Hasan Al-Banna di Darul Ulum

 al-Banna pakaian Azhari

Taha Hussein lulus fakulti Bahasa Arab di Kaherah dengan cemerlang hingga ditawar menyambung peringkat tertinggi di Universiti Sorbonne di Paris. Malang selepas lama di Eropah, dia tamat dan kembali ke Mesir dengan fikiran Orientalis yang keliru terhadap Islam. Professor-professor di Mesir bukan tandingan ketokohannya dan ilmunya menyebabkan kekeliruan masyarakat Mesir terhadap Bahasa Arab, Al-Quran dan sejarah kesusateraannya. Akhirnya masyarakat meminta Hasan Al-Banna menyumbang memberikan kritikan terhadap tulisan-tulisan Taha Husein.
Hasan Al-Banna menolak kerana sibuk memberi tumpuan terhadap dakwahnya dan gerakan Ikhwan Muslimin, namun masyarakat mendesak juga. Oleh sebab desakan bertalu-talu, Hasan Al-Banna meminta naskhah tulisan Taha Husein. Teruskan membaca

Pergimu Meninggalkan Jasa Jariah

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas Abang Norhaminudin dan mengurniakan kesabaran kepada isteri, Cikgu Khuzaimi serta ahli keluarganya. Bagi mereka yang berjuang di jalanNya, bergembiralah dengan janji ALlah yang akan menempatkan para Duat bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin. Mereka adalah sebaik-baik teman di Akhirat nanti.

Disember 2006 yang lalu, Abang Amin menghembuskan nafasnya yang terakhir hanya beberapa bulan setelah mengetahui dia menghidap barah. Malang saya tidak dapat bersama penduduk di Bangi menunaikan solat jenazah dan mengebumikannya. Di hari yang sama, saya mengetuai rombongan Jemaah Haji bertolak untuk mendaftar diri di Kelana Jaya dan berlepas ke Tanah Suci dari KLIA. Lebih ralat, hasrat Abang Amin yang disampaikan kepada seorang teman, ketika beliau di NCI (Nilai Cancer Institute) untuk bertemu dengan saya tidak sempat saya tunaikan dek sibuk dengan urusan seharian dan tidak menyangka beliau akan pergi begitu cepat. Teruskan membaca

Kenapa Eja “Muslimin”..kenapa”Muslimun”

Walaupun ketika di MRSM Kuantan dari tahun 1978 hingga 1982 dulu tidak ada pelajaran Bahasa Arab, tetapi kerana minat terhadap gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir apatah lagi Bahasa Arab merupakan bahasa Al-Quran dan bahasa Rasulullah saw sendiri, maka minat untuk mendalami Bahasa Arab begitu kuat. Suatu hari ketika di Tingkatan 4, di tahun 1981, saya bertanya kepada seorang ustaz kami (lepasan Al-Azhar, Mesir), kenapa kekadang bunyi “Ikhwan Muslimin”, kekadang bunyi “Ikhwan Muslimun” namun seingat saya, dia tidak memberikan jawapannya. Hari ini kekadang terfikir juga mungkin jika ustaz beri jawapan pada hari tu pun bukannya saya faham pun!

Tujuh tahun selepasnya, setelah tamat pengajian peringkat ijazah bidang kejuruteraan di Australia pada 1988 dan mengaji di Matrikulasi Al-Azhar di Madrasah An-Nahdhah, Bukit Besar, Kedah, akhirnya persoalan itu terjawab. Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan saya ketika itu. “Muslimin” kerana mansub atau majrur atas sebab-sebabnya. “Muslimun” kerana marfu’ atas sebab-sebabnya. Keseronokan dan syukur bukan sekadar kerana itu sahaja, bahkan kepuasan dan kefahaman semakin bertambah dari hari ke sehari apabila boleh memahami bahasa dan makna ketika membaca dan mendengar ayat-ayat Allah swt dan hadis-hadis RasulNya.

Pada tahun 1988, semasa baru belajar Bahasa Arab di Matrikulasi Al-Azhar di atas, saya pergi ke satu persidangan ulamak di Kuala Lumpur sebagai pemerhati untuk mendengar ceramah dan melihat pameran yang diadakan di sana. Dalam satu sessi, seorang peserta menyebut ayat Al-Quran dengan baris yang salah berbunyi “Innama yash syallaHUU min ibadihil ulamak” lalu ditegur oleh para ulamak yang lain dengan sebutan “Innama yash syallaHAA..”. Sebutan peserta tadi dan teguran hadirin terhadap beliau berlaku berulangkali. Bukan HUU tapi HAA. Bukan HUU tapi HAA. Ketika itu saya faham nahu bahasanya. Jika sebut HUU terjemahnya “Hanyasanya Allah takut dari hamba-hambaNya yang ulamak”, tapi sepatutnya HAA yang terjemahannya “Hanyasanya yang takut kepada Allah adalah hamba-hambaNya yang ulamak”. Itu adalah diantara saat yang paling bahagia juga buat diri saya yang mula mendalami Bahasa Arab dan Islam. HUU kerana marfu’ dan HAA kerana mansub atau majrur.

Pulang dari persidangan tersebut dari Kuala Lumpur ke Bukit Besar, Kedah, hati saya gembira dan semakin membara untuk mendalami Agama yang tercinta ini melalui Bahasa Arab. Peperiksaan Akhir Matrikulasi Al-Azhar (sekarang STAM) makin dekat, semua soalannya dan jawapan yang ditulis mesti dalam Bahasa Arab untuk kesemua 21 kertas matapelajaran. Syukur kepada Allah jua yang banyak memberi kurniaNya kepada hamba ini. Walaupun baru beberapa bulan mula belajar Bahasa Arab, saya mendapat tempat kedua (92%) dari lebih kurang 100 calun di situ dan layak masuk ke Universiti Al-Azhar. Alhamdulillah.

Dakwah Kita Adalah Dakwah Cinta

Saya teringat tragedi sahabat saya Allayarham Baharudin yang lemas bersama 3 orang anaknya beberapa tahun lalu sekitar awal tahun 2000an. Kami pernah menuntut di Australia pada tahun 1980an dan bertemu dalam program-program nasional seAustralia.  Yang paling saya ingat ialah Summer Camp 1984 di Marion Mosque, Adelaide. Mereka sekeluarga berkelah di pantai Desaru, Johor, dimana Allayarham hendah menyelamatkan anaknya yang dibawa ke tengah laut oleh ombak sehingga dia sendiri hanyut. Rupanya di belakang beliau, ada anaknya juga yang ingin menolong bersama walaupun usianya kecil, bertarung dengan ombak besar yang tinggi lagi ganas, lupa kemampuan diri demi ayah dan adik beradik yang dicintai. Tragedi berakhir dengan kesemua 4 orang mereka lemas ditelan ombak.

Saya kagum dengan satu dari naluri manusia yang diciptakan Allah swt untuk manusia iaitu perasaan cinta atau sayang. Cinta ini boleh ke tahap seorang boleh melupai dirinya demi untuk apa atau siapa yang dicintainya. Demikian potensi cinta, ia boleh mencetuskan keajaiban-keajaiban yang tidak tergambar oleh manusia. Allah swt menciptakan musuh-musuh Agama dan segala bentuk kemampuan mereka merencana dan bertindak. Tetapi Allah juga mencipta Rasul-rasulNya dan para Mujaddid dan Duat seperti kita sehingga ke Hari Kiamat. Dia Yang Maha Berkuasa membekali dalam naluri kita potensi Cinta, agar kita bermatian berjuang melupai keselesaan diri, demi Dia, Rasul dan AgamaNya.

Oleh sebab itu, Cinta banyak diulang-ulangi di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. “Katakan (kepada mereka ya Muhammad) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah (perjuangan) aku, Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran:31). Rasul saw bersabda bermaksud, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ALlah dan RasulNya lebih dia kasihi dari selainya”.

Bagi pecinta-pecinta Islam yang hakiki, tiada yang lebih besar cara membuktikan di depan Allah akan cinta mereka ini selain bekerja keras untuk memenangkannya berdepan dengan musuh-musuhnya, melupai keselesaan diri di rumah atau di pejabat, atau perniagaan yang menggoda dengan peluang-peluang keuntungan yang banyak. Duat lebih rela mengorbankan jiwa, duit, masa dan nyawa demi mencapai cita-cita Islam yang telah dia fahami dari Seerah Rasulullah saw.

Oleh itu, satu hakikat penting ialah Dakwah kita ini menyeru kepada Cinta. Cinta Allah, Rasul dan balasan di Akhirat sebagai asas. Begitu juga Dakwah kita mengajar agar cinta kepada teman-teman seperjuangan dan masyarakat Islam disekeliling kita. Dari perasaan Iman dan Cinta ini kita menyeru manusia. Ke arah Cinta juga kita mendidik mereka.

Ya ALlah, kurniakan kami kecintaan kepadaMu, rasulMu dan kekasih-kekasihMu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan AgamaMu. Kasihkan kami kepada isteri, anak-anak dan keluarga kami. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin.

Sekian.

Niat Berkahwin .. Menjaga Keutuhan, Mengekal Azam

Saya mendirikan rumahtangga pada 27.7.1985 semasa menuntut di Australia. Ketika itu umur belum mencecah 20 tahun (lahir 6.11.1965). Sebagai mahasiswa tahun ke 2 di Fakulti Kejuruteraan, University of Queensland, Brisbane, berkahwin ketika belajar dalam usia masih muda pula menuntut satu keputusan yang besar, dalam kematangan yang tak seberapa. Isteri, Fariza Ibrahim, berasal dari Pulau Pinang adalah penuntut Tahun 1, Fakulti Sains di Queensland University of Technology, Brisbane tiada masalah dalam menerima pinangan yang dibuat melalui sepasang seniors masing-masing kebetulan yang menuntut di fakulti yang sama pula. Hanya sebulan selepas pinangan diterima, majlis Walimah dijayakan di Mount Gravatt Mosque, Nursery Road, Holland Park, Brisbane sebagai menyahut saranan Syeikh Sayyid Qandil dari Canberra dimana katanya orang-orang Kristian berkahwin di gereja, sedang ramai pasangan Islam berkahwin di rumah, padahal kita lebih awla (patut) berkahwin di rumah ibadat (masjid) dari mereka. Mungkin ia diantara perkahwinan paling murah kosnya yang pernah saya dengar, hanya AUD20 (~RM50) sebagai Mas Kahwin, sedang kekawan berlumba menghulur untuk belanja Walimah. Keluarga wanita pula tidak menyebut sebarang Wang Hantaran. Saya kira keberkatan rumahtangga yang terasa hingga ke hari ini adalah disebabkan minimanya Mas Kahwin, mudahnya urusan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Namun disana ada satu faktor lain yang memberkati sebuah perkahwinan. Ia adalah niat berkahwin. Walaupun dalam usia masih muda, tetapi niat ketika itu bukan sahaja untuk menjaga diri hidup di tengah-tengah masyarakat Barat yang permissive (boleh apa sahaja) tetapi menjangkau kepada harapan dengan perkahwinan nanti, saya lebih memahami Dakwah ini dalam suasana yang lebih matang, jauh dari tekanan hidup sebagai seorang bujang di perantauan. Ya, niat kerana Dakwah, bukan kerana selainnya. Begitulah yang difahami di dalam perbincangan usrah tentang Hadis Pertama dari Hadis 40. Selain bernazar jika berjaya pernikahan, saya akan berpuasa 30 hari, tekad anak muda ini ialah bekerja lebih keras untuk Dakwah ini hingga akan berulangalik ke Toowoomba, 90km dari Brisbane, berdakwah kepada pelajar-pelajar baru yang dihantar di sana. Tekad awal seumpama ini atau hampir dengannya ada disebut oleh Syeikh Ahmad Ar-Rashid (penulis Al-Muntalaq) dalam tajuk “Al-Azm Al-Mubakkir” (Berazam Dari Awal) dengan mambawa contoh azam Warqah bin Naufal, sepupu Khadijah ra, kepada Rasulullah saw, “Sekiranya aku masih hidup dihari engkau dihalau oleh kaummu, aku akan menolongmu dengan pertolongan yang sekuat-kuatnya”.

Memang azam dari awal merupakan salah satu bekalan Dakwah yang besar terutama untuk para Duat. Kesannya terhadap keikhlasan, kesungguhan, ketabahan, pengorbanan di jalan Dakwah, ikatan hati terhadap isteri dan anak-anak dapat dirasai walau panjang masa berlalu. Kesannya Niat yang sahih lagi ikhlas bukan sahaja terasa mengalir di dalam diri bahkan di dalam diri zuriat yang kita kasihi walau dekad berganti dekad.

Kepada para mahasiswa sekelian yang saya pernah seperti mereka suatu masa dahulu, juga sesiapa sahaja yang sedang berada diambang perkahwinan, aturilah niatmu dari sekarang, demi masadepanmu yang masih panjang. Sekian.

Kisah Raja Munirah Jadikan Pengajaran

Akhirnya Raja Munirah, 22 tahun merengkok dalam penjara di Jepun selama 7 tahun 4 bulan. Beliau mengaku “bersalah” membawa dadah syabu dalam beg hadiah Milad, seorang Iran, lalu ditahan pada 20.12.2006 di Lapanganterbang Narita, Tokyo, kononnya ditawar temuduga kerja di Jepun oleh Milad. Selepas menjalani hukuman, umur Raja Munirah akan mencecah 30 tahun yang bermakna umur keemasan 20an bagi seorang wanita dihabiskan di dalam penjara, jauh dari keluarga dan tanahair.

Kisah pahit ini dikongsi oleh kita dan sesiapa sahaja yang ikhlas dan prihatin. Di aspek kejadiannya, kita percaya Raja Munirah tidak bersalah kerana ditipu atau dipermain oleh Milad, seorang lelaki yang jahat dan licik lalu berjaya memperdaya seorang wanita. Cuma di segi Syarak pula, Raja Munirah sebaiknya tidak mendekati lelaki sedemikian, apatah lagi mempercayainya. Ramai lelaki berpenyakit hati mereka terhadap wanita. Lihatkan bagaimana Allah memelihara isteri-isteri Nabi saw sebagai contoh tauladan kepada umatnya dalam firmanNya bermaksud, “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekelian tidaklah seperti wanita-wanita lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kami lenggok dalam bertutur lalu meransang orang yang ada penyakit dalam hatinya. Bertuturlah dengan baik. Dan hendaklah kamu tetap di rumah-rumah kamu (keluar bila ada keperluan Syarak) dan janganlah kamu berhias dan berkelakuan seperti orang-orang Jahiliyah dulu …” (Al-Ahzab:32-33). Dari ayat-ayat di atas, lelaki boleh sahaja menggoda dan boleh juga memperdaya wanita.

Semoga Allah swt memelihara kita di dunia dan Akhirat dengan cara memberi petunjuk kepada kita untuk mengamalkan panduan-panduanNya. Amin. Sekian.

<keratan akhbar>

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Raja Munirah Raja Iskandar, pelajar sebuah kolej swasta yang kini meringkuk dalam penjara di Jepun, menafikan dia mempunyai hubungan cinta dengan pemuda Iran yang memperdayakannya untuk menyeludup dadah.

‘‘Bukan kerana cinta. Milad bukan kekasih saya… dia cuma kawan biasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo, Khamis lalu.

Sewaktu wartawan Utusan menemuinya di pusat tahanan itu, Raja Munirah yang berkulit hitam manis, tinggi lampai dan berambut panjang sampai ke bahu berada dalam keadaan lemah.

Dia yang memakai seluar sukan kelabu dan baju T berwarna merah tidak digari ketika pertemuan itu berlangsung selama 10 minit.

Sepanjang pertemuan mulai pukul 1 petang itu seorang pegawai penjara sentiasa mengawasi perbualan yang telah ditetapkan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Dalam nada suara yang tersekat-sekat, pelajar berusia 22 tahun itu memberitahu dia diperkenalkan kepada Milad oleh seorang rakan perempuannya di sebuah kolej di ibu kota kira-kira setahun lalu.

Menurut Raja Munirah, ketika perkenalan itu, dia baru menamatkan pengajian Ijazah Komunikasi Massa di kolej swasta itu manakala Milad menuntut di sebuah kolej swasta di Cyberjaya.

Selepas mengenalinya selama setahun, lelaki itu menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) – sesuai dengan kelulusan Raja Munirah – di syarikat Milad yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.

Raja Munirah bagaimanapun dikehendaki ke Tokyo untuk menghadiri temuduga terlebih dahulu. Milad tidak pula menemaninya ke Jepun.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah ditahan apabila beberapa peket dadah jenis syabu dijumpai dalam beg yang dibawanya.

Beg itu dibeli oleh Milad untuk mengisi pakaian musim sejuk Raja Munirah dan ia hanya diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus sebelum pesawat berlepas.

Sebaik sahaja ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, Raja Munirah cuba menghubungi telefon bimbit Milad tetapi gagal.

Peguam Jepun yang disediakan oleh kerajaan negara itu menasihatkan Raja Munirah supaya mengaku salah bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun, apabila dia membuat pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan. Wanita muda itu kini sudah menghabiskan hampir 11 bulan usianya dalam penjara.

Milad, pemuda Iran yang memintanya membawa beg itu ke Jepun, dikatakan sudah meninggalkan Malaysia akhir tahun lalu dan kini dipercayai berada di Indonesia.

Raja Munirah berpesan kepada gadis-gadis di tanah air supaya jangan mudah mempercayai tawaran lumayan daripada seseorang tanpa sebab yang munasabah.

‘‘Ingatlah… bukan mudah orang mahu beri tawaran lumayan. Fikirkanlah masak-masak… mesti ada muslihat. Jangan ikut hati, gunakan akal,’’ katanya.

Sebelum meninggalkan penjara, wartawan Utusan bertanya kepada Raja Munirah kenapa dia tidak kelihatan sedih sepanjang perbualan singkat itu. Raja Munirah menjawab: ‘‘Saya sudah tiada air mata lagi.’’