Kelab Wayang Gambar

Suasana semasa saya di Tingkatan 1-2 (1978-1979) di MRSM Kuantan dipenuhi dengan program-program hiburan di samping pembelajaran akademik biasa. Setiap kelas mesti membuat persiapan beberapa minggu dan mempersembahkan konsert 3 jam di dewan maktab pada Jumaat malam Sabtu. Hari Sabtu pelajar keluar membeli keperluan di bandar Kuantan atau berpelisiran dan pada malamnya semua ke dewan maktab sekali lagi untuk menonton wayang gambar. Beginilah suasana setiap hujung minggu di MRSM Kuantan pada lewat tahun-tahun 1970an. Dari seramai lebih kurang 300 orang pelajar wanita, hanya sekitar 10 orang memakai tudung.

Apabila Dakwah mula berputik di tahun 1980, mula arusnya menjana perubahan yang ketara dan ajaib. Seorang demi seorang pelajar wanita memakai tudung, bermula dari beberapa orang di tahun 1978 (saya di Tingkatan 1) hingga mencapai lebihan 200 orang diakhir tahun 1981, ketika saya di Tingkatan 4.

Surau menjadi tempat pelajar pada malam-malam hujung minggu untuk mendengar kuliah dan ceramah yang disampaikan oleh abang-abang seniors, sehingga akhirnya oleh kerana kurang mendapat sambutan, Kelab Wayang Gambar terpaksa ditutup. Selang beberapa bulan, Saudara Mustapa Dapat, Tingkatan 5, salah seorang pimpinan pelajar dalam Badan Perwakilan Pelajar bercadang untuk menghidupkan kembali Kelab tersebut dan mewajibkan semua pelajar menganggotainya dengan yuran sebanyak RM2.00 seorang. Yuran Wajib ini telah mendapat sokongan pihak Maktab tetapi mencetuskan kontroversi di kalangan pelajar yang telah mula menikmati kemanisan penghayatan Islam dalam diri mereka dan tidak lagi berminat dengan adegan-adegan meransang nafsu dari filem-filem yang sering dipertontonkan.

Ramai adik-adik yang datang bertanya saya samada boleh atau tidak membayar Yuran tersebut, adakah berdosa bersubahat dan sebagainya. Saya menjawab, “Jangan bayar” kerana setakat wayang yang pernah saya sendiri diajak menontonnya semasa di Tingkatan 1 kebanyakannya berunsur lucah dan kisah cinta yang menuju ke arah merosakkan akhlak para belia. Ramai pelajar yang menyahut seruan memboikot pembayaran Yuran Wajib RM2.00 ini.

Oleh sebab arahan membayar yuran RM2.00 ini tidak mendapat sambutan, suatu hari saya dipanggil oleh Mustapa Dapat ke bilik di asramanya. Di MRSM ketika itu, apabila seniors memanggil juniors ke bilik bermakna ragging. Semasa di Tingkatan 2 saya pernah dipanggil dan ditumbuk bertubi-tubi hingga rebah ke lantai. Kali ini saya di Tingkatan 4, dipanggil oleh pelajar Tingkatan 5 ke bilik. Berbagai-bagai andaian mula menghantui fikiran tapi saya gagahi dengan penuh keimanan pergi ke bilik yang ditetapkan. Di sana, Mustapa telah menunggu bersama beberapa pelajar Tingkatan 5 dan bertanya sebab saya tidak membenarkan pelajar-pelajar membayar Yuran Wajib tersebut. Saya sedar di keliling beliau terdapat pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang turut mendengar dan mungkin menilai apakah bentuk tindakan mereka selepas itu. Saya menjawab bahawa Islam tidak melarang menonton wayang, asalkan ianya memberi maklumat dan ilmu yang berguna seperti dokumentari ibadat Haji dan Umrah seperti yang pernah saya tonton suatu masa dahulu atau wayang-wayang yang seumpamanya. Tapi sekiranya wayang yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur lucah dan sebagainya, maka pelajar akan terjerumus dalam maksiat dan ketua Kelab Wayang Gambar lah yang akan menanggung dosa yang lebih berat selaku penganjur. Setelah mendengar penjelasan saya, saya pun dibenarkan beredar. Alhamdulillah saya tidak diapa-apakan.

Pagi Isnin berikutnya, seperti biasa, adalah hari Perhimpunan. Setelah Pengetua, Guru Bertugas menyampaikan ucapannya, saya tidak menyangka yang akan naik ke atas pentas dan berucap selepas itu adalah Saudara Mustapa Dapat sendiri. Dengan nada yang jelas dan terang, dia mengumumkan bahawa Kelab Wayang Gambar tidak jadi ditubuhkan. Saya masih ingat lagi ucapan beliau seterusnya, “Kerana saya tidak mahu menjadi ketua Kelab Maksiat!”. Kami bersyukur mendengar pengumuman beliau yang bukan sahaja boleh menjadi contoh kepada ratusan pelajar yang mendengar tetapi juga ia dibuat di Perhimpunan Resmi hari Isnin di atas pentas secara resmi. Hari-hari seterusnya Dakwah semakin mekar di MRSM Kuantan yang saya kasihi.

(Mustapa Dapat meninggal dunia beberapa tahun lalu semasa bertugas di Paris. Moga Allah merahmati beliau dan ditempatkan di Syurga yang kekal abadi. Amin).

2 Respons

  1. […] pelajar lelaki dan wanita MRSM Kuantan semakin ketara dan memuncak ketika itu (lihat artikel Kelab Wayang Gambar ). Dari beberapa orang pelajar wanita memakai tudung ketika aku di tingkatan 1 (1978), kepada […]

  2. masyaAllah, memang kebenaran itu akan muncul jua. tak dapat bayang betapa gembiranya perasaan masa tu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: