Hari 01 Pilihanraya Presiden Mesir jadi contoh Dunia Islam

Dari kiri Sayyid, saya, Mustafa dan teman-teman tahun 1990an dulu semasa saya sering ke kampung ulu ini melihat amal Ikhwan. Ahmad A Hafiz (berdiri paling kanan) di tahun 1990an bekerja di Jordan. Hari ini beliau bekerja di Kuwait. Mereka menjaga “pondok panas” berhampiran tempat mengundi di sekolah yang kelihatan di belakang kami. Hanya pondok panas Ikhwan Muslimin sahaja yang ada di sini. 12 orang calon lain tidak mempunyai jentera yang kukuh dan sebenar.

Semalam, hari pertama Pilihanraya Presiden Mesir, saya sekali lagi memilih kampung kedua di hati saya, Mansyiah, untuk membuat pemerhatian dan kenangan. Bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter dan angkatannya juga telah tiba di Mesir untuk menyaksikan pilihanraya bersejarah ini, sepertimana beliau juga ke Gaza untuk menyaksikan Pilihanraya Parlimen Palestin pada 25 Januari 2006 yang berakhir dengan kemenangan HAMAS.

Fenomena menarik. Kebanyakan pengundi lelaki keluar mengundi diwaktu siang manakala pengundi wanita lebih memilih untuk keluar mengundi diwaktu petang dan malam.

Motor beca di hulu kampung membawa poster kempen untuk Dr Ir Mohd Mursy, calon Ikhwan Muslimin. Pada saya diantara petanda awal, sesebuah jemaah itu mampu untuk mengharungi pertarungan Pilihanraya adalah apabila (i) ia telah berakar umbi dalam jiwa masyarakat dan kampung serta (ii) telah mempunyai pendokong di sana yang siap boleh menjadi jentera pilihanraya pada bila-bila masa diperlukan.

Seperti yang dijangka, perjalanan pilihanraya sama, bahkan semakin baik berbanding dengan Pilihanraya Parlimen pada bulan Disember 2012 lalu. Beberapa kesimpulan dapat saya rumuskan seperti dibawah :

  1. Keputusan Ikhwan Muslimin sebaik Revolusi 25 Januari (Arab Spring) untuk (i) tidak bertanding Presiden Mesir, dan (ii) hanya bertanding 40-50% kerusi Parlimen adalah keputusan yang bijak. Ia menangguh atau mengelakkan Mesir dari sebarang serangan awal berbagai bentuk yang boleh merencatkan perubahan negara dari sistem diktator kepada sistem demokrasi yang mendidik rakyatnya menjadi bebas, adil dan punya keyakinan diri.
  2. Keputusan Abdul Mun’im Abul Futuh, salah seorang ahli Majlis Syura, Ikhwan Muslimin untuk bertanding Presiden adalah suatu sejarah yang pahit yang tidak sepatutnya berlaku pada seseorang ahli jemaah, jauh sekali sebagai seorang ahli Majlis Syura dan bekas Pimpinan Pusat suatu masa dahulu. Keputusan itu boleh mengundang perkara-perkara yang dikhuatiri di atas di satu segi, dan di satu segi yang lain, seorang yang sebegitu sifatnya, sukar untuk diandaikan perjalanannya sekiranya dia memerintah negara. Abdul Mun’im Abul Futuh dipecat keahlian.
  3. Perjalanan Pilihanraya Parlimen Mesir berjalan dengan sangat baik, menjadi contoh kepada Negara-negara Arab dan Islam seluruhnya. Ikhwan Muslimin (Parti Kebebasan dan Keadilan) memenangi 45% kerusi Parlimen, golongan Salafi (Parti An-Nur) memenangi 25% kerusi menjadikan golongan Islam memenangi lebih 2/3 kerusi Parlimen dalam sebuah pilihanraya bebas.
  4. Majlis Tertinggi Tentera, pemerintah sementara Mesir sekarang mula membuat serong yang boleh menggugat proses perubahan kebebasan dalam negara yang boleh menjadikan Mesir negara yang diperintah tentera manakala Parlimen yang dipilih rakyat hanya diberi kuasa terhad. Demi menyelamatkan keadaan dan proses kearah negara bebas, adil dan berdaulat, Ikhwan Muslimin membuat keputusan meletakkan calon Presiden sendiri dan tidak meletakkan pergantungan kepada calon-calon Presiden yang ada.
  5. SPR menolak calon dari tokoh-tokoh Islamis terkemuka seperti Ir Khairat Syatir (Ikhwan Muslimin) dan Hazim Abu Ismail. Ikhwan segera mengemukakan calon Dr Ir Mohd Mursy, Presiden Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP).
  6. Walaupun Ikhwan Muslimin telah meletakkan calon, bekas pimpinan Ikhwan, Dr Abdul Mun’im tetap mahu bertanding. Beliau juga mengeluarkan kenyataan jika menjadi Presiden, hanya parti dan pertubuhan (jam’iyyah) sahaja yang akan dibenarkan beroperasi di Mesir manakala bentuk-bentuk seperti “jemaah” akan diharamkan.
  7. Pilihanraya Presiden di luar negara selesai dengan Dr Mursi mendapat tempat pertama (37%), Dr Abd Mun’im mendapat tempat kedua (27%) dan calon-calon lain tidak ketara pencapaiannya. Pencapaian Dr Ir Mursy membanggakan kerana beliau menduduki tempat pertama walaupun hanya sempat berkempen 3 minggu berbanding Dr Abdul Mun’im yang telah mula berkempen sejak setahun lebih yang lalu. Walaubagaimanapun bilangan undi di luar negara hanya 550,000 sahaja berbanding 50 juta pengundi didalam Mesir.
  8. Pilihanraya Presiden sedang berjalan semalam dan hari ini. Untuk lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan penipuan, Parlimen Mesir mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri, sambil diperhatikan oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon. Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi disepanjang tempoh pengundian.

