tersebut banyak memberi ransangan dan semangat juang kepada pelajar muda ini untuk bersaham sama terutama menanam kesedaran dan membawa perubahan kepada pelajar-pelajar di MRSM Kuantan ketika itu.
Sering saya mencuri keluar dari kawasan Maktab untuk menghadiri Kuliah-kuliah Fardhu Ain yang di Markaz Al-Arqam, Beserah, Kuantan ketika itu dan kembali ke Maktab dengan membawa produk-produk Al-Arqam untuk dijual kepada pelajar-pelajar berupa kaset ceramah Ustaz Ashari, buku-buku Islam, kicap, sos, kain serban dan sebagainya. Bagi saya ditahun-tahun 1980an, dua penceramah yang sangat memberi kesan kepada diri saya dan mendapat sambutan masyarakat ketika itu ialah ceramah-ceramah kuliah 3 jam oleh Ustaz Ashari dari Al-Arqam dan ceramah-ceramah pidato 1 jam Ustaz Hadi dari Parti Islam Se Malaysia. Kaset ceramah Ustaz Ashari 3 jam bertajuk “Hakikat Iman” dan ”Keindahan Islam” tidak jemu didengar walau diulang berulang kali. Saya cuba berusaha membawa Ustaz Ashari masuk berceramah di dalam MRSM ketika itu tetapi tidak berjaya dan Ustaz terpaksa diganti dengan naibnya, Ustaz Abdul Rahim Forten.
Pada cuti sekolah hujung tahun 1980 dan 1981, saya menghadiri Kursus Kefahaman Islam Tahunan 5 hari anjuran Al-Arqam di Sungai Pencala berisi ceramah, zikir, expo jualan buku dan produk Al-Arqam, makan berjemaah di dalam dulang dan sebagainya. Dalam keadaan masyarakat umum Malaysia ketika itu yang masih asing dengan pakaian dan suasana beramai secara Islam, berada bersama sekitar 5000 peserta muslimin yang memakai jubah dan serban dan muslimat yang memakai jubah dan purdah, begitu juga anak-anak kecil memberikan kesan yang besar ke dalam jiwa saya dan ransangan yang luar biasa untuk berjuang demi agama yang tercinta.
Penglibatan saya di dalam harakah Islam lain yang merujuk fikrah Islam yang sahih bermula di tingkatan 4 di MRSM di tahun 1981, dan pemergian saya ke Australia menyambung pelajaran dan bersama dengan gerakan Islam di sana menyebabkan saya tidak dapat mengikuti perkembangan Al-Arqam dari dekat sehinggalah kedengaran timbul berbagai kekeliruan di dalam jemaah Al-Arqam seperti isu aqidah, isu Imam Mahdi yang didakwa Ustaz Ashari adalah Syeikh Suhaimi, guru Tarikat Muhammadiah yang didakwa masih hidup dan sebagainya. Pada tahun 1993, Jemaah Al-Arqam bertembung dengan Pusat Islam (kini JAKIM) dan Kerajaan Malaysia yang berakhir dengan pengharaman dan perpecahan pucuk pimpinan dan ahli-ahlinya. Semoga Allah menunjuki kita JalanNya yang lurus dan membalas mereka yang ikhlas berjuang diJalanNya dengan sebaik-baik balasan.



in the name of Allah the most gracious the most merciful
tak sangka us pn pernah join arqam dulu, ana teringat kisah ana dulu masa mula2 kenal arqam.. dapat bersama dalam gerakan dakwah walaupun masih muda ketika itu berumur 13 tahun tak silap ana kami ramai2 pergi ke tempat tumpuan orang ramai antaranya kedai kopi, simpang jalan tempat orang berkumpul, belanja orang makan, masjid dll.
masa tu cukup seronok dengan pengalaman baru dan sangat berlainan berbanding dengan ceramah di masjid mengajak orang berbuat kebaikan tapi dengan arqam dakwah itu praktikal.
tapi alhamdulillah seminggu ana join arqam lepas tu ana tengok dalam tv kisah abuya disoal oleh tak silap ana masa tu Dr. Harun Din yang bersoal jawab dengannya dan maka istiharlah ajaran arqam terpesong
p/s: ana masih ingat lagi sepupu ana yang merupakan antara orang yang bergiat aktif dalam arqam ada satu kelebihan iaitu solat guna niat jer disebabkan makam dan darjatnya dalam dakwah bergitu tinggi…