Tuhan Kristian bukan Allah SWT

dakyah-kristian

Keluarga Islam di Ampangan, Seremban yang didakyah oleh pihak gereja dengan bantuan dan jagaan. Islam menggalakkan dialog para ilmuan antara agama, tetapi tidak membenarkan pendakyah mereka mensasar golongan lemah ilmu dan harta dari umat Islam, apatah lagi mengelirukan mereka dgn kalimah “Allah-Jesus”.

Pada dasarnya yang menyebabkan kristian menjadi kafir, adalah kerana mereka mengatakan Nabi Isa as (Jesus) adalah Tuhan, bukan sekadar anak Tuhan. Ini disebut oleh Allah dalam Al-Quran. “Wahai Isa adakah kamu ajar manusia ambillah aku dan ibuku sebagai Tuhan selain Allah ? (Jawab Nabi Isa as) Mahasuci Engkau, tidak layak bagiku menjadi seorang yg tiada didalam kebenaran. Jika aku mengatakan sebegitu, tentu Engkau telah mengetahuinya …” (Al-Quran).

Cuma yang menjadi kemelut di dalam agama Kristian adalah apabila Nabi Isa as. dianggap sebagai “Tuhan” sedang sejarahnya baru bermula sejak ia dilahirkan oleh Maryam. Telah ada manusia sebelum beliau, maka tidak wajar “Tuhan” datang selepas ramai manusia diciptakanterlebih dahulu. Lalu dianggap pula ada di sana “Tuhan Bapa”, manakala Nabi Isa as adalah anak “Tuhan”.

Maka datang pula kemelut yang lain. Kini Nabi Isa sudah menjadi kedua-dua “Tuhan” dan “Anak Tuhan”. Dengan ini, kita pertegaskan bahawa adalah tidak betul segelintir orang Melayu-Islam di Malaysia beranggapan bahawa aqidah Kristian mengatakan Nabi Isa as adalah hanya anak kepada “Tuhan”. Manakala “Tuhan” atau The Father God adalah sama atau hampir sama dengan Allah. Juga ada tafsiran bahawa The Father itulah The Supreme Being dan boleh digelar “Allah”. Saya dapati, pemahaman ini sudah agak melata bukan sahaja di kalangan orang awam, bahkan pada sebilangan ahli-ahli gerakan Islam itu sendiri.

Saya percaya pemahaman ini dicipta pelampau Kristian untuk cuba mendekatkan dakyah Kristian mereka kepada masyarakat Melayu-Islam di Malaysia yang lemah ilmu dan pegangan mereka kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kepada segelintir Umat Islam seperti ini, kita mengajak mereka mengamati ucapan Pope Francis (ketua dunia Kristian yg baru ditabal) baru baru ini yang jelas mengatakan bahawa juga  Jesus adalah “Tuhan”. Ucapan beliau juga turut disiarkan oleh akhbar online The Herald (Malaysia) yang mencabar Kementerian Dalam Negeri di mahkamah mengenai isu Kalimah Allah.

Pope Francis menyebut : ” … “Every spirit that acknowledges Jesus Christ come in the flesh belongs to God, and every spirit that does not acknowledge Jesus does not belong to God,” the Pope noted, “this is the spirit of the antichrist.” To fully recognize that “that the Word is come in the flesh,” Pope Francis explained, means to recognize “the path of Jesus Christ” and that Jesus, “being God, He emptied Himself, He humbled Himself” even to “death on the Cross.” Rujuk : http://www.heraldmalaysia.com/news/The-path-of-humiliation-leads-us-to-Jesus-Pope-Francis-18166-26-1.html

Maka jika Umat Islam di Malaysia membenarkan The Herald menterjemah “God” menjadi “Allah” maka jelas, perkataan Pope Francis yang mengatakan :

“.. and that Jesus, being God, He emptied Himself, He humbled Himself … “even to death on the cross

boleh diterjemah menjadi :

” …dan Nabi Isa as, dimana Dia adalah Allah, Dia mengosongkan diriNya, Dia merendahkan diriNya hinggakan ketahap mati di kayu salib“.

Dalam penerbitan The Herald di atas, adakah patut jika ia mengatakan :

  • Allah adalah Nabi Isa as ?
  • Allah merendahkan dirinya hingga ke tahap mati di kayu salib ?

Mahasuci Allah dari apa yang mereka syirikkan.

Siapa sahaja yang membaca teks atau mendengar ucapan dari agama Kristian akan mendapati “God” itu adakalanya Jesus, adakalanya The Father God dan adakalanya The Holy Spirit/Ghost. Akan terasa ada tiga tuhan. Tetapi adakalanya merasakan tuhan-tuhan ini cuba di esa (satu unit) kan menjadi satu tuhan, seperti ungkapan “Tuhan Maha Esa”. Ini menjadikan segelintir Umat Islam terasa ia dekat dengan aqidah keesaan Tuhan. Namun, apabila terasa seperti ada satu tuhan, tiba dikali yang berikutnya seseorang akan mendapati semula dalam bacaan atau ceramah Kristian bahawa Jesus itu tuhan, The Father itu tuhan, The Holy Spirit adalah tuhan dan begitulah seterusnya yang bukan esa, tetapi berbilang. Ini yang dinamakan Trinity, iaitu Tiga Dalam Satu, dan Satu Dalam Tiga.

Bukan sahaja kita sukar memahami konsep sebegini, malah para penganut Kristian sendiri sukar memahaminya, lalu mengambil pendekatan mengikut sahaja tanpa banyak soal.

Tidak seperti didalam agama Islam dimana umat Islam dianjur membaca Al-Quran setiap hari, mengkhatamkannya dari masa ke semasa bahkan berebut menjadikan anak-anak mereka para hafiz Al-Quran, para pengikut Kristian rata-rata jauh dari bible, samada the Old Testament atau the New Testament. Segelintir mereka hanya berpada menghadiri ritual mingguan sedang kebanyakan mereka hidup tanpa sebarang pegangan yang pasti. Banyak kisah-kisah orang Kristian yang memeluk Islam setelah mereka membaca keseluruhan bible, menyoal paderi mereka mengenai Trinity dan sebagainya lalu mendapati banyak pertentangan wujud diantara satu ayat dengan ayat yang lain didalam bible itu sendiri.

Oleh kerana itu Allah SWT bertegas dengan mengatakan, “Dan jangan kamu kata Tiga (Trinity). Hentikan … “ (Al-Quran).

FirmanNya lagi, “Qul huwa Allahu ahad …”

bermaksud : “Katakanlah Allah itu tunggal. Allah tempat bergantung. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dia tidak menyerupai sesuatu” (Al-Ikhlas).

Dari ayat ini, jelas Allah mengasingkan sejelas-jelasnya aqidah orang-orang beriman dari pegangan penganut Kristian yang jauh tersimpang.

Allah menyatakan :

1- Allah adalah tunggal, dan bukan tiga dalam satu, atau satu dalam tiga.

2- Allah tempat pergantungan dan sembahan, dan bukannya Jesus.

3- Allah tidak beranak. Allah bukan The Father God yang memiliki anak. Allah tidak “mengutuskan Anak TunggalNya (Jesus) ke dunia”.

4- Allah tidak diperanakkan. Allah bukan Jesus yang mempunyai bapa. Allah bukan baru, tetapi Dia qadim.

5- Allah tidak serupa dan sekufu dengan apa sahaja makhluk seperti manusia, malaikat, benda dan sebagainya.

Oleh itu sekelian orang-orang beriman digesa mengambil petunjuk ilahi dari firman Allah swt tersebut dalam membuat sikap, pendirian dan ketetapan bahawa Allah SWT, tuhan sekelian alam yang kita sembah, adalah sama sekali bukan “tuhan-tuhan” yang disembah oleh penganut Kristian.

Kita boleh bahkan diseru membuat pendekatan Dakwah dengan mereka, tetapi bukan pendekatan “tuhan” setelah mana datang Surah Al-Ikhlas yang jelas, terang dan nyata.

Sikap terlajak melakukan pendekatan “tuhan”, dan bukan terhad kepada pendekatan Dakwah semata-mata boleh menjerat seseorang untuk mengambil pendirian tuhan kita adalah sama dengan tuhan mereka, atau hampir kepada yang sedemikian. Contohnya seperti kata-kata : “

  • Tuhan sama tetapi cara atau agama berbeza”
  • “Dua cahaya tetapi datang dari satu pelita yang sama”
  • “Selama ini kita sebenarnya menyembah tuhan yang sama”. 

Ideologi yang menyamakan tuhan, status antara agama-agama dan seumpamanya dikenali sebagai Pluralisma.

Lalu Allah SWT dengan tegas mengasing akidah yang benar dari aqidah yang salah dalam FirmanNya bermaksud : “Katakanlah wahai orang-orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Kamu dengan agama kamu. Kami dengan agama kami” (Al-Kafiruun).

Ini bermakna tidak ada sembahan yang hakiki kepada Tuhan Rabbul Alamin yang sebenar dan tidak ada sembahan yang hakiki kepada Allah SWT melainkan seseorang itu telah masuk Islam dan beriman dengan Aqidah Tauhid.

Adapun jika seseorang itu masih berada diluar Islam, sebagai orang kafir, maka pastinya tuhan atau bahan-sembahan mereka adalah bukan Allah SWT, sebaliknya adalah tuhan, lord atau god yang lain.

Kesimpulan dalam isu Kalimah Allah dalam konteks ini :

  1. Tuhan bagi orang-orang beriman adalah berbeza dari tuhan orang-orang kafir, biarpun ia cuba dinampakkan sama. Tuhan orang-orang kafir adalah bukan Allah SWT. Mereka tidak menyembah Allah SWT.
  2. Fokus kita adalah pada pendekatan Dakwah terhadap masyarakat awam Kristian, dengan hikmah,  peringatan yang baik, berdebat dengan cara yang terbaik tanpa sebarang unsur paksaan. Adapun terhadap pelampau Kristian yang cuba mengelirukan Umat Islam dan sejarah Tanah Melayudengan isu “Kalimah Allah”, cuba merubah identiti dan Perlembagaan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam kepada Negara sekular, maka Umat Islam diseru untuk bersikap tegas dan jelas.
  3. Dalam memahami pegangan Kristian, hendaklah merujuk kepada kitab-kitab asasi mereka dan ucapan Pope mereka di Vatican. Adapun ungkapan tokoh agamawan tempatan atau tulisan artikel di akhbar online, ia lebih berupa ungkapan dan ulasan yang sukar menjelaskan hakikat sebenar.
  4. Umat Islam hendaklah merujuk kepada badan/majlis fatwa yang berwibawa dalam isu berkaitan dengan agama, dan bukan merujuk kepada seseorang tokoh atau ustaz kerana bidang agama ini sangat luas, lebih-lebih lagi dalam bab Aqidah. Walaupun rata-rata Umat Melayu menghormati ustaz dan doktor, mereka harus tahu bahawa doktor pakar kulit tidak boleh membedah tulang-tulang patah seorang yang terlibat dalam kemalangan yang teruk. Sebenarnya begitu juga ustaz bidang hadith atau perbankan Islam, tidak boleh memberi fatwa dalam bidang aqidah. Malangnya masyarakat kita sering bertanya bidang doktor yang beliau hendak ambil rawatan darinya, tetapi jarang orang ramai bertanya bidang ustaz yang menulis pandangannya tentang isu Kalimah Allah. Mereka tidak menganggap semua doktor adalah sama bidang, tetapi menganggap semua ustaz adalah sama bidang.

Dengan merujuk kepada ayat-ayat Allah yang tegas, seseorang boleh terselamat dari pemikiran yang menyimpang, lalu memahami Islam dan perbezaannya dari ajaran-ajaran lain. Adapun ideologi yang menafsirkan Islam hanya menurut pandangan peribadi, logik akal atau peredaran zaman semata-mata,  tidak terikat dengan penjelasan dan petunjuk Wahyu dari Al-Quran dan Al-Hadith, ideologi ini dikenali sebagai Liberalisma.

Moga Allah SWT menyelamatkan Umat Islam dari kekeliruan dan ancaman pihak asing serta memelihara Malaysia dari sebarang usaha merubah identiti tanahair Islamnya. Ameen. Wallau aalam.

Tulisan ini menjawab komen seorang Pembaca berbunyi :

Diserahkan pada 2014/01/10, 6:39 pm

Isu ni timbul bila konsep Trinity dengan frasa “The Father, The Son and The Holy Spirit” diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.. Penganut2 Kristian beranggapan Father = Allah, Son = Nabi Isa, Holy Spirit = Roh Kudus.. Secara teknikalnya, penganut2 Kristian percaya bahawa Allah adalah Tuhan Sekalian Alam, tetapi juga menganggap bahawa Nabi Isa adalah sebahagian daripada zatNya, walhal Nabi Isa hanyalah utusan Allah je.. Berdasarkan apa yg saya baca, god = tuhan = al-Illah manakala The God = Allah.. Tiada perkataan dalam Bahasa Melayu.. Walaupun dalam Surah al-Ikhlas Allah telah berfirman bahawa, “Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan..” Tetapi dalam Surah Al-Kafirun, Allah telah berfirman kepada Nabi Muhammad, “Untukmu agamamu, untukku agamaku..” Oleh itu, bagaimana saya nak beritahu kpd kawan2 Kristian drpd Sarawak bahawa perkara ini ialah salah tetapi dalam masa yg sama menghormati hak kepercayaan mereka? p.s. Personally, saya rasa dgn kepercayaan sebegini lg senang nk dakwah kpd penganut2 Kristian memandangkan mereka dh percaya Allah ialah Tuhan Sekalian Alam.. Tinggal nak khabarkan bahawa Nabi Isa hanyalah utusan Allah sahaja, bukan sebahagian daripada zatNya..

Ustaz Halim www.inijalanku.wp.com Ust_Halim_small2

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: