Kedaulatan Malaysia di Tanjung Pagar

Kedaulatan Islam Malaysia ke atas Tanjung Pagar, Malaysia adalah isu asas dan pokok dalam sebarang perbincangan mengenai pembangunan ditanah berkenaan.

Singapura jamin pulihara stesen kereta api Tanjong Pagar

 

Kerajaan Singapura memberi jaminan akan melindungi Stesen Keretapi Tanah Melayu di Tanjong Pagar selepas mengambil alih stesen tersebut daripada kerajaan Malaysia pada tahun depan.

SINGAPURA 18 Okt. – Singapura hari ini berjanji akan memulihara stesen kereta api bersejarah selepas negara jiran, Malaysia menyerahkan hak milik tanah kereta api di negara ini.

Menteri Luar Singapura, George Yeo berkata, stesen kereta api Tanjong Pagar yang dibina pada zaman British menjajah kedua-dua negara terbabit akan dilindungi.

Bangunan yang terletak di kawasan pelabuhan dan perdagangan yang ultramoden di Singapura itu akan dikosongkan pada 2011 melalui satu perjanjian yang berjaya menyelesaikan pertikaian ke atas hak milik tanah antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Kemudahan di stesen berkenaan akan dipindahkan ke Woodlands yang terletak di kawasan pinggir di utara berdekatan perairan Malaysia.

“Stesen kereta api Tanjung Pagar akan dipulihara dan bakal menjadi pusat ‘tarikan’ bagi sebarang pembangunan baru yang dilakukan di kawasan sekitarnya,” kata Yeo ketika berucap di Parlimen hari ini.

Situasi semasa Singapura yang kekurangan tanah bagi tujuan pembangunan menyebabkan rakyatnya bimbang tapak stesen bersejarah tersebut akan dibangunkan untuk pembinaan pusat membeli-belah atau kondominium.

Minggu lalu, sekumpulan aktivis Singapura memulakan petisyen untuk memulihara bangunan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar serta sejarahnya untuk manfaat generasi akan datang.

“Saya mahu generasi akan datang mengetahui bahawa suatu masa dahulu, stesen ini menghubungkan Singapura dengan bahagian lain dunia… sebelum Internet memudahkan kita menggunakan Google bagi mencari sebarang maklumat.

“Bangunan lama mengingatkan kita mengenai asal-usul kita,” kata Carolyn Seet yang melancarkan petisyen itu pada Julai lalu dan mewujudkan sebuah akaun Facebook ‘Jadikan Stesen Tanjong Pagar sebuah Muzium’. – AFP

Petisyen selamatkan bangunan stesen KTM Tanjung Pagar

 

BANGUNAN bersejarah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Tanjung Pagar, Singapura. – AGENSI

SINGAPURA 12 Okt. – Tiada lagi gedung membeli-belah bergemerlapan, restoran anggun dan kondominium mewah, tetapi peliharalah budaya dan sejarah.

Begitulah rayuan daripada sekumpulan aktivis Singapura yang sudah memulakan petisyen untuk memelihara bangunan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar serta sejarahnya yang kaya untuk manfaat generasi akan datang.

Nasib stesen usang tetapi bersejarah milik Malaysia itu, terletak di kawasan perniagaan dan pelabuhan yang ultramoden di Singapura, membangkitkan nostalgia untuk zaman silam.

Stesen Tanjong Pagar yang dibina semasa zaman penjajah British akan dikosongkan menjelang Julai tahun depan di bawah perjanjian yang dimeterai baru-baru ini bagi menyelesaikan pertikaian tanah berlarutan antara kedua-dua negara.

Terminal KTM itu akan dipindahkan ke Woodlands, kawasan pinggir utara berdekatan Tambak Johor.

Masa depannya serta tanah KTM lain yang bakal diserahkan balik kepada Singapura adalah sebahagian daripada kajian semula berterusan oleh Lembaga Pembangunan Semula Bandar (URA) mengenai penggunaan tanah dalam tempoh 40 hingga 50 tahun akan datang.

Sekumpulan aktivis Singapura memulakan petisyen bagi memelihara stesen Tanjung Pagar kerana banyak bangunan zaman penjajah telah diubah suai untuk kegunaan komersial.

“Saya mahu generasi akan datang mengetahui bahawa suatu masa dahulu, stesen ini menghubungkan Singapura dengan bahagian lain dunia… sebelum Internet memudahkan kita menggunakan Google bagi mencari sebarang maklumat.

“Bangunan lama mengingatkan kita mengenai asal-usul kita,” kata Carolyn Seet yang melancarkan petisyen itu pada Julai lalu dan mewujudkan sebuah akaun Facebook ‘Jadikan Stesen Tanjong Pagar sebuah Muzium’.

Pakar teknologi maklumat itu menyarankan agar stesen tersebut dijadikan muzium seperti Musee D’Orsay, muzium di Paris yang terletak di tapak bekas stesen kereta api.

Seet berharap untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 1,000 tandatangan sebelum akhir tahun ini sebelum menyerahkan petisyen ke pejabat Perdana Menteri Lee Hsien Loong. – AFP

Singapura tawar tanah RM16b untuk konsortium

2010/09/22

SINGAPURA: Bidang tanah yang akan diberi Singapura kepada sebuah konsortium Malaysia-Singapura dalam usaha kedua-dua negara menyelesaikan pertikaian berpanjangan mereka dianggarkan bernilai sehingga RM16 bilion, kata penganalisis hartanah di sini semalam.

Tanah berkenaan yang terletak di Marina Bay di sini diserahkan kepada konsortium itu di bawah perjanjian antara kedua-dua negara yang menyaksikan Kuala Lumpur menyerahkan hartanah berkaitan kegunaan perkhidmatan kereta api yang dimilikinya di republik itu kepada Singapura. Singapura pula menawarkan dua tanah seluas 5.29 hektar di bawah perjanjian itu, menurut maklumat disediakan Kementerian Pembangunan Kebangsaan (MND). M-S Pte Ltd akan memperoleh pemilikan tanah itu untuk dibangunkan dengan 60 peratus ekuiti konsortium dimiliki Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus oleh Temasek Holdings.

Bidang tanah itu dikenal pasti sebagai kegunaan putih oleh MND yang boleh digunakan untuk pembangunan hartanah komersial bernilai tinggi. AFP

Malaysia-Singapura sepakat

SINGAPURA 20 Sept. – Malaysia dan Singapura hari ini memuktamadkan tawaran pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bersetuju isu caj pembangunan tiga bidang tanah dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.

Tiga bidang tanah yang terkandung dalam Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) terletak di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.

Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan kerja Perdana Menteri ke sini, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong bersetuju menerima sebarang keputusan mahkamah tersebut sebagai muktamad.

Pernyataan bersama itu turut menjelaskan walaupun dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa bagi menentukan sama ada syarikat usahasama M-S Pte. Ltd. perlu membayar caj-caj pembangunan, ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan POA serta inisiatif-inisiatif dua hala yang telah dipersetujui pada 24 Mei lalu.

“Kedua-dua negara mempunyai pandangan yang berbeza berhubung caj pembangunan dan bersetuju menyelesaikannya secara baik atas semangat persahabatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu pada sidang akhbar bersama Najib berkata, langkah merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa bukanlah satu masalah besar sebaliknya melegakan kedua-dua negara.

Kata Perdana Menteri, ia juga merupakan satu langkah penambahbaikan POA dari sudut politik dan perniagaan.

”Kita perlu berusaha bagi menjadikan ia betul dari aspek undang-undang dan politik serta boleh diterima oleh rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya.

”Kita juga mahukan satu perjanjian yang boleh bertahan selamanya dan lebih penting lagi kita perlu memandang ke depan dalam hubungan dua hala ini,” tegasnya.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sementara itu, Hsien Loong pula berkata, persetujuan itu dicapai dalam semangat persahabatan dan ia akan dibawa ke mahkamah itu dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Menurutnya, Singapura berpandangan caj pembangunan perlu dikenakan tetapi Malaysia melihat sebaliknya.

“Ia bukan sesuatu yang patut diperdebatkan. Jadi langkah terbaik ialah merujuk ke mahkamah berkenaan dan keputusannya nanti boleh diterima kedua-dua pihak.

“Langkah ini akan dapat menyelesaikan isu yang sudah tertangguh sejak 20 tahun lalu. Kita sudah boleh bergerak ke hadapan bagi meneroka pelbagai bentuk kerjasama lain,” katanya.

Najib dan Hsien Loong sudah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali sejak Mei lalu bagi menyelesaikan POA yang ditandatangani pada tahun 1990 berhubung status pembangunan tanah KTM Berhad di sini.

Pada Mei lalu kedua-dua negara bersetuju menubuhkan syarikat usaha sama M-S Pte Ltd bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah.

Tanah milik KTMB itu kini ditukar dengan empat bidang tanah yang terletak dalam kawasan kewangan dan perniagaan iaitu Marina Bay dan dua lagi di kawasan Ophir-Rochor berdekatan Kampung Glam.

Sementara itu seorang pegawai Malaysia berkata, sekalipun terpaksa membayar caj, projek pembangunan tanah di kawasan itu masih berdaya maju.

Bagi tujuan itu katanya, Khazanah Nasional sudah mendapatkan nasihat dan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara kerana kedua-dua negara mempunyai tafsiran berbeza dari sudut undang-undang.

Pasukan Pelaksanaan Bersama dijangka menyelesaikan perincian berhubung pelaksanaan POA menjelang 31 Disember 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: