1965 – 1977 Kanak2

Saya dilahirkan jam 11.30 malam di Kampung Blok C, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan. Hari ini Blok C Ampangan terletak di belakang Pasar Ampangan. Anak ke 7 dari 9 orang adik beradik, 2 lelaki dan 7 perempuan.

Ayah, Haji Abdullah bin Haji Hasan dahulu bekerja sebagai seorang tentera dan kemudiannya seorang kakitangan di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Sembilan sehinggalah ayah bersara pada tahun 1980 ketika saya dalam Tingkatan 3. Ayah berasal dari Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dilahirkan pada tahun 16/12/1925. Ayah kepada ayah bernama Haji Hasan bin Haji Muhammad berasal dari Kg. Kota Bento, Sungai Penuh, Kerinchi, Jambi, Sumatera, adalah seorang ulamak di kampung yang pernah tinggal dan belajar di Mekah selama 4 tahun. Apabila pulang ke Malaya dia menetap di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah dan disamping mengajar masyarakat, beliau mencari nafqah dengan menjadi tukang membina rumah. Walaupun saya tidak sempat bertemu dengan atuk, namun saya rasakan sifat atuk mengalir kepada ayah. Ayah seorang yang taat mengerjakan suruhan Allah swt, rajin beribadah, bangun awal dan rajin mengajar kami semasa kecil membaca Al-Quran setiap selepas Maghrib. Sifat yang sangat menonjol pada ayah ialah sifat tawadhuk dan mesra yang menghiasi dirinya. Mungkin dengan sifat ini, dia tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak saya terdengar sesiapa yang tidak senang dengannya. Ayah berkahwin dengan emak ketika ayah berumur 19 tahun, sama dengan umur saya ketika saya berkahwin. Di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, beliau bekerja sebagai pembantu perubatan yang sering masuk ke hutan merawat orang asli. Seingat saya, semasa kecil kami adik beradik jarang ke hospital kecuali bertemu doktor gigi manakala sakit yang lain dirawat oleh ayah sendiri samada diberi ubat, suntikan yang memang sentiasa tersedia di dalam beg perubatannya. Ayah tidak pandai memandu kereta apatah lagi memilikinya. Beliau memiliki skuter Lambretta untuk ke pejabat atau ke kampung. Kini ayah berumur 83 tahun, masih sihat dan kuat ingatan. Ketika berbual melayan tetamu yang datang ke rumah, beliau masih lagi dapat mengenang peristiwa-peristiwa yang telah lama berlaku dengan menyebut tarikh-tarikhnya sekali. Moga Allah swt mengganjari beliau dan meneguhkan iman dan takwanya.

Emak bernama Hajjah Puteh binti Hasan, kini berumur 78 tahun. Emak dilahirkan pada 30/10/1930 di Kukup, Pontian, Johor. Namun sejak dari kecil emak di bawa oleh ayah saudaranya ke Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan membesar di sana. Emak bertemu jodoh dengan ayah ketika berumur 14 tahun pada tahun 1944. Katanya, ayah berkahwin ketika itu antara lain ialah untuk mengelakkan diri dari dipilih oleh tentera Jepun menjadi buruh paksa di projek jalan keretapi maut di Segenting Kra. Lima adik beradik saya yang pertama Rafeah, Rabiah, Sharipah Zam, Muhammad dan Norehan dilahirkan di Kampung Juasseh, Kuala Pilah. Ketika ini ayah bekerja sebagai tentera dan sering dihantar bertugas di merata tempat termasuk Sarawak dan kembali hanya sekali sekala ke kampung. Emak membesarkan mereka dengan tekun, mengambil air dari perigi, memasak dengan dapur kayu bergerak malam dengan pelita. Hanya setelah ayah bertugas dengan Jabatan Orang Asli pada tahun 1961 dan berpindah ke Seremban, emak dan abah serta adik beradik dapat tinggal bersama dengan lebih kerap. Selepas itu 3 anak mereka yang terakhir, Norsham (1963), saya sendiri (1965) dan Siti Aidah (1969) dilahirkan kesemuanya di Seremban.

Kasih sayang dari emak dan ayah yang dicurah sejak kecil hingga ke hari ini banyak mencorak keperibadian saya. Emak seorang surirumah yang sangat tekun. Walaupun hanya bersekolah rendah dan terhenti kerana Perang Dunia Kedua meletus, namun kecerdasannya tinggi dan jiwanya besar. Emak rajin menulis surat ketika saya mula berjauhan untuk bersekolah asrama di MRSM Kuantan dan di Australia. Emak cepat belajar berbagai pengalaman dari sesiapa lalu beliau pandai memilih akar kayu, dicabut, dipotong dan dijual untuk dibuat air akar kayu. Emak pandai membuat kuih muih dan mengurut. Dalam satu pertandingan pada tahun 1978 sempena pembukaan Taman Paroi Jaya tempat kami tinggal, kuih bahulu yang dibuat oleh emak mendapat tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh Cikgu Safiah yang masuk bertanding dengan meminjam kuih bahulu yang juga dibuat oleh emak. Beliau mempunyai bakat dan semangat berniaga yang tinggi walaupun tidak menjadi peniaga tetap kerana sibuk membesarkan anak-anak. Bekalan kasih sayang yang dicurah oleh Mak masih terasa hingga ke hari ini. Oleh kerana ayah sibuk bekerja dengan kerajaan, beberapa kali emak memilih saya sendiri agar menemaninya ke Singapura untuk bertemu adik beradiknya yang kesemua mereka menetap di sana. Yang masih saya ingat ialah kami berdua ke Singapura ke rumah ibu kepada emak pada tahun 1971, setahun sebelum saya bersekolah. Semoga Allah mengganjari emak dengan Syurga FirdausNya yang kekal abadi dan tinggal bersama para Anbiyak, Syuhadak dan Solihin. Mereka adalah sebaik-baik teman di Akhirat nanti.

Saya belajar membaca Al-Quran dari ayah secara konsisten sejak kecil sehingga ke alam sekolah rendah. Kehidupan yang menonjol ketika saya kecil ialah kebebasan yang diberi oleh ayah dan emak dalam banyak perkara seperti bermain di mana sahaja tanpa disoal, belajar apa sahaja di sekolah tanpa ditanya walaupun tentang keputusan peperiksaan dan seumpamanya. Semasa di sekolah rendah, sering saya hairan kenapa ketika sedang seronok bermain dengan kawan-kawan tiba-tiba mereka dipanggil pulang dan ada yang didenda kerana mendapat keputusan peperiksaan yang tidak baik, sedang saya bebas bermain dan ayah hanya menandatangani Buku Lapuran Kemajuan Murid saya tanpa melihat markah-markah di dalamnya. Dalam peperiksaan akhir tahun di tingkatan 4, saya mendapat Top Ten dalam tingkatan. Oleh kerana MRSM Kuantan ketika itu setiap tahun menghantar puluhan pelajar cemerlang teratas ke Australia sebelum keputusan SPM, maka pihak MARA hanya menilai keputusan peperiksaan akhir tahun semasa di Tingkatan 4. Di rumah denga rasa gembira saya menunjukkan Kad Kemajuan kepada ayah untuk diteliti dan ditandatangani. Seperti yang diduga juga, ayah hanya tandatangan tanpa meneliti walaupun beberapa kali saya sebut di depannya bahawa dengan keputusan seperti ini saya hampir pasti terpilih ke Australia dalam bulan Disember 1982, sebelum keputusan SPM nanti.

Berkenaan dengan kebebasan dan keyakinan diri, saya masih ingat semasa kecil diawal sekolah rendah, saya keluar menaiki bas sendirian dari rumah ke Stesen Bas Seremban dan kemudian berjalan kaki jauh untuk ke sebelah utara bandar untuk memenuhi hasrat naik ke bangunan tertinggi di Seremban ketika itu iaitu Rumah Flat Lobak setinggi 13 tingkat yang penuh didiami oleh orang Cina. Membesar dengan kebebasan seperti ini banyak membentuk sifat keyakinan pada diri sendiri, keberanian dan berpandangan jauh dalam diri saya. Apabila remaja, saya tahu dan yakin ketika membuat keputusan yang besar, ayah dan emak tidak mungkin akan menghalang bahkan “tidak pandai untuk menghalang”. Ini termasuk keputusan untuk berkahwin awal ketika masih menuntut dan keputusan untuk terus belajar di bidang agama pula, walaupun telah mendapat ijazah dibidang kejuruteraan. Pada tahun 1985, selepas pinangan saya diterima, saya terus menelefon Mak dengan yakin dia tidak akan menghalang. “Mak, Halim cadang nak kahwin dalam bulan depan. Calun pun dah ada”, kata saya dari Brisbane melalui telefon. Emak menjawab ringkas, “Hantarlah gambar”. Secepat sebulan selepas itu, perkahwinan kami pun berlangsung. Begitu mudah dan cepat.

Kesan latarbelakang di atas kepada diri saya di dalam Jalan Dakwah ini ialah saya sering melihat matlamat jauh di hadapan dan berusaha keras mendapatkannya tanpa menghirau gangguan di sepanjang perjalanan. Demikian kesan membesar dengan penuh kebebasan dan keyakinan tanpa diganggu atau disekat. Dalam mencari Firdaus dan redha Pencipta swt yang jauh dengan melalui Jalan Dakwah yang berkat ini, segala permasalahan diri, hambatan keluarga, bekalan wang ringgit, kata mengata sanak saudara, iri hati manusia dan sebagainya adalah sangat kecil pada pandangan mereka yang ikhlas dan bersungguh mencarinya. Di Australia, untuk ke Mesir nanti, saya dan isteri hanya menggunakan biasiswa seorang sahaja (AUD326), manakala biasiswa seorang lagi (AUD326) disimpan untuk merealisasikan cita-cita yang murni itu walaupun kami suami isteri terpaksa menyewa rumah kayu yang paling murah dan tawadhuk di 58 Alpha Street, Taringa, Brisbane, Australia selama 2 tahun.

Setelah dilahir dan dibesarkan di Blok C, Ampangan, Seremban beberapa ketika, keluarga berpindah untuk menyewa rumah di 50/162, Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Di rumah tersebut adik bongsu saya, Siti Aidah dilahirkan pada tahun 1969. Kami kemudiannya berpindah ke rumah di sebelah beralamat 49/162, Gedung Lalang, Ampangan, Seremban. Pada tahun 1977, ayah membeli rumah di Taman Paroi Jaya, Paroi, Seremban yang baru dibangunkan. Walaupun baru darjah (tahun) 6, ketika mengikuti ayah ke lokasi pemaju perumahan, ayah menyerahkan kepada saya untuk memilih lot rumah mana yang hendak dibeli. Dengan melihat pelan induk perumahan, saya menunjukkan dengan jari ke lot rumah bernombor 177 ! Hari ini rumah yang kami adik beradik diami sejak tahun 1977 adalah beralamat 177, Jalan Nuri, Taman Paroi Jaya, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.

Berdasarkan sedikit pengalaman hidup di atas, pengajaran buat saya dan teman boleh disimpulkan seperti berikut :

  1. Berikan sepenuh kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada anak-anak. Hendaklah setiap anak merasakan dia paling disayangi oleh kita, tanpa pilih kasih.
  2. Kestabilan dan keharmohian ayah dan ibu menyemai kestabilan dan keyakinan di diri anak. Sebaliknya kecelaruan rumahtangga dan perceraian akan membunuh keyakinan dan kestabilan perasaan dalam diri anak.
  3. Berikan kebebasan yang sewajarnya kepada anak-anak. Mengadakan terlalu banyak sekatan kepada anak-anak akan menjadikannya pak turut dan pengikut di belakang orang lain tanpa mampu dan tidak yakin menjadi pembimbing dan pemimpin kepada umat sejagat. Diantara kebebasan tersebut termasuklah kebebasan memberi pandangan, membela diri, menyusun rumah, menghias halaman, keluar menziarahi teman-teman seperjuangannya, berkahwin semasa masih belajar pra-ijazah dll. Diantara kebebasan yang harus dikawal ialah kebebasan memilih kawan (dikhuatiri jahat), memilih sekolah (dikhuatiri tiada tarbiyah di sana), membeli buku/majallah bacaan (dikhuatiri kotor) dll.
  4. Belajar membezakan mana satu perkara kecil dan mana satu perkara besar. Diantara perkara besar ialah perjuangan Ideologi dan memenangkannya mengatasi ideologi-ideologi batil. Diantara perkara remeh ialah permasalahan rutin harian rumahtangga dan pejabat, walau sebesar mana habuan gaji yang kita dapat. Oleh itu contohnya kerenah anak isteri tidak harus menjadi sebab dia tidak boleh pergi program atau mesyuarat bersama teman-teman seperjuangannya.

(bersambung …)

Satu Respons

  1. Jzk dan alhamdullilah.

Tinggalkan komen