Ustaz Hasan Elyan dalam kenangan

Di akhir zaman, Allah tidak mengangkat Al-Quran dengan menghilangkan tulisan dan kitab, tetapi Dia mengangkatnya dengan mematikan para Huffaz (orang-orang Hafiz AL-Quran) dan para Ulamak. Perginya Syeikh Hasan Elyan bagaikan baru semalam tetapi hakikatnya dia telah pergi mendapatkan Kekasihnya lebih 10 tahun yang lalu. Di pentas antarabangsa, beliau kurang dikenali, tetapi di alam tajmik, tarbiyah dan riyadah (kepimpinan, bukan riadhah), beliau menjadi buah mulut kawan dan lawan, di dalam Mesir dan teman-teman luar Mesir yang mengenali kehebatan dan sumbangannya.

Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya saya hendak memulakan penulisanku di pagi ini tentang detik-detik manis saya menziarahi beliau, kerana di saat ini saya menulis dengan lebih banyak air mata yang mengalir di pipi dari tulisan yang di taip di komputer.

Biar berdekad berlalu, nasihat-nasihatnya tetap segar diingatan, diukir dengan tinta emas di hati, menjadi bekalan saya di Jalan Dakwah ini sehingga ke hari ini.

Ahli Tafsir No. 1 Abad ke 20, Asy-Syahid Sayyid Qutb yang mengarang tafsir “Fi Dzilaalil Quran” dipenjara dizaman Ikhwan dipenjara berdekad lamanya (1954-1974). Pada tahun 1966, beliau digantung sampai mati oleh regim Presiden Jamal Abdul Nasir kerana penanya yang tajam, ilmunya yang tinggi dan pengaruh pemikiran yang banyak mengesani pejuang-pejuang Islam Abad 20 dan seterusnya.

Apabila Presiden Jamal Nasir bertekad tegas untuk menghapuskan jemaah Ikhwan Muslimin, dia memenjara kesemua ribuan pimpinan tunggak Ikhwan diseluruh pelusuk Mesir selama sekurang-kurangnya 20 tahun (1954-1974). Sebaik mereka dibebaskan dari penjara, lahir generasi baru berumur belasan dan dua puluhan tahun yang tidak pernah mengenali Dakwah ini, dan dididik oleh suasana persekitaran yang asing dari Islam yang sahih. Pimpinan Ikhwan yang baru keluar mendapati mereka berada didalam Dakwah Ikhwan Muslimin yang harus bermula dari kosong, kecuali diri-diri mereka yang telah dijauhkan dari masyarakat selama berdekad !!! Ketika ini terpancar keikhlasan dan ketokohan Syeikh Hasan Elyan. Beliaulah yang memulakan dakwah Ikhwan Muslimin di negeri Qalyubiah, 30 km di utara Kaherah, mengumpulkan pemuda, belia dan masyarakat sehingga dakwah Ikhwan Muslimin kembali bertapak kukuh dan tersebar di sana, di zaman yang baru dan bertarung menghadapi cabaran yang baru pula. Sangkaan Presiden Jamal Nasir meleset, usia beliau tamat pada tahun 1970, sedang usia dakwah Ikhwan Muslimin tidak berjaya beliau tamatkan, bahkan setelah mereka keluar dari penjara pada tahun 1974, dakwah terus berkembang dengan lebih kukuh, hasil usaha mereka yang telah dikentalkan iman dan azam setelah menjalani dugaan dan tapisan sepanjang kehidupan didalam penjara yang zalim itu. “Adakah kamu menyangka kamu akan masuk Syurga sedangkan belum kena kepada kamu apa yang telah dikenakan kepada orang-orang sebelum kamu. Mereka ditimpa siksaan, mudharat dan goncangan sehingga Rasul dan orang-orang bersamanya berkata ‘Bilakah datang kemenangan dari Allah’. Ketahuilah bahawa kemenangan dari Allah itu dekat” (Al-Quran).

Satu hari, seorang teman Arab mengajak saya menziarahi Syeikh Hasan. Walaupun tempat sandar kereta Fiat lamanya senget ke belakang, namun kegembiraan dapat menziarahi seorang ulamak yang besar sumbangan perjuangannya kepada Dakwah benar-benar menyebabkan saya berasa tempat duduknya lebih enak dari sebarang kereta mewah di Malaysia yang pernah saya naiki. Sudah lama saya mendengar tentang Syeikh Hasan, dan kali ini peluang untuk saya melepas rindu untuk menemui. Kereta kami meluncur laju ke negeri Qalyubiah, di utara Kaherah.

“Cuma satu peringatan!”, kata teman. “Apa dia?”, tanya saya. “Kita hanya boleh jumpa tidak lebih dari 5 minit, kerana dia sakit jantung. Hal ini semua orang dah maklum”. Saya pernah dengar orang lain berkata peringatan yang sama, maka sebab itu segera saya menjawab, “Baiklah, saya pun pernah dengar peringatan seperti itu”. Walaupun kami tiba awal-awal pagi, namum saya dapati telah ramai orang sedang duduk menunggu di anjung rumahnya. Setiap pagi ada sahaja kunjungan manusia yang ingin bertanya soalan, khabar atau sekurang-kurangnya bertemu dan mendapat sepatah dua nasihat bimbingan seorang ulamak theqah seperti Syeikh Hasan, satu fenomena yang jarang kedapatan di Malaysia pada hari ini, kecuali di sesetengah rumah bomoh tempat sebilangan orang-orang Melayu menunggu untuk berubat dan mendapat air jampi. Saya dan teman duduk menunggu giliran sambil mata menikmati pemandangan kebun tanaman di sebuah kampung di Mesir yang sungguh meredup dan menyenangkan hati.

Giliran kami tiba, semua tetamu sudah beredar. Syeikh Hasan mungkin umurnya menghampiri 70an. Tangannya terketar-ketar kesan penyakit yang dialaminya, namun percakapannya lancar, perkataannya jelas dan memberi kesan yang mendalam. Masa dah menghampiri 5 minit tapi saya masih belum puas mendengar kalimat-kalimatnya yang seperti saya sedang menadah guni menyambut mutiara-mutiara yang keluar dari mulutnya. Dia masuk sebentar ke dalam dan keluar membawa sarapan pagi. Saya memang suka sarapan pagi cara Arab, esh baladi (roti kampung), gibnah baladi (keju kampung dari susu kerbau), salatah (sayur mentah campur), tahinah (kacang tumbuk manis) dan lain-lain.

Kami khuatir sekiranya kami menyusahkan beliau di pagi itu. Dengan mengangkat sarapan dan sebagainya, tentulah akan memudharatkan kesihatannya. Tapi dalam masa yang sama hati kecil saya membuat kira-kira strategi, jika bersarapan bersama, tentulah masa pertemuan boleh memakan masa hingga lebih dari setengah jam, bukan sekadar 5 minit yang sudah pun berlalu.

Beliau terus memberi nasihat dan pengalaman diantaranya bersama kisah-kisah beliau bersama Imam Hasan Al-Banna sendiri. Ketika itu beliau masih di bangku sekolah menengah. Kesempatan pendik blog ini saya bawa nasihat beliau tentang tarbiyah anak-anak. Beliau menyebut terdapat para Duat yang berjuang di Jalan Dakwah tetapi anak-anak mereka berselerakan terbiar tanpa terlibat dalam jalan yang ayah ibu mereka perjuangkan. Ketika itu, ia suatu berita yang pelik bagi saya, bagaimana si ayah dan ibu berjuang dan berkorban ke satu arah tertentu sedang si anak berjuang ke arah yang berbeza dalam hidup. Namun, setelah kembali ke Malaysia, apa yang beliau cerita yang berlaku sedikit sebanyak di Mesir, lebih parah berlaku pada ramai mereka yang saya sendiri kenali maupun yang saya dengar di Malaysia yang serba Boleh ini.

Jika dakwah ini adalah Dakwah Allah (Dakwatullah), tiada siapa yang mampu menghentikannya. Demikian keyakinan Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna. Tanggungjawab kita ialah memastikan jemaah kita adalah jemaah yang rabbani, didokong oleh pendokong-pendokong yang Rabbaniyuun menuju ke matlamat yang rabbani melalui satu Manhaj yang rabbani pula.

“Anak-anak kita mesti dididik dengan Tarbiyah Islam yang tersusun, bersungguh, berterusan, ….barulah nanti mereka menghayati dan berjuang di dalam Jalan Dakwah ini. Baru lah mereka menyertai Dakwah bersama kita sebagai ayah-ayah mereka”, ujar beliau. Kami mengangguk-angguk. Mudahnya logik ini, takkan para Duat tak faham-faham, fikirku. Takkan si ayah rela anaknya berjuang arah lain. Aku sendiri tak rela. Takkan mudah sebegitu sahaja ikut Jalan Dakwah, tentulah mesti melalui proses Tarbiyah Islam yang tersusun, bersungguh, berterusan dsb.

Setelah itu Syeikh Hasan menyambung lagi, “dan mereka (anak-anak) tidak mungkin sertai Jalan Dakwah ini sekadar si ayah mengajak dengan berkata “Khosh Ikhwan ya ibnil Kalbb !!” (Hoi anak tak guna! Masuklah (kedalam dakwah) Ikhwan!”. Betul juga, fikir ku. Macamana si anak nak masuk Jalan Dakwah, hanya dengan ajak macam tu, tanpa tarbiyah, pengawasan, perancangan dan penglibatan aktiviti yang berterusan. Nak ambil jalan mudah, hanya dengan memberi arahan tanpa usaha yang sepatutnya, hasilnya tidak terjamin. Dalam masa yang sama, hati saya tercuit geli hati ungkapan yang beliau contohkan “Hoi anak tak guna! Masuklah Dakwah!”.  Geli hati tak tertahan lalu saya mula ketawa, temanku juga ketawa lalu Syeikh Hasan juga ketawa. Memang orang Mesir suka berjenaka, berbanding Arab negara-negara lain. Hairannya ketawa kami berpanjangan, tak tertahan. Hai …camana boleh berhasil ajakan ayah seperti itu.

Pulang ke Kaherah, saya bertemu dengan seorang lagi rakan dan bercerita pengalaman bertemu Syeikh Hasan Elyan. Dia bertanya, “Pertemuan 5 minit ke?”. Saya menjawab gembira, “Lebih setengah jam, bahkan kami bersama-sama ketawa sahaja memakan masa lebih 5 minit!”. Beliau hairan bagaimana Syeikh hasan Elyan boleh melayan tetamunya yang khas ini melebihi masa 5 minit yang sudah dimaklumi semua.

Ketika masih seorang pemuda, beliau tekun dan bersungguh dalam menjayakan Dakwahnya. Dalam satu pemilihan kepimpinan di negeri Qalyubiah, Ustaz Hasan Elyan terpilih menjadi masul negeri. Beberapa orang dari golongan yang lebih berumur mungkin berasa kurang senang dengan perkembangan ini dan berita itu sampai kepada Imam Hasan Al-Banna, lalu beliau segera berkunjung ke sana dan membuat pengumuman di depan seluruh Ikhwan negeri tentang pemilihan Ustaz Hasan Elyan sebegai masul baru bagi negeri Qalyubiah, dan beberapa “tokoh veteran” tersebut dilantik menganggotai satu majlis di Pusat (Kaherah) !!! Pengumuman ini menyenangkan semua pihak. Dengan ini api fitnah berjaya dikekang dari mula hendak membara. Bagitulah hikmahnya pandangan dan tindakan Imam Hasan Al-Banna dalam membina organisasinya (Foto: Imam Hasan Al-Banna duduk di tengah).

Selang beberapa tahun selepas ziarah yang bersejarah itu, Syeikh Hasan meninggal dunia. Berita kematian hanya saya ketahui beberapa hari selepas itu. Saya menegur seorang lagi teman Arab yang saya temui kerana tidak memaklumkan kepada saya pada betulbetul hari kematian Syeikh Hasan. Dia menjawab, “Aku tahu, engkau seorang yang harus dimaklumi tentang kematiannya, dan aku tahu jika engkau mendapat tahu tentang kematiannya pada hari tersebut, engkau pasti akan bersegera ke negeri Qalyubiah untuk menziarahi jenazahnya walaupun jaraknya jauh dan engkau sanggup menangguh kerja-kerja yang lain, tapi aku juga tahu engkau mempunyai tugas yang banyak di Kaherah. Oleh itu sengaja aku tidak memberitahumu”.  Ketika di Mekah tahun 1996, saya memaklumkan berita kematian Syeikh Hasan Elyan kepada teman rapatnya, Syeikh Dr. Abdul Sattar, seorang ulamak hadis di Saudi Arabia (kini juga telah meninggal dunia) yang pernah belajar di Kaherah. Berita kematiannya disambut oleh beliau dengan kesedihan dan doa.

Kata Ustaz Hasan Elyan kepada saya, “Hasan Al-Banna mengajar kami 3 perkara yang tertanam kukuh di dalam hati-hati kami. Pertama Islam adalah agama yang benar. Kedua kita mesti berbangga dengan Islam yang kita anuti. Ketiga, Islam yang kita perjuangkan pasti akan dimenangkan Allah”. MasyaAllah, alaangkah ringkasnya, mudah menjadi formula hidup dan pembakar semangat disepanjang jalan Dakwah ini sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir. Formula ini jugalah diantara yang menjadikan Ikhwan sebagai pencabar dan pengagal utama projek Kuasa-kuasa Besar Dunia untuk menjajah bumi Islam dan melenyapkan aqidah umatnya.

Semoga Allah merahmati para ulamak di Jalan Dakwah ini, meluaskan kubur mereka, mengampunkan kesalahan-kesalahan meraka, menerima amal Dakwah dan Jihad mereka dan ditempatkan bersama Ramsulullah saw di Syurga Firdaus yang tertinggi. Nasihat-nasihat beliau temasuk mengenai Tarbiyah Anak-anak di Jalan Dakwah ini akan terus saya dan isteri patuhi dan usahakan walau banyak mana masa dan harta yang mesti kami korbankan. “Ya Allah, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat kami sebagai penyejuk mata. Dan jadikan kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa” (Al-Furqan:74).

Ustaz Halim  http://www.inijalanku.wp.com

Advertisements

14 Respons

  1. jazakAllah ustaz, perkongsian bermakna. semoga roh beliau terus diberkati dan dirahmati Allah. dan semangat perjuangannya dapat kita hayati dan hidupkan.

  2. allhummaftah alaik ya ustazna~

  3. subhanallah…bestnya dapat nasihat dari seorang ulama yang juga anak didik ustaz Hassan al-Banna secara langsung…semoga kita terus tsabat di jalan Allah ini…

  4. jzkkk ustz ats p’kongsian y sgt tasywiq..sgt m’impikan utk
    jd jiil y menyusuri jejak mrk n murabbi yg tlh melalui jln ini

  5. Beruntungnya ustaz dapat bertemu beliau…semoga Allah memberi jalan kepada kita untuk menyusuri jejak yang sama…cuma senario berbeza.

  6. apabilaku membaca 3 pesanan imam al-banna, hendak mengalir airku.
    semoga thabat dlm dakwah.

  7. Salam.

    kalau di tanya kepada saya,pernahkah saya mendengar nama Ustaz Hasan Elyan,tentu sekali jawapannya adalah tidak pernah.mengetengahkan tokoh2 dakwah yang berwibawa dan istiqamah seperti ini serba sebanyak memberi kita motivasi bagaimana mahu membentuk diri dan keluarga dalam meneruskan usaha dan mencari erti sebenar keHIDUPan.

    Jazakallah Ustaz.
    (sudah sampai ke tanahair ke? ingin juga kami sekeluarga berziarah ke sana.moga di doakan semoga dapat bertemu….)

  8. […] Ustaz Hasan Elyan dalam kenangan Di akhir zaman, Allah tidak mengangkat Al-Quran dengan menghilangkan tulisan dan kitab, tetapi Dia mengangkatnya […] […]

  9. […] dari blog ust. halim https://inijalanku.wordpress.com/2010/12/28/ustaz-hasan-elyan-dalam-kenangan/ […]

  10. Salam sheikh, mana sheikh tau Sayyid Qutb syahid? Rasa ada hadis yang melarang kita kata orang itu syahid. Rasanya sheikh lagi tau kot. Janganlah sebab sheikh ni pendukung gerakan IM sehingga membelankangi sunnah.. Mohon maaf jika saya salah.

    • Banyak kitab menyebut beliau sebagai Asy-Syahid Sayyid Qutb kerana beliau digantung mati kerana perjuangan Islamnya. Itu penilaian zahir penulis-penulis kitab, sebagai manusia yang hanya melihat zahir. Serahkan yang batin dan hakikat kepada Allah swt. Mabrur atau tidak haji seseorang tidak menghalang kita memanggil tuan sebagai Haji Aliff atau Al-Haaj Aliff (dlm bahasa Arab yang betul), sekiranya nampak zahir dia pernah buat Haji di Tanah Suci. Kita serahkan yang batin dan hakikat kepada Allah swt. Saya belum pernah dengar hadis melarang kata seseorang itu syahid. Ada Ayat Al-Quran mengatakan jangan kita kata orang yg terbunuh dijalan Allah (syahid) sebagai “amwat” (orang-orang yang telah mati), bahkan mereka hidup dan diberi rezeki oleh Tuhan mereka (Al-Baqarah). Tkasih.

  11. Jawapan yg padat & tepat sekali kpd Haji Aliff (& diri saya sendiri)… teringat soalan yg sama pernah dilontarkan kpd saya oleh junior2 di universiti dahulu yg menjadikan isu ini agak ‘syubhah’… sekarang baru ketemu jawapannya… jzkk Ustaz Halim, Insya Allah moga ketemu lagi…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: