Layanlah Sek Agama Rakyat lebih adil

Sekolah Agama Rakyat perlu layanan lebih adil

KUALA LUMPUR 2 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta kerajaan supaya memberikan layanan setaraf dan adil kepada seluruh Sekolah Agama Rakyat (SAR), sama seperti yang dilakukan terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pada masa ini kerajaan telah memberikan bantuan yang begitu banyak kepada SJK sehingga berbilion ringgit hanya untuk membayar gaji gurunya sahaja sambil pada masa sama berterusan memberi bantuan prasarana dan kuasa autonomi.

Sedangkan jelas beliau, SJK itu pada hakikatnya bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan tetapi tetap diizinkan demi menjaga kepentingan dan keharmonian kaum di negara ini.

Bantuan kepada SJK itu selama ini langsung tidak dipertikaikan oleh orang Melayu termasuk Perkasa.

Bagaimanapun, tegas beliau, berbanding SAR, kerajaan telah mengenakan pelbagai syarat bagi membolehkan bantuan penuh diberikan, walhal penubuhannya adalah selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kepentingan dan hak istimewa Melayu dan agama Islam.

“Memang kerajaan menyalurkan bantuan yang tidak sedikit kepada SAR tetapi hanya layak untuk terima bantuan penuh jika berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan sebaliknya jika tidak, hanya layak mendapat bantuan per kapita yang tidak mencukupi.

“Perkasa mencadangkan supaya SAR dibantu sama ada mendaftar atau tidak dengan kementerian, sama seperti yang dilakukan terhadap SJK.

“Jika mahu letak syarat cukuplah dengan meminta pengurusan SAR supaya telus dengan benarkan pegawai kementerian melawat bagi memastikan segala wang yang disalurkan digunakan dengan telus dan tidak membenarkan sekolah mereka dijadikan gelanggang politik mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel Meletakkan Agenda Melayu Dalam Model Ekonomi Baru anjuran Perkasa di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, pada masa ini kerajaan telah memperuntukkan RM173 juta setahun bagi membayar gaji guru-guru SJK.

Daripada jumlah itu, antara RM63 juta dan RM70 juta diperuntukkan kepada SJK Tamil dengan jumlah terkumpul sehingga kini ialah RM1.8 bilion.

“Perkara ini langsung tidak dipertikaikan oleh Perkasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu lain tetapi apabila kita bercakap mengenai kepentingan Melayu dan bumiputera, terus dituduh sebagai rasis sedangkan kita memperjuangkan hak yang telah sedia ada.

“Soalnya kita lihat SJK begitu bebas sekali dan mempunyai kuasa autonomi, mereka dapat bantuan demi bantuan, manakala SAR pula banyak pula syarat dikenakan untuk diberikan bantuan oleh kerajaan.

“Berilah sama adil kepada SAR sama seperti layanan baik kepada SJK, buktikan keprihatinan kerajaan melalui gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Satu Respons

  1. begitulah pemerintah kita tidak peduli dalam masalah ini.
    Sy buat pendaftaran SAR kpd Jahins dah 6 bulan tidak ada keputusan. macam mana nak buat urusan kewangan kalau tak ada kelulusan dari pihak berkuasa.masa depan anak anak islam terbiar tanpa pembelaan dari penguasa penguasa Islam sendiri. Lihatlah kami dikawasan pendalaman sabah.

Tinggalkan komen