Saya merangkul Asyraf di sebelah kanan saya dan Mustafa di sebelah kiri saya. Di tahun-tahun 1990an, kami sama-sama di Kaherah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Al-Azhar dan bertemu di kampung mereka ini di negeri Syarqiyah, 150 km dari Kaherah. Kami berada di “pondok panas” Ikhwan Muslimin di sebelah hilir ke pusat pengundian (sekolah) yang kelihatan di belakang.

Bertemu dan berkongsi pengalaman dengan Asy-Syeikh Hassan berhampiran pusat mengundi. Beliau adalah pengasas amal Ikhwan Muslimin di daerah ini sejak tahun 1977. Sebaik tamat pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah beliau diminta pulang ke daerahnya sendiri untuk memulakan dakwah Ikhwan Muslimin di sana, bermula dengan diri beliau sendiri berseorangan. Turut bersama adalah Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Shuhaib (kanan) dan ahli Jawatankuasa Pusat ISMA Mesir, Ustaz Qamarul.

Diantara beberapa pengajaran yang banyak yang boleh diambil di sini adalah :

  1. Pentingnya sebarang jemaah Islam agar bergerak dan berdakwah didalam masyarakat di seluruh lapisannya. Ini adalah untuk mendidik dan mendekatkan mereka dengan Islam. Lebih ramai yang menghayati Islam, lebih dekat gerakan Islam mencapai hadaf (objektif)nya.
  2. Gerakan Islam mesti sentiasa memastikan agar perasaan merdeka, kebebasan dan keadilan tertanam kukuh didalam jiwa dan sikap umat Islam. Tanpa kualiti-kualiti ini, mereka sukar membangunkan sebuah masyarakat dan negara yang Islam kehendakki.
  3. Bahayanya “hazzan Nafs” (melihat kepada kepentingan atau pendangan diri sendiri) didalam gerakerja Islam. Barangsiapa yang tidak ikhlas hanya semata-mata kerana Allah didalam perjuangannya, dia tidak layak berjuang didalam Jemaah Islam yang hakiki.
  4. Bahayanya seseorang yang menjauhkan diri dari jemaah, samada bahaya terhadap dirinya maupun bahaya terhadap jemaah dan masyarakat. Nabi saw sendiri bersabda bermaksud, “Serigala (syaitan) hanya memakan kambing (seseorang) yang bersendirian”.
  5. Pentingnya Jemaah Islam memiliki keahlian yang ramai dan berkualiti. Ini adalah kerana tugas Dakwah dan gerakerja pilihanraya sebagai salah satu cabang darinya memerlukan penggerak yang ramai yang berkualiti (berakhlak, berdisiplin, bersungguh dan cekap). Di tempat mengundi dalam PIlihanraya Presiden kali ini, saya hanya dapati pondok panas Ikhwan Muslimin sahaja tanpa melihat ada pondok-pondok panas yang lain. Mereka sabar berada di situ disepanjang hari sehingga tamat tempoh pengundian jam 8pm malam.
  6. Pilihanraya bukan sahaja mengukur prestasi bilangan ahli-ahli kita untuk mengundi, bahkan ia mengukur sejauh mana ahli-ahli kita berjaya mengajak masyarakat awam untuk mengundi calon kita. Ia juga mengukur tahap kualiti keIslaman yang ada dalam diri masyarakat, samada akan memilih calon liberal, calon Islamis bebas atau calon Islamis berorganisasi dan bermanhaj (ideologi).

Walaupun ramai menjangka Pilihanraya Ulangan akan diadakan pada Jun depan (jika tidak seorang calon pun yang mendapat bilangan undi melebihi 51%), namun disaat ini saya rasakan calon Ikhwan Muslimin, Dr Ir Mohd Mursy akan menang pada Pusingan Pertama ini juga dengan peratus sekitar atau melebihi 70% insyaAllah. Kepada ALlah swt jua tempat dutaruhkan harapan dan doa. “Allahumma nasruka lazi wa’ad tana” (Ya Allah, (kurniakanlah kepada kami) kemenangan yang telah Engkau janjikan untuk kami – doa Nabi saw sebaik sebelum bermula Perang Badar).

Artikel-artikel berkaitan :

Diantara Syariat Islam dan hukum Hudud

Dr Ir Mohd Mursy, calon Presiden Mesir dari Ikhwan Muslimin

Jadilah hamba sebelum ketua

Ustaz Halim  www.inijalanku.wp.com

7 Respons

  1. Reblogged this on Memberi Bukan Untuk Menerima and commented:
    Sekitar hari pertama pilihan raya mesir

  2. Salam ust. Jazakallah atas perkongsian yang menarik ust. Moga ust dapat berkongsi dengan lebih kerap akan datang. Ana sentiasa mengikuti penulisan ust.

  3. ustaz…mohon pencerahan atas artikel ini yg mengatakan Hasan L Banna tergelincir dr mazhab ahlissunnah..ini linknya http://ustazfathulbari.wordpress.com/2012/06/14/qaradhawi-ikhwanul-muslimin-dan-sikap-mereka-terhadap-pemerintah/

  4. assalamualaikum ustaz.
    saya ada beberapa persoalan.tapi agak peribadi.
    kalau tidak keberatan,minta ustaz jawabkan.
    apakah pandangan politik ISMA?apakah ISMA pro kanan atau kiri?
    dan ustaz pula – apakah pandangan politik ustaz?saya mahu tahu.kerana saya ini orang muda yang keliru hendak sokong sape bila tengok banyak sangat benda2 ngarut dalam paper…:(

  5. “Keputusan Abdul Mun’im Abul Futuh, salah seorang ahli Majlis Syura, Ikhwan Muslimin untuk bertanding Presiden adalah suatu sejarah yang pahit yang tidak sepatutnya berlaku pada seseorang ahli jemaah, jauh sekali sebagai seorang ahli Majlis Syura dan bekas Pimpinan Pusat suatu masa dahulu. Keputusan itu boleh mengundang perkara-perkara yang dikhuatiri di atas di satu segi, dan di satu segi yang lain, seorang yang sebegitu sifatnya, sukar untuk diandaikan perjalanannya sekiranya dia memerintah negara. Abdul Mun’im Abul Futuh dipecat keahlian.”

    Ironically, it happened here in Malaysia also.

  6. Salam Kenal Ya Semuanya g terkecuali dari sabang sampe merauke deh.. hehe.. 🙂

  7. Jazakum Alllah Alkhair ust atas perkongsian musafir, juga utk kami mengambil bekalan dan iktibar.

Tinggalkan Jawapan kepada hamzah Batal balasan