Tun Mahathir Keluar UMNO & Pandanganku

<Updated 22.5.2008 Kerajaan Perpaduan vs Kerajaan Penghapus Lawan> <Updated 21.5.2008 Cadangan2> Akhirnya pada 19.5.2008, Dr. Mahathir Mohamad yang pernah memimpin UMNO, bertindak keluar dari parti yang diasaskannya. Jika Dato’ Onn Jaafar mengasaskan UMNO (1946), Tun Mahathir dan timbalannya, Dato Seri Anwar Ibrahim adalah pengasas UMNO Baru pada tahun1987 setelah UMNO (1946) diharamkan Mahkamah. Tahun 1997 perkataan “Baru” digugurkan. Hari ini kedua-dua pengasas UMNO tersebut berada di luar, sudah tiada lagi di dalam, meninggalkan seribu satu sumbangan dan kenangan bersama UMNO.Untuk UMNO didepan rakyat, Dr. Mahathir banyak memberi imej ketegasan, kediktatoran, rasuah tetapi memajukan infrastruktur dan ekonomi negara. Ini menguatkan UMNO didepan musuh politiknya, DAP. Manakala Anwar Ibrahim memberi imej Islamik dan berjuang mencapai sebuah kerajaan yang bersih dan adil. Ini menguatkan UMNO didepan musuh politiknya, PAS. Gandingan 2 tokoh ini menjadikan UMNO pilihan kebanyakan pengundi di Malaysia sejak 1982.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sejak 2003. Kata Anwar, “Jika Abdullah letak jawatan Perdana Menteri, UMNO akan pecah. Jika dia terus, UMNO akan semakin lemah kerana dia sendiri lemah”. Sejauh mana kebenarannya ?

Tindakan Dr. Mahathir memecat timbalannya, Anwar pada tahun 1998, dilihat ramai sebagai lebih menjaga kerusi Presiden UMNO daripada menjaga UMNO itu sendiri. Dr. Mahathir dengan imej kemajuan infrastruktur dan ekonomi negara mungkin selesa sebentar tanpa saingan Anwar di dalam UMNO, namun tanpa Anwar dan senerio pemecatannya, sedar atau tak disedari Mahathir, UMNO kehilangan sebahagian imejnya yang lain didepan pengundi. Dalam Pilihanraya 1999, kebanyakan undi Melayu diberi kepada PAS. Terengganu beralih kuasa ke tangan PAS. Kebencian rakyat terhadap Mahathir meluap-luap. Walau Abdullah Badawi memiliki banyak kelemahan, tetapi demi imej bersih dan Islamik yang telah hilang, Mahathir mengangkat Abdullah, seorang graduan Pengajian Islam dan cucu seorang ulamak Kepala Batas, Pulau Pinang untuk memenuhi kerusi timbalannya yang dikosongkan Anwar. Menjelang Pilihanraya 2004, demi survival UMNO yang baru dirosakkannya, Mahathir memberi laluan sepenuhnya kepada Abdullah Badawi ke jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Dalam Pilihnraya 2004, walaupun masih baru dan ramai belum mengenali kemampuan sebenar Abdullah, rakyat memberikan peluang kepada UMNO sekali lagi. Hasilnya Barisan Nasional memang besar, tetapi ketika itu tanpa kemunculan dan saingan Anwar di medan. Sangkaan dan harapan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah meleset. Isu rasuah, kronisma, nepotisma, perilaku Jahiliyah dan sebagainya di zaman Mahathir terus membarah dalam masyarakat. Tambahan lagi kelesuan UMNO dalam memacu ekonomi negara. Menjelang PRU12 2008, fenomena global kenaikan harga minyak, barangan dan makanan berlaku hampir diseluruh negara di dunia. Ia tidak ditangani dengan bijaksana oleh Abdullah dan UMNO. Pembangkang berjaya mengaitkan fenomena global ini dengan Barisan Nasional. BN=”Barang Naik” kata mereka dan disambut hebat oleh para pengundi. Di dalam UMNO pula, persaingan merebut jawatan dan habuan dunia semakin memecahkan kekuatan parti Melayu tertua itu. Ibarat retak menanti belah. Ramai calun-calun UMNO yang dipilih bertanding mendapat tentangan dari dalam, belum lagi dari Pembangkang di luar.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketua de facto Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP) dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau mendakwa boleh menubuhkan Kerajaan sebelum Hari Malaysia 16/9/2008.

Dalam Pilihanraya 2008, Anwar yang disangka “Knock Out” oleh Dr. Mahathir muncul semula dan kembali aktif dengan membentuk pakatan PKR-PAS-DAP. Badi Anwar benar-benar menghantui UMNO sekali lagi. Tarikh PRU12 2008 dipilih pada 8.3.2008 sebelum Anwar dibenar aktif politik mulai 15.4.2008 oleh Mahkamah. Namun begitu, kehadiran Anwar dilihat penyelamat kepada Malaysia oleh ramai pengundi. Siapa calun yang ditepung tawar oleh Anwar akan mendapat sokongan hebat oleh para pengundi walau masih baru dan mentah dalam kancah politik. Fenomena bersejarah pengundi Cina dan India memberi sokongan besar kepada PAS dan orang Melayu melawan perasaan dengan menaruh harapan mengundi DAP. Hasilnya Barisan kalah besar dalam Pilihanraya 2008.

Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga. Bekas pegawai tentera yang berpengalaman bersama tentera British dan India berperang melawan Jepun. Menegah anaknya menulis binti Hussein ditambah Onn dan menggunakan alamat Seri Perdana dalam borang permohonan memohon kerja. Hari ini anak, menantu dan kaum kerabat ramai membayangi tokoh-tokoh penting. Tanpa tarbiyah, penemuan petroleum dan lonjakan ekonomi banyak menghilangkan jatidiri pejuang sesebuah negara.

Demi survival UMNO kali ini, seperti yang dilakukan selepas Pilihanraya 1999, Tun Mahathir mengharap Abdullah mengikut jejak langkahnya dengan berundur segera sebelum terlambat dan memberi nafas baru kepada UMNO. Mahathir faham benar, dengan terhakisnya ideologi dan idealisma perjuangan Melayu di era kemerdekaan masa lampau, asas perjuangan dan survival UMNO hari ini ialah kuasa dan wang. Kalah UMNO dalam Pilihanraya 2012 nanti bererti berkuburnya UMNO selama-lamanya. Namun Abdullah sehingga ke hari ini masih berpada dengan nafas lama. Pada Abdullah, agenda negaranya belum selesai. Pada Mahathir agenda keluarganya belum selesai. Mahathir melihat isunya adalah isu kepimpinan dalam UMNO, namun saya melihat isunya bukan sekadar itu. Pada saya infrastruktur UMNO masih utuh. Atas jerih payah generasi-generasi UMNO yang lalu, UMNO telah lama dan berjaya berakar umbi dalam masyarakat.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pertama pada 21.5.2008 selepas Tun Mahathir keluar UMNO membincang 2 perkara (1) isu Tun Mahathir, dan (2) pelan pemulihan UMNO. Mesyuarat memutuskan terus memberi sokongan kepada Pak Lah menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Jika UMNO mahu terus relevan dan punya survival di kalangan masyarakat Malaysia, ia mesti membuat perubahan menyeluruh mencakupi aspek kepimpinan, ideologi, strategi dan tindakan. Demi kematangan politik dan kesejahteraan rakyat di Malaysia terutama masyarakat Islam, saya cenderung kepada UMNO terus berada di tengah-tengah masyarakat, sentiasa menawarkan agenda Islam terbaik untuk dipertimbangkan oleh para pengundi disetiap musim Pilihanraya. Pada saya kepelbagaian parti politik berasaskan Islam dan kebebasan mengundi adalah diantara rukun-rukun terpenting sesebuah masyarakat Madani di akhir zaman ini. Sikap menghapuskan parti lawan dari wujud dan memonopoli kuasa dan media hanya akan menyuburkan kediktatoran yang dibenci Islam dan membunuh Syura (permesyuaratan) yang dianjurkan Allah dalam Al-Quran. Oleh itu untuk memulihkan UMNO langkah-langkah CPR (pertolongan cemas) dibawah adalah yang paling relevan :

(1) Menegaskan dasar Islam dalam perjuangan UMNO, sesuai dengan Perlembagaan Malaysia bahawa “Agama Persekutuan ialah Islam” dan “Raja-raja sebagai pemimpin rakyat bertanggungjawab memelihara kepentingan Islam”. Isinya sekali-kali tidak bertentangan dengan perjuangan bangsa Melayu kerana Artikel 153 mengaitkan jelas Melayu dengan Islam.

(2) UMNO hendaklah bukan sahaja memperjuangkan Islam tetapi dilihat memperjuangkannya. “Bekerjalah kamu, nanti Allah, RasulNya dan orang-orang beriman akan MELIHAT amalan kamu ..” (Al-Quran). Oleh itu pemimpin UMNO disemua lapisan pusat, negeri dan kampung, seperti yang digaris ulamak Siayasah Syariyyah tentang sebuah “Kerajaan”, mestilah :

  • Menunaikan kefardhuan (amalan dan ibadah yang diwajibkan) Islam.
  • Tidak terang-terangan melakukan dosa. Peminpin UMNO hendaklah menjauhi majlis-majlis percampuran bebas apatah lagi menganjurkannya dan disiar kepada umum. Pemimpin-pemimpin wanita UMNO hendaklah berpakaian Islam Melayu dengan bertudung dan berbaju kurung yang menutup aurat dengan sempurna, membenteras segala bentuk kelucahan, pergaulan bebas, dan dedah aurat di peti televisyen, akhbar, iklan awam, majallah, konsert dan sebagainya yang telah banyak merosakkan rumahtangga apatah lagi para belia dan remaja. Jauhi pembaziran sambil peruntukkan wang secukupnya kepada pembangunan insan sebelum material.
  • Melaksanakan hukum hakam Islam dan ajaran-ajarannya di dalam masyarakat.
  • Bersifat bertanggungjawab dalam tugas, menyayangi rakyat, adil sesama insan, menjaga dan menyuburkan wang rakyat dan berjimat membelanjakannya.
  • Kewajipannya ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, meluaskan pendidikan, membina kekuatan persenjataan, memelihara kesihatan dan kemudahan awam, meningkatkan ekonomi, menguatkan akhlak masyarakat dan menyebarkan Dakwah Islam didalam dan luar negara.

(3) Membudayakan perkongsian kuasa diperingkat negeri dan persekutuan. Saya lebih cenderung kepada sistem “Kerajaan Perpaduan” atau dalam bahasa Arabnya “Hukumah Wahdah Wataniah” dimana bilangan kerusi kabinet pusat dan exco negeri dibahagi-bahagikan kepada semua parti yang bertanding mengikut peratus undi yang diperolehi di medan atau calun yang menang menjadi wakil rakyat dalam dewan. Ini akan mentautkan kembali parti-parti yang bertanding. Pertautan parti yang bertanding akan mentautkan kembali masyarakat di bandar dan kampung setelah penat bersaing di tempoh berkempen. Dengan ini umat akan bersatu dan negara menjadi kuat. Kekalahan Iraq hanya selama 20 hari berperang dengan Amerika disebabkan umat Iraq berpecah. Pertautan mustahil dicapai jika parti-parti mempunyai dasar-dasar yang berbeza. Ia hanya dicapai hanya jika dasarnya sama iaitu Islam, walaupun pendekatan dan manifestonya berbeza. Setakat ini kita tidak menuntut persamaan dasar dari DAP, MCA, Gerakan dan MIC kerana mereka bukan tunjang di Malaysia. Jika UMNO, PKR dan PAS bertaut atas dasar yang satu iaitu Islam, walau bersaing memaparkan pendekatan dan manifesto yang berbeza, DAP, MCA, Gerakan dan MIC tiada pilihan melainkan ikut mendokong Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi UMNO, PKR dan PAS yang Islam.

Walaupun ada kebaikannya tetapi saya kurang bersetuju dengan ungkapan “Jika UMNO berubah kepada Islam, PAS sanggup lebur dan masuk UMNO demi perjuangan Islam”. Wujud pelbagai parti dengan satu dasar (Islam) dan berbagai pendekatan, pada hemat saya, adalah lebih baik, menghapus kediktatoran, menyubur inovasi dan memberi rakyat pilihan-pilihan dalam polisi pendidikan, kebajikan, kemajuan, ekonomi dan sebagainya.

Adakah UMNO akan belajar dari kesilapan dan bersedia untuk berubah dengan memilih ubat yang pahit demi kesihatan, memilih dan melaksanakan dasar Islam dengan ikhlas dan bersungguh walau bertentangan dengan sebahagian budaya dan pemimpinnya ?

Kemelut UMNO tidak akan berakhir hanya dengan turunnya Abdullah dan naik seorang lain yang mempunyai ideologi atau dasar perjuangan yang hampir sama. Semoga dengan nasihat ini, ALlah swt memelihara kita dari segala mara bahaya dan mengembalikan kekuatan umat Islam dipersada negara, rantau dan dunia. Sekian, terima kasih.

 

LAMPIRAN (POLITIK MENGHAPUS LAWAN)

Samada melakukan perubahan menyeluruh senerio politik Malaysia, mewujudkan Kerajaan Perpaduan seperti Indonesia, PKR-UMNO-PAS berpaski Islam menjadi tunjang politik Malaysia ke arah menyatu dan menguatkan negara, atau Kerajaan Satu Parti ke arah memonopoli dan menghapuskan seteru, salah satunya mesti menjadi pilihan UMNO dalam Pelan Pemulihan yang digariskan selepas PRU12 yang lalu.

Walaupun Manifesto berbeza, namun yang pastinya kesemua isikandung manifesto parti-parti yang bertanding adalah salah satu bentuk inovasi dan proaktif untuk kemaslahatan dan kepentingan rakyat dan negara dengan cara menawarkan suatu yang lebih baik atau terbaik untuk mereka. Namun, hilangnya hakikat Syura (permesyuaratan dan permuafakatan) dan Taawun Alal Birri wat Taqwa (kerjasama dalam kebajikan dan taqwa) menyebabkan banyak innovasi dan pelan yang baik terbuang begitu sahaja.

BN tidak mahu bersekongkol

Utusan Online. KUALA LUMPUR 21 Mei – Kerajaan Pusat tidak akan membantu kerajaan negeri pakatan pembangkang melaksanakan janji yang dibuat mereka semasa pilihan raya umum lalu kerana ia berbeza dengan manifesto Barisan Nasional (BN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, kerajaan negeri terbabit perlu mengusahakan sendiri untuk melaksanakan janji dalam manifesto parti masing-masing.

Beliau berkata, BN tidak mahu bersekongkol dengan pembangkang.

”Manifesto kita berbeza. Kalau Selangor mahu menyediakan premis perniagaan yang cukup dan membimbing belia serta wanita muda memulakan perniagaan… sediakanlah. Tidak ada masalah.

”Kementerian saya tidak akan menyalurkan peruntukan melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC) lagi. Biarlah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang akan menjadi agensi pengagihan dana bagi menunaikan janji kita (BN),” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum itu, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) bangun untuk mendapatkan penjelasan kenapa peruntukan kementerian yang dahulunya disalurkan kepada SEDC telah dihentikan.

Menurut Noh, kementeriannya tidak pernah membatalkan pengagihan peruntukan kepada lima negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Sebaliknya, kata beliau, kementerian mengambil pendekatan menukar agensi bagi menyalurkan dana kerajaan kerana perbezaan kerajaan yang mentadbir negeri berkenaan.

”Bagaimana kita mahu duduk semeja? Manifesto kita berbeza. Dahulu kita sama-sama dari kerajaan BN, kita duduk semeja berbincang jalan melaksanakan manifesto parti. Kini berbeza, pembangkang ada manifesto sendiri.

”Apabila pembangkang sudah menang, manifesto itu menjadi tanggungjawab pembangkang yang membuat janji, seperti yang berlaku di Selangor,” katanya.

Kata-kata Noh disampuk oleh N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) menyebabkan beliau menempelak wakil rakyat tersebut jahil peraturan mesyuarat kerana selalu menimbulkan kekacauan.

Noh seterusnya membaca manifesto Barisan Alternatif (kini dipanggil Pakatan Rakyat) menyebabkan Tian Chua (PKR-Batu) bangun mencelah menyatakan sesi pada masa itu adalah untuk soal jawab dan bukannya berpolitik.

Bagaimanapun, Noh berkata, beliau hanya memberi jawapan kepada soalan yang ditimbulkan oleh Po Kuan yang mahu tahu kenapa beliau tidak boleh duduk semeja dengan pembangkang.

”Kita berbeza… sebab itu tak boleh duduk semeja. Manifesto kita berbeza,” katanya.

Gobalakrishnan sekali lagi bangkit dan cuba mencelah tetapi ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meminta anggota Dewan memberi perhatian ketika menteri memberi jawapan.

”Jangan jadikan Dewan ini sebagai pasar. Di sini ada peraturan. Kena dengar bila menteri bercakap,” katanya.

Setelah Noh menamatkan hujah penggulungannya, Gobalakri- shnan tetap bersuara menyebabkan Datuk Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) mencelah, menjadikan suasana hingar-bingar menyebabkan Wan Junaidi sekali lagi meminta semua wakil rakyat yang berdiri, duduk.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) kemudian bangun mengemukakan Peraturan Tetap 37(1).

”Speaker kena lebih tegas, tak kira pada mana-mana pihak. Kalau di sana bising, di sini bising, halau mereka keluar. Saya peninglah,” katanya.

LAMPIRAN (KENYATAAN DR MAHATHIR)

Monday, May 19, 2008

Pengumuman Keluar Dari UMNO

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Satu Respons

  1. alhamdulillah ustaz buang artikel itu. sila tegur saya kalau saya pula yg buang silap lain kali. harap kita jadi umat yg terbaik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: