I.K.H.(01): ENAM KATEGORI ASAS

image

I.K.H.(Isu Kafir Harbi). Kini hangat diperkatakan tentang istilah “Kafir Harbi”. Ia istilah dan ilmu dalam Fiqh Islami sejak zaman berzaman dan dipertegaskan lagi oleh ulamak hari ini.

Walau apa pun niat isu ini diperhangatkan hari ini, disebalik itu, ia sebenarnya menyegarkan ingatan generasi hari ini atau mengajar ramai masyarakat yang jahil mengenainya, untuk segera cuba memahami apakah ertinya istilah “Kafir Harbi” dan implikasi positifnya yang penting terhadap masyarakat.

Ini adalah kerana kita meyakini bahawa Syariat Islam diturunkan tidak lain selain untuk kesejahteraan umat manusia di dunia.

Sebelum menyelami lebih mendalam, elok kita tahu erti 2 jenis syakhsiyah yang disebut dalam Fiqh Islami, yang juga disebut dalam perundangan sivil. Ia adalah Syakhsiyah Iktiyadiyah (الشخصية الاعتيادية) dan Syakhsiyah Iktibariah (الشخصية الاعتبارية).

Syakhsiyah Iktiyadiah adalah syakhsiyah setiap diri individu dalam masyarakat. Contohnya Ali, Rohani, Ahmad, Rozita dll.

Syakhsiyah Iktibariah adalah syakhsiyah sesuatu organisasi samada kecil (pertubuhan dll.) atau besar (negara dll.) seperti Kelab Belia Kuantan, Parti Berjaya, negara Vietnam dsb.

Bukankah kita sering mendengar hukuman atau saman boleh dikenakan ke atas syakhsiyah individu (iktiyadiyah), maupun ke atas organisasi (iktibariah) ?

Banyak implikasi hukum atau undang-undang boleh dibuat berdasarkan 2 kategori syakhsiyah di atas. Ia juga sebenarnya memudahkan proses penghakiman dan penegakan keadilan dalam masyarakat.

Antara prinsip yang relevan dalam isu “Kafir Harbi” yang hangat hari ini adalah hukum ke atas Syakhsiyah Iktibariah tidak semestinya jatuh ke atas Syakhsiyah Iktiyadiah.

Contohnya apabila status sesebuah negara itu dianggap (Negara) Islam, ia tidak bermakna setiap individu di dalam negara tersebut adalah orang Islam.

Sejarah membuktikan, ramai orang kafir tinggal di dalam Negara-negara Islam. Dalam Negara Islam Madinah era Nabi saw sendiri, terdapat ramai orang-orang kafir di dalamnya.

Begitu juga sebaliknya apabila sesebuah negara itu berstatus (Negara) Kafir (belum diIslamkan dengan penegakkan Syariat Islam di buminya), ia tidak bermakna setiap individu di dalamnya adalah atau menjadi orang kafir.

Di era Nabi saw, masih terdapat individu-individu muslim yang tinggal dan tertindas di Mekah. Di zaman Khulafak Rasyidin, Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah, ramai penduduknya dari kalangan orang-orang kafir.

Oleh itu jika disebut status Parti DAP atau mana-mana parti lain adalah organisasi “kafir harbi” misalnya, ia tidak bermakna setiap orang di dalamnya adalah orang kafir harbi termasuk individu-individu muslim di dalamnya.

Islam sangat menekankan interaksi yang jelas terhadap setiap individu dan organisasi berdasarkan statusnya. Oleh itu, status setiap individu dan organisasi mesti dikenalpasti atau dirumuskan.

Masyarakat Islam dan Negara Islam mesti jelas status setiap orang dan setiap organisasi di dalam negaranya.

Membiarkan setiap warga tanpa status, atau setiap organisasi tanpa kategori boleh membawa masalah pengurusan disegi jangka pendek, malah boleh mengundang bahaya dijangka masa panjang.

Pada orang-orang Islam yang benar-benar jujur terhadap agamanya, manusia di depannya terbahagi kepada 6 kategori iaitu :

1- Muslim Mujahid (berjuang untuk agamanya).
2- Muslim Qa’id (lepak, tidak berjuang untuk agamanya).
3- Muslim Asiy (berdosa kerana cuai terhadap agamanya).

4- Kafir Zimmi (yang rela dinaungi Syariat Islam) atau Mua’ahad (yang didalam perjanjian damai dengan Negara Islam).
5- Kafir Muhayid (yang neutral iaitu tidak rela maupun tidak menentang).
6- Kafir Harbi (yang menentang Syariat Islam).

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka :
1- di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan
2- di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan
3- di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah)”.

Setelah adanya 6 kategori di atas, barulah mudah bagi Negara Islam atau orang-orang Islam sendiri untuk membuat pertimbangan atau menentukan sikap terhadap seseorang individu (Syakhsiyah Iktiyadiyah) atau sesebuah organisasi, pertubuhan atau parti (Syakhsiyah Iktibariah).

Pendirian paling utama dan asas adalah pendirian Walak dan Barak (الولاء والبراء). “Walak” bererti kesetiaan, kerjasama, kasih sayang, perlindungan dan seumpamanya. “Barak” bererti berlepas diri, tidak bekerjasama, meninggalkan atau menentang.

Jika kita mengamati 6 kategori di atas, kita akan dapati bahawa “Kayu Ukur” kepada pembahagian tersebut adalah “Syariat Islam” itu sendiri. Ia menunjukkan :

1- Orang-orang Islam dikategorikan sesama mereka berdasarkan sejauh mana mereka memperjuangkan penegakkan Syariat Islam yang sempurna lagi berdaulat di negara mereka dan di dunia. Kayu ukur itu bukan sekadar “menegakkan keadilan sejagat”, “membenteras korupsi” dan lain-lain seruan yang banyak kedengaran hari ini. Ini adalah kerana, tanpa Syariat Islam yang sempurna ditegakkan, tidak akan berlaku keadilan yang sering dilaungkan di Timur dan di Barat.

2- Orang-orang kafir dikategorikan dikalangan mereka pula berdasarkan apakah sikap, pendirian dan tindakan mereka terhadap penegakkan Syariat Islam ke atas diri mereka, samada mereka rela dan sanggup atau tidak rela dan menentang. Syariat bererti sistem dan undang-undang Islam. Islam tidak memaksa Aqidah Islam ke atas sesiapa. “Tiada paksaan dalam agama (aqidah) Islam”. Namun begitu Islam tidak membenarkan pelacuran dan sarang pelacuran, riba, skandal seks, fitnah dan sebagainya tersebar, mengotori dan merosakkan masyarakat.

Moga dengan penjelasan ringkas ini, kita dapat mengenal secara amat ringkas mengenai :

1- Dua jenis identiti dalam masyarakat, iaitu identiti orang perseorangan dan identiti organisasi. Kita tidak mencampuradukkan antara kedua-duanya di noktah perbahasan yang tidak sepatutnya dicampuradukkan.

2- Enam kategori individu atau organisasi. Tanpa sempat kita membicarakan dalam artikel ini apakah sikap, pendirian dan tindakan kita terhadap tiap satu kategori berkenaan. (Bersambung).

Us. Abdul Halim Abdullah
I رابطة علماء أهل السنة العالمية
28 Jun 2016

Ikuti posting berikutnya : I.K.H.(02) : MAKNA “KAFIR HARBI” DAN IMPLIKASINYA.

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: