Ustaz Dr. Ali Abdul Halim Mahmud
Inna lillahi wa inna ilaihi raji’uun. Bagi para Duat, khususnya yang melalui tarbiyah harakiah dalam hidupnya, samada ditarbiyah atau mentarbiyah, “7-Wasail Tarbiyah IM” yang terkenal adalah suatu yang tidak asing lagi, bahkan sentiasa menjadi buah mulut dalam diari peribadinya, perbualan, perancangan dan tindakan. Kelmarin Isnin 10/3/2014, pengarang kepada tajuk “7-Wasail Tarbiyah” yang terkenal itu, Ustaz Dr Ali Abdul Halim Mahmud, kembali ke rahmatullah setelah mewaqafkan seluruh hidupnya untuk perjuangan mengembalikan keagungan Islam di bumi ini. Jenazah beliau telah selamat dikebumikan pada waktu Zuhur. Moga Allah swt merahmati beliau dan memasukkan Al-Marhum di Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin.
Al-Marhum dilahirkan di daerah Tahta, negeri Sohag, Mesir pada tahun 1928. Beliau menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar dan bergabung dengan dakwah Ikhwan Muslimin di usia yang muda dengan dididik sendiri oleh Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna. Beliau juga melalui penindasan, kezaliman dan pengusiran oleh pemerintah kuku besi dan kerajaan Tentera Mesir khususnya pada tahun-tahun 1960 an, namun seluruh hidupnya dicurahkan demi memberi khidmat kepada Dakwah ini di dalam dan di luar Mesir.
Disamping meninggalkan keluarga, sahabat dan umat tersayang, beliau kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan 56 jodol buku berkaitan dengan aspek tarbiyah jemaah Ikhwan Muslimin.
Setelah ditulis berdekad lalu, “7-Wasilah Tarbiyah” sering juga disebut dengan versi berbeza oleh penceramah yang berbagai. Maka di saat ini saya membuka sebentar untuk ikhwah dan akhawat menatap “7-Wasilah Tarbiyah” yang asal yang Al-Marhum gariskan.
Wasail (wasilah-wasilah) Tarbiyah pada Ikhwan Muslimin :
- Usrah
- Katibah
- Rehlah
- Mukhayyam (Muaskar)
- Daurah
- Nadwah
- Muktamar
Di dalam dakwah kita, tarbiyah mendapat tempat dan keutamaan yang pertama berbanding aspek-aspek yang lain. Ia bukan sahaja bermakna kita di tarbiyah, bahkan peranan kita yang penting juga adalah mentarbiyah masyarakat Islam hari ini ke arah menghayati Islam yang sahih dan senebar didalam seluruh kehidupan mereka dan disemua aspek ruh atau jiwa, akal atau pemikiran dan amalan atau jihad. Hanya dengan cara itu akan terbentuk Masyarakat Islam yang akan menjadi asas dan inti kepada Daulah Islamiyah yang kita cita-citakan.
Sememangnya jalan perbaikan (islah) yang paling utama dan ideal adalah jalan mendidik individu-individu selari dengan manhaj dan sistem Islam. Bersama dengan mereka yang terdidik dan ditarbiyah lah kita akan sampai ke matlamat Dakwah.
Dakwah kita adalah bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, didokong oleh seerah para Sahabat dan Tabien, dibimbing oleh teladan Nabi saw yang maksum serta sejarah para Mujaddid yang saleh dari kalangan tokoh-tokoh Islam disepanjang sejarah.
Wujudnya kepelbagaian wasilah didalam tarbiyah kita menegaskan kepentingan kesyumulan dan takamul (saling menyempurnakan) dalam mendidik seseorang insan Muslim.
Moga Allah swt memberi taufiq dan petunjukNya kepada kita didalam mengharungi perjuangan menegakkan kembali Islam di tanahair dan dunia di zaman pertarungan paling sengit ini, dengan melalui jalan Tarbiyah seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan diungkapkan dalam penulisan Al-Marhum Ustaz Dr Ali Abdul Halim Mahmud.
“Milik ALlah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu (makhluk) ada ajal (tempoh tertentu) di sisiNya …” (Hadis Takziah).
Ustaz Halim www.inijalanku.wp.com
Filed under: Uncategorized |
Tinggalkan Jawapan