Ayah mertua saya ke rahmatullah

Allahyarham Ustaz Haji Ibrahim b Haji Ahmad, 78
 
Lebih kurang sejam setengah yang lalu, ayah mertua saya yang dikasihi, Us Hj Ibrahim Hj Ahmad, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Wad 3A Hospital Kepala Batas, Seberang Perai. Sejam sebelum itu doktor telah memanggil semua anak beranak untuk datang ke hospital. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun (Sungguh kita milik Allah. Dan kepadaNya kita kembali).
 
 
Oleh kerana saya dan isteri tinggal di Seremban (tempat orang tua saya) setiap tahun kami beraya Aidil Fitri di kampung isteri saya di Penang.  Allayarham kelihatan duduk di hadapan sekali. Allayarham dan Surau ini ibarat kuku dan jari.
 
Saya tidak menyangka ini adalah salaman Aidil Fitri yang terakhir antara kami pada 1 Syawal 1430H/2009M yang lalu.
 
Ayah mertua saya, Ustaz Haji Ibrahim Haji Ahmad, 78, adalah imam surau Kampung Paya sejak berdekad lalu. Tiap harinya jarang meninggalkan solat Dhuha dan Tahajjud. Surau tidak akan qamat sehingga dia tiba di Surau dan memberi salam diakhir Solat Sunat Qabliahnya. Akan balik ke rumah dari Surau selepas Solat Subuh hanya setelah berwirid di tempat solat hingga naik matahari dan bersolat Syuruq. Setiba di rumah, kanak-kanak kampung telah sedia menunggu di rumah beliau untuk mengaji Al-Quran. Begitulah rutinnya sejak beliau bersara dari mengajar agama di sekolah kerajaan.
 
Telah naik Haji beberapa kali dan Umrah banyak kali bersama Al-Marhumah Emak. Sepanjang kami 8 tahun di Mesir, beliau dan Ar-Marhumah Emak (meninggal dunia 2004) singgah menziarahi kami di Cairo sebanyak 4 kali dalam perjalanannya ke Umrah. Sangat kuat cintanya kepada Agama dan ibadat. Kesemua 5 orang anaknya hidup dalam agama dengan baik sejak dari kecil. Isteri saya adalah pelajar pertama memakai tudung di sekolah di zaman 1970an.
 
Beliau diserang tekanan darah tinggi, stroke dan pendarahan otak pada hari Rabu 21.4.2010 lalu ketika sedang membaca Surah Yaasin dalam satu kenduri di rumah jiran. Disebabkan kedudukan klot darah beku berada agak di tengah, dan bukan di tepi otak bersebelahan tengkorak, serta umurnya yang lanjut, doktor pakar dan pihak keluarga mengambil keputusan untuk tidak memilih pembedahan kerana risikonya tinggi. Tapi hakikatnya, membiarkan beliau tanpa dibedah adalah juga berisiko.
 
Sebaik saya dan isteri tamat pengajian di Australia, saya menyatakan hasrat saya untuk menyambung pengajian dibidang agama di Mesir sambil menyebut kepada beliau nama pusat matrikulasi bagi Universiti Al-Azhar iaitu Madrasah An-Nahdhah, Bukit Besar, Kedah. Tanpa berlengah, keesokan harinya beliau membawa saya ke sana dengan keretanya dan tempoh 2 minggu untuk saya bersedia menghadapi Ujian Kelayakan diisi dengan belajar Bahasa Arab di rumahnya. Saya masih ingat beliau mengajar saya nahu bertajuk “Mubtadak” dan “Khabar”. Sepanjang kami di Madrasah An-Nahdhah, Al-Marhum dan Al-Marhumah dari rumah di Kepala Batas, Seberang Perai, sering menziarahi kami di Madrasah di Bukit Besar, Kedah.
Sebaik saya berjaya mendapat Sijil Senawi 4 (sekarang STAM), saya ingin agar isteri saya mengikut jejak yang sama. Tidak mungkin hasrat ini tercapai jika saya berada di Tahun Satu, Al-Azhar, berjauhan dari isteri saya di Madrasah dengan terpaksa menjaga dua orang anak kami sambil dia sendiri belajar. Jika saya tidak ke Mesir untuk menunggu isteri di Madrasah, saya khuatir mencari kerja sebagai jurutera akan melenyapkan sama sekali cita-cita saya untuk ke Al-Azhar, Mesir. Saya mesti tinggalkan Malaysia pada tahun ini juga, bisik dan azam kuat saya.
“Halim pergilah ke Mesir. Fariza pergilah dapatkan Syahadah (STAM) di Madrasah Al-Nahdhah, Kedah. Biar Baba dan Mama jaga Uswah (1.5 tahun) dan  Khairah (3 bulan) di Penang”, kata Al-Marhum dengan harapan tinggi agar anak perempuannya yang juga isteri saya dapat sama belajar di Universiti Al-Azhar. Sokongan moral Al-Marhum dan Al-Marhumah Mak sangat besar ertinya kepada saya sekeluarga. Moga Allah merahmati mereka di Alam Barzakh dan Akhirat.
Kini Al-Marhum Baba di Alam Barzakh bersama Al-Marhumah Emak, Hajjah Nasriah binti Haji Ahmad, yang telah meninggal dunia pada 28.2.2004, 6 tahun yang lalu (foto di atas). Moga mereka sejahtera di sana dan di Akhirat kelak. Ameen.
 
Ya Allah, ampunilah segala dosa-dosanya, terimalah segala amalannya dan tempatkanlah Baba di Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin. Ya Allah ampunilah dosa kami dan dosa orang tua kami. Rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kami kecil. (Al-Quran)
 
” .. hari (Akhirat) yang tiada bermenfaat harta dan anak pinak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Asy-Syu’araak:88). (Foto Atas : Rumah Al-Marhum, juga rumah dimana isteri saya dibesarkan. Foto Bawah: Hari Raya Aidil Fitri 1430H/2009M yang lalu, Al-Marhum bersama anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu di depan rumah. Saya sedang memangku anak, duduk di sebelah Al-Marhum Baba).
 
Kepada isteri saya dan para waris Al-Marhum, kita doakan seperti Doa Takziah di dalam Hadis, “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun (Al-Quran). Inna lillahi ma akhaz. Walahu ma a’tho. Wakullu syai’in indahu bi ajalin musamma. Fasbir wala tahtasib” (Milik Allah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu ada tempoh tertentu disisiNya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah diatas kesabaran dan dugaan ke atas mu itu).
 
Advertisements

26 Respons

  1. Salaam ustaz

    Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.
    Moga allahyarham ditempatkan di sebaik2 tempat di akhirat kelak insyaAllah

    Salam dari OZ

  2. Salam Takziah ustaz… moga ruhnya dirahmati Allah

  3. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun . Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Haji Ibrahim b Haji Ahmad,
    Tahziah dari kami kepada Tuan dan ahli keluarga yang lain.

  4. Ustaz Halim, sahabat ku dunia dan akhirat, takziah diucapkan diatas pemergian bapa mertua, teringat ana akan ustaz datang untuk menziarah ketika pengebumian anak ana yang ketiga March 2008 di Seremban. Doakan ana sentiasa berada di jalan ke syurga.

  5. Salam takziah Ustadz…

    Moga arwah berada dalam rahmat Allah SWT hendaknya.

    Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun (Al-Quran). Inna lillahi ma akhaz. Walahu ma a’tho. Wakullu syai’in indahu bi ajalin musamma. Fasbir wala tahtasib..

  6. Takziah .. semoga rohnya diletakkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh

  7. Inna lillahi wainna lillahi raji’uun……mudah mudahan Allah st mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan dalam golongan ahli Jannah……I truly admire his and your whole family’s life and dedication to Allah swt…if only my life is as good and dedicated to Him. Salam.

  8. a’zamallahu ajrakum

  9. Salam Ya Muallim…Innaalillahi wa inna ilaihi rajiun..Moga Allah merahmati Almarhum bapa mertua muallim..Pemergian seorng Mukmin Soleh…Ameen

  10. mudah2an Allah memberi ganti yg lebih baik…..

  11. Semoga beliau di rahmati Allah…

  12. Salam, innalillah wa inna ilaihi raji’uun

    Ingin kongsi sdkt penglmn bersama Allahyarham ketika perkahwinan Akh Qamarul brsm Ukhti Khayrah,

    Dimana Allahyarham mngalami sdkt masalah dipundi kencing beliau,

    Maka ana diamanahkan utk mmbw beliau ke hospital,

    Ketika itu, nmpk peribadi beliau yg tdk berkira dan sgt penyabar,

    ye la, kami tidak dilayan lebih 40 minit kerana sistem hospital yg teruk, tapi beliau dgn relaks byk kali menyebut , “takpe yg ptg semua selamat’-merujuk kepada pernikahan trsbt.

    Walaupun nampak beliau betul2 ingin melihat upacara akad nikah tersbt namun beliau ttp tenang dan sabar, memebuat ana yg muda ni berasa segan kerana agak krg sabar kerana ingin melihat upacara tersebut.

    Moga beliau didlm rahmat Allah.
    wallhu a’alam

  13. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun

  14. Salam ukhwah Abg Halim,

    Pemergian Baba merupakan satu kehilangan besar yang kedua bagi saya pada tahun ini selepas pemergian ayahanda saya (Al-Marhum Hj. Mohamed Salleh bin Hj. Abdullah) yang telah meninggal dunia pada 5 Mac 2010. Inilah dugaan hebat yang kami terima kerana kedua-dua insan tersayang dalam hidup saya dan Kak Chik pergi dalam jarak masa yang sangat dekat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas kedua-dua roh Al-Marhum.

  15. إنا لله وإنا إليه راجعون

    Al Fatihah…..Ana mewakili ikhwah Sarawak mengucapkan taziah kepada keluarga Ustaz Halim, moga diberikan kesabaran dan semoga Allah mencucuri rahmat kepada kepadanya. Moga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang solihin.semoga roh ukhuwah tetap membara di dalam jiwa seluruh ikhwah di Malaysia, iaiu apabila ikhwah dan ikhawat kita ditimpa musibah, semua ikhwah akan merasai kebersamaannya samada dari sudut rohi dan jasadi. Bagi yang mampu dan yang tinggal dekat dengan seberang Perai, sebagai tanda rasa kebersamaan dan hubungan roh ukhuwah dengan ikhwah kita yang ditimpa musibah jadikan budaya menziarahi sebagai satu budaya. Bagi yang berjauhan dan tidak mampu, doa dan ucapan sebagai pengganti.Hari ini hari ikhwah kita ditimpa musibah, mungkin besuk, lusa hari kita ditimpa musibbah..Ana terkenang arwah ayahanda yang telah kembali ke rahmatullah pada Dis 1995. Ketika itu ana baru bertugas satu bulan lebih sebagai pensyarah di Kolej MARA Banting, sebelum itu setahun bertugas sebagai Pegawai Kebajikan Islam di Pelabuhan Kuantan. Hampir 6-7 tahun meninggalkan ayahanda bonda dan tanah air di Terengganu, dengan harapan dapat berbakti kepada mereka, tetapi kerjaya memaksa ana berpisah dengan mereka. Amat terasa sedih apabila di saat kami ditimpa musibah, ikhwah dan akhawat tidak mengetahuinya dan menziarahi kami. Ketika itu perhubungan dengan ikh/akhw terputus kerana baru bertukar dari Kuantan ke selangor. Usrah tak jalan, ikhwah tidak ada tempat rujuk. Itulah nikmat kita berukhuwah dan derita, sedih apabila kita tidak bersama dengan ikhwah. Gembira ditumpang bersama ,sedih ditanggisi bersama. Ia amat memberi pengajaran kepada ana betapa pentingnya kita bersama jamaah, ikhwah dan menjaga ukhuwah.Teringat kepada bonda sebatang kara di jertih, Trg…apa boleh buat perlukan pengorbanan antara bonda, kerjaya dan dakwah ..Us Nazri, Kuching.

  16. Salam us…

    Saya ucapkan takziah atas pemergian allayarham baba Us. dan Kak Fariza. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman dan beramal solih.

    Fathiah
    Bekas ahli Persatuananak-anak negeri Pulau Pinang di Kaherah Mesir 1990/1995

  17. Salam ustaz dan kak fariza, Inna lillahi wa inna ilayhi riji’un,,, baru tahu hari walau agak terlewat ana ucapkan takziah kepada ustaz dan kak fariza atas pemergian Allahyarham Ust Ibrahim kerahmatullah.

    ana kenang segala jasa baik Allahyarham baba dan mama kak terutama semasa ana di Mesir. maklumlah sama negeri, arwah abah ana sering mengirimkan barang bila dia dpt tahu baba dan mama kak ke Cairo. Jazakumullahu Khayral jaza’.

    Ketenangan raut wajah mereka berdua masih dalam ingatan saya…

    Semoga Allah menempatkan mereka di kalangan hambanya yang soleh. kita yang masih diizinkan Allah utk hidup mg terus menjadi hambaNya yang paling dikasihi,,, Amin

  18. salam ustaz.

    salam takziah dari kami sekeluarga.Moga yang telah pergi mendapat cucuran Rahmat Illahi dan yang tinggal terus mencari bekal untuk pergi ke sana.

    dari,
    Mohd Rizal Salikon dan keluarga
    Desa Ixora N9.

  19. Salam takziah ust

    Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun

    semoga rohnya diletakkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh

  20. Salam takziah.
    Benarlah,kita milik Allah.

    p/s : seronok dengar cerita kehidupan arwah.Rasa tenang dan yakin,dia selamat di sana.:)

  21. Al-Fatihah utk Allahyarham..

    i.Allah syurga menantinya..

  22. salam takziah ustz..

    إنا لله وإنا إليه راجعون

  23. Innalillahi wa inna ilaihi roji’un…salam takziah ustaz..mudah2an allahyarham dtmptkn dlm klgn org yg soleh.Amin…dan harapnya,kisah hidupnya bisa saya jadikan contoh buat diri…

  24. salam takziah ustaz, ustazah dan keluarga di penang

  25. Salam takziah ustaz n kak fariza..semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang soleh dan beriman.

  26. turut berduka cita.. tabah aja boss..
    salam kenal ya …
    bisa tukeran link ??
    di tunggu kunjungan baliknya …

    ======================================
    buat yang suka download film gratis atau apa aja yang gratis.. maen2lah ke
    forumom[dot]com[/]free (slash free nya jangan lupa.. musti kebawa, kalo ngga ntar nyasar :D)

    kalo mau dl videonya .. ada di silenceforum dot blogspot dot com coba aja

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: