SOLAT KUSUF (GERHANA MATAHARI)

image

Solat Kusuf (كسف) pernah dilaksanakan oleh Nabi saw bersama para Sahabat ra. Hukumnya adalah sunat muakkad jika berlaku gerhana matahari atau gerhana bulan (Khusuf خسف) samada berlaku gerhana sepenuh atau sebahagian darinya.

Solatnya 2 rakaat dan pada setiap satu rakaat terdapat terdapat 2 bacaan Quran, 2 rukuk dan 2 sujud pada mana-mana waktu berlaku gerhana walau selepas Asar atau waktu tegahan solat sunat biasa.

Bila anak Nabi saw bernama Ibrahim meninggal dunia, berlaku gerhana matahari lalu terdapat orang yang berkata ia berlaku kerana kematian Ibrahim. Lalu Nabi saw berkhutbah menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan “Matahari dan Bulan adalah 2 tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah … Apabila kamu melihat kejadian itu, maka segera berzikir, doa dan istighfar”.

Dalam hadis lain, “..berdoalah kepada Allah, bertakbir dan bersedekah..”. Sehinggalah hilang gerhana tersebut.

Adalah sunat berkhutbah selepas Solat Gerhana seperti yang dilakukan oleh Nabi saw. Khutbah mengingatkan hadirin akan hukum hakam Solat Gerhana, memperingatkan agar menjauhi maksiat dan kejahatan, mengajak kepada mentaati Allah, mendorong mereka bersedekah, memperbanyakkan zikir dan istighfar.

Dalam khutbah Nabi saw, Baginda saw diperlihatkan Syurga dan Neraka. Apabila melihat Syurga, Nabi saw melangkah ke depan, lalu saf Sahabat ra juga melangkah ke depan, sehingga Nabi saw hendak memetik seranting anggur dengan bersabda bermaksud, “Jika aku memetiknya, nescaya kamu akan memakannha sehingga ke akhir dunia”.

Kemudian diperlihatkan kepada Nabi saw akan Neraka lalu Nabi saw mengundur ke belakang, diikuti saf Sahabat ra juga mengundur ke belakang. Nabi saw bersabda bermaksud, “Aku melihat Amru bin Lihya Al-Khuza’iy di dalam Neraka (beliau ketua penduduk Mekah di zaman Jahiliyah) menarik-narik ususnya dalam api neraka, kerana dia orang pertama yang melakukan upacara sembelih lembu dan ternakan untuk dihadiahkan kepada berhala dan orang pertama yang menukar agama Nabi Ibrahim as. kepada menyembah berhala dan berdoa kepada selain Allah. Oleh itu, beliau di azab pedih.

Nabi saw melihat seorang perempuan diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya tanpa diberi makan dan minum, dan tidak pula dibebaskannya untuk mencari makan sendiri di bumi Allah.

Ini menunjukkan haram menyiksa binatang, samada kucing, anjing, ayam, burung, unta, lembu dll. Sepatutnya mereka diberi makan, dijual atau dibebaskan mencari makan di bumi Allah. Adapun mengurungnya tanpa makan, maka ini satu kezaliman dan tidak dibolehkan walaupun seekor kucing. Kalaulah itu berkait kucing, maka apatah lagi mengurung seorang muslim tanpa kesalahan, menzaliminya dengan bunuh atau penyiksaan ? Sudah tentu dosanya lebih besar dan azabnya lebih pedih.

Nabi saw melihat pencuri ke atas jemaah Haji. Di zaman itu ada orang yang mencuri dengan menggunakan tongkat bercangkuk di hujungnya. Bila tiada orang perasan, dia akan cangkuk, curi dan lari. Bila orang perasan, dia akan berkata elok barang ini digantung menggunakan tongkat saya. Nabi saw melihat dia disiksa dengan tongkatnya di dalam api neraka.

Sempena peristiwa Gerhana Matahari yang akan berlaku sekitar 8.30 am esok Rabu 9 Mac 2016, marilah kita menjauhi perbuatan mencuri, pecah amanah, mengajak kepada Syirik, menyiksa binatang, menganiaya orang lain dan maksiat-maksiat yang lain. Itu semua membawa kepada azab yang pedih dalam api Neraka.

Us. Abdul Halim Abdullah
Ikatan Ulama’ Ahlus Sunnah Sedunia
Ahli Majlis Syura ISMA
8 Mac 2016

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: