Perang di Arab dan Ancaman di Malaysia

image

Di saat ini perang yang berlaku di Syria, golongan Syiah Alawiyy telah mengorbankan lebih dari 230,000 orang, kebanyakannya rakyat awam Sunni termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Apabila Tentera Bebas (جيش الحر) semakin mara mengalahkan Regim Syiah Asad, Kristian Barat mencipta ISIS di bumi Iraq dan Syria, lalu mujahideen Tentera Bebas hari ini terpaksa bertempur dua musuh, Regim Syiah Alawiyy Syria dan ISIS dalam satu masa. Bandar strategik Raqqa, di tebing Sungai Furat di sempadan Syria-Iraq dulunya dapat dikuasai oleh mujahideen Tentera Pembebasan, tapi muncul ISIS dan menawan pula bandar itu dari Mujahideen.

Disamping itu Regim Syiah Syria, Iraq, Iran, Rusia, China dan lain-lain yang memang memiliki jet-jet pejuang terus menerus membedil apa sahaja bangunan di seluruh Syria selagi boleh. Oleh itu jika Islam menang di Syria, mereka terpaksa mula membina negara kembali dari angka hampir kosong.

Di Yaman, Syiah Huthi sedang menjajah dan menghancurkan infrastruktur negara di bandar-bandar utama. Mereka dibantu oleh pemberontak diketuai oleh bekas Presiden, Ali Abdullah Soleh membunuh seramai mungkin rakyat yang pernah dipimpin oleh dirinya sendiri sekian lama sehingga beliau digulingkan Rakyat dalam Arab Spring 2011. Beliau cedera parah di bom, digulingkan lalu dilindungi dan dirawat di Saudi Arabia.

Sebaliknya hari ini Ali Abdullah Saleh bersama Syiah Huthi memerangi pula tentera Saudi Arabia yang pernah menyelamatkan beliau dari kebangkitan rakyat Yaman tahun 2011 dan merawat kecederaannya yang parah ketika itu. Pepatah Melayu menyebut, “Melepaskan anjing tersepit”.
image

“Tentera Bersekutu (Tahaluf)” yang kononnya dari berbagai negara Arab, tetapi hakikatnya negara-negara Arab dibelakangi Kristian Barat didalangi Amerika dan Israel hari ini terus menerus membedil apa sahaja bangunan, pencawang dan infrastruktur bandar-bandar di Yaman. Jika Islam kembali menang di Yaman, mereka terpaksa mula membina negara dari angka hampir kosong juga.

Di Libya, sebaik rakyat menjayakan revolusi menjatuhkan Ghaddafi pada tahun 2011, mereka memulakan langkah yang salah dengan menerima British sebagai pihak yang melatih tentera Libya yang baru dibentuk. Dengan ini, Kristian Barat dapat bukan sahaja melatih, bahkan merekrut tentera Libya baru yang akhirnya pada hari ini berperang semula dengan rakyat Libya yang cenderung kepada Islam. ISIS dijemput masuk untuk memburukkan lagi keadaan dan sebagai alasan nanti untuk tentera Eropah kembali masuk menjajah Libya seperti di zaman Al-Mujahid Umar Mokhtar. Kelmarin berita saya lihat sendiri di saluran arab “Al-Hadath” bahawa Eropah sedang mengkaji pilihan untuk menghantar tentera ke Libya “untuk menyekat kemaraan ISIS (داعش)”. Ini sandiwara Barat yang termaklum sekian lama iaitu mengemukakan alasan palsu yang mereka cipta sendiri untuk masuk menjajah negara-negara lain.

Di Mesir, rakyat berusaha memastikan momentum kebangkitan dan penentangan terhadap regim tentera, terus berjalan walau telah beribu syahid, berpuluh ribu dipenjara. Disamping itu media resmi Mesir setiap hari memburukkan maruah Ikhwan Muslimin dan penyokong Presiden Mursi, ke arah mengembalikan sokongan dan simpati rakyat kepada Sisy dan pihak tentera. “Sisy penyelamat Mesir”, “Kalaulah tidak kerana Sisy, nasib Mesir akan jadi sama seperti Syria, Yaman dan lain-lain” berupa momokan tubi yang diratib di setiap corong televisyen dan radio Mesir. Sebaik Sisy merampas kuasa dari Presiden Mursi, Menteri Luar Amerika, John Kerry menyatakan tindakan Sisy hanyalah untuk “mengembalikan Mesir ke jalan demokrasi yang sebenar”.

Kesemua kegagalan menegakkan Negara Islam sejati yang diimpikan Umat Islam, kehancuran dalam negara dan kemusnahan nyawa, harta benda dan masadepan yang terpamir di atas adalah tidak lain selain campurtangan Kristian Barat dari luar bersama pengkhianatan golongan munafikin dari dalam Umat Islam sendiri yang berwalakkan Kristian Barat, Amerika, Eropah, Israel dan kuncu-kuncunya.

Ia juga bermakna apa sahaja walak termasuk walak kepada Komunis Sosialis Timur juga akan membawa kehancuran kepada Umat Islam.

Firman Allah menegah dan memberi amaran sikap dan perbuatan sedemikian :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

image
Foto : Paderi berbangsa melayu sudah mula direkruit untuk berperanan di tengah-tengah masyarakat Melayu Muslim.

Hari ini di Malaysia tidak terkecuali. Firman Allah swt di atas bukan hanya ditujukan kepada Umat Arab, akan tetapi ia ditujukan kepada sekelian orang-orang beriman. Ini adalah kerana Tuhan mereka satu, kitab dan petunjuk mereka adalah satu dan musuh mereka juga sebenarnya adalah satu.

image

Jika ramai Umat Islam yang kurang arif mengenali dan meneliti sejarah pertarungan antara Islam dan Kristian di Andalusia dan Byzantine, maka mereka boleh meneliti pertarungan yang sedang berlaku di depan mata kepala mereka di Libya, Syria, Yaman dan lain-lain, di saat ini, di zaman internet ini.

Kerana itu Allah swt mewajibkan Umat Islam berwalak sesama mereka, berwalakkan kepada orang-orang yang mendirikan solat, membayar zakat dan rukuk kepada Allah, bukan kepada umat bukan Islam. Mereka yang berstatus Zimmi mempunyai status yang selesa dalam sistem Islam iaitu mendapat kebajikan dan keadilan, tetapi tidak sampai ke tahap mendapat Walak dari Umat Islam. Walak Umat Islam adalah kepada sesama mereka. Firman Allah swt :

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Kemenangan di dunia bukanlah kemenangan memegang tampuk kekuasaan semata-mata. Kerana itu Rasulullah saw menolak tawaran kuasa, harta dan wanita dari Quraisy.

Kemenangan di dunia yang hakiki adalah kemenangan menyatukan seluruh kekuatan Umat Islam yang berwalak sesama mereka dan menegakkan Negara Islam hakiki yang melaksanakan Syariat Islam.

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman”.

Ini adalah kemenangan sejati di dunia, sebelum kemenangan di Akhirat dengan beroleh Syurga dan keredhaan Ilahi.

Dari kaedah dan prinsip ini kita menghitung dan merumuskan pendirian dan hubungan kita dengan berbagai individu dan organisasi di dalam dan luar negara. Kita berwalak dengan mereka dan organisasi yang mahu Syariat Islam sepenuhnya ditegakkan di dalam negara dan dunia.

Matlamat atau slogan sekadar “menegakkan keadilan” semata-mata adalah tidak memadai. Ini adalah kerana :

1- Perkataan “Keadilan” adalah relatif di mana setiap puak mempunyai tafsirannya yang tersendiri. Jika “keadilan” bererti persamaan dalam jumlah gaji seperti didalam ideologi Sosialis, maka ia bertentangan dengan fitrah manusia. Jika “keadilan” bererti kesamarataan mutlak diantara agama seperti yang dilaungkan oleh banyak ideologi, maka ia bertentangan dengan Islam itu sendiri.

2- Disamping perkataan “Keadilan” adalah relatif, ia juga sering digunakan oleh Barat terhadap Dunia Islam untuk dapat meraih simpati dan sokongan bagi mencapai maksud jahat yang lain yang selalunya berakhir dengan kezaliman dan kemusnahan. Contoh apa yang berlaku di Iraq pada hari ini menjadi engajaran. Ia seperti yang diungkapkan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib : قول الحق يريد به الباطل (perkataan yang benar tetapi yang dikehendakki yang perkataan itu adalah kebatilan).

image

Kesimpulannya, dari apa yang berlaku di negara-negara Arab di depan mata kita hari ini, persoalan kesatuan Umat, ancaman terancang sebahagian gerakan Kristian khususnya dan sebahagian gerakan-gerakan bukan-Islam lain menunjukkan Umat Islam terutama parti-parti politik, ngo-ngo dan tokoh-tokoh Islam mestilah meletakkan 2 asas terpenting di dalam agenda mereka iaitu :

1- pendaulatan Syariat Islam di dalam negara, dan
2- kesatuan dan kekuatan Umat Islam dalam menghadapi ancaman dalam dan luar negara.

Oleh kerana pemimpin dipilih oleh rakyat dalam negara atau ahli dalam organisasi, maka kesedaran terhadap 2 agenda utama di atas (Syariat dan Kesatuan) mestilah difahami dan dihayati oleh kesemua rakyat dan ahli. Hanya mereka yang dipengaruhi agenda asing sahaja yang tidak mahukan pendaulatan Syariat dan kesatuan Ummah yang diwajibkan oleh Islam.

Moga Allah swt memelihara dan memenangkan Umat ini dalam menghadapi persaingan dengan umat-umat yang lain dan menggolongkan kita ke dalam golongan yang memperjuangkan Islam sehingga ke akhir hayat. Ameen.

Us. Abdul Halim Abdullah
10 Jun 2015
image

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: