Riwayat Us Abu Bakar Al-Baqir

 

 

Negeri bumi timah ini sememangnya tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama yang berketrampilan. Malahan kewibawaan mereka menjangkau ke seantero Nusantara sekaligus melewati ke seluruh dunia Melayu. Nama-nama mereka begitu harum di langit zaman dan meniti setiap bibir pengikutnya sejak zaman berzaman. Begitu jualah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang amat sinonim dengan Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti Islam yang pertama tertubuh di Tanah Melayu. Menurut Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dalam Mastika, November 1973, nama Hizbul Muslimin itu telah dipinjam daripada pertubuhan politik di Mesir yang dalam bahasa Inggeris disebut The Muslim Brotherhood.

Penubuhan Hamim dirangka oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersma-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmi, alim ulama serta cendikiawan Islam di Maahad El Ehya’ Al Shariff (MAEAS), Gunung Semanggol Perak pada 14 Mei 1948 yang telah dihadiri seramai 5,000 orang. (Dr. Burhanuddin sebenarnya pernah berkhidmat di MAEAS mengajar ilmu politik Islam).

 

Sejarah mencatatkan, Hamim mendapat sambutan hebat daripada golongan kebangsaan berhaluan kiri yang terdiri guru-guru dan pelajar sekolah pondok seluruh tanah air. Namun begitu sejarah Hamim sebenarnya tidak panjang seperti MAEAS.

 

Justeru itu, Ustaz Abu Bakar Baqir bukan sahaja sinonim dengan Hamim tetapi lebih tertonjol bersama kecermerlangan MAEAS. Beliau bersama pemimpin Semanggol, Haji Abdul Rahman Mahmud telah mendirikan MAEAS pada tahun 1934 di atas tanah milik bapanya bagi menggantikan pondok Al Rahmaniah yang telah uzur.

 

Pondok yang terkenal itu menawarkan lima mata pelajaran penting seperti Ilmu teras (tauhid, tassawuf, fiqh, tafsir, hadis): Ilmu alat (nahu arab, sarf, balaghah); Ilmu pelengkap (sejarah Islam, logika, hisab, ilmu alam, al-tibb, bahasa Inggeris, kesusasteraan Melayu, tatanegara, sejarah umum, pidato umum, seni-khat) dan ilmu pertukangan yang diajar untuk pelajar putera sahaja.

 

MAEAS ialah sebuah sekolah agama rakyat yang cukup berjasa. Ia melahirkan ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Asri Muda, bekas Menteri Besar Kelantan. Pengasasnya pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikirullah. Kisah hidupnya tidak banyak ditulis orang. Namun begitu sumber yang dikumpulkan oleh Nabir Haji Abdullah dan risalah benar susunan Muhammad Asri (terbitan jamaah Pimpinan Umum Hizbul Muslimin) ada menyatakan bantahan terhadap penangkapan Ustaz Abu Bakar Baqir sekitar tempoh 1948-1952. Latar belakang beliau dimuatkan di dalam tulisan tersebut.

 

 

 

Berasal

Susur-galurnya berasal dari daerah Kendal Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke 19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor dan kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.

 

Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya; Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafsah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen.

 

Ustaz Abu Bakar Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardu ain dan Al-Quran. Kemudian, dia menuntut di Madrasah Al Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame’ Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Makkah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919-1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, Al Quran dan hadis serta tatabahasa Arab.

 

Kepala Telaah

 

Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah, (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, pelantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakanya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.

 

Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan faham politik yang lain.

 

Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar mengembling tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

 

Antara yang berhubung rapat dengannya; Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura)’ Ahmad Mahir (Kelantan); Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar); Ismail Hamzah (kemudian Mufti-Kuala Kangsar); Haji Arshad (Bagan Datoh); Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (Bekas Menteri Besar Johor 1959-1967)

 

Mengikut jejak

 

Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918-1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula.

 

Di Madrasah Idrisiah dia sempat menuntut selama tiga tahun (1931-1933). Dia cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, dia ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM 30.00 sebulan.

 

Pada tahun 1934 Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol.Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahiranya, pada tahun 1935 dia berkahwian dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh anak.

 

Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkalibar, Pelantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.

 

Dalam persidangan di MAEAS pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu.

 

Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.

 

Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al Ehya Al Syarif sehingga akhir hayatnya (didaftarkan dibawah Undang-Undang Kompeni dan Syarikat pada 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.

 

Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil-alih oleh Tenaga Nasional Berhad.

 

Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusaha dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan,

 

Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr Burhanuddin. Ini dapat dilihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlangsung pada 22-24 Mac 1947, sekaligus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPERMAS) dan MATA.

 

Seperti Dr Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, Hamim turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara.

 

Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.

 

Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia.

 

Sesungguhnya, “ulama dari gunung” ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun berpulang ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol – Al Fatihah buat Allahyarham oleh Zabidin Hj Ismail

2 Respons

  1. salam,,,syukran di atas perkongsian yang menarik ini…..semoga Allah memberkati anda dan merahmati ulama2 dan pejuang2 melayu kita yang terdahulu.

  2. makasih udah menambah wawasan

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 286 other followers

%d bloggers like this: