Sembunyi mayat bayi bawah katil

SUNGAI PETANI 14 Mei – Sungguh kejam. Gejala buang bayi kini kembali berulang. Kali ini, mayat bayi yang dilahirkan disembunyikan di bawah katil.

Seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai mengandung anak luar nikah sanggup menyembunyikan bayi lelakinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di bawah katil di rumahnya, sebelum ditemui polis malam tadi.

Bayi lelaki yang cukup sifat seberat dua kilogram itu dipercayai dilahirkan pagi Sabtu lalu dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau, dekat sini.

Wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini itu kemudian meninggalkan mayat bayi tersebut di bawah katil tanpa pengetahuan sesiapa.

Dia kemudian meminta bantuan saudaranya menghantar ke hospital kerana mendakwa ’sakit perut’.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian itu hanya disedari oleh pegawai perubatan Hospital Sik yang merawatnya dan mengesan tali pusat bayi masih tertinggal dalam rahim wanita berkenaan.

Menurutnya, wanita itu dikatakan tidak mahu memaklumkan kejadian tersebut kerana khuatir dimarahi oleh ahli keluarganya.

“Curiga dengan tindakan wanita itu, pegawai perubatan hospital kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

“Polis yang memeriksa rumah wanita itu menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat dibungkus dengan tuala dan diletakkan bawah katil,” katanya.

Kejadian buang bayi sebelum ini berlaku di Perak pada Isnin lalu apabila mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati di Masjid Simpang Lima, Kerian bersama wang tunai RM150 untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu, Hashim memberitahu, ketika ditemui, bayi tersebut dalam keadaan hampir reput dan berbau busuk.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat manakala wanita berkenaan ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut kerana mengalami pendarahan dalaman.

Satu Respons

  1. sesiapa yg membaca komentar saya ni…. ingin sekali saya menyeru jangan lah di buang anak yg dikandung kan itu….. sekiranya berada di jalan yg buntu….. carilah orang yg ingin sekali punyai anak tapi……. tak mampu miliki nya…..

    atau kalau benar rasa ingin buang bayi itu sungguh tebal… carilah saya…

Tinggalkan jawapan