Isu Tilawah dll. guna mikrofon di Pulau Pinang

Keputusan fatwa sendirian di Pulau Pinang melarang tilawah Quran, ceramah dll selain Azan dan Qamat adalah amat dikesali.

Pembesar suara adalah diantara sebesar-besar nikmat Allah swt kepada umat Islam. Dengannya, bacaan Al-Quran dapat dikumandangkan dari corong-corong pembesar suara di masjid dan surau. Begitu juga, bacaan tarahim, tazkirah, ceramah dan sebagainya.

Di antara dokongan besar dalam menarik Umat Islam ke Masjid dan Surau adalah bacaan al-Quran beberapa ketika sebelum dikumandangkan Azan, terutama Azan Maghrib dan Azan Subuh.

Ia bukan teori atau lahir dari perasaan. Ia dari pengalaman saya sendiri ketika berdakwah di MRSM Kuantan di awal tahun-tahun 1980an. Ketika itu surau Maktab kurang dikunjungi pelajar. Bahkan ramai pelajar yang masih bersukan di padang walau Azan Maghrib dikumandangkan. Banyak kali saya cuba berdakwah kepada mereka. Harapan saya ketika itu, jika mereka tidak ke Surau sekalipun, sekurang-kurangnya mereka berhenti bermain kerana menghormati waktu solat dan balik ke asrama sebelum Azan Maghrib.

Namun dakwah secara langsung sedemikian tidak berhasil. Mereka terus bermain tanpa menghiraukan azan Maghrib. Mereka hanya berhenti apabila bola yang disepak tidak lagi kelihatan kerana dimamah malam.

Halini berlarutan sehinggalah Allah swt memberi ilham agar dikumandangkan bacaan Al-Quran 10-15 minit sebelum Maghrib.

Hari Sabtu waktu pelajar dibenarkan keluar mingguan membeli belah di bandar Kuantan, saya membeli beberapa kaset tilawah Al-Quran oleh Ustaz Ismail Hashim, juara Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa tiga kali berturut-turut. Tiap bacaan beliau adalah selama 10 minit. Bacaannya sungguh merdu terutama bacaan terakhir Surah Huud, bacaan awal Surah Luqman, bacaan dalam Surah Al-Hajj dsb. Saya tidak ingat dari mana kami dapatkan alat pemain kaset, adakah dipinjam atau ia hasil kutipan derma yang kami lancarkan dengan membuat perarakan Maulid Nabi saw dari bilik ke bilik di asrama, mengetuk tiap pintu sambil menghulur tin Milo kosong meminta sumbangan.

Dakwah secara tidak langsung ini rupanya memberikan kesan yang hebat. Bacaan tilawah Us Ismail Hashim bukan sahaja bergema di seluruh kawasan Maktab, asrama dan padang, dewan makan dan bangunan akademik, bahkan ke taman-taman perumahan berjiran seperti Taman Medan Tok Sira.

Padang bola dan gelanggang-gelanggang sukan mulai kosong tanpa paksaan, sebelum Azan Maghrib dilaungkan. Dengan mendengar Tilawah berkumandang, pelajar-pelajar kini tahu mereka harus menamatkan sukan petang mereka lebih awal, bersedia untuk ke Solat Maghrib dan kelas-kelas persediaan malam. Saya dapat merasakan bilangan pelajar ke Surau Maktab juga bertambah dengan mendadak.

Penduduk Taman Medan Tok Sira ketika itu mungkin menyangka ia adalah tilawah harian salah seorang pelajar dari kami lalu pada suatu hari wakil mereka meminta saya seorang qari untuk sessi pembukaan suatu majlis ceramah mereka. Saya menghantar seorang pelajar tingkatan satu, Saudara Abdul Halim Mansor, yang pernah menjadi juara tilawah kebangsaan peringkat sekolah rendah kepada mereka.

Hari ini, bahkan sejak sekian lama, bacaan Al-Quran, selawat dan lain-lain zikir yang dikumandangkan dicorong-corong pembesar suara dari masjid dan surau, memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana Islamik kepada penduduk persekitaran, disamping usaha-usaha dakwah yang lain.

Dengan perkembangan dunia yang semakin canggih lagi menyibukkan dan melalaikan diri, Umat Islam lebih memerlukan syiar-syiar sokongan tambahan seperti tilawah, selawat dsb dikumandangkan seperti di atas, dan bukan sebaliknya dihalang atau dilenyapkan.

Dewasa ini kedengaran segelintir penduduk bukan-Islam mengadu mengenai tilawah Al-Quran sebelum azan Maghrib dan azan Subuh yang didakwa mengganggu ketenteraman mereka. Ia pernah berlaku di taman perumahan baru saya sendiri. Namun dengan Ketuanan Melayu-Islam, kami menghadapinya dengan mesra dan izzah (keagungan). Kita memberi nasihat dan alasan yang munasabah. Jika mereka masih mengadu, kita teruskan juga sehingga mereka akur. Hari ini tiada apa-apa masalah yang berlaku, disamping hubungan Dakwah kami kepada mereka terus dipereratkan.

Kita menyeru Mufti Kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Fatwa nya agar menyemak kembali isu berkenaan dan terus menarik balik fatwa berkenaan demi masadepan Umat Islam di negeri Pulau Pinang.

Us. Abdul Halim Abdullah,
Ahli Majlis Syura ISMA,
Mekah,
30 September 2015

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: