Awal Muharram mengenang Hijrah Rasulullah saw

gua-thaur1

Detik penting dalam Hijrah. “Ketika mereka dihalau orang-orang kafir, mereka berdua. Ketika mereka berdua di dalam gua. Ketika dia berkata kepada temannya ‘Jangan takut, Allah bersama kita’. Allah menurunkan ketenangan kepada mereka dan tentera yang mereka tidak melihatnya. Allah menjadikan resolusi kafir terbawah. Kalimah Allah teratas. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”. (At-Taubah). Foto :  Di depan Gua Thaur, di puncak bukit Jabal Thaur. Di sini peralihan (turning point) fasa Dakwah Nabi saw dari dihina kepada keagungan, Islam di tekan kepada Kalimah Kafir terbawah, Kalimah Allah teratas dengan berjayanya Hijrah dan tertubuhnya Negara Islam di Madinah. Allahu Akbar wa liLlahil Hamd !

Sekali lagi bahkan saban kali setiap tahun peristiwa besar ini mengingatkan umat Islam tentang kesabaran berjuang akhirnya diberi kemenangan oleh Allah swt. Andai kata Rasulullah saw hendakkan wanita, harta dan pangkat semata-mata dalam perjuangannya, maka isterinya Khadijah ra adalah seorang hartawan lagi cantik rupawan. Baginda saw pula adalah keturunan bangsawan Quraisy, dari kabilah tertinggi, Bani Hasyim. Cukup sekadar itu dan tak perlu bersusah payah difitnah dan dianiaya hingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan segala kenangannya di Mekah. Ini peringatan untuk mereka yang tidak ikhlas dalam perjuangan, agar wanita, populariti dan harta bukan menjadi matlamat tersembunyi yang bersarang di hati. Jika ada walau sedikit, buangkan segera sebelum kita dibuangkan dari saff para Pendakwah yang hakiki oleh Allah swt dan oleh perangai kita sendiri.

di-kaki-thaur

Memahamkan masyarakat akan hakikat dan pengajaran Hijrah adalah tanggungjawab para Duat dan kita bersama. Foto: dibelakang adalah bukit Jabal Thaur. Di puncak teratasnya terdapat Gua Thaur. Gua yang disebut Allah dalam Al-Quran dan diberi peranan olehNya dalam menjayakan Hijrah yang bersejarah.

Peluang tak terbuka lama. Jika peluang datang, ia mungkin takkan kembali lagi. Ketika Dakwah Islam di Mekah beku setelah kematian Khadijah ra yang sering memberi dorongan dan kematian Abu Talib yang dengan kedudukan politiknya di Mekah, memberi banyak laluan untuk Dakwah berjalan, Rasulullah saw mencari tapak Dakwah di tempat yang lain. Hampir setiap khemah di Mina ketika Musim Haji, dimasuki oleh Baginda saw, ditawarkan dirinya untuk ke negeri mereka, demi mendapatkan tapak dan menyebarluaskan Dakwah dari tapak atau negeri tersebut. Nabi saw masuk, menawarkan diri  dan keluar dari tiap khemah hanya mengambil masa sebentar, namun memberi kesan sejarah yang panjang hingga ke Hari Kiamat. Amat malang semua mereka menolak.

Apabila di Aqabah, 6 orang Ansar menerima tawaran Nabi saw, Madinah menjadi tapak dan pusat perkembangan Islam sedunia. Hingga ke hari ini manusia bahkan bertambah ramai, mengunjungi Madinah. Adapun negeri-negeri lain yang menolak tawaran Nabi saw hari tersebut, negeri mereka pada hari ini hampir tidak disebut orang. Begitulah Dakwah yang kita bawa hari ini, jika ada yang menerima dan menyertainya, maka ahlan wasahlan, kita akan bersama-sama mencipta sejarah baru buat Agama yang tertindas ini di zaman kini. Bagi yang masih teragak-agak untuk turut serta, insyaAllah kita yakini akan akan menyertainya di hari esok dan jangan melepaskan peluang Hidayah, masa, kecerdikan dan semangat yang diberi Allah swt kepada kita disaat ini. Jika kita masih enggan, gerabak tentera Allah akan terus bergerak meluncur ke destinasinya tanpa menunggu mereka yang masih dan terus teragak-agak.

“Sesiapa yang mengikut Dakwah ini dari sekarang, maka sesungguhnya dia telah menang beroleh seniority. Sesiapa yang ikhlas tetapi masih teragak-agak pada hari ini, maka dia akan bersama Dakwah ini pada hari-hari esok. Mereka yang senior ada kelebihan ke atas yang junior. Sesiapa yang menjauhi Dakwah ini, kerana lemah jiwa atau mentertawakannya atau memperkecilkannya atau kecewa untuk memenangkannya, maka hari-hari di depan sana akan membuktikan betapa besar kesilapannya. Allah akan mencampakkan kebenaran Dakwah ini keatas kebatilan, lalu kamu dapati kebatilan itu akan lenyap. Marilah kepada kami wahai mereka yang beriman lagi ikhlas, bekerja dan bersungguh. Di sini Jalannya. “Dan sesungguhnya ini jalanKu yang lurus, maka kamu ikutilah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan (yang lain), nanti kamu berpecah dari jalanNya. Demikian Dia mewasiatkan kami supaya kamu bertaqwa” (Al-Quran).” [Hasan Al-Banna]

masjid-baiah

Foto : Di Aqabah, Mina tempat Nabi saw bertemu kali perama dengan 6 orang Ansar. Dua tahun berikutnya berlaku Bai’ah Aqabah II (di masjid belakang berwarna kuning) yang membawa kepada berlakunya Hijrah yang bersejarah dan gemilang.

Berlakunya Hijrah adalah selepas termeterinya MoU diantara Rasulullah saw mewakili Muhajirin dan 75 orang Ansar mewakili umat Islam di Madinah. Peristiwa Bai’ah Aqabah II penuh rahsia ini berlaku di kawasan dikenali hari ini dengan Masjid Bai’ah. 73 lelaki dan 2 wanita, Nusaibah binti Kaab dan Asmak binti Amru berjanji untuk berdepan dengan Kuasa-kuasa Besar Dunia, Rom dan Parsi, demi mempertahankan Rasulullah saw dan kedaulatan Islam di Madinah. Ganjaran untuk mereka adalah Syurga sahaja tanpa mendapat apa-apa dari habuan dunia. Para Ansar pula khuatir setelah mereka berhempas pulas membantu Nabi saw menang, selepas mengalahkan Quraisy, Nabi saw akan meninggalkan mereka dan pulang ke Mekah, kampung halamannya. Dengan kata lain, mereka sekadar dijadikan batu loncatan cita-cita politik Nabi saw semata-mata untuk sementara waktu. Aan tetapi sebaliknya Nabi saw menjawab, “Balid Dam Al-Dam, wal Hadamul Hadam …” (Bahkan kita sama-sama luka dan binasa. Aku memerangi mereka yang memerangi kamu. Aku berdamai dengan sesiapa yang berdamai dengan kamu wahai Ansar!!”. Maknanya hidup mati Nabi saw adalah bersama Ansar.

Sepuluh tahun selepas itu, pada Tahun 9H, selepas menawan Mekah, memenangi Perang Hunain dan beroleh harta rampasan yang banyak, Rasulullah saw menghadiahkannya kepada para Muallaf Mekah hingga habis segala ribuan unta, lembu dan kambing sehingga tiada satu pun yang tinggal untuk para Ansar. Dikalangan Ansar berbunyi mengatakan Nabi saw hanya beri orang kampungnya sahaja, dan takda untuk orang Madinah. Nabi saw memanggil orang Ansar dan berkhutbah bermaksud, “Tidakkah kamu dahulu sesat, hari ini Allah beri PetunjukNya?. “Benar ya Rasulullah!”, jawab mereka. “Tidakkah dulu kamu bermusuhan, hari ini kamu semua bersaudara?”. “Benar ya Rasulullah !”, jawab mereka lagi. “Tidakkah kamu suka kabilah lain membawa unta, lembu, kambing dll balik kekampung mereka, sedang kamu wahai Ansar balik ke Madinah membawa aku, rasul Allah !”. Ansar tersedar akan hakikat yang mereka sebentar tadi tidak menyedarinya sedikitpun. Nikmat membawa pulang seorang Rasul Allah, pembimbing mereka ke Akhirat dan keredhaanNya lebih besar nilainya dari membawa pulang ribuan unta, lembu dan kambing. Sekelian Ansar menangis di situ juga kerana dunia melupakan mereka hakikat dan nikmat yang lebih besar. Menangis kerana Rasulullah saw melebihkan mereka demi Akhirat mereka. “Kami redha dengan cara pembahagian yang dilakukan oleh Rasulullah saw !!”, kata orang-orang Ansar.

Lebih sepuluh tahun lalu mereka dan Rasulullah saw memeterikan Bai’ah Aqabah II, hari itu kedua-dua pihak masih teguh dengan perjanjian tersebut iaitu (1) Ganjaran Syurga dan tiada habuan dunia, dan (2) Nabi saw akan terus tinggal di Madinah dan tidak menjadikan Madinah sebagai batu loncatan sementara semata-mata. Hakikat-hakikat ini mesti difahami dan tertanam kukuh di dalam sanubari sekelian para Duat, sekiranya dia ingin menjadi pejuang Islam hakiki, maka Ikhwah dan Akhawatnya itulah teman sejatinya dalam perjuangan hingga ke akhir hayatnya, dan bukan tempat batu loncatan sementara dia mengejar cita-cita politiknya dimana bila agak nampak ruang dan peluang untuk naik, dia meninggalkan Ikhwah Akhawatnya dengan berbagai hujjah dan alasan. Lupa janji, kesetiaan, keaslian manhaj, ukhuwwah, fikrah yang sahih, amal jamaiyy, tarbiyah dan sebagainya. Sungguh Hijrah meninggalkan banyak petunjuk disepanjang Jalan.

lubang-gua-thaur1

Foto : di puncak bukit Jabal Thaur, terletak Gua Thaur, tempat Rasulullah saw dan temannya, Abu Bakar ra. Mendapat teman sejati dalam perjuangan adalah salah satu nikmat dalam hidup. Ini salah satu pengajaran selama hampir 30 tahun saya di dalam Jalan Dakwah ini. Namun ia suatu yang sukar diperolehi. Sepatutnya mereka yang telah ditarbiyah mendidik orang lain menghayati erti Teman Sejati, tetapi sebaliknya yang banyak berlaku, perangai banyak ahli politik kepartaian sering mengesani sebahagian para Pendakwah gerakan Islam sehingga mereka turut sama mengikut rentak cantas mencantas dan tikam menikam dari belakang dan depan.

Setelah melalui Jalan Dakwah ini hampir 30 tahun lamanya, disamping untung dan pentingnya memiliki teman hidup atau isteri yang sejati, mempunyai teman perjuangan yang hakiki juga memberi daya dorongan dan kejayaan yang amat besar. Sebaliknya jika bergerak nampak beramai tetapi hakikat ukhuwwah dan kesungguhan anda keseorangan, maka ia membantut amal dan menghalang keberkatan dan kejayaan.

Setelah beriman dikalangan orang yang terawal, menarik ramai orang masuk Islam dan membenarkan peristiwa Israk Mikraj yang tak terjangkau oleh akal manusia, Abu Bakar As-Siddiq ra meminta izin Rasulullah saw untuk berhijrah. Nabi saw meminta dia tunggu dengan sabdanya bermaksud, “Mudah-mudahan Allah mengadakan bagimu seorang teman (dalam Hijrah)”. Gembira tak terkata, Abu Bakar ra menyiapkan 2 ekor kenderaan Hijrah untuk Rasulullah saw dan dirinya sendiri. Detik bersejarah iaitu Hijrah Rasulullah saw dicipta bersama-sama dengan sahabatnya yang paling setia. Mereka juga bersama berdua di dalam Gua Thaur. Hakikat ini bukan sahaja disahkan oleh sejarah, tetapi direkodkan Allah swt hingga ke Hari Kiamat dengan firmanNya, “… Ketika kedua-dua mereka di dalam gua. Ketika dia berkata kepada temannya, ‘Jangan takut, Allah bersama kita’ “. (At-Taubah)

Demikian hakikat perjuangan dan teman iaitu berdua, teman dan kita, bukan berseorang, musuh dalam selimut dan aku !! Jemaah Islam yang memperjuangkan Islam dengan sebenar-benarnya harus mengamati hakikat ini. Ia mesti bebas sebebas-bebasnya dari percaturan yang terdapat dalam parti-parti politik kepartaian dan badan-badan tidak Islamik yang sering kedapatan tikaman-tikaman dari belakang dikalangan barisan kepimpinannya, kemudian merebak ke bawah dikalangan ahli pula. Akhirnya perjuangan tak mana, tidak berjaya. Kalaupun menang, kemenangannya tidak berbentuk Islam yang sejati.

thaniyatil-wadak

Di Bukit Thaniyatil Wadak, tanah tinggi di pintu masuk Madinah, tempat orang-orang Madinah menyambut kedatangan Rasulullah saw dan Abu Bakar ra semasa Hijrah. Gabungan Muhajirin dan Ansar ini memulakan dan bersama mencipta keagungan dan tamaddun Islam yang sukar ditandingi generasi sebelum dan selepas mereka. “Kamulah umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyeru kepada makruf. Kamu mencegah munkar ..” (Ali Imran).

Hakikat perjuangan dan Jalan Dakwah ini banyak ditunjukkan oleh detik-detik di dalam Hijrah. Memadailah kita lihat beberapa detik sahaja dalam posting kali ini. Yang penting, walau sedikit, Allah swt beri kita taufiqNya sehingga dapat kita amalkan dalam perjuangan. “Sesiapa yang tidak diberi Allah cahaya, maka tiadalah baginya cahaya (petunjuk untuk mengamalkannya” (Al-Quran).

Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah.

Artikel-artikel berkaitan :

Hijrah membangun umat beragenda

Salam Hijrah dari Gua Hijrah (daki Gua Thaur, Mekah)

Di Gua Thaur, tempat sembunyi semasa Hijrah

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

Satu Respons

  1. artikel yang sangat bermanfaat untuk semua..

Tinggalkan komen