Koleksi isu sosial Melayu (ke 36 pada 1/4/2013 “perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat”)

Remaja perempuan 16 tahun ditangkap berkhalwat

LEDANG 31 Mac – Keghairahan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meraikan ulang tahun perkenalan pertama bersama teman lelakinya dengan bermalam di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, membawa padah apabila mereka dicekup kerana didakwa berkhalwat awal pagi ini.

Pasangan kekasih remaja itu dicekup semasa sedang tidur tanpa berpakaian dipercayai selepas mengadakan hubungan seks oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Jabatan Agama Daerah Ledang (PADL) pada pukul 3.10 pagi.

Semasa ditanya pemberita yang turut serta dalam operasi serbuan itu, pelajar perempuan berasal dari Bukit Kepong, Muar itu mengaku menipu ibunya semata-mata mahu bertemu teman lelakinya yang berusia 18 tahun dengan memberi alasan mahu bermalam di rumah rakannya di bandar tersebut.

“Saya beritahu ibu yang menghantar saya ke sebuah restoran makanan segera di bandar ini dengan alasan ingin berjumpa dan bermalam di rumah teman sekolah.

“Sebenarnya saya berjumpa teman lelaki berasal dari Seri Menanti, Muar di restoran berkenaan sebelum bermalam di hotel bajet untuk meraikan ulang tahun perkenalan kami,” ujarnya.

Remaja tersebut yang merupakan antara pelajar cemerlang di sekolahnya berkata, mereka berkenalan sejak setahun lalu dan mengakui datang ke hotel itu setiap kali berjumpa sebelum mengadakan hubungan seks.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan dilakukan oleh penguat kuasa adalah berdasarkan aduan orang awam serta rutin operasi jabatan berkenaan.

“Penguat kuasa menunggu kira-kira lima minit sebelum remaja perempuan yang hanya bertuala membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan. Pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui seorang remaja lelaki tanpa pakaian sedang tidur atas katil.

“Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri,” katanya.

Sulaiman berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang untuk laporan dan Pejabat Agama bagi siasatan lanjut sebelum dijamin keluarga masing-masing.

Katanya, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 27(1)ab, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130401/dn_11/Remaja-perempuan-16-tahun-ditangkap-berkhalwat#ixzz2PAKyg3R6
© Utusan Melayu (M) Bhd

32 ditahan berpesta seks, dadah

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian 32 pengunjung yang ditahan dalam satu pesta seks dan dadah di Damansara, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 6 Okt. – Tujuh pelajar kolej swasta adalah antara 32 orang yang ditahan dalam satu pesta seks dan dadah di sebuah rumah kedai di Jalan SS21/39, Damansara di sini awal pagi ini.

Lebih mengejutkan dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, kesemua yang ditahan iaitu 27 lelaki dan lima wanita adalah berketurunan Melayu dan dipercayai turut membabitkan beberapa anak orang kenamaan (VIP).

Mereka yang berusia antara 19 dan 26 tahun itu dipercayai menyewa premis di tingkat tiga bangunan yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari Balai Polis Damansara dengan bayaran RM500 semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Petaling Jaya bersama anggota dari Balai Polis Damansara dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya diketuai Asisten Supritendan Mohd. Nazri Daud.

Polis bertindak membuat intipan dan serbuan di premis tersebut setelah menerima aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti dijalankan kerana sering mendapati individu menaiki kereta mewah berkunjung ke situ pada waktu malam dan pulang pada sebelah pagi.

Mereka juga curiga kerana mendengar muzik kuat dimainkan dalam premis tersebut, manakala cermin tingkap ditutup dengan kertas minyak bagi mengelak ia dapat dilihat dari luar.

Mohd. Nazri berkata, setelah membuat intipan selama tiga hari, polis akhirnya bertindak menyerbu premis itu pada pukul 3 pagi ini.

“Kami terpaksa memecah jeriji pintu kerana ia berkunci sebelum boleh masuk ke dalam premis membuat pemeriksaan.

“Sebaik sahaja dapat masuk, kami dapati 27 lelaki dan lima perempuan Melayu berusia 19 hingga 26 tahun dalam keadaan khayal,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis juga menemukan dua set peralatan muzik, kondom yang sudah digunakan dan dadah jenis ketamin.

Mohd. Nazri berkata, siasatan lanjut mendapati tujuh daripada remaja yang ditahan merupakan pelajar kolej swasta, manakala 16 orang iaitu 14 lelaki dan dua wanita positif mengambil dadah jenis amphetamine dan THC.

Katanya, premis berkenaan sudah dua bulan digunakan untuk penganjuran aktiviti muzik, pesta seks dan dadah dengan mengenakan bayaran sewa RM500 semalam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui 25 biji pil ekstasi seberat 10 gram dalam sebuah kereta Perodua Myvi dan 250 pil Eramin 5 serta 90 biji lagi pil ekstasi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditahan memberitahu, dia bersama rakan-rakan mengetahui mengenai pesta diadakan di premis itu melalui laman sosial Facebook.

“Kami mengetahui mengenai pesta ini melalui Facebook ‘sehari bersama kawan-kawan’. Kami dikehendaki membayar RM55 seorang kepada penganjur untuk menyertai pesta yang biasanya bermula pukul 8 malam hingga 8 pagi,” katanya.

Difahamkan, premis berkenaan digunakan untuk penganjuran pesta muzik, seks dan dadah sebanyak dua hingga tiga kali seminggu dan pengunjung pulang pada pukul 8 pagi iaitu waktu orang ramai keluar bekerja bagi mengelak aktiviti tersebut dikesan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121007/je_01/32-ditahan-berpesta-seks-dadah#ixzz28dFrgiB7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Anak hilang bersama kekasih

Dzuliloniny  bersama isteri   menunjukkan gambar anaknya bersama teman lelaki  dikenali sebagai Saiful yang lari dari rumah kira-kira dua bulan lalu. - Foto Azmaidi AbidinDzuliloniny bersama isteri menunjukkan gambar anaknya bersama teman lelaki dikenali sebagai Saiful yang lari dari rumah kira-kira dua bulan lalu. – Foto Azmaidi Abidin

Bapa ulang-alik dari Melaka-Kuantan cari ‘Adik’

Kuantan: Seorang bapa sanggup berulang-alik dari Melaka ke negeri ini seminggu sekali, bagi mengesan anaknya yang hilang sejak 21 Ogos lalu.

Pembantu Perangkaan, Dzuliloniny Abu Samah, 54, menumpang tidur di rumah keluarga isterinya, Zaharina Harun, 35, di Balok di sini, untuk mencari anaknya Khadijah, 16, dipercayai berada di FELDA Neram, Kemaman.

Dzuliloniny berkata, kehilangan anak keenam daripada tujuh beradik itu dirasai kerana mereka rapat selain anaknya itu tidak pernah mempunyai masalah dengan ahli keluarga lain.

Kehilangan mengejutkan

“Kehilangannya mengejutkan kami kerana Khadijah tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap sebelum menghilangkan diri. Saya yakin dia tiada masalah dengan kami, sebab itu saya sanggup berulang-alik ke sini mencarinya.

“Lagipun, saya tahu teman lelakinya tinggal di kawasan ini (FELDA Neram, Kemaman) dan tidak menolak kemungkinan akan terserempak dengan mereka suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sini semalam. ‘Adik’ minta duit

Katanya, sebelum Khadijah atau dipanggil ‘Adik’ oleh ahli keluarga lain hilang, anaknya itu ada meminta wang RM150 daripadanya untuk bekal beraya di rumah rakan.

“Saya cuma bagi RM100 saja dan selepas itu, teman lelakinya bernama Saiful datang menjemputnya di rumah kami di Taman Saujana, Bukit Katil, Melaka. Saya ada berpesan supaya dia pulang sebelum malam, namun sampai tengah malam, mereka tidak muncul.

“Keesokannya, saya bersama ahli keluarga keluar mencari mereka di sekitar bandar ini, namun gagal. Akhirnya, selepas puas ikhtiar, saya ambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada 23 Ogos lalu,” katanya.

Katanya, Khadijah masih bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Baru, Melaka dan sudah menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya itu sejak dua tahun lalu.

“Cubaan menghubungi teman lelakinya juga menemui jalan buntu, panggilan saya tidak pernah berjawab, ” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Khadijah boleh menghubungi 019-6526478 atau 013-9487311 atau balai polis berhampiran.

Lelaki dipenjara, sebat kerana rogol pelajar

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 11 Sept. – Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas dua kesalahan merogol seorang gadis bawah umur, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian terhadap Efandi Mashor selepas menolak rayuan akhirnya secara sebulat suara.

Sehubungan itu, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya, tidak berubah. Hukuman itu bermula hari ini kerana perayu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan akhirnya dilupuskan.

Bagi setiap tuduhan, lelaki itu dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan. Hukuman berjalan serentak.

Dalam kes tersebut, kedua-duanya sepakat mengadakan pertemuan sulung pada hari kejadian pertama berlaku.

Mangsa dalam keterangannya menyatakan, perayu mengajaknya bersiar-siar di pantai sebelum membawanya ke pondok di sebuah kebun mempelam dan merogolnya.

Efandi diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa. – UTUSAN

Pemandu van didakwa merogol lagi

KLANG 13 Sept. – Baru sebulan diikat jamin dalam satu kes rogol gadis bawah umur, seorang pemandu van hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan merogol tiga pelajar sekolah, termasuk kejadian yang didakwa berlaku 10 hari lalu.

Tertuduh Ahmad Mustapah Ridwan, 20, mengaku bersalah bagi satu tuduhan sahaja, namun minta dibicarakan atas tiga tuduhan lain.

Lelaki itu mengaku merogol gadis berusia 14 tahun lima bulan pada pukul 11.30 malam, 3 September lalu di rumahnya di No. 369-21, Jalan Mohd. Yamin, Kampung Delek Kiri, dekat sini.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah merogol seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun tiga bulan di rumah yang sama sebanyak dua kali.

Kejadian itu didakwa berlaku antara pukul 12.39 tengah hari dan 6.30 petang, pada 1 Mac lalu dan antara pukul 8.20 malam dan 9.30 malam, 30 Mac lalu.

Khalwat: Farizal Marlias, pasangan didenda

Farizal Marlias, Zaiton Othman

PETALING JAYA 13 Sept. – Penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias, didenda RM2,500 atau penjara sebulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat dengan seorang pekerja swasta, tahun lalu.

Pasangannya, Zaiton Othman yang turut mengaku salah terhadap tuduhan tersebut juga didenda RM2,500 atau penjara sebulan oleh Hakim Syarie, Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar.

Mohd. Farizal, 26, dan Zaiton, 29, yang ketika kejadian berstatus isteri orang didakwa berada bersama dalam keadaan syak dalam sebuah bilik di sebuah kondominium di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.40 pagi, 12 Oktober tahun lalu ketika serbuan oleh pegawai penguat kuasa, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Remaja lelaki didakwa sumbang mahram bersama kakak

REMAJA berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak atas tuduhan sumbang mahram di Jerantut, Pahang, semalam. – BERNAMA

JERANTUT 13 Sept. – Seorang remaja berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap kakaknya sehingga melahirkan seorang anak.

Remaja terbabit yang tinggal di sebuah kampung dekat Batu Balai di sini, didakwa melakukan sumbang mahram bersama kakaknya yang berusia 15 tahun pada pukul 12.30 malam, dalam bulan November tahun lalu.

Dia yang juga anak bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-12 di salah sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Jerantut didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 376B kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam hingga 20 tahun dan sebatan.

Penghuni Sekolah Harapan lahir 82 anak haram

PIHAK pengurusan Sekolah Harapan dalam proses mendapatkan peruntukan untuk program pembesaran dan seterusnya dapat menerima lebih ramai penghuni. – Gambar hiasan

JASIN – Seramai 82 anak haram telah selamat dilahirkan oleh para penghuni Sekolah Harapan, sebuah pusat pemulihan bagi remaja perempuan yang terlanjur sejak ia beroperasi di sini pada September tahun lalu.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, daripada jumlah itu, anak haram lelaki yang telah selamat dilahirkan ialah 53 orang manakala bakinya perempuan.

Katanya, seramai 64 anak haram kini dipelihara oleh keluarga penghuni terbabit, 11 orang telah diserahkan kepada keluarga angkat, lima masih bersama ibu masing-masing di sekolah berkenaan manakala seorang lagi dipelihara oleh ibu kandungnya yang telah berkahwin.

“Kami bersyukur kerana berjaya membantu menyelamatkan 82 nyawa anak haram yang tidak berdosa sekali gus membendung gejala buang bayi.

“Apa yang lebih penting ibu bapa kepada penghuni sekolah ini sanggup menjaga cucu masing-masing walaupun anak itu dilahirkan di luar ikatan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, sekolah itu setakat ini telah menerima 95 remaja dari seluruh negara dan pelbagai kaum sebagai penghuni.

“Walaupun kami menerima banyak permohonan daripada keluarga remaja perempuan yang terlanjur untuk mendapatkan perlindungan di sekolah ini, kami tidak dapat menerima semua kerana kemudahan yang ada hanya cukup untuk menampung 30 penghuni pada satu-satu masa.

Kosmo

Teman lelaki dan rakan didakwa bunuh Rozana

MUHAMMAD Faizul Mohd. Ali (kiri) dan Muhammad Zal Haziq Razali dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang, Gombak, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Teman lelaki kepada seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang mati ditikam sebanyak 15 kali di rumahnya pada Disember tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh wanita itu.

Selain Muhammad Faizul Mohd. Ali, 27, yang berbeza umur sembilan tahun dengan Rozana, 36, turut didakwa adalah rakan lelaki itu, Muhammad Zal Haziq Razali, 24.

Kedua-dua tertuduh terbabit didakwa dengan niat bersama membunuh Rozana di sebuah rumah kedai yang beralamat di B-01-15F, Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini antara pukul 12 tengah malam dan 1.15 pagi, 21 Disember 2011.

Difahamkan wanita terbabit mati setelah mengalami kecederaan parah akibat dua tikaman pada paha kiri, tiga di siku kiri dan sembilan di belakang badan dengan menggunakan dua bilah pisau.

Tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah memandangkan pertuduhan membunuh itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Mereka kelihatan tenang sepanjang prosiding dan hanya menganggukkan kepala sebagai tanda memahami pertuduhan tersebut.

Majistret Mohd. Isa Md. Nor kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 28 Februari ini sementara menunggu laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah, manakala Muhammad Faizul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Muhammad Zal Haziq seorang penganggur masing-masing tidak diwakili peguam bela.

Mengikut laporan Utusan Malaysia pada 22 Disember 2011, Rozana ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan berpakaian seluar pendek dan singlet di ruang tamu kediamannya akibat ditikam sebanyak 15 kali.

Sebelum itu, kerani bank tersebut yang sedang nazak, sempat menggagahkan diri untuk bangun ke tingkap hadapan rumahnya bagi menjerit meminta pertolongan, kemudian disedari oleh salah seorang jirannya.

Anak sulung daripada tiga beradik terbabit bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Menurut laporan akhbar lagi, beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan mangsa telah hilang ketika hari kejadian.

Perkahwinan kian rapuh

Laporan Khas

  • Statistik menunjukkan 137,570 pasangan beragama Islam di seluruh negara atau lebih 20 peratus yang berkahwin dalam tempoh 2005 hingga 2010, kini telah bercerai.
  • Data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan graf perceraian dari 2005 hingga 2010 meningkat daripada 17,749 kepada 28,035.
  • Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula mendedahkan, 3,019 atau lebih 52 peratus perceraian di kalangan pasangan muda berusia 16 hingga 40 tahun berlaku pada lima bulan pertama tahun ini.
  • Perceraian di kalangan pasangan muda meningkat saban tahun akibat gagal menjalankan tanggungjawab, masalah pihak ketiga iaitu campur tangan keluarga serta ‘kekasih gelap’, ekonomi dan tabiat atau watak kritikal pasangan.

5 gadis tetap sertai Miss Borneo

Oleh SOPI SAMAILE
sopi.samaile@utusan.com.my


KUCHING 19 Nov. – Walaupun sudah diberi kaunseling oleh pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) semalam, lima peserta Miss Borneo 2011 yang beragama Islam tetap meneruskan penyertaan dalam pertandingan ratu cantik itu di sini, malam tadi.

Kesemua mereka memakai pakaian berwarna-warni dan menjolok mata yang mendedahkan paha dan pangkal dada pada majlis pembukaan pertandingan itu.

Gadis terlibat ialah Melatie Mellisa, 22; Adira Kamil, 23; Sharifah Nadzirah Wan Hamid, 23; Roszainah Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie, 21.

Natasha Nur Amarina memenangi tempat keempat dalam pertandingan berkenaan yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Adira pula memenangi tempat kelima dengan hadiah RM500 manakala Sharifah Nadzirah pula dinobatkan sebagai Ratu Cantik Personaliti yang membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Gadis itu turut memenangi anugerah Ratu Cantik Popular sekali gus membolehkannya menerima Samsung galaxy Tab 10.1 yang ditaja oleh Celcom.

Mereka yang berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan sejak seminggu lalu menimbulkan perasaan kurang senang umat Islam di negeri ini.

Kesemua gadis itu diberi peluang untuk membuat penjelasan terhadap penglibatan masing-masing dalam pertandingan tersebut sebelum diberi kaunseling oleh pegawai JAIS, pagi semalam.

Pengarah JAIS, Abang Shamsuddim Abang Seruji ketika diminta mengulas penyertaan lima gadis itu kecewa kerana mereka yang diberi kaunseling selama sejam pagi semalam tetap meneruskan saingan pada pertandingan itu.

Kata beliau, pihaknya berharap menerusi kaunseling itu akan ada sekurang-kurangnya seorang daripada lima peserta terbabit menarik diri, namun perkara itu tidak berlaku.

“Kami kecewa apabila mendapati lima peserta Islam itu masih menyertai pertandingan ratu cantik itu meskipun sudah diberi nasihat untuk mereka menarik diri. Bagaimanapun, JAIS akan sentiasa melakukan pemantauan terhadap pertandingan-pertandingan seumpama ini pada masa akan datang,” ujarnya.

ARKIB : 19/11/2011

Ratu cantik: Lima diberi kaunseling

Oleh ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my

Abang Shamsuddin bersama (dari kanan) Sharifah Nadzirah, Adira Kamil, Roszaina Suhaili dan Melatie Mellisa selepas menjalani sesi kauseling di Kuching, Sarawak, semalam. – Utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUCHING 18 Nov. – Kurang 12 jam acara kemuncak Miss Borneo 2011 di sini malam ini, lima peserta pertandingan ratu cantik itu yang beragama Islam dipanggil memberi penjelasan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) hari ini.

Mereka dikatakan berpakaian menjolok mata dalam gambar promosi acara itu yang disiarkan sebuah akhbar tempatan sejak minggu lalu sehingga menimbulkan perasaan kurang senang umat Islam di negeri ini.

Sehubungan itu, mereka diberi peluang membuat penjelasan terhadap penglibatan masing-masing dalam pertandingan tersebut sebelum diberi kaunseling oleh pegawai JAIS.

Peserta yang terlibat dikenali sebagai Melatie Mellisa, 22, Adira Kamil, 23, Sharifah Nadzirah, 23, Roszaina Suhaili, 21, dan Natasha Nur Amarina, 21.

Pengarah JAIS, Abang Shamsuddin Abang Seruji berkata, pihaknya memandang serius perkara itu apabila menerima banyak aduan masyarakat yang mahu pertandingan tersebut dipantau kerana dikatakan mengetepikan sensitiviti umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, tindakan JAIS memanggil lima peserta itu bukanlah bertujuan menghukum, sebaliknya ingin berdialog termasuk mendengar penjelasan mereka.

“Di samping itu, kita turut memberi nasihat kepada mereka tentang keperluan menutup aurat dan menjaga kehormatan diri sebagai seorang wanita muslim.

“Kita juga menasihatkan mereka supaya menarik diri kerana walau apa pun alasannya, memperagakan diri kepada umum adalah haram.

“Namun, kita tidak paksa, jadi terpulang kepada diri masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai penyertaan gadis beragama Islam di negeri ini dalam pertandingan ratu cantik yang semakin meningkat, Abang Shamsudin berkata, pihaknya akan cuba menangani isu tersebut menggunakan pendekatan lembut dan berhemah.

Sementara itu, salah seorang peserta, Melatie Melissa berkata, penyertaannya dalam pertandingan tersebut sekadar untuk membina keyakinan berdepan dengan orang ramai, di samping membentuk disiplin dan penampilan diri.

“Sepanjang latihan berlangsung, penganjur menghormati peserta yang beragama Islam dan tidak pernah memaksa kami memakai pakaian menjolok mata serta melayani mana-mana tetamu VIP,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur program, Alaric Soh mendakwa, pertandingan ratu cantik tersebut tidak mensyaratkan peserta beragama Islam beraksi dengan pakaian mandi seperti pertandingan sama di negara lain.

“Pakaian lain juga tidak seksi atau mendedahkan aurat kerana kita sentiasa menjaga sensitiviti dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.

Bincang bukan menghukum

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kes perceraian yang diklasifikasikan sebagai tidak munasabah di kalangan pasangan suami isteri di negara ini yang semakin meningkat boleh diselesaikan dengan perbincangan meluas yang melibatkan semua pihak daripada mencari penyelesaian dengan menghukum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peningkatan jumlah kes penceraian sebegitu biasanya disebabkan pelbagai faktor antaranya ekonomi, persefahaman dan hilang sumber pencarian.

Menurut beliau, sebelum mengambil langkah mengetatkan undang-undang atau memberatkan hukuman, semua pihak perlu mengenal pasti punca atau faktor perceraian itu terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu kepada undang-undang yang diperuntukan.

“Usaha-usaha ke arah memperkemaskan kes perceraian tanpa sebab munasabah ini, saya fikir elok untuk dibincangkan pada peringkat yang lebih ramai kelompoknya tentang apa sebenarnya yang patut kita lakukan selain daripada tindakan.

“Perceraian ini kadang kala disebabkan faktor ekonomi, antaranya suami yang gagal memberi nafkah akibat diberhentikan kerja, isteri hilang sumber nafkah akibat suami dihukum penjara atau pelbagai sebab lain. Elok ia dibincangkan dengan ruang yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas menerima bayaran zakat perniagaan daripada lapan syarikat koperasi di sini hari ini.

Jamil Khir diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar di Dewan Undangan Negeri semalam bahawa pihaknya sedia mempertimbangkan untuk melaksanakan undang-undang yang lebih berat termasuk hukuman penjara dan sebat bagi kes perceraian tanpa sebab munasabah bagi mengelakkan peningkatan jumlah perceraian.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM650,435.70 daripada lapan buah syarikat koperasi tersebut bagi pihak MAIWP untuk tahun ini.

Koperasi tersebut ialah Koperasi Angkatan Tentera Bhd, Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka Bhd, Koperasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Bhd, Koperasi Kakitangan Felda Bhd, Koperasi News Straits Times Press Bhd dan Koperasi Pekerja-Pekerja Jabatan Perdana Menteri Bhd.

Koperasi Perkhidmatan Pendidikan Nasional Bhd dan Koperasi Staf Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Bhd.

Beliau turut menyampaikan bantuan zakat kepada golongan yang berhak menerima zakat mewakili empat skim bantuan zakat iaitu Skim Pendidikan, Skim Perubatan, Skim Perniagaan dan Skim Bantuan Bulanan dengan jumlah keseluruhan lebih RM82 juta.

Dalam ucapan di majlis itu, Jamil Khir berkata, MAIWP sentiasa membantu fakir miskin dan setiap bulan MAIWP memberi bantuan zakat kepada 12,000 orang fakir miskin dengan jumlahnya mencecah RM4 juta sebulan.

Selain bantuan wang tunai, MAIWP turut mempunyai dua institusi pendidikan iaitu Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) untuk memberi latihan dan pendidikan kepada anak-anak golongan fakir miskin.

Menurut beliau, inisiatif pendidikan itu adalah untuk membantu mereka berubah daripada menjadi golongan asnaf iaitu penerima zakat kepada pembayar zakat setelah mendapat pekerjaan selepas pengajian. — BERNAMA

Pasangan kaya raya jual dadah

Oleh AZMAN MD. NOOR
pengarang@utusan.com.my

PENGKALAN HULU 17 Okt. – Tanda tanya kehidupan mewah sepasang suami isteri terbongkar apabila kedua-duanya ditahan kerana disyaki menjadi pengedar dadah, dalam serbuan polis di rumah mereka di Kampung Kuak Luar dekat sini awal pagi semalam.

Turut dirampas dalam serbuan pukul 1.30 pagi di rumah yang memiliki sembilan buah bilik itu adalah sejumlah dadah jenis ganja seberat 219 gram, syabu (45 gram), pil psikotropik (45 biji) dan Eramin 5 (65 biji).

Polis turut merampas enam buah kereta, tiga buah motosikal, wang tunai RM1,100 dan 2,100 bath (RM213) selain menyita rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Anuar Omar berkata, ketika ditahan di bahagian dapur rumah, suspek lelaki yang berusia 44 tahun dan isterinya, 47 tahun sedang membawa keluar sebuah bekas mengandungi dadah berkenaan.

Beliau berkata, serbuan diketuai oleh Ketua Cawangan Narkotik Daerah, Cif Inspektor Mohd. Yusoff Jahaya, hasil maklumat awam dan risikan polis.

“Kita percaya pasangan itu yang mempunyai tiga anak memiliki rangkaian pengedaran dadah di Kupang, Baling,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Dalam perkembangan sama, polis daerah itu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri berjaya menahan 12 penagih termasuk sepasang suami isteri yang sedang khayal mengambil dadah di Klian Intan.

Anuar menambah, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 39A (2) ADB yang memperuntukkan hukuman penalti lima tahun penjara atau sebat tidak melebihi 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, IPD Pengkalan Hulu akan terus berusaha mengekang habis-habisan pengedaran dadah di kawasan berkenaan

Minta selesai kes rogol libat pensyarah

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Pihak berkuasa digesa segera mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan satu kes rogol mahasiswa membabitkan seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang sudah tertangguh sejak empat tahun lalu.

Kejadian mengejutkan itu yang didakwa berlaku pada pukul 4.20 petang, 26 Disember 2008 di bilik pensyarah berkenaan, didedahkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin selepas menerima aduan daripada mangsa.

Menurut Zulkifli, selain tiada sebarang tindakan undang-undang, pensyarah yang berstatus profesor dan mengajar bidang kejuruteraan itu juga bebas menikmati kehidupannya, sedangkan mangsa masih trauma sehingga hari ini.

“Saya dimaklumkan pensyarah ini tidak lagi mengajar di universiti tempat mangsa dirogol tetapi dia kini menjadi pensyarah di sebuah universiti milik kerajaan negeri di Selangor. Persoalannya kenapa tiada tindakan ke atas kes ini.

“Mangsa bukan dirogol di luar tetapi di bilik pensyarah itu. Maknanya dalam universiti berkenaan dan sehingga kini dia bebas. Jadi, bagaimana keselamatan para pelajar lain kerana dia masih lagi mengajar,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Lebih menimbulkan persoalan jelas Zulkifli, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri pegawai penyiasat kes tersebut telah dikenakan tindakan tata terbit atas alasan lambat menyelesaikan kes itu dan bukan suspek kes rogol.

Sedangkan kata beliau, memang telah menjadi prosedur operasi standard (SOP), setiap kes rogol perlu diselesaikan dalam masa yang cepat sebaik sahaja mangsa membuat aduan.

“Saya minta pihak berkuasa jangan pilih bulu hanya kerana suspek adalah seorang pensyarah berstatus profesor. Hakikatnya sudah ada aduan mengenai kejadian rogol tetapi di mana hasil siasatannya?

“Jangan kita perjudikan keselamatan para pelajar lain. Soal sama ada kes ini mempunyai prima facie atau tidak untuk dibawa ke mahkamah itu soal lain, tetapi siasatan terperinci perlu dilaksanakan dan sepanjang tempoh itu suspek perlu digantung tugas,” katanya.

90% terdedah unsur negatif siber

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

Shahrizat Abdul Jalil berbual dengan beberapa pelajar sambil diperhatikan oleh Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pada seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Sebanyak 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja berusia antara lima hingga 18 tahun di negara ini dilaporkan pernah terdedah kepada unsur-unsur negatif alam siber yang boleh memberi kesan kepada emosi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hasil kajian yang dikeluarkan oleh Laporan Kekeluargaan Norton Dalam Talian tahun lalu itu merangkumi unsur buli, kecurian data peribadi dan pornografi.

“Menyedari hakikat tersebut, kementerian akan menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CyberSecurity Malaysia dan Digi untuk mewujudkan satu pelan strategik khusus bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.

“Kementerian akan melihat sama ada perlu diwujudkan undang-undang, polisi atau peraturan tertentu bagi menangani masalah ini.

” Walaupun Internet mempunyai banyak kebaikan, namun pada masa sama, ada aspek negatif yang amat berbahaya kepada kanak-kanak dan remaja,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa kanakkanak di negara ini menghabiskan masa secara purata 19 jam seminggu untuk melayari Internet sedangkan ibu bapa beranggapan anak-anak mereka hanya meluangkan masa sebanyak 11 jam seminggu.

Shahrizat turut melancarkan buku panduan Guide for Family Friendly Internet Experience pada seminar yang dihadiri oleh lebih 400 peserta termasuk pelajar, ahli akademik, ibu bapa dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Buku terbitan Digi Telecommunications dan CyberSecurity dengan sokongan kementerian itu mengandungi panduan dan langkah keselamatan yang boleh diambil oleh ibu bapa bagi membendung gejala negatif alam siber dalam kalangan anak mereka.

“Buku ini mudah difahami dan boleh dijadikan panduan asas oleh ibu bapa. Ini sejajar dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak dan penyertaan negara dalam Protokol Konvensyen Hak Kanak-Kanak Tentang Pemerdagangan Kanak-Kanak, Pelacuran Kanak-Kanak dan Pornografi Kanak-Kanak yang dipersetujui kerajaan pada September lalu,” katanya.

Tambah beliau, kementerian akan mengadakan program susulan melibatkan penyertaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis dan CyberSecurity bagi menambah pengetahuan ibu bapa dalam usaha melindungi anak-anak mereka.

Berang ditegur, anak kejar bapa dengan parang

KULIM 3 Okt. – Berang selepas ditegur kerana membuat bising, seorang pemuda mengamuk untuk mencederakan bapanya dengan parang di Kampung Baru Air Merah, di sini malam tadi.

Berikutan kejadian pukul 11 malam itu, mangsa yang juga pesara tentera terpaksa melarikan diri ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri.

Insiden itu bermula apabila pesara berusia 60 tahun tersebut menegur anaknya yang membuat bising di dalam rumah yang menyebabkan suspek berang.

Suspek yang berusia 30-an kemudian memaki hamun bapanya sehingga berlaku pergelutan sebelum pemuda itu mengambil parang untuk menyerang mangsa.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, sepasukan anggota polis kemudian dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan keadaan.

“Anggota polis berjaya memujuk suspek sehingga menyerah diri. Tiada ahli keluarga cedera dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek bertindak demikian akibat di bawah pengaruh dadah.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.

Gadis lari ikut lelaki Nepal

Norshahira Mohd. Rasul menghilangkan diri dipercayai mengikuti Imthias Khan ke Kathmandu, Nepal.

PADANG SERAI 26 Ogos – Seorang gadis berusia 21 tahun dari Taman Kenangan, Sungai Karangan di sini bertindak lari dari rumah keluarganya untuk mengikut kekasihnya seorang lelaki Nepal pulang ke Kathmandu.

Gadis berkenaan Norshahira Mohd. Rasul dipercayai keluar rumah sejak 22 Ogos lalu dengan alasan menemui seorang temannya di Sungai Petani.

Setelah gagal menjejak anaknya, bapa gadis berkenaan Mohd. Rasul Kassim membuat laporan di Balai Polis Sungai Karangan sehari selepas itu.

Ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini, Mohd. Rasul yang bekerja sebagai pemandu bas kilang berkata, mereka amat risau kerana menurut maklumat daripada polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Norshahira mengikut lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang, transit di Bangkok dan terus ke Kathmandu pada 23 Ogos lepas.

Mohd. Rasul berkata, sejak Aidilfitri tahun lalu setelah dia mengetahui Norshahira, yang pernah bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah di Kawasan Industri Padang Meha di sini, menjalin perhubungan dengan lelaki Nepal, juga pekerja di kilang yang sama, dia telah menasihat dan menghalang anaknya daripada meneruskan perhubungan itu.

Beliau juga mendapat maklumat daripada rakan sekerja lelaki Nepal yang dikenali sebagai Imthias Khan, 24, bahawa permit kerjanya telah tamat tempoh dan dia terpaksa pulang ke negaranya sebelum dapat menyambung semula permitnya untuk bekerja semula di negara ini.

Isteri Mohd Rasul, Siti Fatimah Jasin, 46, pula amat risau akan masalah kesihatan yang dideritai Norshahira, anak kedua daripada enam beradik, yang pernah menjalani pembedahan kecil akibat apendiksnya pecah beberapa tahun lalu.

Fatimah memohon sama ada Kelab Putera 1Malaysia atau Pergerakan Pemuda Umno membantu keluarganya mengatasi masalah yang dialami keluarganya itu kerana untuk menyelesaikannya sendiri mereka amat kesuntukan kewangan selain komunikasi. – BERNAMA

Kedai arak harga murah

LAPORAN penyiasatan unit khas Utusan Malaysia kali ini menyingkap suatu lagi kegiatan haram iaitu penjualan arak secara mudah dan murah kepada orang ramai, termasuk golongan remaja.Bagaikan tiada syarat dan peraturan, penjual arak terbabit didapati bebas menjual bir berkonsepkan pandu lalu kepada sesiapa saja yang ingin melepaskan gian mereka tanpa mengira waktu.Apa yang dikesali, tiada pula sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa seolah-olah tidak tahu atau terlepas pandang mengenai perkara ini walaupun kegiatan haram itu rancak berlaku.Hasil maklumat orang ramai, wartawan, AZRAI MOHAMMAD dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN melakukan siasatan baru-baru ini bagi mengesahkan aktiviti tersebut.Hasil siasatan terbukti mendapati sememangnya kedai yang terletak di Sunway Mentari, Petaling Jaya itu menjadi tumpuan ramai kaki botol termasuk remaja Melayu kerana tarikan harganya yang murah.
BEBERAPA pelanggan mendapatkan minuman keras dijual pada harga murah di lorong belakang Sunway Mentari, Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 24 Julai – Sebatang lorong gelap yang disangka tidak dilalui orang ramai, rupa-rupanya adalah ‘syurga’ bagi kaki botol membeli arak murah berkonsepkan pandu lalu.

Setiap malam, pihak terbabit bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk Melayu dan remaja bawah umur dengan harga semurah RM10 untuk tiga tin arak, berbanding harga biasa RM7 setin.

Rahsia harga murah tersebut disebabkan arak dalam tin itu belum dibayar cukai dan sepatutnya adalah untuk dieksport.

Pihak berkuasa pula seolah-olah ‘merestui’ urusniaga itu dengan tidak melakukan sebarang serbuan atau penangkapan walaupun terdapat anggota polis yang berkawal kira-kira 25 meter saja dari lorong itu.

Siasatan unit khas Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut baru-baru ini mendapati, kedai yang terletak di Sunway Mentari, Petaling Jaya itu mengubah operasinya pada malam hari ke bahagian belakang kedai bagi membolehkannya menjual arak berlabel BFE (Brewed For Export).

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

RM12 juta peruntukan kos majlis perkahwinan Norman, Memey

NORMAN Hakim (dua dari kanan) dan Memey Suhaiza (kiri) bersama Jimmy Choo dan Winnie Sin (kanan) menunjukkan kasut dan barangan tajaan sempena majlis perkahwinan pasangan selebriti itu pada 28 September ini di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 22 Julai – Sebanyak RM12 juta diperuntukan untuk kos keseluruhan majlis perkahwinan Norman Hakim dan Memey Suhaiza Suhaimi yang akan berlangsung di Nirwana Ballroom, Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini pada 28 September ini.

Kos tersebut termasuk barang kemas yang diinsuranskan dan juga hiasan dewan yang menampilkan persandingan ala New York rekaan khas perunding perkahwinan, Nas Great Idea melibatkan kos sebanyak RM150,000.

Menurut wakil Rafflesia The Pearl Centre, Bill Bora, hiasan dewan yang menampilkan konsep warna putih itu bakal dipenuhi dengan bunga-bunga segar yang diimport.

“Sebanyak tujuh lori bunga- bunga segar akan digunakan untuk menghiasi dewan. Konsep yang ditampilkan berbeza daripada apa yang pernah dilakukan oleh Nas Great Idea sebelum ini.

“Malah di dalam dewan itu kelak akan didirikan empat karusel yang dihiasi dengan set sofa dan di tengahnya terdapat pelamin. Majlis pada malam itu khas untuk rakan-rakan selebriti dan media,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan penaja-penaja untuk acara resepsi Norman dan Memey yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini, hari ini.

Turut hadir, antaranya, pereka kasut ternama, Prof. Datuk Jimmy Choo dan Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, yang merupakan penaja utama majlis resepsi Norman dan Memey.

Bill dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam, berkata, Memey, 23, akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta.

Bakal isteri Norman itu akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.

Selain dua persalinan yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.

Sementara itu, dua pasang kasut yang direka khas oleh Jimmy mengikut kesesuaian pakaian dan hiasan barang kemas yang bakal dipakai oleh Memey dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.

Menurut Bill, majlis perkahwinan yang bakal mencatat sejarah sebagai Wedding of The Year itu dijangka dihadiri 200 tetamu termasuk artis luar negara.

“Kami turut mengundang artis luar negara sebagai tetamu dan empat artis tempatan akan dipilih sebagai pengapit pengantin, iaitu dua lelaki dan dua perempuan,” katanya.

Sementara itu, Norman dan Memey menganggap apa yang dilakukan oleh Rafflesia The Pearl Centre adalah diluar jangkauan dan tidak pernah diimpikan oleh mereka.

Menurut Norman, 35, mereka dihubungi oleh Bill tiga minggu lalu untuk membincangkan hal tersebut.

“Bagi saya majlis yang diatur ibarat perkahwinan di alam kayangan. Apa yang dilakukan oleh pihak Rafflesia dan penaja lain adalah di luar jangkaan. Tidak sangka ia begitu meriah sekali.

“Mungkin ini adalah rezeki daripada Allah setelah saya dan Memey diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak sangka apa yang berlaku ke atas kami selama ini ada hikmahnya,” kata Norman.

Doktor bongkar remaja rahsia kelahiran anak

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Sikap prihatin seorang doktor melaporkan kepada polis tentang keadaan mencurigakan pesakitnya yang menerima rawatan kerana mengalami pendarahan, berjaya membongkar rahsia remaja perempuan itu yang baru melahirkan anak.

Tindakan itu juga membolehkan polis menjejaki tempat tinggal remaja tersebut sebelum menemui mayat seorang bayi perempuan dibungkus dengan kain di dalam almari pakaian.

Remaja berusia 21 tahun itu merupakan pekerja kantin di sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Selayang untuk menerima rawatan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Katanya, doktor yang merawatnya bagaimanapun merasa curiga dan mendapati suspek mungkin telah melahirkan anak.

“Berikutan itu, doktor terbabit melaporkannya kepada polis. Polis yang bergegas ke tempat tinggal gadis itu menemui mayat bayi disembunyikan dalam almari pakaian di sebuah bilik pekerja.

“Siasatan turut mendapati suspek melahirkan anak di dalam sebuah tandas di kem PLKN terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui mayat bayi berkenaan yang masih mempunyai uri dan cukup sifat tanpa tanda-tanda kecederaan.

Katanya, suspek yang berasal dari Maran, Pahang, baru bekerja di kantin kem tersebut kerana mengikut kakaknya yang juga pekerja di situ, sebulan lalu.

“Suspek kini ditahan di wad hospital terbabit kerana kehilangan darah dan keadaannya dilaporkan stabil,” ujar beliau.

Siti Aishah sudah dibawa pulang oleh ibunya: Polis

2011/01/17

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang ditemui merayau dalam keadan lemah dan comot di Damai Perdana, Cheras malam tadi, sudah dibawa pulang oleh ibunya pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata Hadainah Abdullah, 29, datang ke Balai Polis Damai Perdana kira-kira jam 10.30 pagi untuk membawa Siti Aishah Bastian, 9, pulang ke rumah mereka di Taman Bukit Belimbing, Cheras.

“Hadainah datang ke balai polis bersama beberapa orang guru dan pengetua sekolah anaknya yang kebetulan membaca akhbar mengenai penemuan Siti Aishah dan kemudian memaklumkan kepada Hadainah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada media kerana mengeluarkan berita mengenai penemuan Siti Aishah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai punca murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah itu merayau seorang diri di kawasan terbabit.

Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Sabariah Naim berkata, beliau dimaklumkan mengenai penemuan Siti Aishah oleh seorang guru lain sebelum membacanya sendiri dalam akhbar sejurus tiba di sekolah kira-kira jam 7 pagi.

“Pada mulanya saya tidak percaya namun selepas membaca akhbar dan melihat pada gambar budak tersebut serta bertanya kepada guru-guru lain, saya kemudian mengarahkan seorang daripada mereka mencari dan menelefon ibu bapa bapa pelajar tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Akhbar hari ini melaporkan Siti Aishah ditemui orang awam merayau dalam keadaan lemah dan pakaiannya kotor di kawasan Damai Perdana pada jam 9 malam tadi.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Damai Perdana dan polis dilapor meminta mereka yang mengenalinya agar menghubungi balai tersebut. – BERNAMA

Suami isteri dihukum mati

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@
utusangroup.com.my
 

Sepasang suami isteri dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.

PULAU PINANG 29 Dis. – Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.

Hakim Nurmala Salim menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Shahrizal Said, 33, dan Zarimah Yusoff, 30, setelah kedua-duanya gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Semasa keputusan dibacakan, Zarimah yang merupakan suri rumah serta suaminya seorang peniaga, kelihatan tenang.

Keputusan itu bagaimanapun membuatkan suasana bertukar pilu apabila ahli keluarga pasangan dari Alor Setar, Kedah itu yang memenuhi galeri awam tidak dapat menahan kesedihan mereka.

Kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengedar dan memiliki heroin seberat 91.86 gram, 73.76 gram monoacetylmorphines dan 148.6 gram methamphetamine di rumah mereka di Blok 5-6-18, Desa Riang, Batu Uban di sini pada pukul 3.45 petang, 3 Februari 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, hakim mendapati Timbalan Pendakwa Raya, K. Prem berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap suami isteri terbabit.

“Mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah bagi kesalahan mengedar dadah.

“Oleh kerana di bawah undang-undang di negara ini, hanya ada satu hukuman iaitu hukuman mandatori maka kedua-dua tertuduh digantung sampai mati,” katanya.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, G. Ravi Shankar.

Semasa prosiding membela diri, Shahrizal memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi manakala isterinya memberi keterangan secara bertulis tanpa mengangkat sumpah.

Semakin ramai berani mengaku terlibat seks songsang

KUALA LUMPUR 27 Dis. – Budaya seks songsang merupakan satu ancaman kepada negara dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkannya daripada terus berkembang menjadi penyakit kronik kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kegiatan itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada negara malah turut memberi kesan negatif kepada pembangunan sosial masyarakat.

Katanya, semakin ramai yang berani membuat pengakuan terlibat dengan kegiatan seks songsang itu secara terbuka seperti menerusi dalam talian dan ia merupakan perkembangan yang sangat tidak sihat.

”Setakat maklumat yang kami peroleh sehingga kini, golongan yang terjebak dengan kegiatan seks songsang semakin bertambah luas sehinggakan ada di kalangan pensyarah institusi pengajian tinggi (IPT) juga terjebak dengan kegiatan tidak bermoral ini.

”Oleh itu, Jakim telah mengarahkan agar setiap jabatan agama Islam negeri membuat pemantauan dan pemeriksaan awal bagi mencegah penularan budaya tidak sihat itu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang lelaki Melayu berusia 32 tahun yang membuat pengakuan seorang gay menerusi salah satu video kontroversi bertajuk It Gets Better In Malaysia: Memberi harapan untuk lesbian, gay, biseksual dan transeksual.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut pula berkata, badan-badan kerajaan serta bukan kerajaan perlulah bekerjasama menangani masalah tersebut kerana masalah tidak akan selesai sekiranya semua tanggungjawab memantau dan menanganinya diserahkan kepada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam semata-mata.

Katanya, kerjasama itu perlu dalam usaha membendung masalah yang menjadi wabak dalam masyarakat pada masa kini.

”Hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan masalah ini. Jika untuk jangka masa pendek, mungkin ia membantu tetapi bagi jangka panjang ia tidak memberikan impak besar dalam menyedarkan kumpulan itu supaya menghentikan kegiatan terkutuk tersebut.

”Justeru itu saya berharap semua pihak termasuklah badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan dapat mengambil tindakan serta inisiatif tersendiri bagi mengatasi masalah ini seperti mengadakan program kesedaran. Jangan tunggu keluar berita di akhbar sahaja baru mahu bertindak kerana ia sudah terlewat,” jelasnya.

Noh menambah, masyarakat terutamanya golongan beragama Islam perlu ingat bahawa pernah wujud kaum pada zaman Nabi Lut dahulu yang mengamalkan kegiatan songsang itu dan akhirnya menerima balasan ditelan oleh bumi.

”Kita jangan fikir perkara seumpama itu tidak boleh berlaku pada masa ini. Justeru saya menyeru kepada golongan terlibat supaya segera bertaubat manakala masyarakat sekeliling membantu menyedarkan mereka dan jangan mengambil sikap lepas tangan terutamanya golongan ibu bapa,” katanya.

Mesyuarat Tinju Dan Boxing Umno Seremban

KECOH… Sebahagian daripada anggota perwakilan cuba mententeramkan perwakilan yang bertengkar ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja’afar hari ini. – fotoBERNAMA

Kerusi terbang warnai sidang Umno Seremban, Pak Lah kecewa

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN: Mesyuarat peringkat bahagian yang dijadual berakhir hari ini ‘tercemar’ apabila Persidangan Perwakilan Umno Seremban pagi ini terpaksa ditangguhkan ekoran pergaduhan sehingga menyebabkan dua perwakilan cedera ringan.

REAKSI PRESIDEN

Dalam reaksi segera di Kepala Batas, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan pergaduhan yang berlaku sambil menyifatkan ia sebagai kejadian yang amat memalukan.

Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap perwakilan harus mematuhi peraturan dan perjalanan mesyuarat dengan baik, kata beliau.

ABDULLAH Ahmad Badawi menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pergaduhan yang terjadi ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban semasa mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas hari ini. – fotoBERNAMA

Tegas beliau, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat jika didapati bersalah.

Katanya, bukan sahaja politik wang yang boleh dikenakan tindakan disiplin malahan kes yang melibatkan pergaduhan juga boleh diambil tindakan sama.

Sebaik diajukan soalan itu oleh wartawan, beliau terus menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi telefon bimbit seorang pengawal peribadinya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana kejadian itu mengakibatkan kecederaan kepada perwakilan, ia juga merupakan satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan menurut Kanun Keseksaan.

Ketua Umno Cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman pula membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana cedera dipukul seorang pengawal keselamatan.

SEBAHAGIAN daripada anggota perwakilan cuba meleraikan pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja’afar. – fotoBERNAMA

PUNCA KEJADIAN

Mesyuarat yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi menjadi gamat dengan adegan baling kerusi dan tumbukmenumbuk di dalam dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja’afar.

Keadaan menjadi kecoh selepas kira-kira 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli Umno cawangan bahagian itu enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap bahagian Othman Senara.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang berlarutan selama hampir setengah jam menyebabkan sebahagian daripada perwakilan yang datang melarikan diri.

Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail kemudian mengeluarkan usul supaya mesyuarat itu ditangguh dan diserahkan perjalanannya kepada Majlis Tertinggi.

KETUA Cawangan UMNO Sikamat Datuk Md. Yusop Harmain Shah bersetuju dengan Timbalan Pengerusi Tetap menanguhkan Persidangan tersebut apabila keaadaan tidak dapat dikawal sehingga ada perwakilan bertumbuk, membaling kerusi dan mengeluarkan kata-kata kesat. – foto Utusan oleh ABD. RAZAK AID

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang kemudian mengadakan sidang akhbar untuk kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu selepas melakukan demontrasi di hadapan dewan dengan membawa sepanduk mengutuk Ishak.

Katanya, kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu cuma mahu melahirkan rasa tidak puas hati kerana cawangan-cawangan mereka belum lagi bermesyuarat.

“Ishak dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian walaupun Majlis Tertinggi mahukan semua mesyuarat cawangan diselesaikan dahulu, baru boleh mesyuarat bahagian dibuat,” katanya.

RAHIM ELAK WARTAWAN

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Umno Bahagian Seremban yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik hadir pada mesyuarat itu, tetapi beliau enggan menemui pemberita.

Kelmarin, Mohd. Nor yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 2 September lepas atas dua tuduhan memberi rasuah kepada perwakilan, telah melakukan demontrasi di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan.

Beliau yang sepatutnya mencabar Ishak gagal bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban selepas Majlis Tertinggi kelmarin membuat pengumuman bahawa beliau tidak layak bertanding jawatan itu kerana masih dalam pertuduhan rasuah.

Ini bukan kali pertama kekecohan disaksikan ketika persidangan perwakilan di peringkat bahagian.

Pada 17 Oktober lalu, Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

ULASAN MB

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insiden pergaduhan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Seremban pagi ini tidak sepatutnya berlaku.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata beliau akan meneliti laporan penuh insiden itu daripada jawatankuasa pemantau.

“Setakat ini, saya sedang menunggu laporan jawatankuasa pemantau,” katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian iu.

http://www1.mstar.com.my

Khamis Disember 16, 2010
Bapa Hanya Tolong Kalau Dafi Bankrap

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Dafi menjadikan bapa sebagai idolanya dalam membangunkan syarikat LOLE. Foto the Star oleh DARRAN TAN

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menegaskan beliau tidak akan membantu anaknya, Dafi atau Gadaffi, 22, mengeluarkan sebarang wang modal untuk membangunkan syarikat Lough Out Loud Entertainment Sdn Bhd (LOLE).

Menurut Ismail Sabri, dia mahu Dafi berdikari untuk merasai bagaimana susah untuk membina sebuah perniagaan menggunakan wang hasil titik peluh sendiri.

“Saya suka bila anak saya buat sesuatu atas usaha sendiri kerana saya juga dulu bukannya datang daripada keluarga yang senang. Jadi saya biarkan dan melihat dari jauh perniagaannya itu. Bila Dafi bankrap baru saya tolong.

“Apa-apa pun saya bangga kerana dia mula berfikir tentang perniagaan pada usia yang muda. Saya sendiri tidak sangka dia begitu cepat membuka sebuah syarikat.

“Bagus juga dia menceburkan diri dalam perniagaan. Jika mula berniaga awal, dan mungkin satu hari nanti gagal, sekurang-kurangnya dia ada masa untuk memulihkan syarikatnya itu.

“Saya harap dia bersungguh-sungguh dengan perniagaan barunya itu. Saya selalu berkata kepada Dafi supaya jadikan Norman KRU sebagai contoh kerana Norman berjaya dalam perniagaan kerana kreativiti yang dimiliki.

“Justeru, Dafi juga perlu kreatif dan mempunyai produk perniagaan lain daripada yang lain jika ingin berjaya,” katanya pada majlis ulang tahun hari lahir Dafi yang ke 22 dan pelancaran LOLE bertemakan Masquarade Nite-The New Beginning, di sini, Selasa.

Majlis hari jadi dan pelancaran LOLE yang dianjurkan merupakan hadiah yang besar buat Dafi.

Pada majlis yang diadakan dengan kerjasama Kelab Peminat Dafi Malaysia (DFCM), pelbagai kejutan dibuat khas untuk penyanyi itu.

Pada permulaan majlis, sekumpulan model memperagakan pakaian rekaan salah seorang ahli DFCM sebagai gimik pelancaran LOLE.

Kemudian, kemunculan pelakon Rozita Che Wan yang membawa sejambak bunga buat Dafi dan rakan kongsinya, Afeeq, serta Marsha yang menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi. Ternyata ia agak mengejutkan Dafi.

Dafi

Tambah pula apabila artis kegemaran Dafi iaitu One Nation Emcees, turut hadir tanpa pengetahuannya.

Sementara itu, beritahu Dafi, dia gembira dengan majlis yang dianjurkan dan menganggap pelancaran LOLE merupakah hadiah yang paling besar yang pernah diterimanya.

“Saya juga menerima pelbagai hadiah daripada peminat dan ada yang saya tak sempat buka lagi.

“Tapi yang paling menggembirakan ialah pelancaran syarikat saya yang turut dibantu oleh DFCM lagi.

“Dalam usia saya yang sudah berumur 22 tahun ini, saya berharap ingin menjadi peniaga yang berjaya di masa akan datang nanti dan sasaran saya untuk tahun depan, saya ingin membeli sebuah rumah menggunakan wang titik peluh saya sendiri,” nekad Dafi.

Sehari sebelum majlis, keluarga Dafi turut meraikan hari lahirnya itu di sekitar Bangsar.

Bakal pengantin tumbuk muka ibu sehingga koma
Oleh Suhaidi Mohamed Amin
bhkt@bharian.com.my
2010/10/27

Suspek berang lambat buat persiapan majlis perkahwinan

CHUKAI: Seorang bakal pengantin menumbuk muka ibunya sehingga wanita itu terjatuh dan koma di rumah mereka di Kampung Mak Chili Paya, selepas berang ibunya lambat membuat persiapan majlis perkahwinannya yang akan diadakan pada 6 November ini.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari kelmarin, wanita berusia 49 tahun itu mengalami pendarahan teruk di muka akibat kesan tumbukan kuat anaknya itu, sebelum terjatuh dan mukanya tersembam pada meja kayu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, suspek yang bekerja di sebuah syarikat petroleum di sini, dikatakan baru pulang daripada tempat kerjanya, manakala ibunya sedang mengemas rumah.

Katanya, suspek kemudian bertanyakan perkembangan persiapan perkahwinannya seperti pelamin, barangan hantaran dan jamuan kepada ibunya sebelum kejadian.

“Bagaimanapun, kerana kepenatan, tercetus salah faham antara kedua-dua beranak itu menyebabkan berlaku pergaduhan kecil hingga suspek secara spontan menumbuk muka ibunya dengan kuat sebelum wanita itu terjatuh ke lantai lalu terkena meja kopi,” katanya.

“Akibat kesan tumbukan itu, ibu suspek turut mengalami patah tulang kening, sementara hidung dan mulutnya mengalami pendarahan teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) oleh seorang anak saudaranya yang melihat kejadian itu.
“Wanita itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan teruk sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, ibu malang itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dilihat mula sedarkan diri petang ini (semalam),” katanya.

Abdullah berkata, polis sudah menahan reman anak ketiga mangsa berumur 25 tahun selama seminggu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun.

Rozaliya ditemui di Bukit Bintang

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my
 

Bakal pengantin yang menghilang diri, Rozaliya Mat Lazim (tengah) dibawa keluar oleh ahli keluarganya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis di Kuantan, semalam.

KUANTAN 20 Okt. – Misteri kehilangan seorang bakal pengantin Rozaliya Mat Lazim, 20, yang dilaporkan hilang lebih seminggu lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui di Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.

Rozaliya dipercayai melarikan diri secara sukarela dan telah bekerja selama dua hari di sebuah kedai serbaneka sebelum penyelianya menyedari bahawa pekerjanya itu adalah gadis yang telah dilaporkan hilang dari rumahnya di Kemaman, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Mohd. Yusoff berkata, atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan telah bergegas ke Bukit Bintang, kira-kira pukul 12.30 tengahari hari ini.

“Kita kemudian ke sana dan menjumpainya. Pihak polis kemudian membawa pulang Rozaliya untuk bertemu keluarganya di Kuantan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuantan di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha; bapa bakal pengantin itu, Mat Lazim Mat Ismail; tunangnya, Mohd. Hilmi Mohd. Nor dan beberapa ahli keluarga.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Rozaliya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 12 November ini hilang ketika keluar membeli barangan persiapan perkahwinannya di sini pada 13 Oktober yang lalu.

Pada hari itu, Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman keluar ke bandar bersama tunangnya yang berusia 24 tahun dan kemudian hilang selepas ditinggalkan bersendirian.

Sebelum menghilangkan diri, dia sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tunangnya yang kononnya menyatakan dia diikuti oleh orang tidak dikenali.

Mohd. Jasmani berkata, hasil soal siasat awal, Rozaliya menyatakan dia secara sukarela telah pergi ke Kuala Lumpur pada hari dilaporkan hilang secara bersendirian.

“Pihak polis dimaklumkan oleh keluarganya bahawa Rozaliya dipercayai melarikan diri disebabkan mempunyai masalah untuk berkahwin dengan tunangnya,” katanya.

Hasil siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku terhadap kes ini.

“Cuma hanya salah faham dan masalah keluarga. Pihak polis juga akan merakam percakapan mangsa selepas ini,” jelasnya.

Sementara Mat Lazim ketika ditemui berkata, dia amat gembira kerana anak keduanya daripada empat adik-beradik itu dijumpai dalam keadaan selamat.

“Kami amat gembira apabila dia ditemui semula dan berharap dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.

Tambah beliau lagi, keluarganya mungkin akan mengadakan kenduri doa selamat selepas pulang ke rumahnya nanti.

Ditanya sama ada akan meneruskan perkahwinan anaknya dengan Mohd. Hilmi, dia berkata, keputusan itu diserahkan kepada anaknya.

“Kalau dia tidak mahu lagi mengadakan perkahwinan ini, kita akan putuskan pertunangan tersebut. Memang sebelum ini, dia ada berkata yang perangai tunangnya itu agak berubah sejak akhir-akhir ini.

“Dia juga kata sudah tawar hati terhadap tunangnya, namun kami hanya mendiamkan diri kerana sayangkan pertunangan tersebut yang sudah berusia setahun. Selepas ini, kami akan mengikut kemahuannya agar kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.

4 anggota Imigresen direman kes rasuah

SHAH ALAM 9 Okt. – Empat anggota Jabatan Imigresen termasuk seorang wanita hari ini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui Jeti Pulau Ketam di Klang, Selangor.

Perintah reman mulai hari ini dikeluarkan oleh Majistret Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Majistret Shah Alam kira-kira pukul 11.15 pagi ini.

Kesemua mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi di jeti berkenaan semalam dan mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Keempat-empat suspek bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam disyaki menerima sogokan bagi memudahkan kemasukan PATI dari negara jiran.

Majistret dipenjara enam tahun
Oleh Norliza Wasilan

2010/10/04

Didenda RM40,000 selepas didapati bersalah minta dua suapan RM8,000

KOTA BHARU: Seorang majistret dihukum penjara enam tahun dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana terbabit dalam dua kes rasuah membabitkan RM8,000.

Hakim, Sabariah Othman, ketika menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan pertama menetapkan tertuduh, Mohd Firdaus Ramlan, 28, dipenjara tiga tahun serta denda RM15,000 dan jika gagal membayarnya, boleh dikenakan penjara 12 bulan.

Beliau juga menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM25,000 bagi pertuduhan kedua atau penjara 18 bulan jika gagal membayarnya kepada Mohd Firdaus. Hukuman penjara berjalan serentak mulai semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperoleh rasuah wang tunai RM3,000 daripada Md Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang, kira-kira jam 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu, sebagai dorongan melepaskan lelaki itu daripada kesalahan jenayah dilakukannya.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Firdaus didakwa meminta rasuah RM5,000 daripada Md Shani atas tujuan sama di Bilik Majistret, Mahkamah Majistret Kuala Krai di sini, 6 Oktober lalu.

Tuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Ketika prosiding semalam, Mohd Firdaus diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed, manakala SPRM oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa.

Abdul Razak dalam hujahnya, memohon mahkamah memberi keputusan sewajarnya dan tidak bersimpati kepada tertuduh, selain perlu mengambil kira keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

Selepas hakim membuat keputusan, Sukri memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sabariah kemudian membenarkan permohonan itu tetapi memerintahkan denda RM40,000 dibayar dalam tempoh tiga bulan.

“Hukuman denda ditangguh tiga bulan dan tertuduh perlu membayar jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Lima lagi ditahan SPRM

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Selepas kira-kira 24 jam seorang pegawai Imigresen dan tujuh lagi ditahan kerana menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) di jeti Pulau Ketam, Selangor, kelmarin, lima lagi pegawai jabatan itu ditahan hari ini.

Kelima-lima mereka itu yang berusia 25 hingga 27 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa lokasi di Klang Selangor.

Sumber memberitahu, ada yang ditahan di rumah masing- masing manakala sebahagian lagi di jeti Pulau Ketam, antara pukul 10 pagi dan 6 petang.

“Kesemua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang pegawai Imigresen ditahan kerana menjadi dalang aktiviti membawa masuk PATI melalui jeti Pulau Ketam. Suspek ditahan di sekitar Klang, Selangor, bersama tujuh lagi yang dipercayai menjadi perantara kapten kapal.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui wang tunai kira-kira RM30,000 di rumah pegawai tersebut, manakala RM70,000 lagi dijumpai di pejabat salah seorang perantara yang ditahan.

‘Khemah misteri’ dalam hutan rupa-rupanya sarang maksiat

GERIK 3 Okt. – Kemunculan sebuah ‘khemah misteri’ di dalam hutan di Simpang Perah, Kampung Kuala Rui di sini, sejak Ramadan lalu, terbongkar apabila rupa-rupanya menjadi pusat maksiat.

Ini berikutan tertangkapnya dua pemuda dan seorang gadis hasil serbuan empat pegawai Pejabat Agama Islam daerah tengah malam tadi.

Sepanjang Ramadan lalu, khemah di bawah rimbunan pokok buluh dan terlindung daripada pandangan umum itu dijadikan sarang maksiat.

Serbuan pukul 12.30 tengah malam itu diketuai oleh Ketua Penguat Kuasa Pencegah Maksiat pejabat itu, Mohd. Ikbal Mohd. Rosli dengan dibantu dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Menurut Mohd. Ikbal, kegiatan suspek-suspek yang kesemuanya berusia 21 tahun berjaya dihidu penduduk setelah dilihat memasuki khemah itu, pukul 10.15 malam.

Katanya, siasatan mendapati khemah berkenaan yang didirikan sejak Ramadan lalu terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah penduduk di kampung itu.

“Mereka datang ke situ dengan berjalan kaki selepas meninggalkan motosikal untuk ke sarang maksiat itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam khemah itu menemui tilam, botol-botol minuman keras serta sejumlah kondom baru dan yang telah digunakan.

“Ia membuktikan kawasan itu telah dijadikan sarang maksiat. Mereka mengaku telah mula melakukan maksiat sejak sebelum Ramadan malah makan dan minum di situ ketika bulan puasa,” katanya.

Menurut Mohd. Ikbal, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 54 Enakmen Jenayah Syariah Perak kerana melakukan maksiat yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun.

“Kita berharap agar ibu bapa dapat mengawasi kegiatan anak-anak dengan memberikan didikan agama sempurna agar mereka tidak terjebak ke lembah hina,” katanya.

7 lagi ditahan SPRM
Oleh Norfatimah Ahmad dan Ifwan Tun Tuah

2010/10/04

Kakitangan imigresen ditangkap ketika lakukan transaksi wang tunai RM26,000 di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawainya ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini ialah lapan orang, termasuk enam di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Daripada jumlah itu, lima anggota jabatan berkenaan yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, ditahan semalam, manakala seorang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki menerima rasuah dan bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan sama.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan suruhanjaya berkenaan antara jam 3 petang hingga 6 petang di jeti berkenaan serta di sekitar Klang, berikutan siasatan dan intipan lebih setahun SPRM.

Selain itu, dua lagi berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an yang ditahan SPRM dengan wang transaksi itu adalah mereka yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kedua-duanya ditahan di sekitar Seremban antara jam 6 petang hingga 9 malam, Rabu lalu bersama seorang individu lain yang bertindak sebagai ‘runner’ untuk transaksi membabitkan sindiket menggunakan jeti yang mengendalikan perjalanan feri ke Dumai tiga kali seminggu.

Sumber itu berkata, pegawai terbabit disyaki mengenakan bayaran RM80 bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang keluar masuk dan dipercayai mendapat bayaran mencecah RM20,000 seminggu.
“Siasatan mendapati suspek menugaskan anggota menaiki feri dan melepaskan pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap turun sedangkan mengikut prosedur, mereka tidak boleh memberi kebenaran mendarat kepada pendatang terbabit.

“SPRM akan membongkar kegiatan rasuah di jeti berkenaan termasuk menyiasat semua anggota. Setakat ini kita sudah merekodkan kenyataan beberapa orang yang mengaku menerima bayaran untuk ‘menutup mulut’,” katanya.

Sumber itu berkata, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat hari ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Imigresen untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya.

Difahamkan, SPRM akan mencadangkan anggota yang terbabit dalam kegiatan itu dikenakan tindakan tatatertib dan seluruh pasukan imigresen di Jeti Port Dickson dirombak.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang anggota imigresen dan tujuh individu lain bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah yang diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam, dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang

Taktik bawa lelaki masuk rumah terbongkar

2010/09/28

SEGAMAT: Tindakan seorang remaja berusia 15 tahun yang membawa masuk teman lelakinya ketika datuk dan neneknya sedang nyenyak tidur, terbongkar apabila emak saudaranya menemui lelaki itu bersembunyi dalam almari pakaian, ketika datang ke rumah berkenaan untuk mengejutkannya ke sekolah, dalam kejadian di Labis, dekat sini awal pagi Sabtu lalu.

Pelajar tingkatan tiga itu dikatakan berani membawa masuk teman lelakinya yang berusia 17 tahun dan bekerja di sebuah bengkel membaiki kenderaan selepas mendapati datuk dan neneknya tidur, manakala beberapa saudaranya termasuk keluarga emak saudara tiada di rumah kerana menemani ahli keluarga mereka yang dirawat di hospital.

Remaja yang tinggal dengan keluarga datuknya sejak berusia lapan tahun selepas kematian ibu kandungnya, pada mulanya dikatakan hanya bersembang dengan teman lelakinya di luar rumah berkenaan sebelum membawa masuk teman lelakinya ke dalam bilik selepas menyedari datuk dan neneknya sudah tidur pada kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata tindakan lelaki berkenaan bermalam bersama remaja perempuan itu hanya disedari oleh emak saudaranya yang tinggal berhampiran rumah berkenaan yang mahu mengejutkannya untuk ke sekolah, kira-kira jam 7.30 pagi.

Abdul Majid berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dibuat oleh emak saudara mangsa dan remaja berkenaan juga turut dibawa ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan kesihatan.

Suami dakwa isteri mati kerana hospital cuai

KOTA BHARU 23 Sept. – Seorang Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini mendakwa kecuaian kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini telah menyebabkan isterinya meninggal dunia selepas menjalani pembedahan untuk bersalin pada 17 Ogos lalu.

Musa Abdul Kadir, 44, berkata, arwah isterinya, Aumil Khairri Abd. Razak, 44, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi kelmarin selepas koma dua minggu di hospital berkenaan sementara bayi lelakinya seberat 2.3 kilogram kini berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, kecuaian pihak HUSM semasa melakukan pembedahan awal telah menyebabkan beberapa keping kain kapas atau ‘pack’ tertinggal di dalam rahim arwah isterinya itu.

Dakwanya, kain kapas itu dikesan seorang doktor yang membuat ujian sinar-X ke atas isterinya selepas arwah mengadu sakit teramat sangat selepas tiga jam bersalin anak keempat mereka melalui pembedahan.

“Saya diberitahu oleh doktor ada objek yang tertinggal di dalam perut isteri saya dan doktor meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan kali kedua pada 22 Ogos lalu kira-kira pukul 2 petang.

“Ketika pembedahan dilakukan, doktor berjaya mengeluarkan dua keping kain kapas yang tertinggal di sebelah kiri dan kanan rahim isteri saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Musa mendakwa, selepas itu isterinya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami masalah di dalam perut.

Dakwanya, pada 25 Ogos lalu, keadaan arwah isterinya menjadi tidak menentu sehingga menyebabkannya meracau, mengamuk dan demam teruk sehingga doktor terpaksa memberinya ubat tahan sakit.

Katanya, sejak itu arwah isterinya terus koma dan terpaksa makan dan minum menggunakan tiub sementara perutnya pula semakin membesar.

“Pada 7 September kira-kira pukul 9 malam, doktor sekali lagi meminta kebenaran saya untuk membuat pembedahan kali ketiga yang memakan masa selama kira-kira sembilan jam kerana difahamkan ada jangkitan kuman akibat pembedahan kali kedua,” dakwanya.

Menurut Musa, apa yang mengejutkan apabila doktor memberitahu berlaku lima kebocoran pada usus arwah isterinya, menyebabkan dua daripada ususnya dijahit sementara tiga pula terpaksa dibuang kerana ada yang terputus dan melekat pada rahim.

“Ada tiga usus lagi berdarah dan keadaannya bertambah kritikal dan kira-kira pukul 8 pagi pada 21 September lalu, isteri saya disahkan meninggal dunia,” ujarnya.

Dakwanya, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak hospital mengenai kejadian yang menimpa arwah isterinya, tetapi mereka enggan memberi kerjasama.

Berikutan itu, Musa telah membuat laporan di balai polis Kubang Kerian kira-kira pukul 6.44 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa isterinya.

“Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada di dalam jiwa mereka sendiri” (Al-Quran).

Guru al-Quran mengaku rogol murid kena 10 tahun

2010/09/24

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang guru al-Quran selepas mengaku bersalah merogol anak muridnya lima tahun lalu.

Hakim Che Mohd Zulkifly Jusoh memerintahkan hukuman penjara

terhadap pesara kerajaan terbabit yang berusia 62 tahun dan mempunyai empat isteri, bermula dari tarikh sabitan semalam. Tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang kini berusia 19 tahun, didakwa melakukan perbuatan terbabit pada 11 Jun 2005 kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di daerah Marang selepas mengajar mangsa mengaji al-Quran.
Selepas mengaji, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pergi ke rumah saudara tertuduh, bagaimanapun, saudara tertuduh tidur dan dia mengambil keputusan untuk pulang sebelum terserempak dengan tertuduh yang bertindak menggosok lengan dan bahu mangsa.

Tertuduh mengumpan mangsa dengan memberikannya wang berjumlah RM10 sebelum membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan merogolnya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguambela, Mohd Asaari Salleh.

3 gadis Melayu tingkatan 2 mengaku berzina dengan 2 remaja Melayu 19 dan 20 tahun.

2 orang ibu membuat lapuran polis anak-anak gadis mereka tidak pulang ke rumah beberapa hari.

Nurulain & Nurulasyikin

Kembar ditemui di Green Garden

2010/09/22

GEORGETOWN: Pasangan kembar, Nurulain dan Nurulashiqin Kamarazmi, bersama teman mereka, Suhaili Abd Razak, masing-masing berusia 14 tahun, yang dilaporkan hilang sejak hari raya kedua, ditemui di sebuah flet di Green Garden, Paya Terubong di sini, pagi semalam.

Ketiga-tiga remaja terbabit ditemui tinggal bersama seorang lelaki 20 tahun dipercayai teman lelaki pasangan kembar itu dan seorang lelaki 19 tahun, jam 8.30 pagi. Mereka yang ditemui selamat, dibawa ke Balai Polis Ayer Itam di sini, bersama dua lelaki terbabit untuk diambil keterangan. Remaja perempuan terbabit dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 4.30 petang bagi pemeriksaan lanjut kerana mereka mengaku mengadakan hubungan seks ketika menghilangkan diri dan juga pernah melakukannya sebelum ini.

2 orang ibu membuat lapuran polis mengenai anak-anak gadis mereka yang tak pulang ke rumah berhari-hari.

Ketua Balai Polis Ayer Hitam, Cif Inspektor Mohd Fadzli Mohd Napiah berkata, pihaknya mendapat maklumat remaja perempuan itu berada di flet berkenaan selepas menerima aduan seorang lelaki.

Seorang daripada lelaki itu dipercayai teman lelaki pasangan kembar dan siasatan awal mendapati semua remaja terbabit mengaku melakukan hubungan seks. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, katanya.

Mohd Fadzli berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu yang bekerja sendiri, bersama remaja berkenaan datang ke negeri ini dengan menaiki bas di Batu Gajah pada 14 September lalu sebelum menyewa dua bilik di sebuah hotel di Lorong Kulit di sini, selama tiga hari.

Dua lelaki bersama tiga remaja perempuan yang hilang direman tujuh hari

2010/09/22

GEORGETOWN: Dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini, hari ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol gadis bawah umur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kedua-dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu yang berasal dari Kampar dan Teluk Intan, Perak, ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Kedua-dua mereka ditemui bersama remaja pasangan kembar, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin, 14, serta teman sebaya, Suhaili Abd Razak dilaporkan hilang di Kampar sejak 11 September lalu dan ditemui dalam sebuah flat di sini, semalam. “Berdasarkan keterangan tiga remaja wanita terbabit, mereka mengaku melakukan hubungan seks dengan dua lelaki itu ketika berada di sebuah hotel murah di Jalan Pintal Tali di sini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang mendapati terdapat kesan koyak pada kemaluan tiga remaja perempuan terbabit dan polis kini sedang menjalankan siasatan.

Gan berkata, mereka memberi kerjasama dan mengakui secara rela hati mengikut teman lelaki ke negeri ini pada 14 September iaitu tiga hari selepas mereka dilaporkan hilang. – Bernama

Perogol anak dipenjara 20 tahun, 20 sebatan

KOTA BHARU 21 Sept. – Akibat merogol anak kandung berusia 15 tahun ketika isteri tiada di rumah, seorang lelaki dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 20 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Zainal L. Salleh menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berusia 37 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram di rumah tidak bernombor dalam sebuah kampung dekat Tanah Merah, antara Februari dan April tahun lalu.

Bagi setiap pertuduhan, Zainal menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali yang berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Dalam prosiding itu, Zainal agak berang apabila tertuduh kelihatan ‘tersengih’ ketika beliau bertanyakan perasaannya ketika melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

”Sebelum menjatuhkan hukuman, saya hendak tanya satu soalan. Kamu tidak rasa apa-apakah ketika melakukan perbuatan ini. Jangan suka (gelak), ini perkara serius. Tidak malukah kamu pada dia (mangsa).

”Kalau tidak rasa apa-apa, taraf kamu sama dengan kambing dan lembu. Pada saya, kelakuan sumbang mahram sangat menjijikkan dan serius sebab itu undang-undang telah dipinda dengan memberikan hukuman yang lebih berat supaya ia menjadi pengajaran kepada semua.

”Saya lihat keadaan kamu sekarang, kamu tidak akan rasa apa-apa. Kalau saya tidak bagi hukuman yang setimpal, saya telah gagal menjalankan tugas sebagai hakim,” katanya sebelum hukuman dijatuhkan.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa pada pukul 6 petang, 28 Februari tahun lalu di rumah tersebut.

Dia didakwa telah mengulangi perbuatan yang sama ketika mangsa sedang melipat pakaian dalam biliknya pada pukul 6.40 petang, 10 April tahun lalu.

Mangsa yang juga anak kedua daripada enam adik-beradik telah mengadu kepada ibunya setelah tidak tahan dengan perbuatan itu walaupun diberi amaran oleh bapanya.

3 ahli lembaga pengarah Islam dlm Carlsberg

Carlsberg menyiarkan nama-nama ahli Lembaga Pengarahnya dimana 3 dari mereka adalah dari kalangan umat Islam iaitu :

(1) Jen (B) Tan Sri Dato’ Mohd Ghazali bin Dato’ Mohd Seth

(2) Y.A.M. Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar

(3) Tan Sri Datuk Asmat bin Kamaludin

Rujukan :

http://announcements.bursamalaysia.com/EDMS/hsubweb.nsf/1c0706d8c060912d48256c6f0017b41c/48256aaf0027302c48256b8b0036a2a5/$FILE/Carlsbg-Products-CorpInfo-DirectorsProfile%20(725KB).pdf

MALANG

 

Seorang lelaki mendukung teman wanitanya untuk dibawa ke hospital selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di susur keluar Jalan Tun Razak menghala ke Bukit Bintang, semalam.

Utusan Online 17 Jun 2010 Seorang lelaki terpaksa menahan sakit untuk mengangkat sendiri teman wanitanya setelah motosikal yang mereka naiki terjatuh di susur keluar Jalan Tun Razak menghala ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 1 petang itu berlaku apabila motosikal Yamaha LC yang mereka naiki tersebut bergesel dengan sebuah kereta lalu terjatuh.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa dan teman wanitanya yang cedera di kaki dan tangan terpaksa menahan sakit di tepi jalan selama hampir 30 minit apabila orang ramai enggan berhenti untuk membantu.

Jurugambar Utusan Malaysia, Shaifudin Mohd. Nor yang secara kebetulan melalui jalan itu berhenti dan menahan teksi untuk membawa kedua-duanya ke hospital bagi menerima rawatan.

Pelakon, pelawak antara ditahan di rumah, temui ganja

13/06/2010 2:29pm
Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 13 Jun – Seorang pelawak dan pelakon terkenal ditahan bersama enam lagi rakannya termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Sunway, dekat sini malam tadi.

Serbuan yang dilakukan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Subang Jaya pada pukul 10 malam itu, turut menemui puluhan gram dadah jenis ganja di dalam rumah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon yang pernah merangkul Anugerah Bintang Popular itu. – Utusan

Pelajar lahirkan bayi dalam tandas

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 5 Mei – Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Dungun yang dibawa ke klinik selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit rupa-rupanya sakit hendak bersalin apabila melahirkan seorang bayi hari ini.

Remaja berusia 16 tahun itu melahirkan bayinya di tandas Klinik Kesihatan Jerangau, Felda Jerangau, Dungun ketika mahu mendapatkan rawatan kononnya menghidap sakit perut kira-kira pukul 11 pagi ini.

Sumber yang hanya mahu dikenali sebagai Intan, 30, memberitahu Utusan Malaysia, pelajar tersebut pergi ke klinik kesihatan berkenaan bersama-sama seorang jiran selepas mengadu tidak sihat badan, sakit perut dan cirit-birit.

Apabila tiba di klinik itu, remaja itu yang berasal dari Jerangau Barat kemudiannya pergi ke tandas kononnya kerana sakit perut.

Bagaimanapun, seorang pesakit yang ketika itu pergi ke tandas yang sama tiba-tiba ternampak air bercampur dengan darah meleleh keluar dari dalam tandas tersebut lalu terus memaklumkan kepada orang ramai yang berada di klinik berkenaan.

“Orang ramai kemudiannya cuba membuka tandas tersebut dan terkejut apabila mendapati seorang remaja baru sahaja melahirkan seorang bayi,” kata sumber berkenaan.

Ekoran kejadian itu, remaja berkenaan dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Dungun, Asisten Supritendan Alias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan memandangkan keterangan masih belum diambil daripada remaja itu kerana keadaannya yang masih lemah.

“Jantina bayi juga masih belum dikenal pasti,” jelasnya.

Utusan Online SHAH ALAM 4 Ogos – Penjualan minuman keras di premis-premis perniagaan yang terletak di kawasan penduduk majoriti Melayu di Selangor antara penyebab sebahagian besar pembeli arak di negeri itu terdiri daripada kaum Melayu yang beragama Islam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, hasil kajian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga menunjukkan pembeli minuman keras kebanyakannya pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

”Kajian itu juga mendapati sebahagian besar pembeli arak adalah anak-anak Melayu dan dari pukul 7 petang hingga 12 malam merupakan waktu membeli minuman keras,” katanya pada sidang akhbar mengenai kontroversi isu arak di Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Hassan, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi membanteras penjualan arak di kawasan penduduk majoriti beragama Islam.

Katanya, tindakan tersebut tidak melibatkan hak masyarakat bukan Islam di negeri itu, malah pihaknya tidak pernah menuntut supaya arak diharamkan dijual atau diminum dari kalangan masyarakat bukan Islam.

”Pas Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuat kuasa peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tapi draf ini bukan undang-undang baru, sebaliknya hanya peraturan.

”Ketika ini hanya JAIS yang boleh mengambil tindakan berhubung penjualan minuman keras, tapi selepas ini, 12 buah PBT yang ada di Selangor juga boleh menjalankan penguatkuasaan serupa dengan jabatan agama itu,” tegasnya.

Remaja mangsa rogol derita, pensil di dalam kemaluan

KUALA LUMPUR 21 April – Seorang pelajar tingkatan dua bukan sahaja dirogol rakannya, tetapi terpaksa menanggung kesakitan setelah suspek memasuk dan meninggalkan pensil di dalam kemaluannya.

Ia bagaimanapun disedari hanya setelah mangsa menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang dekat sini, sebagai sebahagian prosedur siasatan polis.

Hasil pemeriksaan, doktor menemui pensil berukuran empat sentimeter tersebut di dalam kemaluan gadis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pemeriksaan sama turut mengesahkan gadis itu telah hamil sebulan.

Katanya, pengesahan kehamilan tersebut sekali gus membongkar bahawa mangsa telah dirogol oleh pelajar lain sebelum itu.

“Mangsa telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini dan kali ketiga pada minggu lalu apabila dirogol di dalam kelas.

“Dalam kejadian terbaru, perbuatan itu dilakukan oleh suspek dengan dilindungi rakan-rakannya yang membuat bulatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun telah dirogol rakan sebayanya di dalam kelas di sebuah sekolah menengah dekat Rawang, Selasa lalu.

Kisah itu didedahkan oleh mangsa yang menghuni sebuah rumah kebajikan kepada pengasuh sebelum laporan polis dibuat.

Berikutan itu, seorang pelajar telah ditahan reman bermula kelmarin sehingga 26 April ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rosly memberitahu, dalam kejadian pertama, mangsa dirogol pelajar lain di tepi padang sekolah, namun perkara itu disembunyikan mangsa kerana khuatir tidak dibenarkan bersekolah lagi.

Menurutnya, berikutan maklumat baru itu, pihaknya menahan enam lagi pelajar sekolah tersebut yang kesemuanya berusia 14 tahun petang ini.

Katanya, mereka ditahan kerana disyaki terlibat merogol dan bersubahat dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bayi tersebut selepas ia dilahirkan bagi mengetahui bapanya.

Hasrat Halimaton nikah hampir tercapai

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my

BALING 4 April – Pejabat Agama Baling telah menerima permohonan daripada keluarga Halimaton Abdul Rasyid, 15, untuk menikahkan pelajar cemerlang itu dengan teman lelakinya tidak lama lagi.

Utusan Malaysia difahamkan, urusan tersebut dilakukan sendiri oleh bapanya, Abdul Rasyid Othman, 49, dan dua bapa saudaranya, Ahmad Omar, 43, serta Ghazali Murad, 53, bagi membolehkan pendaftaran pernikahan itu dibuat memandangkan Halimaton masih di bawah umur.

Urusan tersebut yang dilakukan hari ini bertujuan membolehkan gadis itu dinikahkan seperti dipersetujui antara keluarga terbabit di Langkawi baru-baru ini.

Bagaimanapun, pihak berkenaan tidak dapat mengesahkan tempoh urusan tersebut selesai bagi membolehkan hasrat Halimaton dan teman lelakinya, Mohamad Noor, 19, bernikah.

Ibu Halimaton, Normah Abdul Mutalib ketika ditemui tidak menafikan keluarganya sedang dalam proses membuat pendaftaran pernikahan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, segala urusan tersebut diserahkan kepada bapa Halimaton, Abdul Rasyid bersama beberapa lagi saudara terdekat mereka.

Mengenai persiapan majlis perkahwinan itu, Normah enggan memberi sebarang komen kerana ia bergantung kepada keadaan semasa.

Halimaton dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada 22 Mac lalu tetapi kemudiannya berjaya dikesan di Langkawi dipercayai menemui teman lelakinya di pulau peranginan tersebut.

Berikutan itu, ibu Halimaton bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Khairul Azhar Abdullah, dua ahli Majlis Kebajikan dan Pembangunan (Mayang) Parlimen Baling serta wakil pejabat Penyelaras Parlimen Baling menemuinya dan keluarga teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Bagaimanapun pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 itu enggan mengikut ibunya pulang ke Kampung Lanai dekat sini sehingga menyebabkan ibunya pengsan.

Sementara itu Normah berkata, dia lega kerana anaknya ada menghubungi sebanyak dua kali sejak bertemu dengannya di Langkawi baru-baru ini.

‘‘Alhamdulillah saya berasa lega apabila dia menghubungi saya dua kali hari ini dan bertanya khabar,” katanya.

Tambah Normah, anaknya telah memintanya menyediakan pakaian berwarna kuning air bagi majlis perkahwinannya nanti.

SALAH LAKU SEKSUAL REMAJA MELAYU – DI MANAKAH  JALAN PENYELESAIANNYA?

Kes A

Gadis A, berumur 16 tahun didapati kerap berkeadaan murung. Apabila ditegur oleh ibunya, A cuba mengelak. Namun keadaan perutnya yang semakin membuncit menyebabkan sukar untuk A menyimpan rahsia tersebut. A melarikan diri dan tinggal bersama keluarga angkatnya di ibu kota. Beliau hanya dibawa ke hospital untuk melahirkan kandungannya ini.

Kes B

Gadis B, berumur 18 tahun adalah seorang pelajar kolej swasta yang sangat aktif. Akibat ketelanjuran bersama teman lelakinya, B disyaki mengandung. Ujian kencing yang dibuat di sebuah klinik swasta mengesahkan bahawa B telahpun hamil dan kandungan janin kembar telahpun disahkan melalui ujian ultra sound. B cuba untuk menyembunyikan kandungannya sehingga terpaksa ponteng kuliah. Rahsianya terbungkar apabila B melahirkan kandungan kembarnya yang pramatang di dalam tandas asrama kolej tersebut.

Kes C

Gadis C, berumur 15 tahun adalah seorang pelajar sekolah menengah. Beliau ditahan oleh pasukan polis kerana disyaki membuang bayinya apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter daripada rumahnya. Walaupun C menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa beliau mempunyai banyak tanda-tanda bahawa gadis C baru sahaja melahirkan kandungannya.

Pendahuluan

Begitulah sebahagian daripada ratusan kes senario yang pernah saya depani berlaku akibat salah laku seksual remaja. Berita seumpama ini semakin kerap dilaporkan di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen. Orang ramai pula semakin risau dan mula bersuara walaupun majoritinya masih buat tidak kisah terhadap gejala sosial yang semakin merebak ini.

Statistik

Kita tidak mempunyai laporan statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar remaja yang hamil di Malaysia. Namun peningkatan kejadian buang bayi, remaja ponteng dan berhenti sekolah, remaja melarikan diri dari rumah dan peningkatan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin membuktikan bahawa permasalahan ini menjadi semakin parah. Malahan saya pernah berhadapan dengan 3 kes remaja yang hamil yang hampir melahirkan anak ketika mereka hanya berumur 13 tahun. Dinisbahkan sebagai pelajar sekolah menengah, mereka baru berada di tingkatan satu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Ini bererti seramai kira-kira 65 bayi di luar nikah dilahirkan di kalangan orang Melayu. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Walaupun laporan JPN dan JKM tidak pernah menyatakan umur sebenar ibu-ibu yang melahirkan anak di luar nikah ini, kejadian ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat umum bahawa salah laku seksual atau lebih tepatnya kejadian zina semakin merebak termasuk di kalangan remaja Melayu.

Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah di kalangan kumpulan remaja di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga di sekolah menengah. Ini merupakan satu kejadian yang sangat menggerunkan kita semua.

Punca-punca Kejadian

Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang terlalu sedikit bagi membendung masalah ini.

Ada yang mengatakan gejala pembuangan  bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja.  Ada yang mengatakan bahawa media adalah punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggung-jawab sepenuhnya terhadap kejadian yang semakin merebak ini.

Cadangan Jalan Penyelesaiannya

Persoalannya yang utama sekarang bukanlah untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal ini tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.

1-Peranan ibubapa

Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk meraka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.

2-Peranan Remaja

Remaja sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.

3-Peranan Masyarakat Awam

Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu.

Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.

4-Peranan NGO

NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghala-tujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.

5-Peranan Guru dan Sekolah

Guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa akan datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan secara sistematik.

6-Peranan Kementerian Pelajaran

Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan  (GPPKRSK) dengan peruntukan RM 20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi mempastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu-bapa memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya.

Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja.

7-Peranan Media

Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja negitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau dari luar Negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.

8-Peranan Parlimen

Permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Permasalahan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.

Penutup

Remaja dan belia adalah agen perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu bagi memikul beban dan tanggung-jawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama.

Oleh :

Prof Madya Dr Zainur Rashid Bin Zainuddin

Naib Yang DiPertua

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Seremban

Beliau juga adalah merupakan:

Timbalan Dekan

International Medical University

Seremban

Dan

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

Hospital Tuanku Jaafar

Seremban

Bayi mangsa dera masih bergantung alat bantuan pernafasan


KUALA LUMPUR 24 Mac – Bayi lelaki berusia empat bulan, Faiz Abdullah yang disyaki didera oleh kedua ibu bapanya sehingga menyebabkan pendarahan di bahagian otak kanannya mula menunjukkan perubahan positif.

Ketua Jabatan Neurosurgeri Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Saffari Mohd. Haspani berkata, keadaan Faiz semakin baik setelah selamat menjalani pembedahan pada 11 Mac lalu, malah dia sudah mula membuat pergerakan.

Menurutnya, berdasarkan imbasan otak Faiz, pakar menjangkakan dia masih memerlukan masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya kerana sebelum ini otaknya bengkak kerana terdapat darah beku.

”Kita menjangkakan Faiz mungkin berhadapan dengan masalah perkembangan dari segi pemikiran kerana mengalami kecederaan di bahagian otak kanan.

”Bagaimanapun, jangkaan itu belum boleh dipastikan lagi kerana dia masih kecil, tetapi dari segi pergerakan Faiz tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada lawatan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Exco Puteri UMNO ke Institut Pediatrik HKL di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri berusia 22 dan 28 tahun disyaki mendera seorang bayi lelaki di Taman PD Utama, Port Dickson, Negeri Sembilan sehingga menyebabkan bayi tersebut mengalami pendarahan pada otak dipercayai akibat goncangan kuat.

Pada 11 Mac lalu, pasangan tersebut ditahan polis selepas bayi berkenaan dibawa ke Hospital Port Dickson dan dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban sebelum dihantar ke HKL berikutan keadaannya yang membimbangkan.

Mengulas lanjut Mohd. Saffari berkata, Faiz bagaimanapun masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan masih perlu ditempatkan di ICU bagi memudahkan pakar merawat kecederaan pada otaknya.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas itu, Rosnah yang juga Ketua Puteri UMNO berkata, kementerian tidak mempunyai laporan lengkap berkenaan kes Faiz berikutan polis masih menjalankan siasatan terhadap kedua ibu bapanya.

Katanya, kunjungan kementerian bersama Puteri UMNO ke Institut Pediatrik HKL hari ini kerana simpati terhadap nasib Faiz dan mahu melihat perkembangannya secara lebih dekat.

”Puteri UMNO bersedia memberi bantuan kepada Faiz jika pihak polis memutuskan bahawa ibu bapanya bersalah, tetapi jika keputusan sebaliknya kita perlu menghormatinya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnah turut mengumumkan bahawa Puteri UMNO bersama sayap-sayap Puteri parti komponen Barisan Nasional (BN) akan melancarkan satu program khusus untuk kanak-kanak iaitu ‘Life is Precious’ (Hidup Adalah Berharga) pada 4 April ini.

Kata beliau, program yang bertemakan 1Malaysia, 1Jiwa, 1Cinta itu bertujuan membantu pelbagai pihak menyelesaikan masalah penderaan kanak-kanak di negara ini.

”Kita memerlukan kerjasama pihak hospital untuk melaporkan sebarang kes yang melibatkan kanak-kanak. Kita sedia menawarkan bantuan terutama daripada aspek kebajikan,” kata beliau.

Selaras dengan pelaksanaan program baru itu Rosnah memberitahu, Puteri UMNO Wilayah Persekutuan yang diketuai Sarina Syarif telah menawarkan khidmat untuk mengambil Institut Pediatrik HKL sebagai wad angkat.

”Pendekatan ini adalah permulaan untuk kita melaksanakan program itu. Kita akan menjadi sukarelawan dalam segala hal yang melibatkan kanak-kanak,” ujar beliau.

9 mengaku tidak bersalah rogol remaja 15 tahun

 

Sebahagian daripada 9 lelaki dihadap ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di Teluk Intan, semalam. – UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

TELUK INTAN 12 Mac – Sembilan lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah taman rekreasi dan dua buah rumah kosong bulan lalu.

Tertuduh ialah Mohd. Sahabudin Hashim, 23; adiknya, Shahrul Hisham, 21; Mohd. Rosli Mustapa, 26; dan Mohamed Shafeq Mohd. Shahimi, 20.

Turut didakwa Mohd. Athika Mohd. Hanapi, 19; Ahmad Nor Sofiaan Alias, 23; Mohd. Shafiq Abu Samah, 21; Saiful Azimi Mhd. Razalli, 29, dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Kesemua mereka mengangguk tanda faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Daiyauddin.

Mengikut pertuduhan, remaja itu dan Mohd. Shafiq didakwa merogol mangsa di Spa Hot Spring, Felda Sungai Klah, Sungkai di sini antara pukul 6.10 petang dan 8 malam, 28 Februari lalu.

Mohamed Shafeq, Shahrul Hisham, Mohd. Rosli, Mohd. Athika, Mohd. Sahabudin dan Ahmad Nor Sofiaan pula didakwa merogol mangsa di rumah No. D6, Jalan Melor, Felda Sungai Klah antara pukul 1 pagi hingga 6 pagi, 1 Mac lalu.

Saiful Azimi pula menghadapi dua tuduhan iaitu merogol mangsa di taman rekreasi tersebut di antara pukul 6.10 petang dan 8 malam, 28 Februari lalu dan di rumah A 24, Felda Sungai Klah antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang, 1 Mac lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Faiz memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan pada 21 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suffian Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela N. Terrence.

Memetik laporan akhbar, mangsa pada mulanya mendakwa diajak menaiki motosikal oleh seorang lelaki dikenali sebagai Wan setelah terserempak dengannya ketika berjalan-jalan bersama rakannya di kawasan kampung tersebut.

Mangsa kemudiannya dibawa ke kawasan tertutup di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) di kampung tersebut sebelum dirogol oleh lelaki berkenaan dan tiga rakannya.

Wan kemudian menyuruh seorang rakannya menghantar mangsa balik ke rumah tetapi rakannya itu membawa mangsa ke sebuah rumah kosong sebelum dirogol oleh lebih 10 lelaki.

Remaja dari Felda Trolak Utara itu kemudian dihantar pulang sebelum dia membuat laporan polis mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh 14 lelaki.

Title:

South Korean President Roh Moo-hyun (R)…

Caption: SEOUL, REPUBLIC OF KOREA: South Korean President Roh Moo-hyun (R) toasts with Malaysian Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi during the dinner at the presidential Blue House in Seoul 23 August, 2004. Abdullah arrived Sunday for a three-day official visit to South Korea in an effort to boost economic and trade links between the two nations. AFP PHOTO/AHN Young-joon/POOL (Photo credit should read AHN YOUNG-JOON/AFP/Getty Images)
Date created: 23 Aug 2004
Editorial image #: 51207544
Restrictions: Contact your local office for all commercial or promotional uses. Full editorial rights UK, US, Ireland, Canada (not Quebec). Restricted editorial rights elsewhere, please call local office.
This image is only available in Getty Images offices in the United Kingdom, United States, Germany (Austria, Switzerland via Germany), Hong Kong, Singapore, and Australia.
License type: Rights-managed
Photographer:

AHN YOUNG-JOON/Staff

Collection:

AFP

Credit: AFP/Getty Images
Max file size/dimensions/dpi: 7.62 MB – 2000 x 1331 px (6.67 x 4.44 in.) – 300 dpi
Source: AFP
Release information: Not released. More information
Bar code: POOL
Object name: HKG2004082395603
Copyright: 2004 AFP
Keywords: Toast, Dinner, South Korea, Seoul, Politics, President, Malaysian Culture, Prime Minister, Roh Moo Hyun, Abdullah Ahmad Badawi, Diplomacy. Find similar images
Availability: Availability for this image cannot be guaranteed until time of purchase.Source :  http://www.gettyimages.com/detail/51207544/AFP

3 Respons

  1. […] juga kepada banyaknya masalah sosial dalam masyarakat kita. Sebahagiannya telah pun disenaraikan di sini. Lihatlah, jika anda belum sedar betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini. Dan selidiklah […]

  2. […] kepada banyaknya masalah sosial dalam masyarakat kita. Sebahagiannya telah pun disenaraikan di sini. Lihatlah, jika anda belum sedar betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini. Dan selidiklah […]

  3. […] juga kepada banyaknya masalah sosial dalam masyarakat kita. Sebahagiannya telah pun disenaraikan di sini. Lihatlah, jika anda belum sedar betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini. Dan selidiklah […]

Tinggalkan komen