Dakwah kita adalah Dakwah Cinta

Bila menyelami hakikat cinta, saya teringat tragedi yang menimpa sahabat lama saya Allahyarham Baharudin yang lemas bersama 3 orang anaknya sekitar awal tahun 2000an. Kami pernah bersama-sama menuntut di Australia pada tahun 1980an dan bertemu dalam program-program nasional seAustralia. 

Pertemuan yang paling saya ingat ialah didalam perkhemahan musim panas pertama dianjurkan iaitu Summer Camp 1984 di Marion Mosque, Adelaide.

Apa yang telah berlaku dalam tragedi itu ialah mereka sekeluarga berkelah di pantai Desaru, Johor, dimana Allahyarham cuba hendak menyelamatkan anaknya yang dibawa ke tengah laut oleh ombak sehingga dia sendiri hanyut. Dalam masa yang sama, rupa-rupanya di belakang beliau, ada anaknya juga yang lain yang ingin menolong bersama-sama ayahnya walaupun usianya kecil, lalu bertarung dengan ombak besar yang tinggi lagi ganas, lupa kemampuan diri demi ayah dan adik beradik yang dicintai. Tragedi berakhir dengan kesemua 4 orang mereka mati lemas ditelan ombak.

Allahyarham Baharuddin dan 3 anaknya yang mati lemas di pantai Desaru membuktikan cinta mereka sesama mereka walau ditahap mana umur mereka ketika itu.

Dak wah dan perjuangan yang diasaskan atas cinta dan ukhuwwah memberi kesan dan hasil yang jauh berbeza berbanding dengan usaha yang diasaskan atas asas yang lain. Demikian juga yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat ra kepada kita hari ini.

Saya kagum dengan salah satu dari naluri manusia yang diciptakan Allah swt untuk manusia iaitu perasaan cinta dan sayang. Cinta ini boleh ke tahap seorang boleh melupai dirinya demi untuk apa atau siapa yang dicintainya. Demikianlah potensi cinta. Ia boleh mencetuskan keajaiban-keajaiban yang tidak tergambar oleh manusia. Allah swt menciptakan musuh-musuh Agama dan segala bentuk kemampuan mereka merencana dan bertindak. Tetapi Allah juga mencipta Rasul-rasulNya, para Mujaddid dan Duat seperti kita sehingga ke Hari Kiamat. Dia Yang Maha Berkuasa membekali dalam naluri kita potensi Cinta, agar kita bermatian berjuang melupai keselesaan diri, demi Dia, Rasul dan AgamaNya.

Seekor burung yang baru dilanggar kenderaan laju.

Pasangannya cuba menyelamatkannya sedaya mungkin.

Kecederaan teruk organ-organ dalamannya tidak memungkinkan ia hidup lebih lama dari pertemuan terakhir itu. Namun pasangannya tidak berputus asa cuba mengejutkannya atau memberinya semangat untuk terus hidup.

“Ihbib man syi’ta, fa innaka mufarikuhu” (Cintailah siapa yang engkau kehendakki, sesungguhnya engkau adalah orang yang akan berpisah dengannya) (Syair Arab).

Oleh sebab itu, Cinta banyak diulang-ulangi di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. “Katakan (kepada mereka ya Muhammad) sekiranya kamu mencintai Allah maka ikutilah (perjuangan) aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu” (Ali Imran:31). Rasul saw bersabda bermaksud, “Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ALlah dan RasulNya lebih dia cintai melebihi dari selain kedua-duanya” (Hadis).

Bagi pecinta-pecinta Islam yang hakiki, tiada yang lebih besar cara membuktikan di depan Allah akan cinta mereka ini selain bekerja keras untuk memenangkannya berdepan dengan musuh-musuhnya, melupai keselesaan diri di rumah atau di pejabat, atau perniagaan yang menggoda dengan peluang-peluang keuntungan yang banyak. Duat lebih rela mengorbankan jiwa, duit, masa dan nyawa demi mencapai cita-cita Islam yang telah dia fahami dan pusakai dari Seerah Rasulullah saw, kekasih yang dicintainya.

Yang aku mahu dengan Ukhuwwah itu ialah hati-hati dan ruh-ruh diikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Ukhuwwah adalah adik beradik kepada Iman, sedang perpecahan adalah adik kepada Kekufuran. Kekuatan pertama ialah kekuatan Kesatuan. Tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Minina kasih sayang ialah berlapang dada. Maksima kasih sayang ialah Ithar (mengutamakan seseorang melebihi diri sendiri). “Sesiapa yang selamat dari kebakhilan diri sendiri, mereka orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr). Seorang akh yang jujur (dalam Ukhuwwahnya) melihat ikhwahnya lebih utama pada dirinya dari dirinya. Ini adalah kerana sekiranya dia tidak bersama mereka, dia tidak akan dapat bersama selain mereka. Sedang mereka pula, jika tidak bersama dia, mereka bersama selain dia. Hanyasanya serigala memakan kambing yang bersendirian. “Orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kuat menguat antara satu sama lain” (Hadis). “Orang-orang beriman lelaki dan perempuan adalah wali (penolong) diantara satu sama lain” (Al-Quran). Beginilah kita sepatutnya. [Imam Hasan Al-Banna]

Oleh itu, satu hakikat penting yang harus kita sama-sama insafi dan hidupkan didalam perjuangan ini ialah Dakwah kita ini menyeru kepada Cinta. Cinta Allah, Rasul dan balasan di Akhirat sebagai asas. Begitu juga Dakwah kita mengajar agar cinta kepada teman-teman seperjuangan dan masyarakat Islam disekeliling kita. Dari asas dan titik tolak perasaan Iman dan Cinta inilah kita menyeru manusia. Ke arah Cinta juga kita mendidik mereka sehingga mereka pula menjadi pejuang-pejuang Agama dan Kebenaran yang kuat kecintaannya kepada Allah, Rasul dan oranag-orang beriman.

Kita mahu masyarakat kita mengetahui bahawa mereka adalah lebih kita sayangi dari diri kita sendiri. Mereka adalah kekasih jiwa-jiwa kita ini, hingga jiwa dan nyawa kita rela terkorban menjadi tebusan demi mencapai keagungan untuk mereka, sekiranya perjuangan menuntut tebusan sedemikian. Jiwa-jiwa kita rela bersusah payah membayar harga yang mahal demi mendapatkan kemuliaan bagi agama dan cita-cita mereka. Kita tidak mengambil pendirian sedemikian melainkan kerana perasaan cinta ini yang telah memenuhi segenap hati-hati kita, melupakan kita tentang tempat tidur dan mengalirkan airmata kita. Amat berat kita rasakan terhadap apa yang sedang dialami oleh masyarakat kita. Kita bekerja di jalan Allah untuk orang ramai lebih banyak dari kita bekerja untuk diri kita sendiri. Kami adalah untuk anda semua wahai kekasih-kekasih kami, bukan untuk selain kamu. Tidak akan datang hari dimana kami berjuang untuk selain kamu” (Imam Hasan Al-Banna).

Sebaliknya sebarang perjuangan lebih-lebih lagi perjuangan Islam yang tidak didasari dan diwarnai dengan Ukhuwwah dan kasih sayang adalah perjuangan yang pasti akan gagal. Ini adalah kerana tanpa kasih sayang, organisasi tersebut telah hilang salah satu ciri keimanan yang terpenting seperti yang dianjurkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran, dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat. Kita sendiri dapat gambarkan sekiranya perjuangan yang tidak mempunyai gaji dan upah seperti Dakwah ini tidak mampu menyirami anggota-anggotanya dengan Iman dan Ukhuwwah, lambat laun mereka akan lebih tertarik dengan dunia dengan segala perhiasan dan godaannya. Contoh dan pengalaman yang berlaku di depan mata kita terlalu banyak berlaku. Kata mengata, jatuh menjatuh, cantas mencantas sebenarnya membakar hangus isi dan intipati ruh perjuangan sesebuah jemaah seperti api di dalam sekam.

“Orang yang merdeka hatinya adalah orang yang meraikan saat-saat manis walau sesaat dan bergabung dengan oang yang memberinyanya menfaat walau melalui sepatah perkataan” (Imam Syafie). Jika asas perjuangan hanya semangat dan isu-isu semasa, ianya bermusim dan pasti menyejuk dalam masa terdekat. Jika asas perjuangan adalah aqidah, faham dan kasih sayang, ia berkekalan untuk masa yang panjang. (Foto hiasan : Rehlah tarbawiyah di Mesir tahun-tahun 1990an).

Ya ALlah, kurniakan kami kecintaan kepadaMu, rasulMu dan kekasih-kekasihMu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan AgamaMu. Kasihkan kami kepada isteri, anak-anak dan keluarga kami. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin.

(Ini diantara artikel terawal INIJALANKU. Dipos pada 2 November 2007. Ia dipos semula dengan ubaisuaian).

Ustaz Halim  http://www.inijalanku.wp.com

9 Respons

  1. JazakaAllahu khoiran kathira ya ustaz.

    Masih segar dalam ingatan, bahawa Dakwah itu kasih sayang, bukan suara lantang semata-mata utk menarik perhatian orang, akan tetapi sapaan lembut Duat itu yg menyentuh hingga ke hati sehingga hati tadi tertambat dengan Dakwah atas dasar Aqidah dan Ukhwah.

  2. Tak sangka ustaz adalah salah seorang sahabat bapa ana. Mari teruskan usaha Dakwah kita!

    • Ana ulang siar sekali lagi artikel ini beberapa hari lalu, kali ini dengan foto kami ISMA Negeri Sembilan menziarahi pusara ayah dan adik-adik Mustafa. Di mana Mustafa, ibu dan adik-adik sekarang ? Ibu masih mengajar ? Mohon no tel Mustafa. Sampaikan salam saya dan isteri (Fariza Ibrahim ex-Brisbane) kepada semua di sana. Us Halim, Seremban, N9.

  3. Jazakallah for artikel ini.

  4. JazakaAllahu khoiran kathira

  5. Assalmualaikum ustaz, ana amat tertarik dengan ‘penyatuan’.

    tetapi, sering bermain difikiran ana, bilakah penyatuan jemaah2 islam di malaysia ini boleh berlaku..??

    tidakkah jika kita semua bersatu, kita akan lebih kuat…?

    apa yang mnyebabkan kita semua tidak bersatu..?

    adakah kerana semua mahukan kuasa..?

    adakah semua pentingkan pendapat mereka adalah yang terunggul..?

    tidak bolehkah kita semua berlapang dada hanya kerana agama ALLAH, dan penyatuan yang lebih mmbawa banyak manfaat.

    adakah kita semua pentingkan kemasyhuran…?nama…?

    ana sangt sedih pabila mngkaji kembali sejarah.

    wahai pemuda islam bersatulah, agama islam mennanti kehadiranmu..

    • Waalaikumsalam wr wb

      Untuk berjaya, penyatuan idaman hendaklah berlaku secara berfasa, kerana ia merai sunnatullah, iaitu proses yang beransur-ansur. Untuk ketika ini penyatuan yang mesti diusahakan ialah kesepakatan, bermakna pimpinan-pimpinan gerakan dan parti Islam boleh duduk bersama berkala untuk berbincang dan mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara. Di badan mana saudara/i berada, saudara/i hendaklah menggesa pimpinan saudara/i agar boleh duduk semeja dengan barisan pimpinan badan-badan Islam yang lain. Begitu juga saya mesti menggesa pimpinan saya agar boleh duduk dengan barisan pimpinan badan-badan lain. Dengan Aqidah yang satu, saya percaya dalam memperjuangkan Agenda Islam yang sama, jika bukan seratus, setidak-tidaknya mesti ada beberapa perkara yang boleh disepakati bersama. Jika masih tidak ada, bahkan tidak boleh duduk bersama, berkemungkinan besar pimpinan tersebut bukan memperjuangkan Agenda ahli-ahli yang memilihnya, akan tetapi mereka menjalankan agenda-agenda pihak lain, luar atau dalam. Wallahu aalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: