Membaiki idea “Islam Inklusif”

image
Sistem Islam mesti didokong oleh keyakinan pada Aqidah Islam

Oleh kerana Islam adalah Islam yang hakiki, telah lengkap, sesuai untuk setiap zaman dan tempat, maka saya namakan “Islam Inklusif” tersebut sebagai “Idea Inklusif” memandangkan banyak dari idea-idea tersebut tidak didasari Islam tetapi lebih didasari ideologi Liberal yang tidak terikat kepada nas-nas dan ideologi Plural yang menyamaratakan secara mutlak Islam dengan agama dan ideologi bikinan manusia yang lain.

Saya tidak berhajat untuk memberi komentar panjang terhadap tulisan mengenai idea “Islam Inklusif”. Memadai tulisan saya ini dapat membaiki cara mereka berfikir serta memahami asas dan dasar agama dan perlaksanaan Islam itu sendiri.

“IDEA INKLUSIF” :

Fahaman klasik menggariskan lima maqasid yang lebih bersifat peribadi iaitu pelestarian atau pemeliharaan agama (Hifdz Ad-Din), pemeliharaan nyawa (Hifdz An Nafs), pemeliharaan akal (Hifdz Al Aql), pemeliharaan keturunan (Hifdz An Nasb) dan pemeliharaan harta-benda (Hifdz Al Maal).

JAWAPAN :

Islam lebih mengutamakan maslahat umum, melebihi maslahat peribadi. Kerana itu Islam mengharamkan curi, riba, arak, zina dan sebagainya.

Adalah tidak benar lima maqasid umum seperti yang disebut adalah lebih bersifat peribadi.

“IDEA INKLUSIF”

Dari deduksi Quran dan Hadis, pemikir-pemikir moden menambahkan 2 maqasid yang lebih bersifat kemasyarakatan dan sejagat iaitu pemeliharaan kebebasan dan pemeliharaan keadilan.

JAWAPAN

Idea ini dijelaskan dengan 2 noktah penting iaitu :

(1) Kebebasan dan Keadilan bukanlah maqasid umum secara mutlak, sebaliknya ia adalah hak dan wasilah (jalan) untuk mencapai 5 Maqasid Umum di atas.

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

” Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (sekalipjn mereka kafir) yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil “.

Ini berbeza dengan Barat yang meletakkan Kebebasan dan Keadilan sebagai maqasid sehingga membawa kepada kebebasan murtad, telanjang di pantai, perkahwinan sejenis, perkahwinan dengan kuda peliharaan dan seumpamanya.

Jika idea yang sama dipraktikkan ke atas Umat Islam, ia boleh turut menjahanamkan Umat Islam pula.

(2) Disamping Islam menekankan prinsip Kebebasan dan Keadilan, Islam jug menekankan prinsip yang lebih asas iaitu Ketuanan (Islam). Prinsip ini didasari oleh 2 elemen penting iaitu Islam adalah agama yang benar dan hanya Syariat Islam yang boleh menjamin kesejahteraan manusia.

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“.. dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan (meredhai) kepada orang-orang kafir mengatasi (memimpin) orang-orang yang beriman” (An-Nisa : 141).

Prinsip “Ketuanan” Islam ini cuba dihilangkan oleh Barat dan pendokong Liberal dengan menghadkan prinsip Islam hanya kepada “Kebebasan” dan “Keadilan” sahaja yang boleh mereka olah yang memberi menfaat kepada mereka.

“IDEA INKLUSIF”

Jika maqasid yang ditekankan, selagi maqasid itu tercapai, maka undang-undang yang TIDAK berasalkan tradisi Islam juga sesuai diguna pakai untuk umat Islam.

Di bawah penekanan ini, maka umat Islam cuma memerlukan undang-undang syariah yang khas diguna pakai untuk mereka dalam perihal agama, akal dan keturunan.

Dalam semua perkara lain, undang-undang yang sama akan diguna pakai.

Undang-undang tidak membezakan umat Islam dan orang bukan Islam dan tidak perlu digubal oleh atau dengan merujuk kepada ulama.

Satu contohnya ialah Akta Tandatangan Digital 1997 yang menentukan bagaimana kita dikira menandatangani dalam dunia maya. Ia tidak bersifat “kafir” sungguhpun tiada sebarang rujukan kepada syariah.

JAWAPAN

Dalam Syariat Islam, ada “Hudud” yang telah ditentukan Allah akan kesalahan dan hukumannya, kedua-duanya sekali, dan ada “Takzir” yang telah ditentukan Islam akan kesalahannya tetapi diserahkan kepada manusia menentukan bentuk hukumannya.

Ini tidak berlaku dalam Undang-undang Sivil yang ada membenarkan arak, riba, khalwat dan sebagainya kerana tidak merujuk kepada Ulamak dan Tradisi Islam.

Jika ada pun perbuatan seperti zina dan liwat umpamanya dianggap sebagai kesalahan, hukuman selain Hudud, terbukti tidak memberi kesan ketara kepada masyarakat. Ini terbukti di Barat dimana zina dan liwat pada asalnya suatu kesalahan. Oleh kerana hukumannya tidak selari dengan Syariat Islam, ia tidak dapat lagi dibendung pada hari ini.

Ini tidak mustahil berlaku di Malaysia di masa hadapan jika Idea Inklusif ini diterimapakai.

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik”.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah”. (Al-Maidah : 49-50).

“IDEA INKLUSIF”

Sebaliknya, jika bentuk yang ditekankan, maka segala undang-undang yang diguna pakai untuk umat Islam harus digubal, kalau bukan oleh ulama Islam pun, sekurang-kurangnya dengan membuat rujukan kepada tradisi dan konvensyen syariah.

Akan tetapi, apakah undang-undang yang berunsurkan Islam itu boleh diterima oleh atau sesuai untuk orang bukan Islam?

JAWAPAN

Di sini, prinsip Ketuanan Islam itu penting dan dasar. Ia disebut Allah di dalam Al-Quran dan di dalam Perlembagaan Malaysia bahawa agama Negara adalah Islam.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang beriman” (Ali Imran : 139).

Prinsip ini yang cuba dipadamkan oleh Barat, golongan pro-Liberal (pegangan akal semata-mata tanpa nas) dan golongan Plural (semua agama adalah sama).

“IDEA INKLUSIF”

Malah, apabila bentuk yang ditekankan, ketidakadilan turut terjadi sekalipun kes melibatkan orang Muslim sahaja.

Pertimbangkan kes hipotetikal ini. Ali adalah seorang menteri kanan yang menerima rasuah “kick-back” sebanyak RM2.6 bilion. Aminah pula seorang pendandan rambut yang berpendapatan bulanan RM3,000.

Kerana rasa cemburu dan marah dengan kekayaan Ali, Aminah mengambil kesempatan untuk mencuri sebiji cincin emas seberat 50 gram milik isteri Ali semasa mendandan rambut isteri menteri itu.

Andai kedua-dua Ali dan Aminah akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Kalau Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 (2015) diguna pakai, di bawah Seksyen-seksyen 6-8, maka Aminah (yang kali pertama mencuri tetapi bukan kerana didesak oleh kemiskinan) akan dihukum potong tangan kirinya kerana mencuri lebih daripada nilai 4.45 gram emas.

Mengikut harga emas hari ini (RM133,480/kg), RM 2.6 bilion Ali cukup untuk memberi 19,479 kg emas (hampir 400,000 kali berat cincin yang tercuri).

Akan tetapi, Ali tidak akan hilang tangan kanannya kerana “kick-back” itu bukan kesalahan “sariqah” (mencuri).

Ali sebaliknya akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1987 dan dihukum penjara sampai 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM13 bilion (tidak bermakna jika Ali sudah “muflis”kan dirinya.)

Nyata sekali, kalau “bentuk” syariah yang dikejar, maka maqasid keadilan sudah tergadai selagi hukuman untuk semua kesalahan yang berkaitan itu belum diselaraskan supaya beratnya hukuman menjadi setimpal dengan parahnya kesalahan.

JAWAPAN

Dalam Islam, semua kesalahan akan diadili dengan sebaiknya, lebih-lebih lagi jika berkait dengan harta dan maslahat awam.

Definasi curi adalah luas dalam Fiqh Islam. Khianat amanah juga suatu kesalahan besar dalam Islam. Islam juga menghukum orang-orang yang bersubahat dalam mana-mana kesalahan. Hutang seseorang juga adalah tertanggung ke atas waris.

Dari contoh tersirat di atas, wang RM2.6 billion yang diterima Ali akan diminta dikembalikan. Jika menerima RM2.6 billion adalah rasuah, maka sengaja enggan memulangkan wang tersebut boleh dianggap mencuri mengikut pertimbangan hakim berdasarkan kes.

Jika Ali enggan memulangkan wang rasuah, ia menjadi satu kesalahan lain pula berbanding Aminah.

Jika Ali tidak mampu mengembalikan wang kerana telah dibahagi-bahagikan kepada proksi-proksinya, maka Syariat Islam akan mendapatkannya, melalui akta curi atau seumpamanya dan tidak semestinya melalui akta rasuah. Seramai mana yang mencuri dengan menerima agihan sebagai proksi atau penjenayah, maka seramai itu yang dikenakan Hudud. Dengan ini orang ramai akan berhati-hati dari menjadi proksi memegang wang haram kerana mereka mempertaruhkan tangan mereka sendiri untuk dipotong.

Perbahasan terperinci mengenai prosiding, keterangan, hukuman dan sebagainya kita serahkan kepada ahli perundangan dan kehakiman. Tulisan ini tidak bertujuan untuk memperincikan kes-kes khusus.

Perlu diinsafi, dalam contoh di atas, hanya sekadar denda dan penjara (makan tanggung) sahaja seperti terdapat dalam Common Law, jenayah seperti ini tidak akan dapat dibendung dan rakyat terpaksa menanggung. Di sini terserlah keindahan dan keadilan Syariat Islam.

“IDEA INKLUSIF”

Nasionalisme Islam atau Islamisme inklusif?

Maka, apakah “kelebihan” perlaksanaan “bentuk” syariah daripada perlaksanaan maqasid syariah?

Kelebihan pengejaran “bentuk” ialah dapat menunjukkan kekuatan umat Islam.

Akan tetapi, pendirian ini adalah nasionalisme Islam, bukan Islam.

Nasionalisme Islam cuma inginkan Islam untuk angkat umat Islam sahaja dan oleh itu sudah tentu akan ditolak oleh orang bukan Islam sehingga mereka bencikan dan takutkan Islam.

Islam seharusnya mengangkat seluruh umat manusia dan oleh itu boleh disenangi oleh semua, sepertimana populariti perbankan Islam di kalangan orang Cina bukan Islam.

JAWAPAN

Islam mewajibkan agama ini memerintah dengan Ketuanan dan Syariat bukan untuk mendabik dada didepan umat lain, akan tetapi dengan keyakinan, perasaan kasih dan tanggungjawab yang mendalam bahawa hanya dibawah Syariat Islam manusia akan sejahtera.

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ ۚ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ ۚ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ ۚ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ ۖ فَنِعْمَ الْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ النَّصِيرُ

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk memperjuangkan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan” (Al-Hajj : 78).

Telah terbukti dalam sejarah pembukaan wilayah-wilayah Islam dari abad ke 7M hingga ratusan tahun lamanya, seluruh bangsa tanpa mengira agama, rela dan sejahtera berada dibawah Sistem Islam.

Golongan Barat, Liberal dan Plural memahami sejarah Islam yang gemilang tersebut, namun sebaliknya mereka ingin menjayakan agenda nafsu syahwat mereka semata-mata di zaman moden ini.

“IDEA INKLUSIF”

“…Selagi dengan “lunas demokrasi”, PAS boleh terus memperjuangkan nasionalisme Islam dengan mengejar perlaksanaan “bentuk” syariah.

Akan tetapi, parti GHB harus menolak ketaksuban kepada “bentuk” dan memperjuangkan pelaksanaan maqasid syariah.

Ia harus memperkenalkan maqasid syariah kepada seluruh masyarakat Malaysia sebagai salah satu sumber inspirasi dalam penambahbaikan undang-undang kita.

Parti baharu ini harus dengan beraninya menegakkan bendera Islamisme yang benar-benar inklusif dan menunjukkan Islam itu sememangnya rahmat untuk semua, dan bukan untuk umat Islam saja …”.

JAWAPAN

Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa aqidah, dakwah dan undang-undang Islam sebagai rahmat kepada seluruh dunia. Di atas jalan yang sama kita pada hari ini berjuang, meredah segala bentuk kepincangan disebabkan hawa nafsu dan sistem buatan manusia.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Kita tidak membezakan diantara “bentuk” dan “maqasid” Syariat Islam. Maqasid adalah ruh Syariat, manakala bentuk adalah hukum atau perlaksanaan Syariat itu sendiri. Dari pertimbangan Maqasid, lahirlah bentuk hukum dan perlaksanaan Syariat. Tidak ada bentuk yang terkeluar dari Maqasid seperti yang dinyatakan oleh pelopor ilmu Maqasid, Imam Asy-Syatiby.

Usaha mereka mengguna dan membeza-bezakan istilah “bentuk” dan “maqasid” hanyalah bertujuan untuk menyisihkan “tradisi Islam” dan “golongan ulamak”, memadam “Ketuanan Islam”, menyamaratakan semua agama, menggagalkan pendaulatan Syariat Islam di Parlimen dan DUN, menghalang perlaksanaan Islam dalam negara yang akhirnya merosakkan masyarakat lalu mengukuhkan penguasaan asing ke atas negara dan umat.

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Us. Abdul Halim Abdullah
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
3 Ogos 2015

Rujukan :

26 Julai, 2015.See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/wong-chin-huat/article/dari-nasionalisme-islam-ke-islamisme-inklusif#sthash.53D7OryX.dpuf

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: