Kenapa Eja “Muslimin”..kenapa”Muslimun”

Walaupun ketika di MRSM Kuantan dari tahun 1978 hingga 1982 dulu tidak ada pelajaran Bahasa Arab, tetapi kerana minat terhadap gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir apatah lagi Bahasa Arab merupakan bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah saw sendiri, maka minat untuk mendalami Bahasa Arab begitu kuat. Suatu hari ketika di Tingkatan 4, di tahun 1981, saya bertanya kepada seorang ustaz kami (lepasan Al-Azhar, Mesir), kenapa kekadang bunyi “Ikhwan Muslimin”, kekadang bunyi “Ikhwan Muslimun” namun seingat saya, dia tidak memberikan jawapannya. Hari ini kekadang terfikir juga mungkin jika ustaz beri jawapan pada hari tu pun bukannya saya faham pun!

Tujuh tahun selepasnya, setelah tamat pengajian peringkat ijazah bidang kejuruteraan di Australia pada 1988 dan mengaji di Matrikulasi Al-Azhar di Madrasah An-Nahdhah, Bukit Besar, Kedah, akhirnya persoalan itu terjawab. Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya ketika itu. “Muslimin” kerana mansub atau majrur atas sebab-sebabnya. “Muslimun” kerana marfu’ atas sebab-sebabnya. Keseronokan dan syukur bukan sekadar kerana itu sahaja, bahkan kepuasan dan kefahaman semakin bertambah dari hari ke sehari apabila boleh memahami bahasa dan makna ketika membaca dan mendengar ayat-ayat Allah swt dan hadis-hadis RasulNya.

Pada tahun 1988, semasa baru belajar Bahasa Arab di Matrikulasi Al-Azhar di atas, saya pergi ke satu persidangan ulamak di Kuala Lumpur sebagai pemerhati untuk mendengar ceramah dan melihat pameran yang diadakan di sana. Dalam satu sessi, seorang peserta menyebut ayat Al-Quran dengan baris yang salah berbunyi “Innama yash syallaHUU min ibadihil ulamak” lalu ditegur oleh para ulamak yang lain dengan sebutan “Innama yash syallaHAA..”. Sebutan peserta tadi dan teguran hadirin terhadap beliau berlaku berulangkali. Bukan HUU tapi HAA. Bukan HUU tapi HAA. Ketika itu saya faham nahu bahasanya. Jika sebut HUU terjemahnya “Hanyasanya Allah takut dari hamba-hambaNya yang ulamak”, tapi sepatutnya HAA yang terjemahannya “Hanyasanya yang takut kepada Allah adalah hamba-hambaNya yang ulamak”. Itu adalah diantara saat yang paling bahagia juga buat diri saya yang mula mendalami Bahasa Arab dan Islam. HUU kerana marfu’ dan HAA kerana mansub atau majrur.

Pulang dari persidangan tersebut dari Kuala Lumpur ke Bukit Besar, Kedah, hati saya gembira dan semakin membara untuk mendalami Agama yang tercinta ini melalui Bahasa Arab. Peperiksaan Akhir Matrikulasi Al-Azhar (sekarang STAM) makin dekat, semua soalannya dan jawapan yang ditulis mesti dalam Bahasa Arab untuk kesemua 21 kertas matapelajaran. Syukur kepada Allah jua yang banyak memberi kurniaNya kepada hamba ini. Walaupun baru beberapa bulan mula belajar Bahasa Arab, saya mendapat tempat kedua (92%) dari lebih kurang 100 calun di situ dan layak masuk ke Universiti Al-Azhar. Alhamdulillah.

Dakwah Kita Adalah Dakwah Cinta

Saya teringat tragedi sahabat saya Allayarham Baharudin yang lemas bersama 3 orang anaknya beberapa tahun lalu sekitar awal tahun 2000an. Kami pernah menuntut di Australia pada tahun 1980an dan bertemu dalam program-program nasional seAustralia.  Yang paling saya ingat ialah Summer Camp 1984 di Marion Mosque, Adelaide. Mereka sekeluarga berkelah di pantai Desaru, Johor, dimana Allayarham hendah menyelamatkan anaknya yang dibawa ke tengah laut oleh ombak sehingga dia sendiri hanyut. Rupanya di belakang beliau, ada anaknya juga yang ingin menolong bersama walaupun usianya kecil, bertarung dengan ombak besar yang tinggi lagi ganas, lupa kemampuan diri demi ayah dan adik beradik yang dicintai. Tragedi berakhir dengan kesemua 4 orang mereka lemas ditelan ombak.

Saya kagum dengan satu dari naluri manusia yang diciptakan Allah swt untuk manusia iaitu perasaan cinta atau sayang. Cinta ini boleh ke tahap seorang boleh melupai dirinya demi untuk apa atau siapa yang dicintainya. Demikian potensi cinta, ia boleh mencetuskan keajaiban-keajaiban yang tidak tergambar oleh manusia. Allah swt menciptakan musuh-musuh Agama dan segala bentuk kemampuan mereka merencana dan bertindak. Tetapi Allah juga mencipta Rasul-rasulNya dan para Mujaddid dan Duat seperti kita sehingga ke Hari Kiamat. Dia Yang Maha Berkuasa membekali dalam naluri kita potensi Cinta, agar kita bermatian berjuang melupai keselesaan diri, demi Dia, Rasul dan AgamaNya.

Oleh sebab itu, Cinta banyak diulang-ulangi di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. “Katakan (kepada mereka ya Muhammad) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah (perjuangan) aku, Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran:31). Rasul saw bersabda bermaksud, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ALlah dan RasulNya lebih dia kasihi dari selainya”.

Bagi pecinta-pecinta Islam yang hakiki, tiada yang lebih besar cara membuktikan di depan Allah akan cinta mereka ini selain bekerja keras untuk memenangkannya berdepan dengan musuh-musuhnya, melupai keselesaan diri di rumah atau di pejabat, atau perniagaan yang menggoda dengan peluang-peluang keuntungan yang banyak. Duat lebih rela mengorbankan jiwa, duit, masa dan nyawa demi mencapai cita-cita Islam yang telah dia fahami dari Seerah Rasulullah saw.

Oleh itu, satu hakikat penting ialah Dakwah kita ini menyeru kepada Cinta. Cinta Allah, Rasul dan balasan di Akhirat sebagai asas. Begitu juga Dakwah kita mengajar agar cinta kepada teman-teman seperjuangan dan masyarakat Islam disekeliling kita. Dari perasaan Iman dan Cinta ini kita menyeru manusia. Ke arah Cinta juga kita mendidik mereka.

Ya ALlah, kurniakan kami kecintaan kepadaMu, rasulMu dan kekasih-kekasihMu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan AgamaMu. Kasihkan kami kepada isteri, anak-anak dan keluarga kami. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin.

Sekian.