AS memveto resolusi PBB kutuk pembinaan haram Yahudi

Kerja keras dan penguasaan Yahudi terhadap ekonomi, sosial dan politik Amerika masih kukuh.

Dokongan Amerika kepada Israel tidak berbelah bagi walau berubah pucuk pimpinannya sejak dahulu hingga kini. Pada Jumaat 18 Feb 2011 lalu, Amerika sekali lagi memveto resolusi PBB yang mengutuk pembinaan haram taman-taman perumahan baru yang berterusan di atas tanah-tanah umat Arab di Palestin walaupun resolusi tersebut mendapat undi 130 negara anggota PBB!!. Ini adalah veto pertama sejak Obama menjadi presiden Amerika. (Rujuk : http://www.bing.com/search?setmkt=en-MY&q=america%2Bvetoed%2Bun%2Bresolution%2Bon%2Bisraeli%2Bsettlement%2Bfriday). Dengan kuasa Veto oleh salah sebuah dari 5 negara Anggota Tetap (Us, UK, China, Rusia, Perancis) dalam Majlis Keselamatan (The Security Council), sebarang resolusi PBB boleh dibatalkan walaupun ia mendapat undi majoriti dalam Perhimpunan Agung PBB.

Resolusi mengutuk pembinaan penempatan Yahudi di tanah-tanah Palestin mendapat undi majoriti negara-negara anggota PBB Jumaat 18 Feb 2011 lalu.

Jumaat 18 Feb 2011 lalu, Presiden Barack Obama, melalui wakilnya di PBB, Susan Rice, memveto Resolusi PBB yang mengutuk Yahudi Israel membina penempatan-penempatan di tanah-tanah Palestin, sekaligus membantu merancakkan lagi proses pengYahudian negara Palestin sedikit demi sedikit sehingga menjadikan seluruh bumi tersebut milik Yahudi sepenuhnya.

PBB secara resminya ditubuhkan pada 24.10.1945, kira-kira 22 tahun setelah Khilafah Islam diruntuhkan (29.10.1923). Perlembagaan PBB disiapkan oleh 5 Anggota Tetap Majlis Keselamatan (Security Council) dan persidangan pertama oleh 51 negara anggota berlangsung di Westminster Hall, London. Walaupun Islam mewakili 1/5 atau 20% dari penduduk dunia, namun Islam tidak mempunyai kedudukan sebagai Anggota Tetap dalam Majlis Keselamatan PBB, sedang Barat Kristian Kapitalis diwakili oleh 3 negara (US, UK dan Perancis) dan Timur Atheis Komunis diwakili oleh 2 negara (Rusia dan China). Kesan langsungnya ialah isu umat Islam sering tidak mendapat pembelaan antarabangsa seperti isu penjajahan keatas Palestin, Kashmir, Mindanao, Chechnya, Bosnia, Selatan Sudan, Cyprus dan sebagainya. Bahkan banyak keputusan yang boleh memihak kepada umat Islam sering disekat dengan cara Veto oleh anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Disebabkan telah runtuhnya Khilafah Islam Uthmaniah, umat Islam tidak lagi mempunyai struktur antarabangsa yang tersendiri lalu mahu tidak mahu satu demi satu negara umat Islam menganggotai PBB untuk menjadi sebahagian dari apa yang diistilahkan dalam ungkapan Barat kononnya sebagai “The International Community” (Masyarakat Antarabangsa). Peristiwa Masjid Al-Aqsa dibakar oleh yahudi pada Ogos 1969 membawa kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan menubuhkan Organisation of Islamic Conference (OIC) pada tahun 1972 bertujuan “menggalakkan kerjasama dibidang ekonomi, sosial, sains, rohani dan budaya”, seperti yang diumumkannya kepada dunia, tanpa berani menyebut apatah lagi melibatkan kerjasama dibidang ketenteraan dan kekuatan. Oleh itu OIC tidak mampu mengambil tempat PBB yang memiliki kekuatan melalui keputusan ketenteraan dalam Security Council (Majlis Keselamatan PBB), menjadikan mereka umat yang sentiasa meraih simpati dan menunggu-menunggu keputusan untuk memihak kepada mereka sedang itu jauh untuk berlaku apatah lagi jika ia berkait dengan kepentingan Kuasa-kuasa Besar Dunia atau Negara Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB dan kepentingan Israel yang menguasai politik dan keputusan negara-negara berkenaan.

Oleh itu menganggotai PBB yang diterajui oleh bukan-Islam adalah bertentangan dengan firman Allah swt bermaksud, “Dan Allah sekali-kali tidak memberi jalan (meredhai) orang-orang kafir mengatasi orang-orang beriman” (Surah An-Nisak : ayat 141). Berdalil ayat yang sama, Islam tidak membenarkan wanita Islam mengahwini lelaki Ahlul-Kitab dan membenarkan sebaliknya. Begitu juga Islam tidak membenarkan Wilayah Ammah (pemimpin tertinggi dalam negara) dipegang oleh seorang kafir sedang rakyatnya adalah orang-orang beriman. Dengan ini adalah suatu yang wajib keatas umat Islam bekerja keras untuk mengembalikan struktur dan sistem Khilafah Islam yang dengannya umat Islam akan terbela dan kebenaran antarabangsa dapat ditegakkan. Sesiapa yang tidak bekerja kearah mencapai cita-cita besar ini, dibidang, tempat dan skop masing-masing, maka dia berdosa dan akan dipersoal dan diadili oleh Allah swt sekeras-kerasnya di Akhirat kelak.

Khilafah Islam tidak ditegakkan melainkan oleh Negara-negara dan Kerajaan-kerajaan Islam yang hakiki yang tidak mungkin tertegak melainkan oleh Masyarakat Islam yang hakiki pula di setiap negara berkenaan. Masyarakat tidak lain melainkan Keluarga Islam yang besar, sedang Keluarga Islam adalah Masyarakat Islam yang kecil. Keluarga Islam yang hakiki tidak mungkin dapat dibina melainkan oleh Individu-individu Islam yang sejati. Dari sini usaha berdakwah di tengah-tengah masyarakat dan mentarbiyah individu merupakan rukun terpenting dan paling asas kearah mencapai cita-cita mengembalikan Khilafah Islam yang telah hilang.

Muhammad Al-Fateh memimpin tentera Islam mengalahkan Eropah Kristian dan membuka Istanbul pada 29.5.1543. Ketika itu beliau berumur 21 tahun, umur pra-siswazah di Malaysia hari ini.

Masa telah tiba untuk umat Islam melihat dan menilai apa yang telah dan sedang berlaku disekeliling mereka. Kesemuanya apan membawa kepada kesimpulan yang tidak diragukan lagi bahawa kembali kepada ajaran dan penghayatan Islam merupakan satu-satunya jalan untuk membangkitkan kembali umat ini dan mengembalikan mereka ke posisi kepimpinan dan pembimbing dunia. Bukankah ini juga yang ditegaskan leh Allah swt dalam tiga kali firmanNya bermaksud, “Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan Petunjuk dan Agama yang benar, agar Dia memenangkannya (Agama Islam) mengatasi semua agama, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai” (At-Taubah ayat 33) (Al-Fath ayat 28) (As-Saff ayat 9), iaitu Agam Islam ini mesti mengatasi kesemua agama dan sistem yang ada di dunia ini. Inilah juga tujuan diutuskan Rasul-rasul dan didatangkan pengikut-pengikut mereka. Oleh itu ini adalah tugas yang paling mulia bagi manusia. Mereka yang terlibat di dunia bersama para Nabi akan bersama mereka di Syurga Firdaus di Akhirat nanti ” … bersama  para Nabi, As-Siddiqeen, Asy-Syuhadak dan As-Solihin” (An-Nisak ayat 69). Tidakkah orang ramai hari ini menyedari ayat ini. Jika menyedari akan ayat ini, tidakkkah mereka memahaminya dan segera bangkit untuk merebut peluang dan kedudukan yang tinggi ini ?

“Sesungguhnya menbentuk Umat, mentarbiyah masyarakat, mencapai cita-cita, memenangkan prinsip memerlukan dari umat yang cuba kearah itu, atau dari satu golongan yang berdakwah kepadanya, sekurang-kurangnya memiliki kekuatan jiwa yang hebat iaitu kemahuan kuat yang sekali-kali diserapi difat lemah, kesetiaan teguh yang tidak mengendur atau khianat, pengorbanan besar yang tidak dihalang oleh sifat tamak atau bakhil, mengetahui dan menghormati prinsip yang boleh menjaganya dari kesilapan, menyeleweng, bertolak ansur atau tertipu oleh orang lain” [Imam Hasan Al-Banna].

Peristiwa kebangkitan umat di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab yang lain menunjukkan hari dimana tekanan, ketidakadilan, veto, kediktatoran dan seumpamanya yang cuba menindas, menakut, menghina dan memperbodohkan manusia, adalah hari yang ada tarikh akhirnya. Ini samada diperingkat negara maupun diperingkat antarabangsa. Apa yang dituntut adalah umat ini mesti bangkit, keluar dari zon ketakutan dan kehinaan kepada zon merdeka jiwa, sangggup berkorban dan kuat semangat dan iman dalam memenangkan prinsip.

Moga Allah swt memilih kita dari kalangan yang sedemikian. Ameen.

Ustaz Halim   http://www.inijalanku.wp.com

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: