Aqidah Tauhid

PENGERTIAN TAUHID

Perkataan “tauhid توحيد ” diambil dari perkataan “wahid واحد ” bermaksud “satu” atau “esa” atau perkataan “ahad” bermaksud “tunggal”.

Oleh itu “tauhid” bermakna kita mengesa atau mengtunggalkan Allah swt dalam ibadah, ketundukan dan kepatuhan tanpa tunduk dan patuh kepada selain Allah swt samada berupa berhala, manusia, barang, peraturan atau apa sahaja yang bertentangan dengan Allah swt dan kehendakNya.

Aqidah Tauhid di dalam Islam terkandung pada kalimah ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا bermaksud “Tiada Ilah Melainkan Allah”.

ILAH mempunyai berbagai makna yang digunakan oleh orang-orang Arab. Ia bukan sahaja bererti “tuhan patung berhala” semata-mata seperti yang ditanggapi oleh ramai orang. Oleh itu kalimah لا إله إلا الله (Tiada ILAH Melainkan Allah) juga mempnyai berbagai pengertian dan tuntutan. Ia tidak terbatas hanya dengan melarang manusia tunduk, rukuk atau sujud di depan patung berhala.

☪️ MAKNA ILAH إله PADA BAHASA

Ilah dalam bahasa arab mempunyai berbagai makna dan penggunaan. Di antaranya adalah :

  1. Menyayangi. Contohnya ألهت إلى فلان (alahtu ila fulan) bererti “Aku meng-ilah atau menyayangi seseorang”.
  2. Melindungi. Contohnya ألهه رجل أى أجاره (aliha-hu) bererti “lelaki itu meng-ilah atau melindung seseorang”.
  3. Menyembah. Contohnya أله إلاهه (alaha ilahah) bererti “dia meng-ilah atau menyembah sesuatu sembahan”.

Oleh itu di dalam Al-Quran, perkataan ILAH tidak dimaksudkan hanya patung berhala sahaja semata-mata seperti sangkaan ramai masyarakat, akan tetapi ILAH juga bermaksud yang dicintai, yang melindungi, yang dipatuhi, yang ditunduk di hadapannya samada ia berupa berhala, manusia, barang, peraturan dan sebagainya.

Memahami hakikat ini melalui pengertian dalam bahasa Al-Quran itu sendiri, akan memberi kefahaman sebenar terhadap makna ILAH dan maksud Tiada ILAH Melainkan Allah. Dengan ini, ia memberi kesan besar terhadap diri seseorang muslim seperti yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullh saw, serta kesan besar pada masyarakat dan negara seperti yang ditunjukkan oleh Negara Islam Pertama di Madinah di zaman awal Islam yang gemilang.



MAKNA ILAH إله PADA ISTILAH

1️⃣ SEMBAHAN RITUAL

ILAH memberi maksud sesuatu yang disembah secara ritual berupa rukuk, sujud, tunduk, doa memuja dan seumpamanya. Pengertian ILAH atau “tuhan” seperti ini difahami oleh ramai di kalangan masyarakat.

Firman Allah swt :
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱرۡكَعُوا۟ وَٱسۡجُدُوا۟ وَٱعۡبُدُوا۟ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُوا۟ ٱلۡخَیۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ۩)

bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, rukuklah, sujudlah, sembahlah Tuhan kamu dan kerjakan kebaikan supaya kamu berjaya” [Surah Al-Hajj 77]

Apabila seseorang muslim bersyahadah, dia berikrar dan berjanji untuk rukuk, sujud, tunduk, menunaikan solat dan ibadat-ibadat lain serta melakukan kebaikan hanya untuk dan kerana Allah swt semata-mata, sebagai tanda pengabdian kepadaNya sebagai satu-satunya ILAH, tanpa mensyirik, mendua atau mencurangiNya dengan sesuatu yang lain.


Sebaliknya, perbuatan rukuk, sujud, mempersembahkan sembelihan, menyembah berhala, patung, binatang, pokok, bintang atau makhluk-makhluk lain adalah syirik, bertentangan dengan Tauhid dan mengeluarkan seseorang dari agama Islam.

Nabi Ibrahim as berdakwah kepada kaumnya agar tidak menyembah patung berhala. Ketika pembukaan Mekah, Rasulullah saw telah menghancurkan patung-patung berhala yang terdapat di Kaabah.

PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI SEMBAHAN RITUAL)


1) Nyatakan di tempat anda berada, ILAH-ILAH sembahan ritual yang ada dengan namakan agama-agama yang berkaitan.


2) Sudahkah anda pelajari di mana dan bagaimana bermulanya penyelewengan-penyelweangn itu berlaku dan ILAH-ILAH itu wujud ?


3) ILAH-ILAH sembahan ritual agama-agama tersebut bukan sahaja disembah oleh orang-orang tidak berpelajaran atau pagan malah oleh para cendikiawan, dan bukan sahaja di negara-negara mundur dan hutan belantara, malah di negara-negara maju dan metropolitan. Apakah pemerhatian dan pengajaran yang boleh diambil ?


4) Generasi-generasi awal Islam berjaya menyebarkan Islam ke dua per tiga dunia dengan begitu cepat, memakan masa beberapa kurun sahaja, dan merubah sembahan-sembahan batil tersebut kepada hanya menyembah Allah swt. Namakan sebahagian dari negara-negara tersebut dan bagaimanakah kejayaan-kejayaan itu tercapai ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?

2️⃣ TEMPAT PERLINDUNGAN

Apabila seseorang muslim itu bersyahadah bahawa “Tiada ILAH Melainkan Allah” maka dia telah meyakini bahawa hanya Allah swt sahaja yang mampu memberikan perlindungan kepadanya. Segala perlindungan dari makhluk adalah bersifat sementara dan hanya berlaku dengan izin Allah semata-mata.


(بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ۝ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ۝ إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ)
“Katakanlah ” aku berlindung pada Tuhan manusia, raja manusia, ILAH manusia …” [Surah An-Nas 1 – 3]

Muslim yang benar-benar beriman tidak akan takut kepada makhluk selain Allah Yang Maha Berkuasa, tidak sedih dalam menghadapi rintangan hidup, bersedia dan berani menghadapi risiko dalam memperjuangkan Islam dan menegakkan kebenaran berdepan dengan kebatilan.

Firman Allah swt :

{ قُل لَّن یُصِیبَنَاۤ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ }


bermaksud, “Katakanlah (bahawa) tidak akan menimpa ke atas kami (sebarang kemudharatan) melainkan apa yang telah ditentukan Allah ke atas kami. Dialah Pelindung kami. Dan kepada Allah lah orang-orang beriman bertawakkal” [Surah At-Tawbah: 51].

Sabda Rasulullah saw :

احفَظِ اللهَ يحفَظْك ، احفَظِ اللهَ تجِدْه تُجاهَك ، إذا سألتَ فاسألِ اللهَ ، وإذا استعنْتَ فاستعِنْ باللهِ ، واعلمْ أنَّ الأمةَ لو اجتمعتْ على أن ينفعوك بشيءٍ ، لم ينفعوك إلا بشيءٍ قد كتبه اللهُ لك ، وإنِ اجتمعوا على أن يضُرُّوك بشيءٍ لم يضُروك إلا بشيءٍ قد كتبه اللهُ عليك ، ( رُفِعَتِ الأقلامُ وجَفَّتِ الصُّحُفَ )


bermaksud, “Jagalah Allah (dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya nescaya) Dia akan menjaga kamu. Jagalah Allah nescaya kamu akan dapati Dia bersama kamu. Apabila kamu meminta, mintalah dari Allah. Apabila kamu mencari pertolongan, mintalah pertolongan dari Allah.

Ketahauilah oleh kamu bahawa jika suatu umat berhimpun untuk memberikan sesuatu menfaat kepada kamu dengan sesuatu perkara, mereka tidak dapat memberikan menfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah untuk kamu.

Jika mereka berhimpun untuk memdatangkan mudharat ke atas kamu dengan sesuatu perkara, mereka tidak dapat mendatangkan mudharat yang Allah telah tentukan ke atas kamu.

Pen telah diangkat. Lembaran-lembaran telah kering”.

Rasul-rasul yang terdahulu berjuang menyampaikan Islam dan berdepan dengan tentangan dahsyat dari pemerintah dan kaum mereka sendiri. Nabi Musa as berdepan dengan bala tentera Firaun yang terkuat di zaman itu. Namun itu semua tidak sedikitpun menggentarkannya atau menghentikannya dari melaksanakan dakwahnya.


Rasulullah saw dan para Sahabat ra ditindas di Mekah oleh para pembesar musyrikin Quraisy. Ada di kalangan mereka yang dibunuh. Namun itu sedikit pun tidak berjaya menghentikan Dakwah mereka. Di Madinah mereka berjihad berperang di Badar, Uhud dan Khandaq melawan tentera musuh yang jauh lebih banyak bilangannya dan kelengkapannya, namun keimanan dan keyakinan mereka bahawa Allah swt sebagai pelindung dan pemberi kemenangan akhirnya membawa mereka kepada kemenangan demi kemenangan, hingga ke Pembukaan Mekah pada tahun 8 Hijrah mengalahkan musyrikin Quraisy dan mengalahkan Kuasa Besar Rum dalam Perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah.

PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI TEMPAT PERLINDUNGAN)


1) Sebutkan lagi beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan Allah swt adalah pelindung sebenar dan mutlak.


2) Kemukakan kisah-kisah para Rasul terdahulu dan para pengikut mereka, serta kisah-kisah terkini yang menunjukkan bahawa Allah swt adalah tempat perlindungan yang hakiki.


3) Apakah kesan terhadap diri seseorang yang sepatutnya, dalam kehidupan dan perjuangannya, apabila dia telah bersyahadah dengan penuh penghayatan “Tiada ILAH Melainkan Allah” yang bermaksud tiada tempat perlindungan melainkan Allah swt.


4) Tanpa menghayati maksud dan tuntutan “Tiada ILAH Melainkan Allah”, kita melihat individu, organisasi, masyarakat dan negara-negara banyak mencari perlindungan-perlindungan lain. Berikan contoh-contoh dan apakah kesan-kesan dari perbuatan sedemikian ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?





3️⃣ TUMPUAN KECINTAAN

Apabila seseorang muslim itu bersyahadah, dia telah memperakui dan meletakkan kecintaan kepada Allah swt mengatasi kecintaannya kepada selainNya dari kalangan makhluk-makhluknya. Firman Allah swt :


(وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یَتَّخِذُ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَندَادࣰا یُحِبُّونَهُمۡ كَحُبِّ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَشَدُّ حُبࣰّا لِّلَّهِۗ …)


bermaksud, “dari kalangan manusia,ada yang mangambil selain Allah sebagai sekutu², mengasihi mereka seperti mengasihi Allah. (Padahal) orang² beriman lebih cinta kepada Allah ” [Surah Al-Baqarah 165]

Dari ayat di atas, Allah swt menegah seseorang mencintai apa dan siapa sahaja makhluk melebihi atau menyamai kecintaan kepada Allah swt. Makhluk yang dicintai dengan kecintaan yang menyamai kecintaan kepada Allah swt adalah disifatkan Allah swt dalam ayat di atas sebagai “andad” bererti “sekutu-sekutu (syirik)” atau pesaing-pesaing kepada Allah. Jika ini berlaku maka ia bertentangan dengan ketunggalan Allah swt atau Tauhid.

Rasulullah saw menekankan lagi hakikat Tauhid ini dengan sabdanya :

ثَلَاثٌ مَن كُنَّ فيه وجَدَ حَلَاوَةَ الإيمَانِ: أنْ يَكونَ اللَّهُ ورَسولُهُ أحَبَّ إلَيْهِ ممَّا سِوَاهُمَا، وأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لا يُحِبُّهُ إلَّا لِلَّهِ، وأَنْ يَكْرَهَ أنْ يَعُودَ في الكُفْرِ كما يَكْرَهُ أنْ يُقْذَفَ في النَّارِ.

bermaksud, “Ada 3 perkara yang barangsiapa yang memilikinya, dia akan dapat merasai kemanisan Iman. (1) Allah dan RasulNya lebih dicintainya berbanding selain kedua-duanya, (2) Dia mengasihi seseorang tidak lain melainkan mengasihinya kerana Allah, (3) Dia benci untuk kembali kepada kekafiran seperti dia benci dicampakkan ke dalam api” (Hadis Sahih).

Dengan persaksian dan syahadah Tiada ILAH Melainkan Allah yang membawa erti tiada sebarang kecintaan melebihi kecintaan kepada Allah, seorang muslim meletakkan Allah, Rasul dan perjuangan Islam sebagai keutamaan paling tinggi dalam hidupnya, melebihi dan mengatasi ayah, ibu, anak, adik beradik, pasangan hidup, sedara mara, harta, perniagaan dan tempat tinggalnya sendiri. Firman Allah swt :

{ قُلۡ إِن كَانَ ءَابَاۤؤُكُمۡ وَأَبۡنَاۤؤُكُمۡ وَإِخۡوَ ٰ⁠نُكُمۡ وَأَزۡوَ ٰ⁠جُكُمۡ وَعَشِیرَتُكُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةࣱ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَاۤ أَحَبَّ إِلَیۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادࣲ فِی سَبِیلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ یَأۡتِیَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا یَهۡدِی ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِینَ }


bermaksud, “Katakanlah sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, adik beradik kamu, pasangan-pasangan hidup kamu, sedara mara kamu, harta yang kamu kumpulkan, perniagaan yang kamu takut merudum dan tempat tinggal yang kamu selesa dengannya, lebih kamu sayangi (utamakan) dari Allah, RasulNya dan berjuang berjihad dijalanNya, maka nantikanlah hingga Allah mendatangkan keputusannya. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik” [Surah At-Taubah: 24].

Maksud “berjihad di jalanNya” di atas adalah berjuang ke arah menjadikan Kalimah Allah Yang Tertinggi (كلمة الله هى العليا). Kalimah Allah Yang Tertinggi bererti Al-Quran dan Syariat (undang-undang) yang terkandung di dalamnya, menjadi perlembagaan dan undang-undang yang tertinggi mengatasi segala sistem dan undang-undang manusia yang lain.

Dari ayat di atas, kecintaan yang Allah mahukan adalah kecintaan kepada :
– Allah,

Firman Allah swt lagi :

زُیِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَ ٰ⁠تِ مِنَ ٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡبَنِینَ وَٱلۡقَنَـٰطِیرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَیۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَ ٰ⁠لِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (14) ۞ قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَیۡرࣲ مِّن ذَ ٰ⁠لِكُمۡۖ لِلَّذِینَ ٱتَّقَوۡا۟ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّـٰتࣱ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَا وَأَزۡوَ ٰ⁠جࣱ مُّطَهَّرَةࣱ وَرِضۡوَ ٰ⁠نࣱ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِیرُۢ بِٱلۡعِبَادِ (15)

bermaksud, “Dinampakkan cantik di depan manusia kecintaan kepada perkara-perkara yang diingini oleh nafsu berupa wanita, anak pinak, timbunan harta dari emas dan perak, kuda peliharaan terlatih, binatang-binatang ternak dan ladang-ladang tanaman. kesemuanya itu adalah keseronokan kehidupan di dunia (sedang ingatlah) di sisi Allah adalah tempat kembali yang terbaik.

Katakan kepada manusia, mahukah aku beritahu kalian perkara yang lebih baik dari kesemua (keseronokan yang disebut) tadi bago orang-orang yang bertaqwa (adalah) Syurga-syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalamnya, dan bidadari-bidadari yang suci, dan keridhaan dari Allah. Allah Maha Melihat hamba-hambaNya” (Surah Ali Imran, ayat 14-15)..



PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI TUMPUAN KECINTAAN)


1) Sebutkan lagi beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan Allah swt adalah tumpuan kecintaan tertinggi dan paling utama.


2) Bagaimanakah menyuburkan di dalam hati perasaan cinta kepada Allah swt ? Apakah perkara-perkara yang boleh menyebabkan berkurangnya perasaan tersebut ?


3) CInta adalah perasaan di dalam hati yang dibuktikan dengan perbuatan. Apakah perbuatan-perbuatan yang membuktikan cinta seseorang kepada Allah swt melebihi kecintaan kepada selainNya ? Kemukakan kisah-kisah bagi membuktikannya.


4) Bagaimana ukhuwah dan kasih sayang sebenar sesama makhluk dihubungkan atau didasarkan kepada kecintaan kepada Allah swt ? Bagaimana pula kasih sayang yang tidak betul yang dicegah oleh Islam ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?

4️⃣ SUMBER REZEKI

Syahadah seseorang muslim memperakui satu hakikat bahawa Allah sahaja satu-satunya pemberi rezeki kepada makhlukNya. Makhluk hanya pembawa dan penyampai rezeki sahaja dengan izinNya dan bukan sumber rezeki itu sendiri. Manusia juga tidak berupaya menambah atau mengurangi, menyampai atau menahan rezeki sesiapa pun walau sedikit. Firman Allah swt :


(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡۚ هَلۡ مِنۡ خَـٰلِقٍ غَیۡرُ ٱللَّهِ یَرۡزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِۚ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۖ فَأَنَّىٰ تُؤۡفَكُونَ)


“Wahai manusia, ingatlah nikmat Allah ke atas kamu. Adakah ada pencipta selain Allah boleh memberi kamu rezeki dari langit dan bumi ? Tiada ILAH selain Dia. Bagaimana kamu boleh dipalingkan ?” [Surah Fatir 3]

Perkataan ILAH di dalam “Tiada ILAH Melainkan Dia” di dalam ayat di atas merujuk kepada yang memberi rezeki samada dari langit atau bumi. Maka jelaskan dalam ayat di atas bahawa tiada pemberi rezeki kecuali Allah swt.

Firman Allah swt lagi :

{ أَمَّن یَبۡدَؤُا۟ ٱلۡخَلۡقَ ثُمَّ یُعِیدُهُۥ وَمَن یَرۡزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ وَٱلۡأَرۡضِۗ أَءِلَـٰهࣱ مَّعَ ٱللَّهِۚ قُلۡ هَاتُوا۟ بُرۡهَـٰنَكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ }


bermaksud, “Siapakah yang memulakan penciptaan, kemudian dia boleh mengembalikan penciptaan itu (setelah mati) dan yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi ? Adakah ada ILAH selain Allah ? Katakan kepada mereka – bawalah keterangan-keterangan kamu sekiranya kamu yang benar” [Surah An-Naml: 64]

Manusia menghabiskan tempoh masa utama mereka seharian dari awal pagi hingga ke akhir petang dalam mencari rezeki, samada berniaga, bekerja di bawah majikan atau bekerja sendiri. Menerima wang dari majikan, pelanggan, orang ramai dengan berterusan adakalanya boleh melupakan manusia akan hakikat bahawa rezeki itu sebenarnya adalah dari Allah swt.

لا تَستبطِئُوا الرِّزقَ، فإنَّهُ لمْ يكنْ عبدٌ لِيموتَ حتى يَبلُغَهُ آخِرُ رِزقٍ هوَ لهُ، فاتَّقُوا اللهَ، وأجْملُوا في الطَّلَبِ، أخذُ الحلالِ، وتركُ الحرامِ

bermaksud, “Janganlah kamu mengeluh sedikit atau lambat datangnya rezeki. Ini kerana tidak akan mati seseorang hamba Allah sehinggalah tiba kepadanya rezekinya yang terakhir. Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan carilah rezeki melalui jalan-jalan yang baik (dengan) mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram”.



PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI SUMBER REZEKI)


1) Sebutkan lagi beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan Allah swt adalah pemberi rezeki kepada makhluk-makhluknya. Apakah pengajaran dari dalil-dalil tersebut ?


2) Manusia menghabiskan masa utama (prime time) mereka seharian, waktu sihat mereka, dan memerah tenaga dan fikiran mereka untuk mencari rezeki. Bagaimanakah kerja mencari rzeki mempengaruhi dan membentuk diri seseorang dan masyarakat, secara positif dan secara negatif ?


3) Kemukakan kisah-kisah teladan dulu dan kini mengenai hakikat Allah sebagai ILAH sumber rezeki.


4) Ramai manusia yang takut akan rezekinya terganggu lalu ini memberi kesan terhadap aktiviti, ibadat dan perjuangan Islam mereka. Bagaimana ini boleh berlaku dan apakah penyelesaiannya ? Apakah pendiran dan perancangan anda sendiri dalam menangani hal ini ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?



5.0 ILAH SEBAGAI TUMPUAN KETUNDUKAN DAN IKUTAN

ILAH adalah tumpuan kepada ketundukan dan ikutan. Firman Allah swt :

{ أَفَرَءَیۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمࣲ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةࣰ فَمَن یَهۡدِیهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ }

bermaksud, “Tidakkah kamu melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai ILAH (yang dipatuhi dan ditundukki) ? Allah menyesatkan dia di atas ilmu (yang ada padanya). Allah mengunci tutup pendengarannya dan hatinya, serta menjadikan lapisan menutupi penglihatannya. Maka siapakah yang dapat memberi petunjuk kepada dia selepas Allah (menjadikan dia dalam keadaan demikian) ? Tidakkah kamu ingat dan insaf ? [Surah Al-Jâthiyah: 23]

Jelas dari ayat di atas, orang yang menuruti dan tunduk kepada nafsunya yang bertentangan dengan kehendak Allah swt di dalam Al-Quran dan berlawanan dengan panduan Nabi saw di dalam Hadis, telah menjadikan nafsunya sebagai ILAH. Dia juga boleh melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ilmu sahih yang dia miliki, demi kerana menurut kehendak nafsunya yang menyeleweng.

 وَأَنِ ٱحۡكُم بَیۡنَهُم بِمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَاۤءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن یَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَیۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡا۟ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا یُرِیدُ ٱللَّهُ أَن یُصِیبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَـٰسِقُونَ (49) أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِیَّةِ یَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمࣰا لِّقَوۡمࣲ یُوقِنُونَ (50) }

bermaksud, “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.

Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah hendak menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Maka, adakah patut mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah” (Surah Al-Maidah, ayat 49 – 50).

Dari ayat di atas, menurut hawa nafsu boleh memalingkan manusia dari Allah swt dan hukum hakamNya.

Sabda Rasulullah saw :

لا يُؤمِنُ أحدُكُم حتَّى يكونَ هواهُ تَبَعًا لما جئتُ بهِ

bermaksud, “Tidak beriman sesiapa dari kalangan kamu sehinggalah nafsunya mengikut apa yang aku bawa (Al-Quran dan As-Sunnah)” (Hadis sahih riwayat Al-Baihaqy).

Dari hadis di atas, mengikut Al-Quran dan As-Sunnah serta menyalahi hawa nafsu dan bertentangan dengannya, adalah di antara tanda Iman. Apabila hawa nafsu seseorang mengikut apa yang didatangkan oleh Allah swt di dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka dia adalah seorang mukmin yang hakiki. Manakala seorang kafir adalah orang yang berpaling dari Al-Quran dan As-Sunnah kerana tunduk patuh dan menuruti hawa nafsunya. Taghut adalah apa atau siapa sahaja selain Allah yang disembah, dipatuhi atau diikuti selain Allah swt.

Firman Allah swt :

{ لَاۤ إِكۡرَاهَ فِی ٱلدِّینِۖ قَد تَّبَیَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَیِّۚ فَمَن یَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَیُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ }

bermaksud, “Tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Telah jelas di antara Petunjuk berbanding kesesatan. Maka barangsiapa yang mengengkari Taghut dan beriman kepaa Allah, maka dia telah berpegang teguh dengan tali (agama) yang teguh yang tidak akan putus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Surah Al-Baqarah, ayat 256).



PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI TEMPAT KETUNDUKAN DAN IKUTAN)


1) Ramai beranggapan bahawa ILAH (tuhan) hanyalah berupa patung, berhala atau objek yang dihadap dan disembah. Sejauh mana kebenaran anggapan di atas ? Jelaskan pandangan anda dengan mengemukakan dalil-dalil dan contoh-contoh.


2) Sebutkan lagi beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang berkaitan dengan ketundukan dan kepatuhan hanya kepada Allah swt dan kepada yang selari dengan arahanNya sahaja.


3) Apakah makna perkataan “Taghut” yang disebut di dalam Al-Quran ?


4) Bagaimanakah anda melihat keadaan Dunia dan masyarakatnya pada hari ini ? Bagaimana musuh-musuh Allah swt berperanan dalam menyesatkan lagi manusia zaman berzaman ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?

6.0 ILAH SEBAGAI SUMBER PERUNDANGAN

Perkataan ILAH bererti sumber perundangan atau penggubal undang-undang. Maka syahadah Tiada ILAH Melainkan Allah membawa maksud tiada yang berhak menentukan undang-undang selain Allah dan segala undang-undang yang digubal oleh manusia mestilah selari dan tidak bercanggah dengan undang-undang Allah swt atau Syariat Islam.

Pngertian ini diterangkan oleh Allah swt dan Rasulullah saw di dalam ayat Al-Quran dan Al-Hadis di bawah :


(ٱتَّخَذُوۤا۟ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَـٰنَهُمۡ أَرۡبَابࣰا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِیحَ ٱبۡنَ مَرۡیَمَ وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوۤا۟ إِلَـٰهࣰا وَ ٰ⁠حِدࣰاۖ لَّاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَـٰنَهُۥ عَمَّا یُشۡرِكُونَ)


bermaksud, “Mereka (orang-orang kristian) menjadikan orang-orang alim mereka dan ahli-ahli ibadat mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah, dan Nabi Isa as. (juga sebagai tuhan). (Sedangkan) mereka tidak disuruh melainkan menyembah ILAH Yang Esa. Tiada ILAH melainkan Dia. Mahasuci Allah dari apa yang mereka syirikkan” [Surah At-Taubah 31]

Di dalam ayat di atas, Allah swt mengesahkan orang-orang Kristian telah melakukan syirik dengan menjadikan pemuka-pemuka mereka sebagai tuhan-tuhan yang disembah selain Allah.

Dalam satu hadis sahih riwayat AtTarmizi :

عن عدي بن حاتم -رضي الله عنه-: “أنه سمع النبي -صلى الله عليه وسلم- يقرأ هذه الآية: “اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ” فقلت له: إنا لسنا نعبدهم، قال: أليس يُحَرِّمُونَ ما أحل الله فتُحَرِّمُونَهُ؟ ويُحِلُّونَ ما حَرَّمَ الله فتُحِلُّونَهُ؟ فقلت: بلى، قال: فتلك عبادتهم”

bermaksud : Dari Adi bin Hatim ra bahawa (suatu hari ketika dia dulu masih beragama Kristian) dia mendengar Nabi saw membaca ayat “اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ” lalu aku berkata kepada Nabi saw, “Kami tidak menyembah mereka (pemuka-pemuka orang-orang Kristian)”. Nabi saw bersabda, “Tidakkah mereka mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, lalu kamu orang-orang Kristian ikut menganggapnya haram ? Dan tidakkah mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah, lalu kamu ikut mengharamkannya ? Aku menjawab, “Ya”. Nabi saw berkata, “Itu adalah sembahan kamu kepada mereka”.

Dari hadis di atas, Adi bin Hatim ra yang pernah menganut agama Kristian, dari pemerhatian dan pengalamannya sendiri, cuba menafikan di depan Nabi saw bahawa orang-orang Kristian menyembah pemuka-pemuka mereka. Dengan itu apa yang difirmankan Allah dalam ayat di atas seolah tidak benar.

Nabi saw membenarkan firman Allah swt di atas dengan menjelaskan takrifan “sembah” yang sebenar dalam Islam, bukanlah semata-mata bererti sujud, rukuk, doa, tunduk dan seumpamanya.

Mengikut istilah Islam, sekiranya seseorang mengikut mana-mana manusia yang membuat peraturan atau hukum yang bercanggah dengan hukum Allah swt, maka “mengikut dan akur” itu bererti “menyembah”.

Maka orang-orang kristian atau sesiapa sahaja boleh menjadi orang-orang yang mensyirikkan Allah swt sekiranya mereka akur dan mengikut undang-undang yang digubal – oleh pemuka-pemuka mereka sebagai ILAH (sembahan-sembahan) – yang bertentangan dengan undang-undang Allah. Allah swt menyifatkan pemuka-pemuka mereka itu sebagai RABB (tuhan-tuhan) kerana menyayingi hak Allah swt dan menyalahiNya dalam menentukan halal dan haram. Firman Allah swt :

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰۤؤُا۟ شَرَعُوا۟ لَهُم مِّنَ ٱلدِّینِ مَا لَمۡ یَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِیَ بَیۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِینَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمࣱ

bermaksud, “Adakah mereka mempunyai pensyirik-pensyirik yang menggubal untuk mereka dari ad-deen (undang-undang atau cara hidup) yang tidak diizinkan oleh Allah ? Kalaulah tidak kerana kalimah pemutus (dari Allah untuk menangguh azab ke Hari Akhirat) nescaya ditimpakan azab serta merta ke atas mereka (di dunia lagi). Sungguh orang-orang zalim akan mendapat azab yang pedih” (Surah Asy-Syura, ayat 21).



PERBINCANGAN (ILAH SEBAGAI SUMBER PERUNDANGAN)


1) Ceritakan dengan terperinci kisah dan perbualan Adi bin Hatim sebelum dia memeluk Islam, ketika bertemu Rasulullah saw, beserta ayat Quran dan Hadis yang berkaitan. Tafsirkan ayat Quran tersebut dengan menjelaskan tiap satu dari maksud rabb, ibadah, ilah dan syirik yang terkandung di dalamnya.


2) Bagaimanakah keadaan penganut Kristian di zaman turunnya Al-Quran ? Apakah persamaan dan perbezaannya berbanding mereka dan kita di zaman sekarang ? Apakah kesan pada hari ini oleh penjajahan Kristian ke atas umat Islam selama 4 kurun yang lampau ?


3) Sebutkan lagi beberapa ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang berkaitan dengan hukum-hukum atau undang-undang Allah swt.


4) Sebutkan beberapa contoh undang-undang yang tidak selari dengan undang-undang Islam yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Hadis. Apakah kesan-kesan darinya ? Apakah cara dan langkah-langkah untuk merubahnya ?


5) Apakah pengajaran dan tindakan diaspek tarbiyah (diri) dan dakwah (gerakerja) yang boleh kita ambil dari perbincangan di atas ?

Kongsikan:

Customize buttons

November 27, 2022

Ustaz Halim

Pelbagai

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: