Pilihanraya: Syeikh Hasan Maher dlm kenangan

Ditengah-tengah perancangan musuh melenyapkan sama sekali suara Islam hakiki di tengah-tengah masyarakat Islam, gerakan Islam terus membuktikan kepada mereka bahawa perancangan mereka tidak berjaya dan tidak akan berjaya.

Ketika hidup di Mesir, peluang pergi ke kawasan pendalaman atau kampung untuk menimba bekalan ilmu adalah salah satu peluang yang sentiasa saya cari. Maklum sahaja hidup di tengah-tengah kotaraya Kaherah yang hiruk pikuk dengan 15 juta manusia dan bunyi kenderaan kekadang mengusutkan fikiran. Antara yang kerap saya kunjungi ialah Asy-Syeikh Hasan Mahir di sebuah kampung di negeri Asy-Syarqiyyah, kira-kira 150 km dari ibukota Kaherah. Beliau adalah seorang alim lulusan Al-Azhar yang tidak asing lagi di daerah tersebut. Kampung Abu Eed dan rumah tempat beliau tinggal adalah sangat sederhana namun sukar untuk saya lupakan hingga ke hari ini. Kupasan-kupasan Syeikh Hasan berkenaan kejadian-kejadian dalam Seerah Rasulullah saw sangat bernas dan banyak memberi panduan yang jarang saya temui dalam mana-mana kitab seerah maupun fiqh seerah. Sebagai contoh, di zaman Nabi saw, Iblis muncul hanya sebanyak 3 kali dalam waktu yang berdekatan disekitar Hijrah sahaja – di Mina (sebaik sebelum Hijrah), di Darul Nadwah (ketika Hijrah) dan sebaik sebelum Perang Badar (sebaik selepas Hijrah). Iblis tidak muncul di permulaan Kenabian di Mekah maupun diakhir Kenabian di Madinah. Apa rahsianya ? Pengajarannya ialah besarnya kesan Hijrah dan penegakan sebuah Negara Islam sehingga Iblis sendiri terpaksa keluar secara langsung berperanan untuk cuba menggagalkannya !! Saya juga masih ingat ketika saya berada di dalam rumah beliau, saya mendengar anak-anak kecil di luar rumah bermain seperti teng-teng bersama-sama dengan menyanyikan ungkapan “Al-Islam huwal Hal, Syara’Allah Azza wa Jal” (Islam Adalah Penyelesaiannya, Syariat Allah Azza wa Jalla) berulangkali. Subhanallah ! Anak-anak kampung pendalaman yang belum berusia persekolahan juga diajar dan dibiasakan dengan keyakinan bahawa penyelesaian terhadap urusan dan permasalahan masyarakat dalam negara dan dunia adalah hanya dengan melaksanakan Syariat Allah !! Mungkin ungkapan lagu seumpama ini perlu diajar di tadika di negara kita disamping lagu enjit-enjit semut, tom-tombak Makyung dedek, mini mini mainimo dan seumpamanya.

aswan.jpg

Sg. Nil melalui sebuah kampung di Mesir.

Dalam satu musim pilihanraya, saya terdengar Syeikh Hasan jatuh sakit dan terbaring di rumahnya. Tanpa berlengah, saya pergi menziarahi beliau di kampung. Rupanya dia pernah menghidap slip disc di zaman mudanya ketika bekerja mencari nafqah dengan mengangkat barang-barang berat. Walaupun telah lama hilang, namun sakit tersebut datang semula kerana beliau kali ini bekerja kuat masuk ke rumah-rumah sempena musim Pilihanraya, untuk menerangkan kepada msyarakat akan Dakwah Islam yang diperjuangkannya. Peluang masuk rumah ke rumah seumpama ini di Mesir yang penuh tekanan, tidak mungkin dapat diperolehi di luar suasana Pilihanraya.

kg-arab.jpg

“Di daerah ini terdapat lebih kurang 400 buah kampung”, jelas Syeikh Hasan. Sebagai seorang yang telah dipertanggungjawabkan terhadap daerah tersebut, dia telah pergi ke hampir seluruh rumah di dalam daerah itu !! Subhanallah, moga Allah swt mengganjari beliau di atas semangat dan usahanya yang gigih. Oleh kerana terlalu banyak berjalan kaki dari rumah ke rumah pada hari-hari tersebut, sakit slip disc di tulang belakangnya datang semula.

hasan-al-banna-02.jpg

Hasan Al-Banna masuk berceramah lebih 4000 kampung di Mesir. “Apabila ada di sana seorang yang saleh, kamu akan dapati padanya faktor-faktor kejayaan” [Hasan Al-Banna].

Dalam perasaan tergamam mengkagumi amal Dakwah beliau dan terasa amat kerdilnya usaha yang saya telah lakukan selama ini, saya cuba memberikan pandangan dan cadangan kepada beliau. “Elok sekiranya Syeikh kurangkan berjalan kaki dengan cari menaiki kereta dari satu jalan ke satu jalan dan dari satu kampung ke satu kampung. Adapun dari rumah ke rumah maka bolehlah Syeikh berjalan kaki”, ujar saya dengan bersungguh-sungguh. Syeikh Hasan menjawab, “Itu satu cadangan yang baik yang pernah kami fikirkan akan tetapi malangnya tidak seorang dari teman-teman kami yang memiliki kereta ! Saya ada memiliki sebuah motosikal lama, tetapi beberapa bulan lalu, ia telah diambil oleh pihak polis tanpa dinyatakan sebarang sebab”. Sekali lagi saya tergamam bila mendengar tidak seorang pun dari mereka yang memiliki kereta, namun Dakwah mereka jauh lebih laju, berkembang dan masuk dari rumah ke rumah ! Sedangkan banyak kedapatan di Malaysia Boleh hari ini, para pendakwah memiliki hingga 2 buah kereta atau lebih di rumah tetapi mereka belum pernah masuk berdakwah ke semua rumah jiran-jirannya ! Jika pun ada duat yang mengunjungi rumah jiran-jiran, berapa ramai pula yang pergi untuk betul-betul menerangkan hakikat Dakwah yang dibawa olehnya kepada mereka, atau sekadar ziarah biasa atau berhari raya semata-mata !! Sehingga ke hari ini, berdasarkan pengalaman dan pengamatan yang saya lalui di Jalan Dakwah seperti kisah di atas, kereta-kereta mewah berharga ratusan ribu ringgit yang dibangga-banggakan oleh masyarakat termasuk sebahagian para duat sedikitpun tidak menarik minat saya, jika tuan-tuan kereta tersebut tidak dapat menandingi usaha dakwah Syeikh Hasan Mahir dan bilangan rumah yang diziarahinya dengan hanya berjalan kaki ! Alhamdulillah. Itu di dunia.

barisan-nasional.jpgpemimpin-pemuda-umno.jpg

Kenangan bersama Syeikh Hasan Mahir ini berlaku sekitar tahun 1993. Kini tiba musim Pilihanraya ke 12 di Malaysia. Peluang masuk ke rumah sesiapa sahaja adalah luas terbentang untuk berkempen dan menyatakan hakikat Dakwah Islam dan memberi faham bahawa hidup menghayati Islam adalah salah satu rukun terpenting dalam membangunkan sebuah negara dan masyarakat. Orang ramai harus difaham dan diyakinkan bahawa mereka memerlukan bukan semata-mata pembangunan fizikal, material dan kebendaan semata-mata. Jangan hanya menilai manifesto dan menuntut dari parti-parti yang bertanding sekadar kenaikan gaji, potongan harga, tambah bilangan hari cuti dan sebagainya tetapi juga mereka selaku pengundi mesti menuntut  dari pihak atau parti yang bertanding agar membenteras maksiat dan kelucahan, mendorong melakukan kebaikan dan kebajikan, membaiki peraturan dan undang-undang ke arah yang selari dengan Islam, menegakkan keadilan dan seumpamanya.

barisan-alternatif.jpg

Musim Pilihanraya akan berakhir pada 8/3/2008. Dengan segala kelemahan dalam diri dan teman-teman, saya percaya adalah sukar untuk meniru apatah lagi menandingi kualiti dan bukti yang ditunjukkan Syeikh Hasan dan teman-temannya. Namun terasa berat untuk membiarkan musim Pilihanraya berlalu bergitu sahaja sedang ramai masyarakat terus alpa bahkan jahil tentang hak dan kewajipan mereka sebagai warganegara yang beragama Islam. Sebagai pengundi, mereka adalah penentu masadepan negara. Sebagai pendakwah kita mesti masuk ke setiap rumah mereka, atau sebanyak mungkin, untuk menerang dan menunjukkan pilihan yang sebaiknya, pilihan yang diredhai Allah swt.

Ukhuwwah atau kasih sayang di jalan Dakwah punya kekuatan ruh yang sungguh ajaib. Pada tahun 2002 saya menaiki Egypt Air ke London dan transit 3 hari di Cairo. Semasa transit Cairo, saya mengambil teksi di Abour, merentasi bumi Mesir kira-kira 150 km untuk melepaskan rindu bertemu guru dan teman di kampung Abu Eed, Hawabir, Mansyiah Sahbarah yang banyak mengajar saya erti perjuangan amali yang sebenar, disamping ilmu dan teori yang terdapat dalam buku-buku usrah dan kuliah-kuliah di Universiti Al-Azhar. Setelah bertanya khabar dan bermalam di kampung Arab tersebut, saya kembali ke Kaherah dan menyambung penerbangan ke London.

Tahun 2007 yang lalu, kira-kira 12 tahun selepas kisah Asy-Syeikh Hasan di atas, ketika saya sedang melayan tetamu yang datang kerumah di Seremban, handphone saya berdering. “Alo ! Asy-Syeikh Abdul Halim ma’iyy?  (Hello, Ustaz Abdul Halim ke di sana?), tanya orang tersebut. “Na’am Abdul Halim ma’ak, ya akhi. Man ma’iyy? (Ya ya akhi. Siapa di sana?)”. Perbualan panjang dan beliau adalah salah seorang penduduk kampung di atas sedang berada di Singapura atas urusan pekerjaan dan dia menyatakan bahawa dia menelefon adalah untuk menyampaikan salam dari Asy-Syeikh Hasan Mahir. Saya tidak dapat mengawal perasaan dan terus menangis dan sambil meminta dia sampaikan salam tulus saya kepada Asy-Syeikh. Rupa-rupanya sedang saya telah menganggap Asy-Syeikh Hasan sebagai satu kenangan 12 tahun yang lalu, namun dengan kesibukan beliau berdakwah ratusan kampung dan puluhan ribu penghuninya, dia masih mengingati saya dan boleh mencari nombor handphone saya yang terkini ! Saya menganggapnya sebagai satu kenangan, dia masih menganggap saya sebagai satu harapan ! Ukhuwwah diatas asas Iman seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, para Sahabat dan Duat hari ini seperti Syeikh Hasan Mahir akan terus menjadi pembakar semangat dan penjana Amal Islami zaman kini. Semoga Allah swt mengganjari pada Duat yang ikhlas dan bersungguh bekerja dan mencari redhaNya. Amin.

Ustaz Halim  http://www.inijalanku.wp.com

6 Respons

  1. jazakallah,ust..
    kisah yg buat kita semua berfikir, merenung kembali menginsafi diri,bermuhasabah………
    dlm 24jam yg Allah kurniakan kpd kita, sebenarnya byk peluang utk kita menyebarkan segala kebaikan&dakwah itu sendiri.. kebaikan yg memberi kesan yg besar walaupn kebaikan tersebut hanya sebesar zarah!!!
    pada pendapat ana, antara perkara yg bisa mjadi PENGHALANG utk kita lebih bersemangat adalah kesenangan&masa lapang..antara 2NIKMAT yg sering kita ‘salahgunakan’..terbuai dgn kesenagan, tewas dgn masa lapang..
    kdg2 sering kita terfikir, MEREKA di sana, penuh dgn ranjau,kesusahan, keperluan yg cukup terhad,tekanan..NAMUN, MEREKA mampu pergi lebih jauh!!!
    apa rahsianya??
    dan KITA, dlm kesenangan, keperluan mencukupi, tiada tekanan..namun, KITA macam KITA yg sebelum ini..bukankah kdg2 begitu?
    rutin harian yg hampir sama saban waktu..
    yaAllah, jadikanlah kami faqih&tsabat dlm jalan ini..semoga HARI ESOK kami lebih SEMPURNA..Amin..ya Rabb..

  2. Subhannallah. Sangat mengesankan

  3. Assalamualaikum. Apa khabar? Saya sangat bersetuju dgn pandangan ustaz. Cetusan rasa us ni mengingatkan saya kepada kata-kata seorg mujahid dakwah:”Tinggalkan rumahmu di belakang mu.” Kewujudan seorang pendakwah kekadang tak diketahui oleh jiran tetangga. Mereka mungkin hebat di luar tetapi mad’u yang tinggal berjiran dibiarkan. Sedikit kemewahan yang dikecapi mengabaikan mereka dari kejiddiyyahan untuk berdakwah & mentarbiyyah masyarakat. Wallahua’lam

  4. Masyaa’Allah….moga ikhwah n diri ana sendiri dpt ikut jejak langkah dakwah yg gigih ni..

  5. […] Al-Islam huwal Hal, Syara’Allah Azza wa Jal (Islam Adalah Penyelesaiannya, Syariat Allah Azza wa Jalla), begitu laungan dan nyanyian kanak-kanak di Kampung Abu Eed sewaktu bermain permainan semacam teng-teng, cerita Ustaz Abdul Halim Abdullah berkenaan kenalan baik beliau di negara Arab iaitu, Asy Syeikh Has…. […]

  6. […] Al-Islam huwal Hal, Syara’Allah Azza wa Jal (Islam Adalah Penyelesaiannya, Syariat Allah Azza wa Jalla), begitu laungan dan nyanyian kanak-kanak di Kampung Abu Eed sewaktu bermain permainan semacam teng-teng, cerita Ustaz Abdul Halim Abdullah berkenaan kenalan baik beliau di negara Arab iaitu, Asy Syeikh Has…. […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: