Apabila titah Yang DiPertuan Agong dipersoal oleh pihak-pihak pelampau Kristian dan pihak dari orang Islam yang menyokong mereka, isu ini telah masuk ke satu fasa yang baru dalam sejarah Tanahair.
diApabila isteri Rasulullah saw, Aisyah bt Abu Bakar ra difitnah berzina dengan Safwan bin Muattal dalam kisah Hadith Al-Ifk, ia benar-benar satu titik hitam dalam sejarah kehidupan beliau dan menggegarkan rumahtangga Rasulullah saw, sehingga Aisyah ra sendiri tinggal di rumah ayahnya, Abu Bakar As-Siddiq ra sehingga isu ini selesai. Kaum munafik di Madinah memainkan peranan halus dalam merumitkan lagi keadaan.
Namun apabila Allah SWT menyelesaikan isu tersebut dengan menurunkan WahyuNya, membersihkan Aisyah ra dari pertuduhan palsu dan jahat, Umat Islam berada di satu fasa baru didalam kehidupan mereka di Madinah, bahkan dalam sejarah Islam itu sendiri.
Allah swt menurunkan ayat bermaksud, “Jangan kamu menyangka peristiwa itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu …” kerana melalui peristiwa tersebut lebih ramai senarai golongan munafiq tersingkap dan terlondeh, matlamat sebenar operasi halus harian mereka terdedah kepada umum dan dengan itu Umat Islam mengenali mereka dan dapat mengambil langkah menghindarkan diri dari terpengaruh dengan mereka dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Isu Kalimah Allah yang pada awalnya cuba disandarkan oleh pihak-pihak tertentu sebagai isu kebebasan beragama, kebebasan bersuara, toleransi antara kaum, dan sebagainya akhirnya pada hari ini ia telah masuk kepada fasa yang menyentuh Perlembagaan Malaysia itu sendiri dan mencabar kedudukan Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Titah Yang Dipertuan Agong
Pengeliruan juga saya amati dari respon pihak pelampau Kristian terhadap titah Yang Dipertuan Agong yang akhirnya dikeluarkan bahawa perkataan “Allah” di bawah Tanah Jajahan Yang Dipertuan Agong di Malaysia adalah khas untuk Umat Islam dan penganut agama-agama lain hendaklah menggunakan nama tuhan-tuhan mereka yang asal. Titah Baginda adalah jelas. Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya 14/10/2013 juga adalah jelas.
Diantara respon dari individu atau media yang cuba untuk mencetus kekeliruan yang berpanjangan dan meraih sokongan massa, saya amati adalah seperti berikut :
- Malaysia adalah Negara sekular, sedangkan Malaysia jelas adalah sebuah Negara Islam dimana dinyatakan “Islam adalah agama Persekutuan (Negara)” Artikel 3. Perlembagaan adalah pembentukan Negara, sedang Undang-undang adalah perjalanan Negara. Wujudnya sebahagian undang-undang yang tidak selari dengan Syarak, tidak menjadikan Malaysia sebuah Negara bukan-Islam (secular). Kehidupan En Karim yang tidak sepenuhnya Islamik, adalah tidak selari dengan Islam, tetapi tidak bermakna En Karim telah terkeluar dari Islam.
- “…negara ini tidak perlu mematuhi mana-mana titah dikeluarkan pemerintah negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan …”, iaitu cuba menyamakan pemerintah negeri dengan fatwa agensi Islam. Sedangkan apabila pemimpin Negara atau negeri adalah ketua kesemua masyarakat dalam sesebuah Negara atau negeri, muslim atau kafir. Apabila majlis fatwa mengeluarkan fatwa, maka ia adalah untuk umat Islam. Tetapi apabila fatwa tersebut diambil dan dikeluarkan oleh DUN atau Pemerintah Negara atau negeri, maka ia terpakai kepada seluruh rakyat di bawah jajahannya.
- ” …hak beragama seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963 …” adalah hak mengamalkan agama masing-masing dengan nama tuhan masing-masing. Adapun cubaan untuk menggunakan nama tuhan agama lain, mencemar sifat tuhan agama lain dan mencetuskan kemarahan penganut agama lain, maka ini bukan hak beragama yang dimaksud, samada dalam Perjanjian Malaysia 1963 maupun Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
- “Titah dan fatwa tidak boleh digunakan kepada bukan Islam kerana ia melanggar hak perundangan dan beragama mereka”. Titah ketua Negara atau negeri terpakai keatas semua rakyat di jajahannya. Oleh itu cubaan untuk menyamakan titah dengan fatwa di sini adalah dikira cubaan untuk mengelirukan isu dan orang ramai.
- “Bukan Islam tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah. Jadi mana-mana fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan tidak terpakai kepada bukan Islam,” sedangkan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang merupakan sebuah mahkamah sivil telah pun mengeluarkan larangan. Di sini usaha mewujudkan kekeliruan adalah dengan menyandarkan isu Kalimah Allah hanya kepada hal ehwal fatwa dan mahkamah syariah, sedang isu ini telah diputuskan oleh mahkamah sivil dan dititahkan oleh pemerintah tertinggi Negara.
- “Apa-apa titah dikeluarkan, sama ada daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada bukan Islam,”. Ini merupakan satu keengkaran yang sangat jelas. Yang Dipertuan Agong dan Sultanadalah pemerintah Negara dan negeri kepada semua rakyatnya, muslim dan kafir. Bahkan Yang Dipertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, samada muslim atau kafir tenteranya.
- “… Rakyat Malaysia dijamin kebebasan bersuara, berekspresi dan beragama. Semua ini jelas ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan….” adalah jelas dan didokong oleh Syariat Islam sendiri. Ini jelas terbukti sepanjang zaman dimana sahaja Islam memerintah seperti di Andalus selama 800 tahun, rakyat kafir tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi mesti patuh dibawah peraturan Negara yang Islamik. Tetapi ia tidak bermakna kebebasan mengambil nama tuhan agama lain, mencemar sifat tuhan agama lain dan mencetuskan kemarahan penganut agama lain, maka ini bukan hak beragama yang dimaksud, samada dalam Perjanjian Malaysia 1963 maupun Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
- “… Beliau memberikan komen selepas Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mengatakan sensitiviti agama dan status Islam sebagai agama rasmi negara harus dihormati …”. Sekali lagi dan berulang kali pihak pelampau Kristian cuba menafikan perkara penting di dalam Perlembagaan Malaysia yang mengatakan “Islam adalah Agama Persekutuan” yang bermakna “Agama Malaysia adalah Islam”. Mereka dan pihak-pihak tertentu telah sekian lama cuba mengkukuhkan dalam pemikiran rakyat Malaysia melalui tulisan dan kenyataan mereka bahawa Islam hanya sekadar agama resmi Negara (the official religion) yang hakikatnya tidak disebut pun didalam Perlembagaan Malaysia.
- “…Dr Abdul Aziz Bari juga berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang dalam perkara berkaitan Islam kerana perkara itu merupakan urusan kerajaan negeri …”. “Perkara berkaitan agama Islam urusan negeri-negeri, dan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai status di sisi Perlembagaan,”Di sini sekali lagi isu ini cuba disandarkan hanya kepada urusan agama Islam, sedang ianya telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya (mahkamah sivil) dan dititahkan oleh ketua Negara dan ketua negeri. Yang Dipertuan Agong dan Sultan jelas disebut didalam Perlembagaan Malaysia.
- ” … penyelesaian 10 perkara ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu …” tidak seharusnya menjadi isu di Semenanjung, kerana ia hanya melibatkan Sabah dan Sarawak. Bahkan dengan penghujahan-penghujahan di dalam Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14/10/2014, usaha seterusnya harus dilakukan untuk menghalang bible menterjemah God kepada Allah, kerana walaupun kebimbangan tidak Nampak 10 tahun lalu, namun ia telah menjadi sangat ketara pada hari ini, bahkan telah mencapai ketahap berani mencabar Yang Dipertuan Agong iu sendiri. Langkah hari ini harus mengira isu yang berlaku hari ini.
Apa yang saya perhatikan, beberapa orang dikemukakan secara silih berganti samada dari kalangan tokoh, peguam, paderi dan sebagainya, tetapi isi kandung yang diulang-ulang yang ingin dipahat ke dalam pemikiran masyarakat adalah sama, iaitu menafikan kedudukan Islam didalam Negara dan cubaan memudahkan dakyah Kristianisasi ke dalam masyarakat majority di Negara ini.
Ustaz Halim inijalanku.wp.com
Filed under: Uncategorized |
Tinggalkan Jawapan