1983 – 1988 Australia

DIARY 1983 – 1988 DI AUSTRALIA 

TAHUN MATRIKULASI 1983

Pada bulan Januari 1983, saya berlepas ke Australia. Pesawat mendarat dahulu di Sydney untuk transit seketika sebelum menyambung perjalanan ke Brisbane, Queensland. Setiba di Brisbane, kami disambut oleh seniors termasuk Kamarizan (sekarang Dr. Kamarizan, pakar jantung di IJN) yang juga bekas pelajar MRSM Kuantan. Sebelum rumah sewa kami yang tetap diperolehi, saya tinggal di 43 Alpha Street, Taringa, Brisbane bersama seniors. Yang ketara, persepsi saya tentang Australia banyak berubah. Sebelum ke Australia saya menyangka pelajar-pelajar Malaysia hidup ala Barat, namun suasana di Alpha Street menunjukkan mereka bersolat, membaca Al-Quran, berkumpul dengan orang-orang Islam yang lain semasa Solat Jumaat dan sebagainya.

Hari persekolahan Matrikulasi hampir bermula. Saya bersama Syukor (ex-MRSM Kuantan), Zubaidi (ex-MCKK) dan Samsuir (ex-MCKK) menyewa rumah di Wellington Road, Red Hill, Brisbane, kira-kira 1 km dari sekolah kami di Kelvin Grove High School, Brisbane. Ini kali pertama berjiran sebelah dinding dengan mat saleh Australia. Dihujung minggu beberapa jiran akan mabuk dan bercakap kuat sendirian. Ada yang hidup dengan teman wanita seperti sepasang suami isteri. Sedikit demi sedikit saya yang baru berumur 17+ ini mula mengenali Dunia Barat yang dipandang dari dalam. Kehidupan mereka sangat jauh dari panduan ilahi, hanya bergantung kepada asas nafsu syahwat dan berapa akhlak kemanusiaan seperti dedikasi, etika dan disiplin masa.

Moga Allah mengganjari Akh Zulemly Shaari dan isteri, Ukhti Azlin Sanusi serta Akh Mohd Zaki Ghazali dan isteri, Yusmaniah Yusof yang sanggup berkorban untuk tinggal berhampiran rumah kami untuk menjaga pelajar-pelajar baru, walaupun terpaksa tinggal berjauhan dari universiti mereka. Kesemua mereka berkahwin awal dan menjadi peransang kepada saya untuk terus teguh dan tsabat dalam Dakwah yang saya telah kenali sejak di sekolah menengah. Kekadang apabila dihinggapi kelemahan iman, saya akan pergi menziarahi mereka di rumah. Walaupun mereka berusia muda ketika itu, namun disebabkan suasana suami isteri menghiasi rumahtangga Islam mereka, ditambah dengan masakan tangan akhawat, saya merasa seperti bertemu ayah dan ibu sendiri. Ini pengajaran penting bagi para duat yang masih berada di luar negara, agar segera berkahwin dan menjadi tunggak (anchor) dalam amal Dakwah di tengah-tengah pelajar-pelajar bujang yang lain.

Bersambung ….

Tinggalkan komen