Hamidah akhiri zaman bujang
SELEPAS memecah tradisi menjadi pembaca berita wanita pertama mengenakan tudung bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam tempoh 62 tahun, Hamidah Hamzah memberi kejutan manis kedua apabila mengakui sedang membilang hari untuk menamatkan zaman bujangnya.
Dalam pengakuan secara eksklusif bersama Mega, pembaca berita Dunia Hari Ini di RTM1 itu, memberitahu telah memilih 27 Julai ini sebagai tarikh bersejarah untuk memasuki fasa baru sebagai seorang wanita bergelar isteri.
Niat suci itu secara tidak langsung merungkai penantian keluarga dan ramai peminat yang mahu melihat wanita kesayangan mereka ini melangkah ke jenjang pelamin.
Justeru, tidak hairanlah sepanjang sesi fotografi dijalankan, wajahnya yang ditata rias jurusolek Zana, tampak berseri-seri di sebalik tudung koleksi Anggerik Avenue yang digayakan.
“Kehidupan setiap insan berbeza-beza. Seperti orang lain, saya juga mempunyai impian dan harapan untuk menjadi seseorang yang lebih baik daripada hari semalam,” ujarnya penuh makna.
Sebagai individu yang pernah mengecapi hidup mewah dan percikan glamor, tiada lagi apa yang diharapkan dalam kehidupan selain kebahagiaan berkeluarga yang berkekalan.
Dalam usianya yang mencecah 43 tahun, Hamidah tidak pernah menyesal kerana bertemu jodoh agak lewat. Beliau teguh dengan pegangan bahawa jodoh pertemuan, ajal maut itu ditentukan Allah Taala.
Enggan mendedahkan siapa jejaka bertuah berjaya menambat hatinya, Hamidah bagaimanapun mengakui sikap memahami, penyayang dan mengambil berat yang dimiliki membuatkan hatinya terbuka untuk melangkah ke alam baru.
Pemegang ijazah pengurusan perniagaan dari Universiti of Toledo, Ohio, Amerika Syarikat ini, mula dikenali selepas terpilih menjadi antara peserta akhir Pengacara Jemputan Nona anjuran salah sebuah stesen televisyen swasta pada tahun 1992.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai remiser dilamar RTM sebagai pengacara sambilan. Kemuncak karier bermula apabila mengambil keputusan menumpukan sepenuh perhatian di stesen tersebut sekitar tahun 90-an.
Selepas sepuluh tahun mengacarakan Selamat Pagi Malaysia (SPM), beliau meraih peluang membaca berita sampai ke tahap berita dunia _ yang beliau sifatkan sebagai kemuncak kariernya.
Memiliki segala-galanya kerjaya, wang ringgit dan harta, namun wanita ini masih mengakui berasa ada kekurangan dalam diri.
Namun, sejak tampil dengan imej baru dengan mengenakan tudung ketika menyampaikan berita sejak hampir tiga bulan lalu, anak kelahiran Pontian, Johor, ini mengakui kehidupan yang dilalui kini lebih tentang dan itulah kepuasan sebenar yang dicari selama ini.
Kemunculannya dengan bertudung ketika membaca berita Dunia Hari ini, bukan sahaja menjadikan beliau satu-satu pembaca berita wanita pertama yang dibenarkan berbuat demikian sekali gus memecah tradisi selama 62 tahun dalam sejarah penyiaran RTM.
Malah, reaksi penonton terutama para peminat yang menyambut positif terhadap perubahan itu lebih menyuntik semangatnya untuk terus mengekalkan imej tersebut.
‘‘Saya benar-benar bersyukur dengan keizinan yang Allah Taala berikan untuk saya.
“Apa tidaknya, selepas tiga tahun saya memendam hasrat murni itu, akhirnya termakbul juga,’’ ujarnya.
Bukan untuk suka-suka
Akui Hamidah, perubahan yang dilakukan bukan sekadar suka-suka atau mahu mengikut trend, sebaliknya secara jujur mengakui bertudung dengan niat mahu menutup aurat kerana Allah Taala.
Beliau yang telah bertudung sejak tiga tahun lalu, mengakui kini berasa lega kerana tidak lagi perlu berpura-pura.
‘‘Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi RTM, khususnya Menteri Penerangan Datuk Shabery Chek kerana memberi laluan untuk wanita bertudung tampil menyampai berita di RTM.
‘‘Sebagai individu yang sudah sekian lama menanti berita ini, sayalah orang yang paling gembira ketika itu,’’ ceritanya.
Namun, bukan mudah mendapatkan gaya sesuai, selain perlu ada identiti sendiri iaitu menggunakan dua nada warna, pemakaiannya juga mestilah kemas, bersih, ringkas dan anggun.
Biarpun memang mengenakan tudung ketika di luar, mengayakan tudung untuk siaran televisyen agak berbeza.
“Saya seorang yang serba-serbi sederhana, termasuklah jenis pakaian dan tudung yang digayakan,” katanya mengakhiri pertemuan.



oh alhmdulillah.. sy pn selalu jg tgk berita dunia tue.. bru perasan tmpoh ari dia pki cincin.. selamt pngantin baru…
tahniah hamidah!!
muga bahagia selalu..