Bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui tertanam di tanah perkuburan
![]() |
|
ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi perempuan yang dijumpai di Tanah Perkuburan Islam, Senawang, Seremban, semalam.
|
SEREMBAN 30 Mac – Polis hari ini mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini pagi ini mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Mayat bayi yang baru berusia 14 minggu itu ditemui tertanam oleh seorang penjaga kubur setelah ternampak kesan tanah gembur serta kotak dipercayai bekas menyimpan mayat bayi malang itu di tanah perkuburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, penjaga kubur itu kemudian membuat laporan polis sebaik sahaja mengesan sesuatu yang aneh di tanah perkuburan tersebut.
“Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penjaga kubur berkenaan membuat laporan polis tidak lama kemudian. Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi tanah perkuburan itu.
“Hasil siasatan awal, polis menemui satu kotak dipercayai diguna untuk menyembunyikan mayat berkenaan dengan bahagian dalamnya terdapat kertas surat khabar dan bongkah tanah serta kesan lendir dan darah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Saiful Azly, polis kemudian menggali lokasi tanah itu dan menemui mayat seorang bayi perempuan berusia kira-kira 14 minggu dibungkus dengan kain putih seperti dikapankan dan ditanam di tanah perkuburan itu.
Difahamkan, Tanah Perkuburan Islam Senawang tersebut masih belum beroperasi untuk sebarang pengkebumian.
“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, kerana dipercayai mempunyai unsur jenayah,” tegasnya.
Ketika ini, kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab.
Sehingga kini juga, tambah Saiful Azly, belum ada tangkapan dibuat dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.
Dipercayai, bayi malang itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan dan ditanam di tanah perkuburan itu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Polis juga sedang mengenal pasti keturunan bayi berkenaan dan akan menunggu laporan bedah siasat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu dan menghubungi mana-mana balai polis terdekat.




namun di sisi Allah engkau yang paling mulia wahai wajah suci yg dizalimi…
Engkau mulia di sisi Nya….
Celakalah hidup jantan betina penzina & pembunuh bayi2 tidak berdosa ini. Ada ramai manusia yg berhati mulia yg boleh menjaga anak2 ini. Apasal bodoh sangat pergi bunuh dia, tak cukup dosa?!!!Lain kali guna kondom jika tak nak aids & anak luar nikah.