Kuatkan Silaturahim Itu Ibadah

image

Di antara kehebatan yang dibawa oleh Islam adalah, hubungan rahim atau “Sillaturrahim” tidak terhad hanya dikalangan ibu bapa dan anak-anak sahaja, bahkan ia merangkumi bapa dan ibu saudara, sepupu dan sesiapa yang berkait dengan mereka.

Kesemua mereka mempunyai hak berbuat kebajikan dan hubungan terbaik yang dianjurkan Islam, dikira sebagai fadhilat yang mulia dan dijanjikan dengan pahala besar. Dalam masa yang sama, Allah mengancam dengan dosa dan siksaNya yang pedih seperti hadis ” فمَنْ وَصَلَ رحمه وَصَلَهُ الله، ومَنْ قَطَعَهَا قَطَعَهُ الله. bermaksud, “Siapa yang menyambungkan Sillaturrahim, Allah akan menyambungkan akan dia. Siapa yang memutuskannya, Allah akan memutuskan dia”.

Sempena bulan Ramadan, dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi, adalah baik dengan ganjaran besar kita berusaha menguatkan hubungan silaturrahim di kalangan sepupu sepapat kita, apatah lagi dengan mereka yang jauh.

Ketika ini, saya dan bersama sepupu sepapat saya sedang merancang program reunion saudara mara pada 2hb Syawal yang mendatang.

Sambutan hari raya tersebut dinamakan “Hari Keluarga Haji Hassan” sempena nama datuk kami “Haji Hassan Haji Muhammad”. Al-Marhum mempunyai 4 orang anak, Haji Arshad, Hajjah Tiawa, Haji Abdullah (ayah saya) dan Haji Alias.

Dari 4 orang anak beliau, lahir 250 anak, cucu, cicit dan piut dalam kiraan setakat ini. Kami masih menjejak kasih mendapatkan makkumat mengenai saudara mara lain yang berkaitan.

image

Foto: Saya (duduk depan dua dari kanan) isteri, anak dan sepupu dari Malaysia bersama kaum kerabat di Kg. Kota Benta, Sg. Penuh, Kerinchi, Jambi, Sumatera dalam program Jejak Kasih II (2011)

Islam telah menggariskan peraturan dan sistem yang mewajibkan berlakunya hubungan kuat yang berterusan dikalangan ahli keluarga besar tersebut. Mereka mesti saling menanggung dan membantu sesama mereka. Contohnya apabila berlaku kes bunuh tanpa sengaja, maka dalam Islam, denda Diyat adalah jatuh ke atas keluarga besar si pembunuh.

Silaturrahim bermakna berbuat baik terhadap saudara mara di dalam keluarga besar, melindungi mereka dari sebarang mudarat, menziarahi dan bertanya khabar, bertukar-tukar hadiah, menanggung mereka yang miskin dari kalangan mereka, menziarahi yang sakit, memenuhi undangan, menerima kunjungan, menguatkan prestasi mereka dan seumpamanya yang boleh menguatkan hubungan diantara mereka.

image
Berfoto di tanah perkuburan di Kg. Kota Benta, Sg. Penuh, Kerinchi, Jambi, Sumatera di mana moyang saya, Haji Muhammad dikebumikan.

Dengan itu terbukalah pintu-pintu kebaikan yang banyak, kesatuan umat diperteguhkan lagi, jiwa setiap anggota merasa lebih mantap dan tenteram kerana merasakan ada keluarga besar yang mengambil tahu dan boleh membantu jika dia memerlukan.

Allah swt mewajibkan tali Silaturrahim ini dihubungkan, disusuli pula dengan kebaikan dan kebajikan. Hadis qudsi dari Abdul Rahman bin Auf ra berkata, “Nabi saw bersabda, ” أَنَا الرَّحْمَنُ وَهِيَ الرَّحِمُ، شَقَقْتُ لَهَا اسْمًا مِنَ اسْمِي، مَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ” bermaksud, “Aku (Tuhan) adalah Ar-Rahman. Perkataan itu juga adalah “Ar-Rahim”. Aku potongkan baginya satu nama dari namaKu. Siapa yang menghubungkannya (silla “Ar-Rahim”), Aku sambungkan dia. Siapa yang potongkannya, Aku kudungkan dia”.

Dari Anas bin Malik ra, berkata, “Aku dengar Nabi saw bersabda, ” مَمَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ[3]؛ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ” bermaksud, “Siapa yang mahu Allah meluaskan rezekinya, atau memberkati umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan rahim (saudara mara keluarga besar)nya”.

Dari Jubair bin Mut’im ra berkata, “Nabi saw bersabda, ” لاَ يَدْخُلُ الْـجَنَّةَ قَاطِعُ رَحِمٍ” bermaksud, “Tidak masuk Syurga orsng yang memutuskan Silaturrahim (hubungan saudara mara)”.

Moga Allah swt memberi taufiq dan kekuatan kepada kita dalam berusaha menghubung dan menguatkan hubungan Sillaturrahim dikalangan saudara mara kita. Ameen.

Us. Abdul Halim Abdullah
Ikatan Ulama’ Ahlus Sunnah Sedunia
Mekah Al-Mukarramah
2 Ramadan 1437H (7.6.2016)
image

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: