Hadith Ifk (kisah Aisyah ra) petunjuk bagi Umat dalam isu skandal seks

Dato Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang kini.

Tuduhan yang berlaku keatas Anwar Ibrahim memberikan kefahaman yang lebih mantap betapa Allah swt menjadikan Hadith Ifk (berita bohong keatas Aisyah) sebagai salah satu kisah didalam Seerah Rasulullah saw yang bakal menjadi petunjuk kepada Umat hingga ke Hari Kiamat. Perancangan manusia, terutama yang pakar, adakalanya hebat sehingga disifatkan oleh Allah swt “Sesungguhnya mereka telah melakarkan perancangan mereka, sedang perancangan mereka ada disisi Allah, walaupun perancangan mereka (boleh) untuk melenyapkan bukit bukau” (Surah Ibrahim : ayat 46). Oleh itu pada saya, sesiapa dikalangan Umat yang hidup dan mengambil pendirian dalam hidupnya, tanpa berpandukan Al-Quran, adalah tidak mudah untuk memilih sikap yang tepat dalam senerio tuduhan liwat keatas Anwar Ibrahim, sedang panduan dari Allah swt amat jelas, ringkas dan mudah dilaksanakan. Ketika posting ini ditulis, belum ada sebarang Pengakuan oleh Anwar Ibrahim dan tiada 4 orang  Saksi dikemukakan oleh pihak Penuduh, direkodkan oleh pihak Mahkamah atau diumumkan kepada masyarakat. Apa yang akan berlaku esok adalah didalam ilmu Allah swt. “Setiap hari mempunyai urusannya tersendiri …” (Surah Ar-Rahman : ayat 29)

“Dan hukumlah mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan jangan kamu turuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui” (Al-Quran)

Secara amat ringkasnya panduan tersebut ialah :

  1. Sebarang pertuduhan zina atau liwat hanya sabit keatas yang dituduh melalui salah satu dari 2 cara iaitu (i) Pengakuan oleh orang yang dituduh, atau (ii) Persaksian oleh 4 saksi dari pihak yang menuduh. Tanpa salah satu dari (i) atau (ii), orang yang dituduh adalah bebas seperti seadanya, manakala 3 orang saksi atau kurang tersebut disebat sebanyak 80 kali sebatan kerana menyampaikan berita tanpa bilangan saksi yang cukup (4 orang). Firman Allah swt bermaksud, “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kemudian dia tidak mendatangkan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Jangan ambil persaksian mereka (selepas itu) selama-lamanya. Mereka adalah orang-orang fasik” (An-Nur:4).
  2. Segala bentuk persaksian dan bahan bukti selain dari 4 saksi seperti tilam, DNA, video, seluar dalam, diari harian dan sebagainya tidak boleh menjadi saksi mutlak yang boleh mengambil tempat menggantikan rukun 4 saksi di atas yang diminta oleh Allah swt dalam Al-Quran. Ia boleh dijadikan bahan-bahan pendesak oleh pihak Pendakwa kearah membuat orang yang dituduh supaya membuat Pengakuan. Inilah yang berlaku keatas Chua Soi Lek (Ketua MCA Pusat sekarang) yang akhirnya mengaku apabila ditayangkan video adegannya, atau Tiger Woods (lagenda sukan golf antarabangsa) apabila berita mengenai skandalnya terbongkar di akhbar. Adapun sekiranya setelah dikemukakan bahan-bahan pendesak kearah membuat Pengakuan, namun orang yang dituduh menafikan atau tidak membuat sebarang pengakuan, maka pihak Pendakwa yang terus terang menuduh seseorang itu zina atau liwat disebat sebanyak 80 kali sebatan, hukuman hudud dari Allah swt Yang Maha Bijaksana. Dipihak orang ramai pula, selagi tiada Pengakuan atau Persaksian 4-saksi direkodkan, mereka hendaklah mengekalkan perasaan baik sangka dan tidak menerima dakwaan zina atau liwat tersebut. Firman Allah swt bermaksud, “Kenapa tidak ketika kamu mendengar berita tersebut, orang-orang beriman lelaki dan perempuan bersangka baik sesama mereka sambil mengatakan ‘Ini adalah berita bohong’ jika penuduh-penuduh itu tidak membawa 4 orang saksi yang mendakwa orang yang dituduh? Maka sekiranya penuduh-penuduh itu tidak mengemukakan saksi-saksi berkenaan maka disisi Allah merekalah pembohong-pembohong” (An-Nur : ayat 13).
  3. Dengan jelas dan tegas, tidak ada sebarang sabitan (kesalahan) zina atau liwat selain dari (i) Pengakuan, atau (ii) Persaksian 4 orang saksi yang melihat adegan tersebut dengan melihat alat-alatnya sekali dengan terang dan jelas.
  4. Tiada sabitan zina dan liwat tidak semestinya orang yang dituduh terlepas dari dakwaan jenayah Khalwat, perlakuan sumbang dan seumpamanya yang boleh dikenakan hukuman Takzir (denda). Hukuman Takzir pula tidak semestinya ringan, bergantung kepada apa yang digariskan oleh Dewan Rakyat yang melihat realiti semasa dan diputuskan oleh Hakim yang adil, bebas dan bijaksana.
  5. Orang-orang yang terlibat menuduh lalu didapati tiada sabitan, beliau akan direkodkan sebagai “Fasik” sepanjang hayatnya dan tidak diterima persaksian mereka selama-lamanya dalam masyarakat termasuk sebarang prosiding mahkamah dan urusan kemasyarakatan, melainkan mereka bertaubat dan tampak didepan umum mereka membaiki diri mereka jauh bertentangan dari perbuatan mereka yang lampau.

Dari sini, kita dapati hikmah Syariat Islam terserlah sepanjang zaman, termasuk dizaman kita sendiri, dalam senerio politik dan sosial masakini. Diantaranya :

  1. Islam menyukarkan pendakwaan zina dan liwat keatas 2 individu yang dituduh melakukannya, bukan beriya-iya untuk memudah orang ramai melakukan jenayah zina atau liwat yang amat terkutuk itu. Akan tetapi Islam berusaha keras mencegah perkara yang lebih buruk lagi dari yang sedemikian iaitu tersebarnya budaya berita dan tuduh menuduh mengenai kelucahan seperti tilam, air mani, seluar dalam, hotel, condo, dan seumpamanya kepada khalayak ramai lalu merosakkan fikiran, akhlak dan budaya mereka. Malangnya ini yang sedang berlaku dalam Dunia Barat dan sering cuba diimpot ke Negara-negara Umat Islam. Firman Allah swt bermaksud, “Kenapa tidak apabila kamu mendengar saja berita tersebut, kamu mengatakan ‘Tak sepatutnya kita membincangkan perkara ini. Mahasuci Engkau (ya Allah) ini adalah pembohongan yang besar !!’ Allah mengingatkan kamu agar jangan lagi mengulangi kesalahan membicarakan isu ini sekiranya kamu orang-orang beriman.  Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (An-Nur : ayat 16-18).
  2. Islam menutup pintu konspirasi politik dari awal-awal lagi dengan mengajar masyarakat awam supaya bersangka baik sesama mereka selagi mana tiada sebarang Pengakuan atau Persaksian 4-Saksi yang direkodkan. Islam juga menganggap sebarang kata-kata sindiran, ungkapan dan pengertian-pengertian yang menjurus kearah menuduh seseorang tanpa Pengakuan atau Persaksian merupakan suatu perkara yang besar dosanya, walaupun nampak ringan perbuatannya. Firman Allah swt bermaksud, “Ketika kamu bertemu dengan isu ini dengan perbualan-perbualan kamu, dan kamu bercakap-cakap dengan isu yang kamu tidak mempunyai maklumat (sepatutnya) mengenainya. Kamu ingat membicarakannya (seperti itu) suatu perkara yang kecil sedang perbuatan itu besar di sisi Allah !!” (An-Nur : ayat 15).
  3. Maslahah (kepentingan) dan akhlak masyarakat umum sentiasa diutamakan oleh Syariat Islam berbanding dengan perbuatan maupun dosa individu yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Firman Allah swt bermaksud, “Sungguh orang-orang yang suka kelucahan tersebar dalam masyarakat orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih didunia dan Akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (An-Nur : 19). Kalaulah azab pedih didunia dan Akhirat ini adalah untuk orang-orang yang hanya suka kelucahan tersebar, apatah lagi orang-orang yang menyebarkan kelucahan itu sendiri !! Disebabkan beratnya jenayah membuat tuduhan tanpa 4-saksi ini, Allah bakal mengazab mereka bukan sahaja di Akhirat, malah didunia lagi agar dilihat oleh masyarakat dan dapat diambil pengajaran darinya.
  4. Sebarang sikap terhadap Anwar Ibrahim dalam isu-isu lain seperti nepotisme (politik suku sakat), pluralisma (semua bangsa atau agama sama sahaja), pandangan dan strategi politik dan seumpamanya boleh dianalisa benar atau salahnya dan dibuat pendirian oleh masyarakat dan para pengundi pilihanraya dari masa ke semasa mengikut disiplin-disiplin Syarak yang lain. Namun dalam isu zina dan liwat, Syariat Islam bertegas menutup pintu sabitan dan mengajak bersangka baik selagi mana tidak ada (i) Pengakuan, atau (ii) Persaksian 4-saksi, seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran.
  5. Sebarang penerimaan dan pengaruh dari isu zina dan liwat yang timbul dalam masyarakat bukan sahaja menggambarkan kedengkelan pihak-pihak terbabit dalam menyebar-nyebarkan isu sebelum sabitannya, malah ia menunjukkan kejahilan ramai masyarakat yang melata terhadap petunjuk Al-Quran, maslahah Syariat Islam, kealpaan dan kelalaian mereka disebabkan tenggelam didalam segala bentuk hiburan, kesibukan dan jauh dari penghayatan agama.

Menjelang AGM UMNO 1998, Mahathir memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dari keahlian UMNO (lalu tidak boleh bertanding jawatan Presiden UMNO) dan kemudian muncul di TV menjelaskan kepada rakyat sebabnya ialah “moral”. Selepas itu Anwar ditangkap dibawah ISA dan didera didalam tahanan oleh Rahim Noor, Ketua Polis Negara, dakwanya. Keesokkannya beliau dibawa muncul di mahkamah untuk didakwa sedang matanya lebam.

Kepada umat Islam secara umum,

Ambillah pedoman dari Allah swt, Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana, nescaya kita selamat dalam membuat pertimbangan dan menentukan sikap. Dengan itu masyarakat dan negara akan selamat, bersih, sejahtera bahkan terus mara menjadi pemimpin dan pembimbing umat-umat yang lain. “Dan hukumlah mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan jangan kamu turuti hawa nafsu mereka” (Surah Al-Maidah : ayat 49).

Kepada pihak-pihak dikalangan orang-orang politik kepartaian,

Pandangan ini adalah bukan dari kacamata penyandang maupun pembangkang. Hadith Ifk (Kisah Pembohongan terhadap Aisyah) berlaku dan ayat-ayat Al-Quran turun mengenainya telah berlaku jauh sebelum wujudnya sistem politik penyandang dan pembangkang hari ini. Kesemua diatas adalah pandangan berpandukan wahyu dari Allah swt yang sepatutnya disuarakan sejak sekian lama oleh pihak-pihak agama yang resmi. Sesungguhnya ia telah lama disebut oleh ulamak silam didalam kitab-kitab mereka. Maka oleh itu “Barangsiapa yang mahu, maka silakan beriman. Barangsiapa yang mahu maka silakan dia kufur (engkar menerima ayat-ayat Allah). Kami (Tuhan) menyediakan bagi orang-orang zalim azab neraka yang gelojak apinya yang akan menyelubungi mereka” (Surah Al-Kahfi : ayat 29).

Kita berdoa kepada Allah swt semoga umat kita dipelihara olehNya dari sebarang tipudaya, penghakisan identiti, akhlak dan jatidiri serta bangkit maju menjalankan tugas mereka menjadi contoh teladan dan pembimbing umat-umat lain ke arah sistem Islam yang diredhai oleh Allah swt. Hakikatnya hari ini, kebanyakan umat di dunia sangat jauh dari petunjuk Ilahi dan memerlukan cahaya dan petunjukNya yang terang lagi sejahtera. Ameen.

Tulisan-tulisan lalu berkaitan :

Pandangan Islam Tuduhan Anwar Liwat

Peranan Ulamak Malaysia Dalam Isu Liwat

Permatang Pauh, Anwar Ibrahim dan Nasib UMNO

Ustaz Halim   http://www.inijalanku.wp.com

16 Respons

  1. salam ustaz,

    maaf sekiranya saya terlepas pandang akan isu ini di dalam artikel yang telah ditulis ustaz.. Saya bersetuju dengan apa yang diutarakan ustaz cuma terdapat beberapa kekeliruan dalam diri saya tentang bagaimana isu-isu berikut dapat dilaksanakan;
    contohnya seperti kes yang dilaporkan oleh mangsa-mangsa rogol ke atas pelakunya yang selalunya perbuatan terkutuk ini dilakukan tanpa kehadiran oleh lain. Sudah semestinya tidak cukup 4 orang saksi atau tiada saksi sama sekali. Maka boleh ustaz berikan panduan di dalam sejarah lalu berkaitan hal ini dan praktikalnya pada masa kini?

    • Wsm ww.

      Rogol adalah suatu jenayah paksaan, sama seperti mengugut atau bunuh, mempunyai senerio yang jauh berbeza dengan zina yang berlaku secara sukarela sesama sendiri. Oleh itu rogol mempunyai latarbelakang tersendiri seperti mangsa tidak jelas tidak diketahui mempunyai hubungan istimewa (cinta, rapat) atau latarbelakang khusus dengan pemangsa, senerio tersendiri ketika perbuatan tersebut seperti kesan-kesan paksaan samada fizikal maupun mental dan kesudahan yang berbeza pula pada diri mangsa dan pemangsa. Apabila mahkamah berpuas hati bahawa ia bukan isu zina/liwat, akan tetapi ia adalah isu jenayah rogol, yang jika hakim dan juri berpuas hati melampaui tahap keraguan, pemangsa akan dijatuhkan sabitan rogol dan dijatuhkan hukuman.

      • salam uztad

        contoh hukuman sabit rogol ialah apa ye?

      • Rogol ialah menceroboh kehormatan sama seperti melakukan kerosakan di muka bumi. Ramai ulamak menyamakan rogol dengan menyamun di tengah jalan (qatq tariq) iaitu menceroboh harta, sedang harta dan kehormatan termasuk dalam Daruriat Khams (Keperluan Yang Lima) iaitu 1Agama, 2Nyawa, 3Kehormatan, 4Keturunan dan 5Harta yang sangat dilindungi Syarak. Hukuman menyamun ialah bunuh (mengugut), atau bunuh+salib (membunuh dan mencuri), atau potong tangan dan kaki secara bersilang (mencuri sahaja), atau dibuang negeri. Oleh itu banyak negara umat Islam menjatuhkan hukuman bunuh kepada perogol yang sabit kesalahannya seperti Saudi, Iran dll. Dalam fiqh jenayah, banyak pandangan-pandangan syaz yang lain. Wallahu aalam.

      • Ustaz, bagaimana tindakan sekiranya perogol tidak mengaku atau dalam kes rogol beramai-ramai dimana mangsa tidak kenal atau ingat siapa perogol-perogol tersebut? Adakah kita boleh paksa perogol tersebut supaya mengaku atau adakah cara yang lebih baik untuk mengenalpasti dengan tepat perogol tersebut. Sebagai salah satu cara adalah ujian DNA, tetapi dizaman yg serba moden ni, kadang2 ujian ini juga mengelirukan dimana bukti DNA tersebut telah bercampur aduk dengan DNA lain. Adakah cara lain yg lebih berkesan bagi memastikan pesalah yg sebenar itu dibuktikan seadil-adilnya?

      • Kes rogol ada adalah kes jenayah ceroboh kehormatan orang lain, bukan kes zina. Ia diadili seperti kes2 jenayah cerobohan yang lain tanpa memerlukan 4 saksi. Seperti halnya kes bunuh atau menceroboh jiwa atau nyawa orang lain juga tidak memerlukan 4 saksi.

  2. terima kasih uztaz atas penerangan ni. Syukran jazilan.

  3. salam ustaz..

    saya berminat utk bertanya mengenai sumpah mubahalah..boleh ustaz jelaskan?

    ini kerana ianya juga tercatat dalah Al Quran,berkenaan sumpah mubahalah yang dibuat oleh Rasulullah.Dan golongan yang satu lagi,tidak buat kerana takut dan ini menjadi bukti kebenaran bagi Rasulullah..

    Apa pendapat Ustaz dengan kaedah bersumpah.?4saksi rasanya tidak mungkin akan diperolehi kerana mungkin dilakukan di tempat sembunyi(jika ia berlaku) dan mungkin juga ia adalah pembohongan.

    terima kasih..

    • Mubahalah ialah kedua-dua pihak yang bertelagah pergi ke satu tempat (lapang) dengan anak isteri mereka sekali dan membuat sumpah supaya Allah swt menurunkan laknat kepada pihak yang salah atau berbohong. Ini disebut dalam Al-Quran, mengajak Nabi dan orang2 kafir melakukan sedemikian, tetapi tidak disambut oleh orang2 kafir yang menuduh risalah Nabi saw ada pembohongan semata-mata.

      Dalam hal pertuduhan zina/liwat, ia berbeza kerana prosedur penuduhan zina/liwat telah digariskan oleh Allah swt di dalam Al-Quran. Oleh itu apa yang dtuntut ialah mengikut sahaja prosedur berkenaan. Dalam pertuduhan liwat Anwar-Saiful, jika dilakukan secara paksaan, maka jenayah tersebut hendaklah disiasat mencari bukti berlakunya paksaan, pergelutan (bukan mudah nak paksa lelaki), trauma selepas kejadian, dsb.

      Jika berlaku secara rela, jika Saiful mengaku, dia disebat 100 kali sebatan. Jika Anwar tidak mengaku, pihak pendakwa mesti mengemukakan 4-saksi. Jika saksi tidak mencukupi, Anwar kekal tidak bersalah seperti seadanya. Kes selesai.

    • Kaedah sumpah tanpa 4-saksi hanya diterima dalam pertuduhan suami terhadap isterinya sendiri. iaitu dia bersumpah sebanyak 5-kali bahawa dia melihat isterinya berzina. Sekiranya isterinya tidak berani bersumpah, maka jatuh hukuman hudud keatas di isteri tersebut. Jika isterinya pula bersumpah sebanyak 5 kali menafikan perbuatan tersebut, si isteri bebas dari sabitan itu.

      Dalam hal dilakukan ditempat sembunyi (ini kebiasaannya) maka Syarak hanya menjatuhkan hukuman Khalwat sahaja, dan bukan zina/liwat, jika tiada (i) Pengakuan, atau (ii) Persaksian 4-saksi. Perbuatan sebenar diserah kepada Allah swt, namun Syarak ingin menjaga maslahat yang lebih besar dari isu kedua pasangan tersebut, iaitu suasana masyarakat yang bersih dari tuduh menuduh, kelucahan tersebar luas lalu merosakkan minda, jiwa dan akhlak umat. Islam lebih mementgingkan maslahah umat berbanding dengan isu individu.

  4. Salam,
    Sangat menarik dan jelas. Syukran atas pencerahan dan perjernihan. Terima kasih juga atas bimbingan kepada jemaah umrah temph hari.

  5. Assalamualaikum wbt. T/kasih Ustaz Halim. Satu nukilan berdasarkan fakta dari Al Quran dan Hadis yang amat baik… t/kasih sekali lagi…menanti2 akan umrah pada cuti sekolah bulan Mei/Jun ini. bersama2 Ustaz. Halim….jumpa lagi .insyallah

  6. alhamdulillah.. kdg2 bila dh terlalu byk dgr berita2 di tv dan surat khabar ttg isu ini, sy pun jd terkeliru.. jzkk atas penerangan.

  7. as-salam…ustaz Halim…saya terkeliru sikit ttg hal yg berlaku melibatkan kes rogol…bagaimana kira yg kena rogol itu tidak dapat menyediakan 4 org saksi yg mursyid, sedangkan dia telah benar-benar dirogol…apakah pembuktian yang boleh diberikan selain kaedah DNA atau yg setaraf dgnnya? mohon pencerahan..

    • Kes rogol ada adalah kes jenayah ceroboh kehormatan orang lain, bukan kes zina. Ia diadili seperti kes2 jenayah cerobohan yang lain tanpa memerlukan 4 saksi. Seperti halnya kes bunuh atau menceroboh jiwa atau nyawa orang lain juga tidak memerlukan 4 saksi. Wallahu aalam.

  8. […] kejam bunuh k…PemudaBerani on Perpecahan sentiasa mengundang…Ustaz Halim on Hadith Ifk (kisah Aisyah ra) p…Ustaz Halim on Hadith Ifk (kisah Aisyah ra) p…AlBarakah on Hadith Ifk (kisah Aisyah ra) […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: