Nordin Mat Top terus diburu polis

Kerajaan bantu bawa pulang jenazah Noordin Mat Top

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Kerajaan akan membantu keluarga Noordin Mat Top membawa pulang jenazah pengganas paling dikehendaki di Indonesia itu ke tanah air setelah selesai segala siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan setakat ini tidak dapat menentukan bila tarikh jenazah itu akan dibawa pulang memandangkan pihak berkuasa republik berkenaan masih perlu melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya secara mutlak.

”Kita akan berbincang dengan pihak keluarga untuk mengenal pasti siapa yang akan menerima dan menguruskan jenazah termasuk pergi ke Indonesia jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Bersama Petugas Ops Sikap di Plaza Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Indonesia, Jen. Bambang Hendarso Danuri yang mengesahkan Noordin mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah awal pagi hari ini.

Pengesahan bahawa mayat itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.

Menurut Hishammuddin, keutamaan lain kerajaan pada masa ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga Noordin yang sudah pasti terjejas dengan kematiannya.

Dalam pada itu, katanya, beliau merasa sedih kerana kerajaan Malaysia tidak dapat membawa Noordin untuk menjalani proses pemulihan bagi mengubah sikapnya seperti yang telah dilakukan terhadap ahli-ahli Jemaah Islamiah (JI) dan militan lain sebelum ini.

”Adalah menyedihkan apabila akhirnya dia menamatkan hidup dengan keadaan seperti ini dan perasaan ini bukan bererti kita mengiakan perkara salah yang dilakukannya sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa,” katanya.

Mengenai kejayaan pihak berkuasa Indonesia mengesahkan mayat pengganas itu dengan pantas, beliau berkata, ia berdasarkan cap jari yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pihak perisikan republik itu sebelum ini.

”Kerjasama seperti ini perlu terus diutamakan kerana ancaman militan yang merentasi sempadan boleh menjejaskan kestabilan negara dan keselamatan rakyat yang tidak berdosa,” katanya.

Noordin letupkan diri

SOLO, Indonesia 17 Sept. – Pengganas No. 1 Asia, Noordin Mat Top, 41, terbunuh dalam satu serbuan polis ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Solo, Jawa Tengah, pagi ini.

Noordin dilaporkan terbunuh bersama empat lagi pengganas apabila pasukan keselamatan menggempur sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Noordin dan konco-konconya, setelah membuat intipan dan mengepung kawasan itu sejak malam tadi.

Noordin yang berasal dari Malaysia, dipercayai terbunuh setelah meletupkan dirinya menyebabkan mayat hancur dan kepalanya terputus.

Sebelum itu, letupan kuat dan tembakan senjata api kedengaran apabila polis menyerbu rumah tersebut pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan selepas sembilan jam mengepung rumah itu di pinggir bandar ini, yang selama ini dijadikan kubu oleh kumpulan militan JI itu.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di Asia itu terbunuh dalam serbuan polis tersebut.

Ketika ditanya sama ada benar Noordin telah terbunuh dalam serbuan itu, Bambang Danuri berkata: “Ya, Ya, Ya, semua maklumat (tentang kematian Noordin) berada di ibu pejabat polis, ”

Terdahulu, Bambang Danuri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi memaklumkan mengenai serbuan tersebut.

Bulan lalu, media tempatan yang memetik sumber polis turut melaporkan kematian Noordin selepas polis melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah, juga di Jawa Tengah, namun selepas ujian forensik dijalankan beberapa hari kemudian ia terbukti salah.

Keluarga Noordin Mat Top reda

 

Oleh HANIZA HASSAN dan MUHAMMAD ZIKRI
pengarang@utusan.com.my

 

JOHOR BAHRU 9 Ogos – Isteri kepada Noordin Mat Top, pengganas paling dikehendaki di Indonesia yang dikatakan ditembak mati di Kampung Peji, Jawa Tengah semalam, reda jika suaminya itu terbunuh dalam serangan tersebut.

Walaupun sudah lapan tahun tidak bertemu dengan Noordin, isterinya itu yang enggan namanya disiarkan atas permintaan keluarga, menerima segala ketentuan yang telah ditetapkan ke atas suaminya.

Seorang ahli keluarga terdekat Noordin berkata, isteri Noordin menyatakan demikian apabila mendapat berita tentang kematian suaminya itu melalui media massa.

“Isterinya hanya berserah kepada Allah dan menerima berita itu dengan reda andai ajal suaminya ditakdirkan begitu,” katanya yang enggan disiarkan namanya ketika ditemui di sini hari ini.

Namun, ketika kunjungan Utusan Malaysia ke rumah berkenaan di Ulu Tiram hari ini, isteri Noordin tiada di rumah.

Difahamkan, Noordin meninggalkan isterinya itu yang ‘digantung tidak bertali’ serta tiga orang anak di negeri ini.

Media hari ini melaporkan, Noordin dipercayai terbunuh dalam serangan di Kampung Peji, Temanggung, Jawa Tengah semalam.

Noordin dikatakan berkubu di dalam bilik air setelah terkepung selama 17 jam sejak kelmarin, dipercayai telah kehabisan peluru selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Indonesia.

Dia dipercayai bertindak nekad melilitkan bom pada badannya dan memaksa polis meletupkan bom bagi membunuh pengganas itu.

Sementara itu, ahli keluarga terdekat berkenaan berkata, dia dan ahli keluarga Noordin yang lain turut reda dengan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, dia dan ahli keluarganya yang lain sudah terputus hubungan dengan Noordin sejak lapan tahun lalu.

“Selepas dia meninggalkan kami sekeluarga, kami langsung tidak mendengar sebarang khabar berita daripadanya.

“Kami hanya dimaklumkan tentang kejadian itu melalui televisyen dan makluman daripada pihak polis,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, menurut salah seorang jiran Noordin di Pontian yang hanya dikenali sebagai Kamariah, abang kepada Noordin iaitu Arif kini berada di sebuah hospital di Kuala Lumpur bagi mendapat rawatan sakit jantungnya sejak sebulan lalu.

Katanya, dia tidak mengenali secara rapat dengan Noordin kerana Noordin telah memasuki sebuah sekolah berasrama penuh selepas tamat darjah enam di Johor Bahru.

Bagaimanapun, katanya, dia masih boleh mengenali wajah lelaki itu, walaupun Noordin sudah lama tidak pulang ke rumahnya sejak menjadi buruan pihak berkuasa.

“Pernah pada tahun 2003, sepasukan polis datang mencari Noordin di rumahnya selepas kejadian pengeboman hotel di Jakarta, selepas itu tiada lagi pihak berkuasa datang,” ujar Kamariah.

Tambah Kamariah, beberapa media mula datang ke rumah Noordin pada petang semalam, selepas mengetahui dia terbunuh dalam kejadian di Jawa Tengah itu.

Namun, mereka hanya dapat mengambil gambar rumah keluarga Noordin serta menemu bual beberapa jiran yang semuanya memberitahu sudah lama tidak menemui Noordin.

Usaha buru Nordin Mat Top diperhebat

Anggota polis menampal poster Nordin Mat Top yang menjadi buruan pihak berkuasa kerana melancarkan beberapa siri serangan bom di Indonesia di sekitar bandar Yogyakarta. – AP

    

JAKARTA 24 Julai – Seminggu selepas insiden pengeboman berani mati di Jakarta yang meragut sembilan nyawa dan menandakan kembalinya serangan pengganas di Indonesia, pihak polis dilihat masih belum hampir ke arah matlamat menghapuskan rangkaian pengganas yang disyaki bertanggungjawab.

Polis menegaskan yang mereka telah melipatgandakan usaha untuk memburu individu yang disyaki mendalangi serangan ke- atas Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton, Nordin Mat Top.

Seorang lelaki yang mungkin menjadi pengebom berani mati dan telah dilatih oleh kumpulan Nordin telah ditahan semalam di daerah Cilacap, Jawa Tengah, yang menjadi tumpuan penyiasatan.

Seorang wanita dipercayai isteri ketiga Nordin juga telah ditahan awal minggu ini, namun peguamnya menyatakan bahawa wanita itu percaya nama suaminya adalah Abdul Halim. Bapa wanita itu juga sedang dicari polis.

Ketua Polis Kebangsaan, Bambang Hendarso Danuri memberitahu pemberita selepas solat Jumaat hari ini, pihaknya semakin hampir kepada penangkapan Nordin dan beberapa suspek telah ditahan tahun ini sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Tidak wujud lubang tembus. Ini adalah satu perlumbaan antara kami dan kumpulan itu,” katanya, merujuk kepada rangkaian Nordin yang menggunakan pelbagai nama termasuk Brigade Firaqul Maut.

Dia turut menggunakan nama Syaifudin Zuhri atau Sabit yang telah ditahan di Cilacap pada 21 Jun lalu.

Syaifudin adalah bapa saudara kepada mertua Nordin yang memberi latihan dan nasihat kepada kumpulan kecil militan yang ditahan di Palembang, Sumatera, pada tahun lalu, menurut laporan yang disiarkan hari ini oleh badan pemikir Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG).

Polis turut memburu mertua Nordin yang menghilangkan diri selepas bahan membuat bom ditemui tertanam di belakang rumahnya di Cilacap, beberapa hari sebelum insiden serangan.

“Nordin kemungkinan besar telah menetap di Cilacap sekurang-kurangnya sejak 2006 atau lebih awal daripada itu dengan perlindungan daripada keluarga-keluarga yang ada kaitan dengan JI,” demikian menurut laporan ICG.

Laporan ICG menyatakan, pengebom telah menunjukkan kecekapan untuk melepasi kawalan keselamatan hotel yang ketat sama seperti di lapangan terbang dan mensasarkan serangan ke atas pegawai atasan asing dan ahli perniagaan Indonesia di Marriott. – AFP

Al-Qaeda akui letup 2 hotel

< Komen Ustaz Halim : Demi mencapai pelan strategi masing-masing, dunia sengaja membuat pertuduhan tanpa bukti kukuh. Dalam isu yang besar seperti pengeboman ini, dan siri-siri pengeboman sebelumnya, tuduhan ditujukan kepada sesebuah badan hanya berdasarkan laman web atau internet rambang yang tidak tahu siapa penulisnya, Mat Top ke, John ke, Tan Soo Ling ke, Arumugam ke dsb. Dimanakah kewibawaan akhbar-akhbar yang turut bersubahat menyiarkan tohmahan tanpa asas kukuh seperti ini. Begitu juga, apa hak suatu laman web / email untuk mendakwa ia melaku operasi seperti ini. Ini diaspek dakwaan atau tohmahan.

Adapun diaspek operasi seperti ini pula, adakah ia jalan Islam ? >


JAKARTA 29 Julai – Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai al-Qaeda Organisation in Indonesia atau Tandzim al-Qaeda Indonesia mengaku bertanggungjawab meletupkan bom di Hotel-hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

Pengakuan itu disiarkan di laman web www.mediaislam-bushro.blogspot.com pada Ahad lalu tetapi hanya dikesan hari ini dan dilaporkan dalam media Indonesia.

Mesej dalam bahasa Indonesia dan Arab itu ditandatangani oleh ‘Abu Muawwidz Nur Din bin Muhammad Top’ dan memuji dua ’saudara mujahidin’ yang meletupkan diri di kedua-dua hotel mewah tersebut di kawasan Mega Kuningan, tengah Jakarta.

Kenyataan itu menggambarkan serangan tersebut sebagai ‘operasi syahid untuk jihad yang dilancarkan dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap tindakan Amerika serta ejen-ejennya ke atas umat Islam dan mujahidin di seluruh pelosok dunia’.

Mesej tersebut turut menyifatkan mangsa serangan sebagai ‘konco-konco Amerika’ dan ‘pencuri dan perompak kekayaan umat Islam di negara ini’.

Mesej itu juga mahu serangan itu dijadikan pengajaran kepada umat Islam mengenai perkara kesetiaan dan permusuhan, khususnya dengan kedatangan kelab bola sepak Manchester United yang menginap di hotel tersebut.

”Para pemain itu terdiri daripada para salibis. Maka tidak pantas umat Islam memberi kesetiaan dan penghormatannya kepada musuh-musuh Allah ini,” kata blog itu.

Jurucakap polis Indonesia, Sulistyo Ishak berkata, penyiasat masih mengkaji sama ada pengakuan tersebut sahih atau palsu.

“Kami akan mengesahkannya dengan pasukan penyiasat. Terpulang kepada mereka untuk memastikan sama ada serangan itu benar-benar dilancarkan oleh kumpulan ini,” kata Sulistyo.

Penganalisis keganasan di Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), Sidney Jones berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada dakwaan itu benar atau tidak, tetapi menjelaskan blog ’sering digunakan oleh beberapa kumpulan militan’.

Dua pengebom berani mati membunuh diri dan tujuh orang lain termasuk enam rakyat asing dalam dua letupan hampir serentak di hotel-hotel yang terletak bersebelahan itu.

Polis berkata, serangan itu menunjukkan tanda-tanda angkara ketua militan rakyat Malaysia, Nordin Mat Top.

Jones menganggap sebagai suatu yang menarik bahawa kali ini Nordin, jika benar dia yang membuat pengakuan itu, hanya mendakwa dia mengetuai al-Qaeda bagi Indonesia dan bukan seluruh Nusantara.

Nordin pernah berkata, dia mengetuai kumpulan yang dikenali sebagai al-Qaeda untuk Nusantara.

Dia disyaki mendalangi serangan bom di Indonesia pada 2003, 2004 dan 2005 yang membunuh sejumlah 42 orang dan mencederakan puluhan yang lain. – AFP

Isteri kenal pasti Nordin Mat Top

JAKARTA 28 Julai – Seorang wanita yang ditahan oleh polis Indonesia kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan serangan bom di dua hotel mewah di Jakarta pada 17 Julai lalu, mengenal pasti suaminya sebagai suspek pengganas, Nordin Mat Top.

Peguam, Asludin Hatjani berkata, Arina Rahman, 25, telah ditahan sebagai saksi bersama dengan ibunya, Dwi Astuti dan dua orang anaknya berumur satu dan dua tahun selepas insiden pengeboman dua hotel di sini, yang membunuh sembilan orang termasuk dua pengebom berani mati.

“Polis menunjukkan gambar Nordin Mat Top dan dia memberitahu ia sama seperti suaminya, Abdul Halim.

“Menurut wanita itu lagi, kali terakhir dia melihat suaminya itu ialah pada Mac lalu,” kata Asludin kepada AFP.

Polis berharap suri rumah dari pedalaman Jawa itu akan memberikan maklumat penting berkenaan tabiat kebiasaan dan pergerakan suaminya iaitu pengganas paling dikehendaki di Asia kerana terlibat dengan pengeboman di Indonesia.

Polis percaya kumpulan Nordin terlibat dengan pengeboman Hotel JW Marriot dan Hotel Ritz-Carlton di Jakarta awal bulan ini, walaupun tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Sebelum ini, Nordin didapati menjadi dalang dalam serangan bom di kali pertama di Hotel JW Marriott pada 2003, kedutaan Australia pada 2004 dan restoran di Bali pada 2005.

Kesemua serangan bom itu menyebabkan 42 orang terbunuh, kebanyakannya rakyat Indonesia dan beratus-ratus lagi cedera serta mencetuskan usaha pemburuan terbesar dalam sejarah Indonesia.

Dia juga dipercayai mengetuai kumpulan serpihan Jemaah Islamiah (JI) yang bertanggungjawab dalam serangan bom di Bali pada 2002 yang membunuh lebih 200 orang warga asing. – AFP

3 Respons

  1. penganas , sesuai lah mati awal,menyusahkan orang ja

  2. Nordin tak mati lagi! Ini semua retorik polis Indonesia nak tutup malu dan sengaja buat fitnah. Yang mati tu bukan Nordin. Nordin masih hidup dan sedang mengabdi diri didalam gua diatas gunung yang dirahsiakan. Kami sahabat-sahabat dalam Jemaah Islamiah tahu kisahnya.

Tinggalkan jawapan