20,000 DVD lucah dirampas

Polis rampas 200,000 DVD bernilai RM2 juta

29/07/2009 3:09am

 

Oleh TAN MING WAI tan.mingwai@utusan.com.my

 

SUBANG JAYA 29 Julai – Polis mencatat kejayaan besar menumpaskan sindiket pengedaran cakera video digital (DVD) haram dengan merampas 200,000 keping DVD bernilai kira-kira RM2 juta dari sebuah gudang di Taman Sri Serdang di sini malam tadi.

Kejayaan itu merupakan antara rampasan DVD terbesar di Selangor sejak awal tahun ini.

Premis terbabit yang sebelum ini merupakan bengkel membaiki kereta, dipercayai dijadikan pusat pengedaran DVD haram sebelum stok DVD diedar ke kawasan lain untuk dijual.

Sindiket yang ditumpaskan itu mungkin memiliki rangkaian luas di seluruh Semenanjung berdasarkan jumlah stok DVD yang disimpan di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial membuat serbuan ke atas gudang itu pada pukul 8.15 malam setelah menerima maklumat dari orang ramai.

“Dalam serbuan tersebut, polis menemui kira-kira 200,000 keping DVD pelbagai tajuk termasuk 20,000 daripadanya DVD lucah.

“Ketika serbuan, seramai 15 pekerja didapati tengah melakukan kerja-kerja membungkus DVD, jadi kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini malam ini.

- Utusan

Tinggalkan jawapan