Pengasas AL-ARQAM, Ustaz Ashaari ke rahmatullah

<Update (II) Ahad 16.5.2010, link fatwa, foto-foto lama> Jam 2.10 pm tadi Ustaz Ashaari Muhammad, 73 tahun, pengasas gerakan Al-Arqam (1968 – 1994) meninggal dunia di Ipoh Specialist Centre kerana jangkitan paru-paru. Innalillahi wainna ilaihi raji’uun (Kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali). Beliau dikebumikan di tempat asalnya, Kg. Pilin, Rembau, Negeri Sembilan. Menghargai sumbangan besar beliau kepada Dakwah Islam di Malaysia khususnya pada tahun-tahun 1970an, saya pergi ke tempat pengkebumiannya sebentar tadi. Walaupun Kg. Pilin terletak jauh di pendalaman Rembau, namun ratusan manusia yang datang ketika jenazah dikebumikan jam 10.00 malam tersebut menunjukkan jasa Al-Marhum tetap dikenang ramai manusia walau diakhir perjuangannya, Al-Marhum dan jemaahnya melalui fasa getir dan sukar terutama selepas pengharaman Al-Arqam tahun 1994 oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Hari (Akhirat) yang tiada guna lagi harta dan anak pinak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran). Foto : Kubur Us Ashaari yang dikebumikan malam tadi.

Di tahun 1980 (ketika di tingkatan 3 MRSM Kuantan), seperti ramai masyarakat Islam di Malaysia, saya banyak mendapat kesan Islamik dari dakwah Al-Arqam yang diasaskan oleh Ustaz Ashaari berslogan “Bergembiralah dengan Al-Quran dan As-Sunnah”, satu istilah yang biasa di dalam Fiqh Islam tetapi asing dalam masyarakat Melayu Islam ketika itu. (Foto : Saya dimalam pengekebumian Us Ashaari di Kg Pilin, Rembau, Negeri Sembilan, kampung asal Al-Marhum. Kubur Us Ashaari di depan orang yang berserban putih).

Gerakan Al-Arqam 1970an

Al-Arqam di era 1970an. Ustaz Ashaari duduk di tengah-tengah. Ketika ini hanya slogan “Al-Quran dan As-Sunnah” sahaja yang kedengaran. Belum ada slogan “Imam Mahdi – Syeikh Suhaimi”, “Pemuda Bani Tamim” dan sebagainya seperti di tahun-tahun 1990an.

Gerakan Al-Arqam bermula dengan 12 orang pada tahun 1968. Bilangan ahlinya mencapai 3000 orang pada tahun 1980. Pada tahun-tahun 1990an bilangan anggotanya dipercayai mencapai 10,000 orang atau seingat saya 6,000 keluarga seperti yang disebut di dalam salah satu buku terbitannya. Saya mula mengenali gerakan dan menghadiri kursus-kursus anjuran Al-Arqam sejak di tingkatan tiga, tahun 1980. Ketika itu slogan Al-Arqam ialah “Bergembiralah dengan Al-Quran dan As-Sunnah”. Ketika itu isu yang mengaitkan Al-Arqam dengan ajaran sesat, pegangan Aurad Muhammadiah, Imam Mahdi Asy-Syeikh Suhaimi dan seumpamanya belum tersebar. Dalam suasana penghayatan Islam dikalangan rakyat Malaysia masih baru, tidak ramai yang bertudung, bahkan ketika itu siapa yang mula bertudung digelar “hantu kongkong”, “ninja”, “dakwah songsang” dan sebagainya, kemunculan ribuan ahli gerakan Al-Arqam di tengah-tengah masyarakat dengan imej serban, jubah dan purdah memberi nafas baru kepada usaha-usaha kembali kepada agama Allah swt. Imej dan risalah “Islam Yang Syumul (Menyeluruh)” dikuatkan lagi dengan penonjolan Islam bersepadu melalui produk media seperti kaset-kaset ceramah 3-jam Us Ashaari seperti “Keindahan Islam”, “Hakikat Iman” yang tidak jemu-jemu saya dengar 6 atau 9 jam berulang kali, akhbar Al-Arqam, risalah Fardhu Ain, kaset dan persembahan nasyid Islam kumpulan Al-Arqam seperti Nada Murni, The Zikr pimpinan Al-Marhum Asri Rabbani, penghasilan produk makanan halal seperti mee, kicap, sos dsb yang ketika itu rata-rata umat Islam bergantung kepada kilang bukan-Islam. Ramai tentunya masih ingat Klinik Bersalin Al-Arqam di Desa Minang, Gombak, yang merupakan klinik pertama anjuran gerakan Islam di Malaysia beridentitikan doktor dan jururawat berpurdah dan berjubah putih, mengazankan bayi di telinga kanan dan mengqamatkannya di telinga kiri.

Dari jalan besar Rembau – Tampin, Kg. Pilin masuk kira-kira 10-15 km ke hulu pendalaman kampung.

Foto ini saya ambil sebaik saya tiba di Kg. Pilin. Walaupun di pendalaman, hampir seribu manusia membanjiri Kg. Pilin memberikan penghormatan terakhir kepada Al-Marhum Ashaari Muhammad, pengasas gerakan Al-Arqam (1968-1994).

Zaman Kemuncak Dakwah (I) di Malaysia (1981-1982)

Mereka yang berumur 40an seperti saya, 50an dan 60an yang terlibat dalam gerakan Islam di Malaysia hari ini akan bersetuju dengan saya jika dikatakan bahawa dakwah dan kesedaran Islam di Malaysia mendapat momentum besar di tahun-tahun 1970an diantaranya melalui usaha dan pimpinan Ustaz Hadi dalam PAS, Anwar Ibrahim dalam ABIM, Ustaz Ashaari dalam Al-Arqam serta lain-lain individu dan badan Islam. Momentum ini mencapai kemuncaknya pada tahun-tahun 1981-82. Kebetulan ketika itu saya di tingkatan 4 dan 5, umur yang penuh idealisme dan aktivisma. Saya tidak puas-puas menghadiri “Kursus-kursus Kefahaman Islam” anjuran badan-badan berkenaan dan membawa masuk apa yang saya perolehi di sana, masuk ke dalam MRSM Kuantan seperti kaset, buku, kicap, sos, kayu sugi, ubat gigi halal (ketika itu Colgate disyaki ada minyak babi) dan lain-lain. Di tahun-tahun tersebut juga, “Revolusi Tudung” tersebar dengan pesatnya di seluruh pelusuk negara. Di MRSM Kuantan ketika saya di tingkatan 1 (1978) dari kira-kira 300 pelajar wanita, hanya sekitar 20 orang memakai tudung, tetapi ketika saya di tingkatan 5 (1982) hampir 90% pelajar wanita memakainya. Hatta (hinggakan) pelajar yang tidak memakai tudung menukar fesyen pakaian sekolahnya dari blouse kepada baju kurung.

Bertemu kenalan lama, En. Jailani Jasmani di upacara pengekebumian Ustaz Ashaari. Beliau sezaman saya ketika menuntut di Australia (1983-1988). Beliau adalah diantara pimpinan Al-Arqam Australia, berpusat di Perth, manakala saya bergerak di dalam AFMSA (Australia Federation of Muslim Student Association – gabungan semua Muslim Student Association di universiti-universiti seAustralia). Sebaik pengharaman Al-Arqam tahun 1994, En. Jailani diantara 11 orang pertama ditangkap dibawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Beliau dibebaskan 2 bulan selepasnya dan dikenakan tahanan dalam daerah selama 4 tahun. Ustaz Ashaari dikebumikan di tanah perkuburan di belakang Surau Kg. Pilin yang kelihatan di belakang kami.

Saya masih ingat ketika musim-musim cuti sekolah panjang akhir tahun 1981 (tingkatan 4) dan 1982 (tingkatan 5), saya meminta duit dari ayah saya di Seremban untuk menaiki bas bersambung bas ke Perkampungan Islam Al-Arqam, Sg Pencala, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kursus Kefahaman Islam anjuran Al-Arqam, juga ke Jeram, Selangor anjuran Balai Dakwah Islamiyah (Ustaz Sahar – Ustaz Amin – Ustaz Nasoha) dan berbagai kursus Islam lagi. Ketika mana pemakaian tudung masih pelik dan asing di Malaysia, menghadiri kursus Islam seperti itu selama beberapa hari di tengah-tengah ribuan peserta yang memakai serban, jubah, purdah, menjamu hidangan mee buatan kilang Islam, bersugi, berzikir munajat pimpinan Asri Rabbani, mendengar ceramah-ceramah 3-jam Ustaz Ashaari, diajari tidur secara sunnah, bangun berqiyamullail bersama, mandi air perigi beramai-ramai dan sebagainya memberikan suntikan semangat Islam yang kuat dan luar biasa terutama kepada mereka  yang berada diumur belasan tahun seperti saya ketika itu.

Di musim persekolahan pula, saya sering menghadiri “Tamrin” atau Kursus Kefahaman Islam anjuran PKPIM/ABIM. Terima kasih kepada Al-Marhum Ustaz Mokhtar MRSM Kuantan yang sering membawa saya ke program-program berkenaan termasuk ke markaz ABIM Kuantan yang ketika itu masih dalam pembinaan. Dari masa ke semasa ceramah pidato 1-jam Ustaz Hadi Awang (kini Presiden PAS) dizaman itu dihadiri puluhan ribu orang memberikan kefahaman sahih dan semangat perjuangan yang tinggi kepada para pemuda pemudi termasuklah saya sendiri. Itu kisah 30 tahun yang lalu. Saya rasa tiadanya tokoh-tokoh seperti Ustaz Hadi dan Ustaz Ashaari berpidato hebat seperti zaman muda mereka dahulu adalah satu kekurangan dalam membina jiwa pemuda pemudi generasi 2010an pada hari ini. Memang usrah dan qiyamullail memberikan kefahaman dan kekuatan ruh untuk beramal dakwah, namun mendengar pidato dapat membangkitkan semangat dan keberanian dalam berdepan dengan apa sahaja rintangan dan godaan demi mencapai matlamat perjuangan yang telah diimani oleh hati nurani.

Zaman Keliru (1982-1998)

Saya rasa jika momentum 3-serangkai Ustaz Hadi/PAS – Anwar Ibrahim/ABIM – Ustaz Ashaari/Al-Arqam ketika itu berterusan sedekad dua lagi, tanpa berlaku permasalahan diaspek aqidah dan fikrah seperti yang berlaku pada gerakan Al-Arqam ditahun-tahun 1990an, Malaysia yang akan dibentuk dan dihasilkan adalah tidak sama seperti hari ini. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Pada tahun 1982, ketika saya di tingkatan 5 dan sebelum ke Australia, Mahathir/UMNO yang baru menjadi Perdana Menteri (1981) berjaya memikat Anwar untuk meninggalkan ABIM untuk berjuang bersama beliau didalam UMNO (1982). Sejak tahun (1982) bersejarah itu sehingga kehari ini, berlaku ketidaktentuan halatuju bukan sahaja dikalangan gerakan-gerakan Islam, bahkan juga dikalangan umum umat Islam di Malaysia. Pada 1985, apabila polis kerajaan dibawah UMNO membunuh Ustaz Ibrahim Libya PAS bersama 13 pendokong-pendokongnya di Peristiwa Memali, Baling, Kedah, umat terpinga-pinga tidak mudah membuat pendirian terhadap tragedi tersebut kerana Anwar yang dianggap Islamik berada didalam UMNO. Sepanjang Anwar didalam UMNO, ramai ahli ABIM turut mendokong UMNO dan menjauhi PAS hinggalah mereka masuk PKR apabila Anwar dipecat dari UMNO tahun 1998, 16 tahun selepas itu. Dalam zaman keliru seperti ini, Ustaz Ashaari yang pernah menjadi AJK PAS Selangor dan Ketua Dakwah ABIM Wilayah Persekutuan, serta jemaah Al-Arqam sendiri mula menjauhkan diri dari PAS dan ABIM lalu celupan tarikat Aurad Muhammadiah, kepercayaan kepada Imam Mahdi adalah Syeikh As-Suhaimi – pengasas tarikat tersebut, Majlis Yaqazah (Nabi saw didakwa turut hadir), Pemuda Bani Tamim dsb. semakin menebal kedalam ideologi gerakan tersebut dari hari kesehari, tahun demi tahun, siap untuk difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994, lalu siap untuk dikenakan cubaan pukulan maut oleh pihak berwajib pada tahun yang sama.

Zaman Alaf Baru

Hari ini, yang masih seperti tahun-tahun 1981-82 dulu  ialah Ustaz Hadi di dalam PAS. Adapun “players” tahun-tahun 1970an selain Ustaz Hadi seperti Anwar Ibrahim, beliau melepaskan ABIM (1982), Mahathir pula terpaksa melepaskan jawatan dalam UMNO kesan kebangkitan Reformasi 1998 dan prestasi terburuk UMNO dalam Pilihanraya 1999 manakala gerakan Al-Arqam Ustaz Ashaari diharamkan dan berkubur tahun 1994, diganti dengan versi baru “Rufaqak” (juga telah difatwakan haram), kemudian “Global Ikhwan” pada hari ini.

Tanpa disedari Zaman Keliru 16 tahun (1982-1998) telah berlalu dengan cepat, tidak menunggu samada gerakan atau umat Islam keliru atau tidak, lahir pula generasi-generasi Melayu baru, timbul gejala-gejala sosial parah yang tidak pernah berlaku sebelumnya dan sekronik hari ini seperti kelahiran puluhan ribu anak haram Melayu, sumbang mahram, rempit, rasuah jutaan bahkan bilion ringgit, curang, materialistik, cinta dan berlumba untuk dunia dan sebagainya. Jika dulu umat Melayu cukup dihibur dengan lagu dan filem P.Ramlee, akan tetapi sepanjang tempoh Zaman Keliru 16 tahun hingga kehari ini, kesempatan yang digunakan sebaik mungkin oleh pihak-pihak tertentu telah mencapai tahap merekrut generasi sosial dan hedonisma melalui pelbagai produk rancangan seperti Akademi Fantasia, Anugerah Juara Lagu dan seumpamanya.

Al-Arqam adalah pelopor Kesenian Islam di Malaysia sebagai salah satu wasilah Dakwah yang berkesan kepada golongan-golongan tertentu dan sebagai senjata alternatif dalam berdepan dengan serangan hiburan-hiburan Melayu ala Barat yang menjelek dan merosakkan . Foto: Penasyid-penasyid utama Al-Arqam, Al-Marhum Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani dan dikanan beliau Munif Ahmad, vokalis kumpulan Hijjaz hari ini. Mereka ber”pakaian Al-Arqam”. Ketika itu alat muzik yang dianggap Islamik ialah gendang dan seumpamanya.

Diantara foto terakhir Ustaz Ashaari Muhammad, pengasas gerakan Al-Arqam. Setelah keluar hukuman ISA (Internal Security Act), mulut Ustaz Ashaari tidak boleh bertutur sehingga ke akhir hayatnya. Beliau hanya menggunakan bahasa isyarat, dikatakan hanya difahami oleh Hatijah Aam, isteri beliau.

Diantara sumbangan Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad kepada umat Islam di Malaysia khususnya  ialah :

  1. Al-Marhum berdiri teguh di hadapan dalam menghadapi serangan Budaya Barat yang melanda umat dan merubah identiti Islam mereka sejak sekian lama. Ini beliau lakukan secara amali dengan membentuk gerakan Al-Arqam yang cuba memaparkan Islam secara menyeluruh disetiap aspek kehidupan seperti pakaian menutup aurat, produk makanan Islam, ekonomi, media, hiburan dll.
  2. Al-Marhum memberi nafas baru dan keyakinan kepada umat Islam bahawa mereka boleh menjana ekonomi, berdikari dan berjaya dalam skala yang besar (Group of Companies), asalkan mereka mempunyai penghayatan Islam yang baik, zuhud dan bekerja didalam team group (berjemaah).
  3. Al-Marhum menjadikan jemaah Al-Arqam sebagai jemaah pertama di Malaysia yang berjaya menonjolkan Kesenian Islam (nasyid kumpulan Nada Murni, sajak dsb) sebagai salah satu wasilah dakwah yang meluas, bersepadu dan berkesan.
  4. Al-Marhum dan jemaah Al-Arqam cuba mempraktikkan amalan poligami secara kolektif (berjemaah) sebagai salah satu usaha menangani aspek sosial seperti yang diketengahkan oleh Islam.
  5. Al-Marhum melalui jemaah Al-Arqam berjaya didalam penghasilan produk media sebagai salah satu wasilah (cara) dakwah terpenting seperti akhbar Al-Arqam, majallah-majallah Anis, Asuh, An-Nasihah dan lain-lain. Majallah yang dihasikan sangat bermutu tinggi di segi bahan dan seninya. Diaspek ini juga Al-Marhum berjaya menggerakkan ahli-ahlinya, dewasa dan kanak-kanak berdakwah dan berniaga dengan cara mengedarkan majallah secara langsung di stesen-stesen bas, kompleks perniagaan dan di tempat-tempat awam. Segelintir manusia menuduh ianya satu bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak. Saya melihatnya sebagai satu kekuatan. Kekuatan mendidik ahli bergerak dan teguh bertemu orang ramai, berdakwah dengan usaha amali (pengedaran secara langsung), tanpa menggunakan kata-kata. Tidak seperti ceramah yang mampu dilakukan oleh sebahagian ahli, cara jualan majallah secara langsung di tempat-tempat orang ramai boleh dimainkan oleh semua ahli yang komited dan separa-komited, disamping ia dapat menjana ekonomi untuk Dakwah.
  6. Al-Marhum mendidik dan menghasilkan pengikut yang tajarrud (penyerahan diri yang bulat dan total), berjuang habis-habisan demi mencapai matlamat Dakwah yang digariskan oleh pimpinan, tanpa mengharap ganjaran dunia yang lumayan. Mereka menyumbang kepada jemaah, hidup berpoligami dalam kesederhanaan, sebahagian besar bekerja sepenuh masa untuk Al-Arqam dengan mendapat gaji berupa kupon-kupon Al-Arqam guna membeli makan minum hanya di kedai-kedai Al-Arqam untuk sara hidup diri dan anak isteri mereka.

Saya hanya memaparkan sumbangan-sumbangan positif Al-Marhum untuk dicontohi dimana yang baik oleh para Duat hari ini dan esok. Adapun isu-isu kontroversi Al-Marhum dan jemaah Al-Arqam yang ramai sedia maklum, memadai rasanya para pelawat budiman sekelian melawat link-link yang kami paparkan dalam posting ini seperti tulisan Dr Farahwahida, University Malaya dan link-link di atas. Moga Allah swt memelihara kita dari tipudaya musuh Islam, Syaitan, nafsu dan kejahilan.

Semoga Allah swt merahmati Al-Marhum, mengampuni dosa-dosanya, menerima taubatnya, memberkati amalan dan sumbangannya kepada umat Islam dan ditempatkan di Syurga bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin. Merekalah sebaik-baik teman disana nanti.

Ustaz Halim  www.inijalanku.wordpress.com

 

 

 

 

 

Sebahagian jawapan ustaz Ashaari Muhammad kepada isu-isu terkini (dari blog http://www.malaysiaheaven.com) :
Kenali1_2
“Dalam persoalan apakah cita-cita saya yang sebenarnya elok juga saya ceritakan di sini. Cita-cita saya ialah untuk mencipta bangsa Melayu yang kuat dan berdaulat melalui ekonomi yang menjadikan Islam sebagai resepi kejayaannya. Nak perkasakan bangsa melalui ekonomi Islam. Saya dah buktikan melalui Rufaqa Tetapi kenapa kebenaran ini disalah tafsir? Saya lebih suka kalau di antara mereka yang keliru datang bertanya langsung kepada saya bukannya menuduh, mengugut dan menekan saya serta cuba membunuh perniagaan saya. Elok tirulah cara SB melayan saya.
Pemikiran yang mengatakan saya cuba menghidupkan Arqam adalah menyimpang sekali. Apa yang sebenarnya berlaku ialah membangunkan Islam melalaui ekonomi. Sewaktu saya sampai di Bandar Country Homes dahulu satu kedai Melayu pun tidak ada. Nak beli beras pun terpaksa ke kedai Cina. Sebagai seorang Melayu beragama Islam, saya rasa tercabar. Mengapa melalui Islam kita tidak boleh maju. Akhirnya saya bertekad untuk menebus maruah ini dan membuktikan bahawa orang Melayu akan gemilang melalui Islam.
Kalau di dalam Arqam dahulu saya hanya menumpukan operasi di kampung pendalaman, tetapi sekarang Rufaqa membangunkan ekonomi di tengah-tengah bandar. Bersaing secara sihat dengan bangsa lain yang jauh lebih maju ke depan berbanding dengan bangsa Melayu. Walaupun berbagai halangan dan rintangan yang terpaksa saya lalui tapi saya masih boleh bertahan hingga sekarang dengan izin Allah. Saya rasa masyarakat tidak sepatutnya sangsi dengan saya dan Rufaqa tetapi gembira dan bangga dengan pencapaian ini.
Kalau saya katakan saya tidak berniat untuk menghidupkan Arqam, orang-orang yang tidak senang dengan saya dan menuduh saya cuba hidupkan Arqam takkan percaya. Niat itu dalam hati, siapa pun tak tahu, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Tapi saya boleh buktikan secara lahirnya dengan alasan berikut:
1.Setelah Arqam diharamkan saya telah menubuhkan Rufaqa Corporation Sdn Bhd (T.426782-V) yang di daftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Sedangkan Arqam dahulu adalah sebuah badan dakwah dan tidak di daftarkan. Rufaqa ditubuhkan pada tahun 1997 hanyalah untuk tujuan perniagaan semata- semata.
2. Dari segi identiti Al Arqam, kalau dahulu dikenali dengan jubah, serban dan purdah tapi sekarang sudah tidak ada lagi. Semuanya berpakaian sama seperti masyarakat umum.
3. Sejak saya memulakan perniagaan Rufaqa, setiap minggu saya melaporkan diri kepada pihak polis. Setiap aktiviti harian dan aktiviti perniagaan saya laporkan kepada pihak keselamatan. Saya maklumkan kepada mereka oleh kerana keluarga saya besar, saya perlu berniaga dengan memulakan sebuah pasaraya, klinik , café dan lain-lain bertujuan untuk menampung keperluan sebuah keluarga besar.
4. Sejak Arqam diharamkan banyak bekas-bekas ahli Arqam yang hilang pekerjaan. Mereka tidak ada sumber pendapatan. Sedangkan pihak Jakim pernah menjanjikan pekerjaaan kepada bekas-bekas Arqam untuk memulakan hidup baru. Tetapi tidak ada nampaknya. Apabila saya menubuhkan Rufaqa Corporation mereka datang untuk meminta kerja. Sebelum ini saya pernah ambil orang-orang lain untuk bekerja termasuk pekerja asing tetapi susah untuk di disiplinkan. Terutama dari segi kejujuran dan amanah.Lebih-lebih lagi saya masih dalam tahanan, pergerakan saya terhad untuk memantau semua staff saya. Malah semua nama staff saya dari kalangan bekas Arqam telah saya laporkan kepada pihak keselamatan.
5. Saya tidak pernah mengusahakan untuk hidupkan kembali Arqam. Malah kalau pihak berkuasa menyuruh saya hidupkan kembali pun saya tidak mahu. Saya sudah serik dengan cara Arqam. Orang-orang di dalamnya dahulu banyak yang ada kepentingan. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan melalui ISA saya telah diproses ke arus perdana hingga berjaya membangunkan sebuah syarikat. Jangan salah ertikan membangunkan sebuah syarikat perniagaan dengan menghidupkan semula Arqam. Selama ini yang menjaga kami dan sentiasa berhubung dengan kami ialah pihak keselamatan bukannya pihak Jakim. Apabila Rufaqa makin maju dan membesar timbullah isu bahawa saya nak hidupkan Arqam. Sedangkan kerajaan minta orang Melayu kuatkan ekonomi. Bila ekonomi saya makin berkembang dituduh ada agenda hidupkan Arqam. Sedangkan Arqam bagi saya hanyalah tinggal kenangan. Pihak keselamatan sangat tahu segala aktiviti saya selama ini. Saya sentiasa memberi laporan perkembangan perniagaan saya samada di dalam maupun di luar negara.
6. Berkaitan dengan isu Aurad Muhammadiah, telah banyak kali saya berikrar di hadapan KKDN dan jakim bahawa saya sudah meninggalkan dan tidak mengamalkan ajaran itu lagi. Malah semua ahli keluarga dan staff syarikat saya juga tidak mengamalkannya. Saya juga tidak pernah memasukkan dalam senarai aktiviti saya usaha untuk mengembangkan Aurad Muhammadiah. Malah kalau di lihat kepada senarai tajuk-tajuk motivasi yang di berikan kepada staff saya melalui Pusat Motivasi Harmoni tidak ada satu pun tajuk menggenai Aurad Muhammadiah. Tajuk yang utama ialah Solat membina Peribadi Agung, Membina Keluarga Bahagia dan sebagainya.
Selama 10 tahun diproses melalui ISA saya cukup faham kehendak kerajaan dan menjadi dasar saya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 berkaitan dengan isu ini. Ini adalah dasar saya dan dasar Rufaqa. Namun apabila Rufaqa sudah semakin berkembang dan bilangan staffnya makin ramai saya sudah tidak mampu untuk mengawal dan mengenal pasti amalan masing-masing. Kalaupun masih ada yang mengamalkannya itu adalah atas dasar individu dan bukannya menjadi dasar syarikat. Takkanlah kerana kesalahan individu seluruh syarikat menjadi mangsa. Kalaulah ada sorang staff syarikat yang membuat kesalahan mencuri misalnya, takkanlah seluruh syarikat nak ditutup.Ini tidak adil dan menganiaya. Patutnya hukumlah yang bersalah itu sahaja bukannya kesemua sekali.
7. Dalam hal ini kalau saya kata saya amalkan atau tidak amalkan kedua-duanya tidak boleh dibuktikan kerana ia soal amalan hati. Kalau saya kata tidak pun, orang tak percaya. Tetapi kalau saya kata saya amalkan seperti yang sesetengah pihak dakwa, itu bererti saya menganiaya diri saya. Dalam hal ini saya pun tidak boleh nak buktikan yang saya tidak amalkan dan mereka yang menuduh saya amalkan pun tidak boleh membuktikan yang saya masih amalkan. Kalau ianya berkaitan dengan amalan lahir seperti solat, boleh dilihat dengan mata lahir dan boleh dibuktikan, tapi ini amalan hati, macam mana nak buktikan. Saya dituduh dan dihukum di atas satu perkara yang berlaku dalam hati, yang tidak boleh dilihat dan dibuktikan secara lahir….”

42 Respons

  1. tak habis lagi artikel nye ye ustaz?

  2. salam ustaz,

    tak habis lagi ni….

  3. saya hormat dgn cara2 yg dibawa utk memajukan islam berbeza dgn ustat la nie yg hanya penting poket diri sendiri

  4. PENING!!! abu uswah, abu uswah,
    tambah pening lagi , spec say tak power sgt..

  5. Assalamualaikum semua,
    Innalillah….

    Al fatihah dan salam takziah kepada ahli keluarga dan pengikutnya. Saya kagum denganya….

    Wassalam

  6. Al Fatihah…semoga di tempatkan di sisi orang2 yg beriman amiiin.

  7. al-fatihah…. arwah dah jauh mengembara…

  8. terima kasih … dialah guruku dunia dan akhirat

  9. alfatihah,

    boleh ustaz jelaskan kenapa Al-Arqam ni diharamkan..???

    maaf,saya lahir tahun 90an..saya tak tahu sangat tentang Al-Arqam ni sebenarnya,,

  10. Tahniah Ustaz kerana berjaya membuat blog yg amat bermanfaat sebagai rujukan maklumat serta panduan.

  11. askum,ustaz…

    soalan-apa perbezaan tabligh,al-arqam dan pas?

    • Waalaikumsalam wr wb

      Tabligh banyak fokus kepada mengajak umat Islam ke masjid, dan mendengar pengisian mereka di masjid. Tabligh tiada politik dalam manhaj/syllabusnya. PAS fokus kepada mengajak umat Islam merubah kerajaan ke arah lebih Islamik melalui peti undi. Al-Arqam seperti tulisan Dr Farahwahida (link) dan link-link di dalam posting ini. Tkasih.

  12. jadi ustaz yg mana satu adlah sunnah wa jamaah,yg perlu kita ikut supaya kita berada diatas jln yg benar,jalan2 org yg soleh dan redhai oleh allah..seperti didalam surah al-fathiha…hari ini banyak jemaah2 yg berunsurkan islam,mengajak kepada islam,jd kita org awam ni jd keliru masing2 mengatakan risalah yg dibawa adlah benar..minta pandangan ustaz,bagaiman kita nk memilih jemaah utk diikuti.. utk pengatahuan saya baru berjinak dgn tabligh dan pas..xtau mana nk pilih?

    • Semua jemaah seperti PAS, Tabligh, ISMA, ABIM, Salafi adalah jemaah Ahlus Sunnah wal Jamaah, mempelajari Islam mengikut mazhab aqidah Imam Asya’ari dan Imam Maturidy (2 imam pengasas Ahlis Sunnah kurun2 lampau). Mereka berbeza dari segi pendekatan dan tidak berbeza disegi Aqidah. Memilih salah satu dari mereka adalah seperti memilih salah satu dari mazhab feqah yang empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali). Semua ok, insyaallah.

  13. saya lahir pada tahun 1979. Di peringkat sekolah rendah sudah berjinak-jinak dengan majalah al arqam .tak silap saya annasihah dengan kulit depan dihiasi lukisan wanita bertudung.

    Agak kecewa apabila majalah terbitannya diharamkan , terasa tak patut majalahnya diharamkan .Mungkin saya akan dapat memperbaiki diri dengan lebih baik melalui majalah Annasihah itu jika tidak diharamkan. Ia hanya jambatan utk mengajak manusia amar makruf nahi munkar

    Maaf jika ada kesalahan dalam komen saya.

  14. Salam..Adakah persamaan memilih jemaah diantara jemaah PAS, Tabligh, ISMA. ABIM dsb sama dengan memilih Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali???..Sedangkan ada ulama’ haraki yg menyebut jangan ada jemaah dalam jemaah.Jika boleh memilih begitu, kepada siapakah yang perlu kita wala’..?Ambil contoh tabligh yg menolak berpolitik.Dan persoalan menolak pendekatan politik di dlm islam adalah ajaran sekular..bukankah itu boleh merosakkan aqidah..Allahua’lam

  15. satu coretan yg begitu menyayat hati sbb kita sezaman dan birthday pun sama. apa yang anta coretkan merupakan satu kebenaran. tahniah akhi, keterbukaan dan pengiktirafan sesama jemaah islam adalah amat diperlukan bagi menghasilkan kejayaan dakwah yang hakiki terjelma di bumi tercinta ini.

  16. artikel yg mmbina..
    i’m happy that i found my usrah in ISMA..
    really thought me a lot in all aspects..

    p/s:anjang pon pegi..[tgk gmbr]

  17. Salam, seandainya PAS, AL-ARQAM dan TABLIGH suatu waktu dahulu mampu bergabung dan menjadi satu jemaah yg memperjuangkan Islam, Malaysia hari ini rasanya tidaklah seperti sekarang, bilamana SIASAH (perjuangan PAS), MUAMALAH (kepakaran ARQAM)dan IBADAH (keutamaan TABLIGH) mampu bergerak menurut tuntutan syariat Islam yang sebenar berlandas Al Quran dan As Sunnah, maka pasti rahmat, pertolongan dan keredhaan ALLAH akan menyirami bumi Malaysia yg permai ini… mudah2an akan terus muncul pejuang2 Islam yg akan menjadi pemacu dan pembuka ke arah kesejahteraan ummah dan pemurnian akidah seterusnya meletakkan Islam di era kegemilangan di muka bumi ALLAH ini… Amin Ya Rabbal Alamin.

  18. catatan yang menyayat hati… moga rohnya dicucuri rahmat Allah.. moga islam kembali gemilang dan moga kefasadan yang timbul atas muka bumi ni dengan sebab tangan manusia dapat dihapuskan dengan datangnya cahaya islam….

  19. saya nk ucapkan takziah kepada allahyarham,
    beliau merupakan Guru saya pada masa saya berumur 12 tahun ketika saya mengikut al-arqam. Tiada apa yang sesat. Semuanye mengikut ajaran al-sunnah wal-jemaah

  20. Sesiapa yang jujur hatinya,ikhlas dalam memberi pendapat maka sumbangan Al Marhum dalam merubah lanskap bangun nya Islam di Tanah Air ini sangatlah besar.Kami yang berada dalam jemaah sama ada di permulaan dan pertengahan merasa aman dengan kekeuatan ukhwah antara kami.Tiada politiking yang negatif.Kami dididik berlapang dada,jauhkan dengki,jauhi cinta dunia.

    Kesan kepada mereka yang jahil tentang Islam pada mula menyertai Jemaah amat besar,dengan cepat mereka berpindah menjadi orang-orang yg alim dan faham tentang Islam yang syumul dan seterusnya berjaya didik menjadi Pemimpin.Mohon kepadaMu Ya ALLAH menempatkan Al Marhum disisi para -para Nabi,Syuhada dan para Mujahid..AMIN.

  21. semoga usaha nya dinilai ALLAH….

  22. Ustaz Ashaari terlalu banyak jasanya dalam mempromosikan Imam Syafie, Imam Ghazali dan Imam Abu Hassan Asyaari. Beliau juga telah membuka minda banyak orang tentang erti dan kepentingan taqwa. Dia lah juga yang menunjuk jalan tentang ketelitian, kekemasan dan kebersihan. Moga Allah menempatkan rohnya di kalangan para syuhadak dan aulia. Moga dengan rahmat Allah, akan dibangkitkan di bumi Malaysia ini seorang yang dapat meneruskan usaha dakwah yang kian lesu dan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam.

  23. salam.. ustaz klu tidak salah sy katakan umat islam skrg perlukan petunjuk dr allah yg boleh mengubah cara hidup umat islam yg dah ke barat nie…ke jalan yg benar …macam mn hendak pastikan yg itu adalah petunjuk? sbb rata2 umat islam cetak ilmu agamanya dan agak sukar utk mengenal mn yg benar dan mn yg munafik

  24. salam..
    ustaz klu tidak salah sy katakan umat islam skrg perlukan petunjuk dr allah yg boleh mengubah cara hidup umat islam yg dah ke barat nie…ke jalan yg benar …macam mn hendak pastikan yg itu adalah petunjuk? sbb rata2 umat islam cetak ilmu agamanya dan agak sukar utk mengenal mn yg benar dan mn yg munafik dlm beragama.
    maaf zahir batin…

    • Waalaikumsalam wr wb

      Sebaiknya dizaman yang penuh kekeliruan ini, kita mengikuti mana-mana pertubuhan Islam yang sahih dan berjuang untuk Islam. Dari didikan dan pendirian pertubuhan Islam tersebut kita terpelihara dari pengaruh2 asing yang telah banyak mewarnai kotak pemikiran dan tingkahlaku umat. Terima kasih. Ustaz Halim.

  25. salam..
    saya melihat ISMA & JIM hanya mementingkan org yg berilmu sahaja(org educated)..tidak seperti al Arqam..di mana menyeluruh..dari org bwhn hingga pangkat tinggi amat komited dengan jamaah…tp syg kerana prinsip yg lari sedikit dari matlamat asal dan tidak menggunakan kepakaran ahli2 yg kebykkn educated dan kesungguh semangat dlm diri setiap ahli akhirnya hancur…saya rasa byk hikmah al arqam dibubarkan..kerana kita disuruh mengambil iktibar dari pertubuhan ini..jgn diulangi kesilapan yg lalu..perbaiki..
    saya harap ISMA,JIM dan seangkatan dgn nya mengkaji formula yg telah dilakukan oleh abuya yg mana suatu ketika dahulu hampir menguasai dunia eg. china dan ambil iktibar dari apa yg berlaku…

  26. Assalam..inilah jalan menujuNya..pemimpin paling ajaib dizaman beliau..bagi Sy Takde pemimpin sehebat ini dizaman beliau..skalipon Kita terhidang dgn kemajuan yg Tak cukup2..penampilan Kita nampak maju..tapi didalamnye kemajuan kenyataannya..sgt merisaukan..Atau lebih senang kata..dajjal memberi Kita syurga Tp didalamnye Neraka..apepon semua yg berlaku adalah kehendak

  27. Kenapa BN ni jahil sangat sampai nak haramkan Al-Arqam,sdngkn mereka inilah yang menentang sebarang usaha jahat ‘Sulit’ Barat yang dihasilkan oleh ‘Yahudi Laknatullah’ melalui jenama Amerika.

  28. Bagi saya Asri telah sesat dan menyesat dan terkeluar dari kumpulan ahli Sunnah wal Jamaah. Allah telah membalasnya sebelum beliau meninggal di dunia lagi. Beliau akan di hisab sehabis-habis kerana kemewahan dunia satu ketika dahulu.

    • bg saudara, knapa abuya sesat? jhnlah menuduh org laen sesat. selidiklah sedalam2nya dulu..sesungguhnya, membuat fitnah itu lbeh berat dr membunuh.

  29. AS’ARI BANGAU.

    Ramai manusia telah tertipu dengan ‘As’ari al-Kazab’ .Mudah -mudahan Allah melindungi kita. Tiada yang ajaib dan istimewa As’ari. Saya katakan bahawa Allah telah kurniakan ‘istidraj’ yang mana manusia semakin-lama semakin jauh dan semakin kufur. Apa yang di tonjolkan hanya bayangan dan hayalan fatamorgana.

    Dulu di tempat saya Asa’ari di kenali sebagai ‘AS’ARI BANGAU’ apabila naik basikal lehernya panjang, macam bangau. Beliau berguru dengan PAK MAT KELANG seorang yang membawa ajaran sesat kebatinan. Pak Mat ini mengambil dari ayahnya Khairullah. Khairullah ini membawa ajaran hitam, perubatan, persilatan dan kebatinan, tidak seperti abangnya Syeikh Fadhullah seorang ulama yang mashyur lulusan al-Azhar. Sehingga kini nama Syeikh Suhaimi harum apabila di nisbahkan dengan Syeikh fadhullah.

    Anak Pak Mat Kelang [AHMAD MUHAMAD] dan A’asari sama2 membuka Sungai Pencala, apabila telah mashyur beliau tinggalkan dan melupakan jasanya. Beliau berkata: ”Kau tengok satu hari nanti, apa akan berlaku” . Akhirnya katanya terbukti benar, ia terpesong.

    Masyarakat sudah mengetahui bahawa Khairullah dan anaknya Pak Mat mengamalkan silat batin dulu di sebut ’SILAT KAREN’,. Justru, masyarakat di sini tidak mahu mencampuri urusan tersebut, termasuk keluarga Syeikh Fadhullah di Singapura. Beliau juga tidak solat berjamaah dan solat Jumaat, semua sudah tahu ajaran sesat yang di bahawa oleh Khairullah sehinggalah ke hari ini semua keluarga beliau tidak pernah bersolat di masjid. Syeikh Suhami menasihati anaknya: ”Wahai Khairullah, engkau tak payahlah pergi Mesir untuk belajar cukup duduk di sini belajar dan menjaga ayah”.

    Malangnya beliau degil, mentang-mentang beliau anak ’Pak Kiyai Suhaimi’ beliau berlagak semacam, sehingga ilmu ayahnya tidak dapat diwarisi dan di turunkan. Bahkan dari hari ke hari beliau beramal seperti khalawat, puasa tanpa ilmu sehingga datang gangguan dan was-was dan bisikkan dari syaitan dan iblis. Khairullah ini biasanya minum di kedai kopi dan sembang-sembang macam orang tua- tua yang kita lihat di kampung-kampung.

    Ustaz Taha sudah pasti mempertahankan pakciknya Khairullah dalam hal ini, beliau sebenarnya tidak tahu menahu sebab beliau bukan penduduk Kampung Kelang. Beliau orang Singapura jarang sekali jumpa Khairullah. Kami masyarakat di sini sudah tahu siapa Khairullah. Jadi apa yang di katakan oleh Khairullah semuanya di ikut oleh Ustaz Taha dan beliau tidak tahu untuk membezakan antara yang benar dan kayalan.

    Setelah Khairullah meninggal dunia, di gantikan pula anaknya ’PAK MAT KELANG’. Pak Mat Kelang ini, pakai seluar pendek hisap rokok, sebab ana pernah tengok sendiri. Melalui ’Pak Mat Kelang’ ini As’ari mengambil ilmu sesat dan kebatinan. Jadi apabila, asal usulnya telah terpesong sampai As’ari dan pengikutnya pun terpesong. Apabila aqidah sudah rosak seluruh amalan tiada guna.

    Wassalam.
    Kelang.

  30. KEPERCAYAAN HINDU MENYELUMBUNGI AL- ARQAM.

    Mempercayai ”kehidupan semula” seperti pengikut Al-Arqam merupakan amalan Hindu sebagaimana yang kita lihat di dalam filem. Orang hindu percaya apabila seorang itu mati maka ia akan “dihidupkan semula” tetapi bukan di akhirat sebagaimana orang Islam. Dalam banyak ajaran sesat di Malaysia, ajaran al-Arqamlah yang paling mencabar dihadapi oleh pihak berkuasa. Ajaran ini boleh di anggap sebagai ”debu-debu yang berterbangan”. Bahkan ajaran ini tidak berpijak di bumi nyata yang tidak keluar dari kepompongnya. Ajaran ini berpaksikan, jika sesuatu hadis Nabi itu menceritakan kemuliaan seorang maka hendaklah kita ”menjadi sepertinya”. Jika hadis menceritakan berkenaan pengikut imam Mahdi maka hendaklah kita berlumba-lumba menjadi sepertinya, begitulah seterusnya.

    Setelah kewafatan Rasulullah ramai umatnya yang murtad dan terpesong dari ajaran Islam, ia ada seakan-akan berlaku kepada pengikut Asha’ari yang kononya ingin meniru banginda. Jika diselidiki Asha’ari Muhammad bukan seorang ulama, bukan sufi dan jauh sekali seorang wali, akan tetapi beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi sekurang-kurangnya mujadid, malangnya beliau tidak mempunyai ilmu yang mencukupi dan hanya sekadar thanawi (Tingkatan 3) di Sekolah Hisamuddin Klang Selangor. Miskipun demikian beliau sedaya upaya menisbahkan beberapa ulama tersohor di Klang seperti Shaikh Mahmud Bukhari agar kepercayaan pengikutnya tidak hilang dengan bergambar bersama beberapa ulama terkemuka di Tanah Arab. Bak kata ulama ” jika sudah jahil ke mana ia pergi jahilah jua ”.

    Apabila pengikutnya sudah semakin ramai berpaksikan rangkaian perniagaan, maka sikap Asha’ari mula berubah, sehingga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan terpaksa membuat keputusan agar Asha’ari bertaubat. Kita sebagai umat Islam wajib percaya kepada qada’ dan qadar tidak seharusnya beranggapan yang bukan-bukan kerana Asha’ari sudah mati. Kita tidak tahu bagaimanakah alamnya di dalam kubur nikmat atau azab ?. Ketika Rasulullah diberi pilihan adakah beliau ingin terus hidup sehingga hari kiamat atau pun ingin mati, maka Rasulullah memilih mati kerana mati itulah kehidupan yang abadi dan dapat berjumpa dengan ilahi, bukan untuk kekal seperti Asha’ari. Siapakah Rasulullah jika di bandingakan Asa’ari?

    Ibnu al-Ghazali
    Klang, Selangor.

  31. rsenyerrrrr,,,,,,,,,al kelangi ni,,,,dh boleh buat blog sendiri dh nie.,,,,sian,menumpang blog org!klw hang nk taw,,,,hai! sang kelangi,,,,,ni adalah ruangan comen,bkannye,ruangan utk berkuliah a ceramah n sbgnyer

Tinggalkan komen